[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Asam jawa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Asam jawa
Celagi
Pengelasan saintifik
Alam:
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
(tanpa pangkat):
Order:
Keluarga:
Subkeluarga:
Tribus:
Genus:
Tamarindus
Spesies:
T. indica
Nama binomial
Tamarindus indica

Asam jawa (Jawi: أسم جاوا), asam kuning atau celagi (Jawi: چلاݢي Kel.) ialah sejenis pokok saka malar hijau yang menghasilkan bumbu pemasam untuk kegunaan masakan harian serantau Nusantara misalnya pada sayur asam[2] atau kadang-kadang pada kuah pempek. Asam juga digunakan untuk campuran jamu tradisional yang sering dijual. Nama lain bagi asam jawa adalah:[3]

  • asam kunem jawa (Jw.)
  • asem, kamal (Sd.),
  • asam kamal (mhy),
  • accem (Md.),
  • asang jawa, asang jawi (berbagai bahasa di Sulawesi)

Malaysia mengimport 60-80% asam jawa dari negara jiran (terutama dari India) kerana pengeluaran tempatan sangat kurang. Kempen dan usaha untuk menanam pokok asam jawa boleh dijalankan terutama di kawasan tanah terbiar dan juga di kawasan tanah-tanah bermasalah seperti di kawasan tanah Bris, tanah gambut, tanah bekas lombong dan juga tanah asid sulfat. India ialah negara yang mempunyai tanaman dan ladang asam jawa yang paling luas di dunia. Didapati sebanyak 250,000 metrik tan asam jawa dihasilkan setiap tahun seluruh dunia dimana 65% dihasilkan di India. Asam Jawa digunakan untuk pelbagai kegunaan dimana sebanyak 3,000 metrik tan daripadanya dieksport ke Eropah dan Amerika Utara.

Ciri botani

[sunting | sunting sumber]
Buah asam jawa

Pokok asam jawa berperawakan besar, selalu hijau (tidak mengalami masa gugur daun), tinggi sampai 30 m dan diameter batang di pangkal hingga 2 m. Kulit batang berwarna perang keabu-abuan, kasar dan memecah, beralur-alur vertikal. Tajuknya rindang dan lebat berdaun, melebar dan membulat.[4] Pokok ini boleh hidup lama malah tahan dari serangan serangga perosak, tiupan angin kencang malahan tahan terendam dalam air berbanding dengan pokok lain sampai mampu mengeluarkan hasil walaupun telah berusia puluhan tahun. Batang utama pokok pendek tetapi mempunyai banyak cabang dan bentuk pokoknya adalah rimbun. Dahan dan cabang pokok mempunyai susunan yang terbuka luas. Dahan pokok amat kuat dan tahan tiupan angin kencang dan jarang-jarang sekah atau patah. Kanopi pokok asam jawa juga berbentuk seperti kubah yang bulat melebar. Pokok ini tahan kemarau dan mudah hidup di mana-mana jenis tanah sama ada pada tanah yang subur atau tanah bermasalah.

Dedaun malar hijau tetapi apabila cuaca terlalu panas daun-daun ini akan gugur. Dedaunnya susun menyirip genap, panjang 5–(10–)13(–15) cm, terletak berseling, dengan daun penumpu seperti pita meruncing, merah jambu keputihan. Anak daun lonjong menyempit, 8-10-16-20 pasang, masing-masing berukuran 0.5-1 × 1-3.5 cm, bertepi rata, pangkalnya miring dan membundar, hujung membundar sampai sedikit berlekuk.[4][5] Daun ini bertangkup pada waktu malam.

