[go: up one dir, main page]

Uji Rashid

Penyanyi dan pelakon Malaysia

Fuziah binti Haroun Al Rashid atau lebih dikenali sebagai Uji Rashid (lahir 1 September 1953 di Sabah) adalah seorang penyanyi dan pelakon Malaysia yang terkenal. Wajahnya seiras penyanyi asal ABBA, Anni-Frid Lyngstad. Selain begitu terkenal secara solo, beliau juga telah menyanyi berpasangan selama ini; samada di atas pentas atau dalam album dengan Sudirman Haji Arshad, Latif Ibrahim, D J Dave dan Hail Amir. Insan seni bermata galak ini sinonim dengan gelaran "penyanyi bersuara manja" oleh penggemar muzik tanahair; terutamanya dari generasi 70an, 80an and 90an. Bahkan, suara beliau yang manja telah menjadi signature yang tersendiri tatkala Uji beraksi dalam filem, drama dan teater yang dijayakannya. Sehinggakan pada tahun 2000, Uji Rashid telah meminjamkan suaranya untuk sebuah siri televisyen kanak-kanak antarabangsa popular yang dialihsuarakan ke Bahasa Malaysia.

Uji Rashid
Kulit album "Mengapa Berjauhan"
Kelahiran
Fuziah binti Haroun Al Rashid

(1953-09-01) 1 September 1953 (umur 71)
PekerjaanPenyanyi, pelakon
Tahun aktif1971–kini
PasanganJamaluddin Jalil Harahap (k. 1978)
Anak-anak3 (termasuk Cico Harahap)

Kehidupan Awal

sunting

Pembabitan beliau dalam bidang seni bermula pada zaman persekolahannya iaitu pada awal 60-an. Ketika itu beliau sedang menuntut di sebuah sekolah di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam di mana beliau melibatkan diri dalam tarian ballet. Apabila beliau berhijrah ke Kuala Lumpur, beliau aktif pula dalam sukan, seni lukis, debat dan seni tari. Akhirnya, atas desakan rakan-rakan sekolahnya, beliau pun menyertai aktiviti tarian untuk pementasan akhir tahun sekolahnya. Biarpun sekadar suka-suka, beliau seterusnya tidak ketinggalan untuk menyertai pertandingan tarian dan pada masa yang sama mula berjinak-jinak dengan teater.

Boleh dikatakan apa jua cabang seni yang disertainya, sama ada tarian atau lakonan telah membuatkannya berazam untuk mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian yang berlangsung di Panggung Anniversary Kuala Lumpur dan beliau berjaya meraih tempat ketiga. Bersama rakannya, Fauziah Nawi, mereka memberanikan diri menyertai Pertandingan Bintang RTM tetapi tidak mencapai sebarang kejayaan.

Biarpun tidak berjaya, bakatnya dikesan oleh Datuk Ahmad Nawab dan berikutan dengan galakan yang diterima daripada penggubah lagu terbabit, beliau telah merakamkan empat lagu di sebuah studio di Singapura tetapi lagu-lagu berkenaan tidak diterbitkan.

Kerjaya Seni

sunting

Nasibnya berubah selepas itu sebaik sahaja bertemu dengan Jamil Sulong yang secara kebetulan mengajaknya untuk membintangi filem terbaru yang berjudul "Permintaan Terakhir" (1975) bersama Nozie Nani, Datuk Sani Abdullah dan Yusof Haslam. Tuahnya kemudian cukup menyerlah di layar perak. Apabila filem pertamanya itu mendapat sambutan hangat di pawagam dan namanya semakin menjadi sebutan, barulah lagu-lagunya yang pernah dirakamkan dulu diedarkan sekaligus meledakkan lagi popularitinya sebagai bintang baru berpotensi besar.