Bunga kecil tersusun dalam tandan renggang, di ketiak daun atau di ujung ranting, sampai 16 cm panjangnya. Bunga kupu-kupu dengan kelopak 4 buah berwarna merah jambu yang akan gugur apabila kembang dan daun mahkota 5 buah, berbau harum. Mahkota kuning air dengan urat-urat merah coklat, sampai 1,5 cm.[4]

Lenggai buahnya menggelembung, hampir silindris, bengkok atau lurus, berbiji sampai 10 butir, sering dengan penyempitan di antara dua biji, kelongsong buah (eksokarp) mengeras berwarna kecokelatan atau kelabu bersisik, dengan urat-urat yang mengeras dan liat serupa benang. Kelongsong yang masak mudah rapuh pecah dan isinya akan diasingkan dari biji benih yang terdapat didalamnya. Daging buah (mesokarp) putih kehijauan ketika muda, menjadi merah kecokelatan sampai kehitaman ketika sangat masak, asam manis dan melengket. Biji cokelat kehitaman, mengilap, dan keras, agak persegi.[4] Hampir setengah daripada berat lenggai terdiri daripada pulpa yang rasanya masam. Pulpa ini mengandungi gula (30-40%) dan asid organik seperti asid sitrik, tartarik, asid asitik dan asid askorbik (Vitamin C). Pulpa ini juga merupakan sumber bahan makanan yang kaya dengan vitamin dan mineral terutamanya kalsium. Walaupun mengandungi banyak gula tetapi bahagian pulpanya tetap masam juga.

Penyebaran dan habitat

[sunting | sunting sumber]
Anak pokok asam jawa yang tumbuh dari biji

Asam jawa termasuk tumbuhan tropis. Asal-usulnya diperkirakan dari savana Afrika[4] timur di mana jenis liarnya ditemukan, salah satunya di Sudan. Semenjak ribuan tahun, tanaman ini telah menjelajah ke Asia tropis,[4] dan kemudian juga ke Karibia dan Amerika Latin. Di banyak tempat yang bersesuaian, termasuk di Indonesia, tanaman ini sebagian meliar seperti di hutan-hutan luruh daun dan savana.

Pohon asam dapat tumbuh baik hingga ketinggian sekitar 1.000 m (kadang-kadang hingga 1.500 m) dpl, pada tanah berpasir atau tanah liat, khususnya di wilayah yang musim keringnya jelas dan cukup panjang.[4]

Ikan tenggiri masak asam jawa, salah satu masakan khas Jawa yang menggunakan asam jawa sebagai bumbunya

Daging buah asam jawa sangat populer, dan digunakan dalam aneka bahan masakan atau bumbu di berbagai belahan dunia. Buah yang muda sangat masam rasanya, dan biasa digunakan sebagai bumbu sayur asam atau campuran rojak. Buah yang telah masak dapat disimpan lama setelah dikupas dan sedikit dikeringkan di bawah terik matahari menjadi asam kawak tidak sahaja dimanfaatkan sebagai bumbu pemasam atau untuk menghilangkan bau hamis ikan, malah boleh dijadikan bahan sirap, selai, gula-gula, dan jamu.[4][5] Asam kawak juga mengeluarkan suatur cairan perang kehitaman dipanggil "madu asam" yang digunakan untuk mengubati penyakit seriawan.[6]

Thailand juga menghasilkan asam jawa yang manis rasa asalnya[4] lalu cocok dimakan segar begitu saha; oleh itu polong yang belum dikupas sering dieksport. Biji asam biasa dimakan setelah direndam dan direbus, atau setelah dipanggang.[5] Selain itu, biji asam juga dijadikan tepung untuk membuat kue atau roti.[4]

Air larutan isi buah asam jawa adalah minuman popular terutamanya di pulau Jawa, tetapi ia

Pucuk muda mentah atau yang telah dicelur, dimakan dengan budu, cencaluk, sambal belacan atau pencecah lain dengan nasi. Buah muda asam jawa yang dikupas kulit dan ditumbuk kasar atau diracik kecil, dicampurkan dengan sambal belacan, sesuai dimakan dengan nasi. Rasa buah asam jawa adalah masam-masam manis manakala daunya berasa sedikit kelat dan masam. Isi asam jawa juga boleh dimakan begitu sahaja ataupun dengan ditambah dengan gula.

Kayu teras asam jawa berwarna coklat kemerahan, berat, keras, padat, awet tinggi yakni tahan lama dan bertekstur halus serta rintang terhadap serangan perosak. Hal ini menjadikan ia kerap digunakan untuk membuat perabot rumah, sampan, hulu pisau dan alu padi serta bahan kraftangan seperti, ukir-ukiran dan patung.[3][5] Bagi anak-anak di Jawa Tengah, kayu asam jawa sangat dipilih membuat gasing. Biji asam sendirinya juga kerap digunakan dalam permainan congkak atau dakon.