Nama ikan

sunting

Sejenis ikan Priacanthus macracanthus[1] yang sering dimakan di Sabah dipanggil oleh orang tempatan sebagai ikan uji rashid[2] dinamakan sempena beliau. Ikan ini juga dipanggil ikan kandaman.[3]

Era Uji Rashid (EUR)

sunting

Sama ada lakonan mahu pun nyanyian, kedua-dua bidang ini cukup sinonim dengannya. Uji Rashid dianggap sebagai bintang idola yang menjadi ikutan ramai, khususnya pada era 70an. Sebut apa saja, daripada fesyen pakaian, rambut, solekan mata hingga ke personanya yang begitu manja menjadi bualan hangat masyarakat pada ketika itu. Paling menarik dan unik, sampaikan ada sejenis ikan pun turut diberi gelaran Ikan Uji Rashid dek sepasang matanya yang besar dan bulat. Hingga saat ini, tidak ada seorang pun artis tersohor negara diberi gelaran sebegitu. Juga sempena popularitinya, tidak ketinggalan orang Melaka menggelar duit syiling 50 sen sebagai duit Uji Rashid. Seorang pengusaha kain batik pula mengambil kesempatan untuk mencipta Kain Uji Rashid; sejenis corak kain batik. Rasanya, Uji Rashid sendiri tidak pernah meraih apa-apa keuntungan daripada ini semua melainkan berasa cukup terharu. Kalaulah Uji Rashid berada di kemuncak popularitinya pada era milenial ini (dengan kegilaan masyarakat pada kecanggihan media sosial); bayangkan saja liputan berita mengenai beliau, peluang lakonan dan nyanyian yang bakal diterimanya serta barisan anugerah yang mungkin menjadi miliknya; sama ada berlandaskan bakat berkualiti atau impak populariti.[4]

Filem-filem lakonannya cukup meninggalkan kesan seperti Permintaan Terakhir, Jiwa Remaja, Menanti Hari Esok, Dendang Perantau, Langit Tidak Selalu Cerah, Yassin, Mistik, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Misteri Balan-Balan dan beberapa buah lagi.

Sebelum wujudnya penganugerahan di Festival Filem Malaysia pada awal tahun 80an dan datangnya zaman internet, Uji Rashid telah berjaya mencipta era kegemilangannya sebagai bintang filem pujaan ramai menerusi barisan filem paling laris dekad 70an seperti Permintaan Terakhir, Jiwa Remaja, Menanti Hari Esok dan Dendang Perantau. Beliau digelar Primadona Filem Melayu era 70an dan satu-satunya seniwati yang mempunyai nama dan pengaruh sangat besar di kalangan pencinta filem tempatan pada waktu itu (ini kerana Uji Rashid juga merupakan seorang penyanyi yang cukup popular pada dekad yang sama). Melalui penghayatan watak yang beliau persembahkan dalam setiap satu filem yang dijayakannya kecuali Menanti Hari Esok di mana Uji merupakan bintang undangan khas dan penyanyi runut bunyi, Uji Rashid tidak pernah ketinggalan untuk tersenarai sebagai calon unggulan (akhir) buat trofi Pelakon Wanita Terbaik. Malah, untuk Pesta Filem Malaysia Pertama sendiri (1980), nama Uji berdiri sebaris dengan aktres lagenda tanahair yang hebat dan berkarisma di peringkat akhir pencalonan anugerah utama itu seperti Azean Irdawaty, Noorkumalasari dan Fauziah Ahmad Daud. Sejak itu, setiap watak utama yang dijayakannya melayakkan beliau bertanding sama di acara Festival Filem Malaysia; membuktikan kecemerlangan bintang besar ini dalam bidang lakonan. Filem-filem yang dimaksudkan adalah Dendang Perantau (mewakili filem beliau pada lewat 70an) serta filem-filem drama berat seperti Langit Tidak Selalu Cerah dan Yassin. Uji Rashid paling hampir menggondol anugerah utama dalam majlis berprestij itu pada FFM8 melalui filem Yassin seperti yang diwar-warkan dalam akhbar-akhbar utama ketika itu tetapi malangnya nasib tidak menyebelahi beliau. Bahkan harus diingat lakonan menyayat hati dan cukup berkesan Uji di dalam filem tragik (juga kemunculan pertama beliau pada tahun 1975) iaitu Permintaan Terakhir nyata telah mengundang pujian ramai yang melimpah-ruah namun tiada sebarang acara penganugerahan terbilang wujud pada zaman itu.

Sejak awal tahun 1980an, Uji Rashid mula beralih pula membintangi ratusan drama tempatan.

Uji juga merakamkan puluhan lebih piring hitam (EP), cartridge dan album termasuk album duetnya dengan Hail Amir dan bersama artis-artis lain secara beramai-ramai.

Semasa EMI mula serius dalam industri muzik Malaysia pada tahun 1975, Uji Rashid merupakan salah satu artis yang pertama merakamkan album penuh. Empat album terawal Uji Rashid telah berjaya terjual melebihi 30,000 unit lantas menjadikan Uji Rashid sebagai salah seorang artis yang paling laris pada waktu itu.

Antara album yang dihasilkan oleh ibu kepada seorang cahaya mata itu sepanjang karier nyanyiannya ialah Semakin Hari Semakin Sayang, Antara Matamu Dan Mataku, Ku Kekosongan, Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu, Hujan, Mengapa Derita Yang Dicari, Ku Kejar Bayanganmu, Merpati, Bisikan Hati, Melayu Klasik dan Bukan Terpaksa.

Era 70an juga menyaksikan pemilik nama glamor Uji Rashid ini mengukir sejarah sebagai trendsetter terutamanya pada fesyen bulu mata dan rambut Paris Look beliau. Uji dikatakan mendapat ilham untuk memotong pendek rambutnya sewaktu kunjungan beliau ke Paris atas urusan rasmi pada pertengahan tahun 70an. Sememangnya pada zaman kegemilangan Uji Rashid, beliau banyak membuat lawatan ke luar negara seperti London, Stockholm dan Paris sebagai duta negara merangkap penyanyi dan penari mewakili Kompleks Budaya Negara. Uji turut terlibat mewakili Malaysia ke Festival Filem Asia Pasifik ke-21 di Jakarta menerusi filem Permintaan Terakhir suatu ketika dulu (1975).

Kesinambungan Karier

sunting

Selepas menikmati kejayaan yang boleh dibanggakan melalui album Bisikan Hati 1988 sehingga lebih 3 lagu berentak kontemporari daripada album tersebut telah mencuri hati peminat; Peristiwa Semalam, Rinduku Semakin Mendalam, Sekadar Mengingati serta beberapa lagi, Uji terus berbakti pada dunia lakonan yang juga sudah sebati dalam dirinya. Sehinggakan pada sekitar Mei-Jun 1991, tatkala Penghibur No. 1 Asia, rakan seperjuangan beliau- Allahyarham Sudirman Haji Arshad sibuk mencari Uji Rashid untuk dipelawa merakamkan lagu-lagu baru, Uji tidak ditemui oleh Sudir. Sudirman bercadang menerbitkan album baru Uji Rashid di bawah label Sudir Records/ Production kerana berpendapat bahawa Uji memiliki suara yang manja dan lemak merdu; tiada penyanyi yang mampu meniru suara unik Uji. Sudir mengatakan adalah rugi jika Uji tidak terus menyanyi dan merakamkan album. Apakan daya, takdir menentukan yang Uji berada di luar Kuala Lumpur untuk jangkamasa yang agak panjang pada waktu itu kerana komitmen drama swasta yang dilakonkannya. Akhirnya, hasrat Sudirman tidak kesampaian kerana tidak berapa lama kemudian Allahyarham telah terlantar sakit selama lebih 7 bulan.[5][6].Bagaimanapun, 4 tahun selepas itu Uji Rashid telah merakamkan album duet kembali pada 1995- berjudul Melayu Klasik bersama Hail Amir. Album ini mencatat kejayaannya yang tersendiri sehingga tercalon ke peringkat akhir Anugerah Industri Muzik ke 3 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Berkumpulan) dan juga Album Pop Tradisional Terbaik.