Selain itu, kayu ia juga boleh digunakan sebagai bahan bakar yang sangat tahan lama dan menghasilkan haba untuk masakan dan juga industri. Kajian menunjukkan yang abu kayu yang asam jawa yang terbakar boleh digunakan bagi merawat dan menanggalkan bulu daripada kulit kambing. Sementara itu dahan, cabang atau akar pokok boleh digayakan untuk dijadikan tongkat (untuk mereka yang melebihi 40 tahun) atau dijadikan bahan hiasan.

Perubatan

[sunting | sunting sumber]

Air seduh isi asam jawa dipercaya sangat berkesan mengubati sakit batuk. Di samping daging buah, banyak bagian pohon asam yang dapat dijadikan bahan obat tradisional. Daun mudanya (Jw. sinom) digunakan dengan kunyit[3] dan bahan ramuan lain untuk membuat jamu tradisional iaitu:

  • jamu sinom untuk minuman kesegaran,
  • jamu gepyok diminum untuk melancarkan dan memperbanyak air susu ibu
  • tapal (dioleskan pada atau ditempelkan di permukaan kulit) untuk mengurangi radang dan rasa sakit di persendian, di atas luka atau pada sakit rematik.

Daun muda yang direbus untuk merawat batuk dan demam. Kulit kayunya yang ditumbuk digunakan untuk menyembuhkan luka, borok, bisul dan ruam. Kulit kayu asam juga digunakan sebagai ubat penguat badan.[4] Tepung bijinya untuk mengobati disentri dan diarea.[4]

Daun asam jawa bersifat penurun panas, analgesik, dan antiseptik. Kulit kayunya ini bersifat astringen dan tonik. Kemudian, buahnya bersifat pencahar, antipiretik, antiseptik, abortivum, dan meningkatkan nafsu makan. Kandungan polisakarida yang berkhasiat imunomodulator (1) dan L-(-)-di-n-butil malat yang menghambat proliferasi sel embrio babi laut.[6]

Pohon asam biasa ditanam di tepi jalan sebagai peneduh. Tanaman asam ini terutama terkenal di sepanjang jalan raya Daendels, dari Anyer hingga Panarukan. Kajian arkeologi di pantai utara kawasan Wilayah Utara Australia ada juga menunjukkan keberadaan pokok-pokok asam jawa ditanam para pelaut Bugis sebagai teduhan beristirahat menunggu datangnya angin untuk berlayar kembali ke Sulawesi sekaligus menjadi petunjuk adanya pertembungan antara orang asli setempat benua tersebut dengan orang luar sebelum kedatangan bangsa Eropah.[7][8]

Di kawasan Majlis Perbandaran Malaysia pokok ini ditanam kerana ianya sesuai dijadikan pokok teduhan dan amat menarik jika ditanam sebagai penghias di bahu jalan.


Asam jawa sering dijadikan untuk bahan membuat bonsai di Indonesia.[9]

Hubungan dengan manusia

[sunting | sunting sumber]

Rekod dan sejarah menunjukkan yang ibu negeri Senegal diberi nama ‘Dakar’ dalam bahasa tempatan yang bermaksud “pokok asam jawa”. Pokok asam jawa adalah tumbuhan semula jadi di benua Afrika. Kini asam jawa telah tersebar luas ke serata dunia dan termasuklah yang ada di Malaysia. Ia juga boleh menjadi pokok hiasan selain ditanam sebagai pokok tanaman. Pokok ini diperkenalkan ke negara-negara di Asia melalui pedagang-pedagang Arab yang datang singgah ke asia tenggara.

Penanaman

[sunting | sunting sumber]

Pokok asam jawa sangat mudah untuk dibiakkan dan cepat. Pokok ini mudah dibiakkan sama ada menggunakan biji benih atau secara tampang. Bijinya diketaui memang tahan lama disimpan dan sangat mudah bercambah. Apabila pokok asam jawa ditanam dari biji maka ia mula berbuah selepas 6-8 tahun manakala yang ditanam secara tampang akan berbuah selepas 3-4 tahun ditanam. Tangkai buah asam jawa adalah sangat kuat dan liat. Kajian di negara India, pengeluar asam jawa terbesar di dunia, biasanya akan dibiarkan buah masak di atas pokok hinggalah kandungan airnya berkurangan sebanyak 20%. Bagi tujuan untuk pasaran segar maka buah dipetik dengan menggunting tangkainya supaya lenggai tidak rosak. Sebelum itu dahan digoncang supaya buah yang masak gugur dahulu dan dikutip. Laporan di India menunjukkan pokok yang matang boleh menghasilkan 150-200 kg buah sepokok setahun atau lebih kurang 12-16 tan sehektar iaitu 30-55% pulpa, 11-30% kulit dan gentian dan 33-40% biji.

Pokok asam jawa dewasa mampu menghasilkan sehingga sebanyak 165-175 kg buah asam jawa setahun bergantung kepada saiz pokok dan cara pengurusan. Pembiakan adalah menggunakan kaedah cantuman dimana pokok mula mengeluarkan hasil 3-4 tahun selepas ditanam.

Buah asam jawa mempunyai dua jenis iaitu asam jawa yang manis dan yang masam. Kandungan utama dalam asam jawa ialah asid, gula, vitamin B dan kandungan kalsium yang tinggi. Kegunaan asam jawa dari segi perubatan tidak boleh dikira banyaknya. Untuk tujuan komersial didapati asam jawa dijadikan asas bahan penyejuk dalam ubat demam dan sebagai julap bagi mengatasi masalah perut kembung. Sama ada dimakan begitu sahaja atau dicampur dengan jus limau, madu atau susu, asam jawa amat berkesan dalam mengatasi masalah penghadaman, mengawal diabetes dan kolesterol[10], penyakit hempedu dan kekurangan vitamin C (skurvi). Amalan ini juga telah terbukti secara klinikal di beberapa negara seperti di India.

Buah asam jawa boleh dimakan segar dan ada dijual di pasar kebanyakannya di Utara seperti Kedah dan Perlis (bekalan dari Thailand). Asam jawa biasanya dijadikan jus minuman yang dicampur dengan air gula sebagai minuman segar terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia serta negara tropika lain. Kini jus asam jawa telahpun dibotolkan dan mudah didapati secara runcit oleh usahawan tempatan dalam pasaran domestik malahan ekspot. Syarikat ADABI menghasilkan puri asam jawa yang ‘sedia guna’ dan mendapat pasaran yang sangat luas di Malaysia. Kordial minuman asam jawa juga merupakan antara perisa yang popular di Malaysia. Selain itu asam jawa juga merupakan bahan perisa asas dalam pelbagai jenis masakan atau makanan seperti kari, pelbagai jenis acar, pembuatan sos, bahan awet dan lain-lain lagi. Asam jawa sangat mudah didapati di pasaran dalam bentuk pulpa, berbiji atau tanpa biji yang dibungkus.

Peranan asam jawa dalam masakan memang penting dari zaman nenek moyang hinggalah kini. Ada pepatah Melayu yang berbunyi 'garam di laut, asam di darat; dalam periuk, bertemu jua'. Pepatah ini menunjukkan betapa pentingnya peranan asam dalam kehidupan harian masyarakat kita.

Di pantai timur Malaysia khususnya di Terengganu dan Kelantan, terdapat aktiviti industri asas tani dengan memproses asam jawa menjadi sejenis pencuci mulut. Caranya adalah dengan membuat asam jawa disalut dengan gula pasir, serbuk cili dan dibalut seperti gula-gula. Rasa masam, manis dan pedas ini sangat enak rasanya dan harganya juga sangat murah. Bagi Amerika Selatan, asam jawa diproses untuk dijadikan bebola manisan, minuman berkarbonat, sirap, jeli, jem, ais krim, bahan awet dan wain. Di Thailand pula, biji asam dikisar untuk dicampurkan ke dalam serbuk kopi.