Penyanyi bukan Melayu terkenal tanahair- Francesca Peter juga pernah mengundang Uji Rashid merakamkan sebuah lagu dengannya sebagai tribute beliau buat Biduanita lagenda ini (Fran sendiri juga merupakan seorang peminat setia). Lagu tersebut karya Julfekar merupakan satu kolaborasi yang padu dan menyentuh jiwa (biarpun tidak ramai yang tahu) berjudul "Suatu Saat Dulu"; dimuatkan dalam album Fran- Masih Merindu (2005). Suara yang dilontarkan Uji Rashid selain kekal manja dan mersik, jelas begitu mendayu dan sayu dalam lagu tersebut. [7]

Penyanyi alaf baru, Yuna yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat juga pernah menyatakan hasratnya untuk mendapatkan khidmat penyanyi senior ini; menyampaikan lagu ciptaan beliau- Terukir di Bintang pada Anugerah Juara Lagu tahun 2013. Ketika itu Yuna tidak dapat bertanding atas faktor percanggahan jadual rakaman beliau di negara "Uncle Sam" tersebut. Yuna sekeluarga mengatakan yang Uji Rashid merupakan penyanyi idola mereka dan satu-satunya calon paling tepat membawakan lagu bernada sebegitu menggantikan Yuna. Bagaimanapun, sedikit kontroversi terpalit bilamana Uji Rashid digugurkan daripada membuat persembahan pada saat-saat akhir atas faktor kesihatan. Sebagai penyanyi berpengalaman, Uji Rashid telah menangani isu tersebut secara profesional dengan menggunakan saluran yang betul biarpun dikecam teruk oleh sekumpulan netizen.[8][9][10]

Di samping berterusan menerima undangan menyanyi sehingga kini, Uji Rashid juga pernah terbabit dalam program hiburan sukaramai 80an iaitu Mekar Sejambak dan Hiburan Minggu Ini; bersama-sama antara lainnya penyanyi Ahmad Fauzee dan Shah Rezza.

Dianggarkan sudah ratusan drama tempatan yang dibintangi oleh Seniwati Uji Rashid (hampir kesemuanya adalah watak utama wanita selain undangan) bermula pada tahun 1980an. Wajah jelitanya tidak putus-putus menghiasi kaca televisyen Malaysia melalui slot-slot drama terkenal pada waktu itu. Uji Rashid selayaknya digelar Ratu Layar Kaca 80an juga the Nation's Darling of 70s&80s lantaran kekerapan beliau muncul mewarnai kedua-dua dunia senilakon dan nyanyian tanahair. Pada tahun 1983, ia bagaikan "Hari Raya Uji Rashid" bilamana Uji menjadi artis paling laris menghangatkan Aidilfitri tahun tersebut; melalui drama dan program hiburan (nyanyian) di tv.[11] Antara lakonan cemerlang oleh pelakon berkaliber tinggi dan watak penyedih ini yang dikenang sehingga ke hari ini adalah watak dalam drama seperti Kejadian Dalam Estet, Panggilan Pusara, Jauh Pandangan, Haryati dan Nazirah. Uji terus menjadi pilihan utama sebagai heroin penerbit drama dari tahun 80an hinggalah 90an dan serasi digandingkan dengan hero-hero popular dekad-dekad tersebut melalui karya seperti Demam Malam, Fatihah, Hidayat, Dia Bukan Untukku, Mencari Jalan Pulang dan Abang Muda.

Selain drama berdurasi 45 minit dan 90 minit, beliau juga turut menjayakan drama berepisod panjang yang menjadi tontonan ramai seperti drama bersiri PJ dan Opah. Dalam siri PJ, Uji Rashid memegang watak sebagai Tengku Marlina yang diilhamkan daripada watak Sue Ellen dari siri TV Amerika popular tahun 80an, Dallas. Mungkin juga watak isteri lelaki korporat itu diserahkan kepada Uji kerana kecantikan sepasang mata bundarnya; atas rujukan watak asal tersebut.

Kali terakhir Uji Rashid beraksi buat sebuah telefilem adalah dalam drama yang meruntun jiwa Mariam Annisa pada tahun 2008. Pelakon karakter ini melakonkan watak Mariam Annisa- seorang bekas pelacur yang lanjut usia; yang ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya di kampung halaman sendiri dan bertaubat. Namun, sikap orang kampung yang prejudis serta hipokrit pada masa yang sama telah menyedarkan diri beliau yang kehadirannya hanya menjadi bahan cemuhan yang tiada penghujung. Uji nyata tidak mempersia-siakan ruang untuk terus berkarya yang diberi dengan mempamerkan lakonan yang mantap dan menyentuh hati.

Ramai yang masih ingat bahawa Uji Rashid juga pernah terlibat dalam siri alihsuara kegemaran ramai Ultraman pada era 90an. Watak beliau adalah sebagai heroin/rakan setugas hero siri tersebut pada satu siri yang awal dan kemudiannya sebagai "Kapten Megumi Iruma" pasukan penyelamat bumi pada siri berikutnya Ultraman Tiga- membuktikan bahawa anugerah suara yang manja itu telah membawa beliau jauh untuk terus meneroka bidang seni yang dicintainya.

Satu lagi cabang seni yang Uji pernah ceburi adalah pengacaraan. Uji Rashid diberi kepercayaan menjadi pengacara jemputan rancangan popular Muzik Muzik TV3 pada tahun 1987 dan pemudahcara episod Masakan Kuih Tradisional bersama Uji pada bulan Ramadhan di awal tahun 90an. Gaya penyampaiannya yang manja dan bersahaja di kaca TV telah memikat hati ramai penonton.

Diskografi

sunting

Album EP

sunting

Album studio

sunting
  • Ku Kekosongan (1976) [EMI]
  • Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu (1977) [EMI]
  • Mengapa Derita Yang Di Cari (1980) [WEA]
  • Mengapa Berjauhan (1981) [WEA]
  • Merpati (1983) [CBS/SONY]
  • Bisikan Hati (1988) [Soundwaves]
  • Bukan Terpaksa (1999) [EMI]

Album duet

sunting
  • Antara Matamu dan Mataku (1976) (bersama Hail Amir) [EMI]
  • Hujan (1977) (bersama Hail Amir) [EMI]
  • Ku Kejar Bayangan Mu (1980) (bersama Hail Amir) [WEA]
  • Melayu Klasik (1995) [EMI]

Album kompilasi

sunting
  • Kenangan Manis - Siri Mat Jimat EMI (1993) [Dirilis semula pada tahun 2014 bersama siri "24-bit Remastering"]
  • Asmara Bergelora (bersama Hail Amir) - Siri Mat Jimat EMI (1994) [Dirilis semula pada tahun 2014 bersama siri "24-bit Remastering"]
  • Kenangan Mengusik Jiwa - Selekta Emas WEA (1994)
  • 1975-1977 Vol. 1 & 2 - Siri Perdana EMI (1997)
  • Cerita Asmaraku (Bersama Hail Amir) Vol. 1 & 2 - Siri Perdana EMI (1997)
  • Memori Hit 2 - Warner Music (2009)
  • Siri Biografi - Warner Music-EMI (2011) [Mengandungi sebahagian lagu Uji Rashid dari 4 pihak syarikat rakaman iaitu EMI, WEA, CBS, dan Soundwaves]
  • Siri Lagenda Hit (2013)
  • Siri Bintang Pujaan (2014)
  • Koleksi Lagu-Lagu Terbaik - Warner Music (2015)