Asam jawa juga digunakan sebagai sapuan untuk mengurangkan kesakitan akibat keradangan. Ia juga digunakan untuk berkumur-kumur bagi mengurangkan sakit tekak. Caranya adalah dengan mengambil sedikit garam dicampur ke dalam air asam dan kemudian ia boleh digunakan sebagai sapuan bagi melegakan sakit sendi. Daun asam jawa sama ada yang kering atau yang telah direbut boleh digunakan untuk merawat bisul, bengkak sendi dan terseliuh. Losyen atau ekstrak daunnya pula boleh digunakan bagi merawat sakit mata, sebagai antiseptik, merawat cirit-birit, jaundis, sakit kulit dan buasir. Kulit pokok asam jawa, jika digoreng dengan garam dan dikisar lumat boleh digunakan sebagai penawar ketakcernaan dan kolik. Air rebusannya digunakan dalam kes radang gusi, lelah dan sakit mata. Losyennya boleh digunakan pada kudis dan ruam ulat bulu. Tepung daripada biji asam digunakan untuk merawat bisul.

Terdapat laporan di Afrika Barat dimana air ekstrak dari buah lenggai asam jawa digunakan dalam pewarna untuk mewarnakan kulit kambing. Kulit buah atau pulpanya pula digunakan sebagai bahan pengikat bersama-sama kunyit dalam perusahaan membuat pewarna. Kulit buah yang dicampur air masin amat baik digunakan untuk mencuci dan mengilatkan barangan perak, tembaga dan loyang. Daun asam jawa boleh dijadikan makanan kepada ternakan lembu, kambing dan juga ulat sutera menggantikan daun mulberi. Daun dan bunga boleh dijadikan bahan cecair penting kepada bahan pewarna. Bunga asam jawa juga adalah sumber madu yang baik bagi lebah madu (Apis spp.) dimana madu tersebut berwarna kuning keemas-emasan dan sangat manis.

  1. ^ Linne, C. von. 1753. Species plantarum :exhibentes plantas rite cognitas, ad genera relatas, cum differentiis specificis, ... 1: 34. Holmiae : Impensis Laurentii Salvii
  2. ^ Anonim. "Asam Jawa, Tumbuhan Multifungsi". satuharapan.com (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 2021-07-17.
  3. ^ a b c Heyne, Karel (1987). Tumbuhan Berguna Indonesia 2: 903-7. Badan Penelitian dan Pengembangan Kehutanan, Bogor. (Edisi berbahasa Belanda 1916: 232)
  4. ^ a b c d e f g h i j k l Coronel, R.E. 1997. Tamarindus indica L. dalam E.W.M. Verheij dan R.E. Coronel. Buah-buahan Yang Dapat Dimakan. Sumberdaya Nabati Asia Tenggara (PROSEA) 2: 385-388. Gramedia, Jakarta
  5. ^ a b c d van Steenis, C.G.G.J. 1981. Flora, untuk sekolah di Indonesia. PT Pradnya Paramita. Jakarta. Hal. 227
  6. ^ a b Dalimartha, Setiawan (2006). Atlas Tumbuhan Obat Indonesia. 4. m/s. 9-13. Jakarta: Puspa Swara. ISBN 979-1133-14-X.
  7. ^ Macknight, Charles Campbell (1976). The Voyage to Marege. Macassan trepangers in northern Australia. Melbourne University Press. m/s. 78–81. ISBN 978-0-522-84088-9.
  8. ^ Parke, Erin (10 April 2023). "Fresh evidence emerges in search for descendants of Australia's little-known overseas settlement". ABC News. Australian Broadcasting Corporation. Dicapai pada 25 August 2023.
  9. ^ Zulfikar Sayf Maula. "Mantra Sukabumi: Cara Buat Tanaman Hias Bonsai Asam Jawa dari Biji, Pemula Wajib Tahu". Pikiran Rakyat. Dicapai pada 2022-02-07.
  10. ^ "Bukan sekadar penyedap makanan, asam jawa berkesan kawal diabetes dan kolesterol". www.mstar.com.my/. Dicapai pada 2023-05-08.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]