16 Lagu Uji Rashid paling evergreen

sunting

(penilaian dibuat berdasarkan bilangan artis yang menyanyikan semula, kekerapan siaran di radio dan kaca tv, lagu wajib "bermusim", pilihan runut bunyi/ latarbelakang filem/ drama, lagu mengungguli carta terkenal, memenangi anugerah utama, menjadi pilihan dalam pertandingan nyanyian dan tontonan ramai di youtube/ media sosial)

Lagu Raya paling malar segar

sunting

(lagu wajib dalam playlist Hari Raya)

  • Seloka Hari Raya
  • Doa Di Hari Mulia
  • Dengan Bismillah

Filemografi

sunting

Televisyen

sunting

(Di antara ratusan drama yang dibintangi oleh Uji Rashid- majoritinya watak heroin dan pada zaman sebelum internet digunakan dengan meluas; dinyatakan beserta pelakon gandingan beliau)

Teater

sunting

Anugerah dan Penghargaan

sunting
Tahun Kategori Karya Keputusan
1980 Pelakon Wanita Terbaik Dendang Perantau Tercalon
1981 Langit Tidak Selalu Cerah Tercalon
1989 Yassin Tercalon
Tahun Kategori Karya Keputusan
1983 Pelakon Wanita Drama TV Terbaik "Senja Belum Berakhir" Menang
1984 "Kali Pertama Cintaku Bersemi" Tercalon
1986 "Jauh Pandangan" Tercalon
1999 "Maaf Tak Terucap" Tercalon
1995 Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik "Siti Johanna" Tercalon
Tahun Anugerah Kategori Keputusan
2004 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004 Anugerah Biduanita Veteran (kini dikenali Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat) Menang
Tahun Anugerah Kategori Keputusan
1995 Anugerah Industri Muzik ke-3 (i) Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album- Berkumpulan (bersama Hail Amir)

(ii) Album Pop Tradisional Terbaik; kedua-duanya melalui Album Melayu Klasik

Tercalon

Anugerah MACP

sunting
Tahun Anugerah Kategori Keputusan
2007 Anugerah MACP 2007 Lagu Paling Popular 70an- Semakin Hari Semakin Sayang Menang

Anugerah Khas

sunting
Tahun Anugerah Kategori Keputusan
2015 ASEAN Outstanding Business Award Lifetime Achievement Award Menang

Lain-lain Anugerah (Acara/ Program Hiburan)

sunting
Tahun Program Kategori Keputusan
2011 Tiada Lama Tiada Baru..Satu-satunya Ikon Paling Popular Menang (melalui undian SMS). Calon-calon lain antaranya Aishah, Dato' Jamal Abdillah, Mas Idayu

Rujukan

sunting
  1. ^ "Priacanthus macracanthus". Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS). 29 June 2024. Dicapai pada 29 June 2024.
  2. ^ "IKAN UJI RASHID". Korporasi Pembangunan Desa. 29 June 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 June 2024. Dicapai pada 29 June 2024.
  3. ^ "Priacanthus macracanthus". Mindat.org. 29 June 2024. Dicapai pada 29 June 2024.
  4. ^ Sahidan Jaafar (11 Oktober 2015) [1] Utusan Online
  5. ^ BAM (9 November 2011) [2] Tribute to Allahyarham Sudirman
  6. ^ Uji Rashid (Facebook) (22 Februari 2012) [3] Tribute to Allahyarham Sudirman
  7. ^ youtube [4] "Suatu Saat Dulu" oleh Uji&Fran
  8. ^ utusan.com (15 Januari 2013) [5]
  9. ^ rotikaya.com (21 Januari 2013) [6]
  10. ^ budiey.com (21 Januari 2013) [7]
  11. ^ The Star (8 Mac 2011) [8] Diarkibkan 2018-08-29 di Wayback Machine

Pautan luar

sunting