Ibnu Rusyd
Ibnu Rusyd (Arab: ابن رُشد ) atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad (Arab: أبو الوليد محمد ابن احمد ابن رشد, rumi: Abū l-Walīd Muḥammad Ibn ʾAḥmad Ibn Rušd , lahir 1126 dan meninggal dunia pada 1198) adalah ahli falsafah, perubatan, matematik, teologi, ahli fekah mazhab Maliki, astronomi, geografi dan sains.
Beliau dilahirkan di Sepanyol dan meninggal dunia di Maghribi. Beliau dianggap sebagai ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas di dunia Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat Eropah; dunia Barat lebih mengenalnya (di bawah nama sebagai Averroes melalui sebutan "Ibn Rusyd" dalam bahasa Latin Pertengahan) melalui ajaran asas yang dikembangkan para pemikir di alam tersebut kepada lahirnya fahaman sekularisme yang lazim dan wujud sehingga hari ini.
Biografi
[sunting | sunting sumber]Ibnu Rusyd lahir dalam keluarga yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya merupakan kadi di Cordova (sekarang Sepanyol). Beliau telah dihantar untuk berguru dengan Ibnu Zuhr yang kemudiannya menjadi rakan karibnya.
Ibnu Rushd mempelajari ilmu fiqh dan perubatan daripada rakannya yang juga merupakan tokoh perubatan yang terkenal di Sepanyol, Ibnu Zuhr yang pernah bertugas di sebagai doktor istana di Andalusia.
Sebelum meninggal dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan judul Facilitation of Treatment.
Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu Rusyd juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam Muwahidin. Hubungan ini telah membolehkan Ibnu Rusyd dilantik sebagai hakim di Sevilla pada tahun 1169. Dua tahun kemudian, beliau dilantik menjadi hakim di Cordova.
Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau dilantik sebagai doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail. Ramai yang berasa cemburu dan dengki dengan kedudukan Ibnu Rusyd. Kerana desakan dan tekanan pihak tertentu yang menganggapnya sebagai mulhid, beliau dibuang ke daerah Alaisano.
Setelah selesai menjalani tempoh pembuangannya, beliau pulang semula Cordova. Kehadirannya di Cordova bukan sahaja tidak diterima, tetapi beliau telah disisihkan oleh orang ramai serta menerima pelbagai penghinaan daripada masyarakatnya.
Pada lewat penghujung usianya, kedudukan Ibnu Rusyd dipulihkan semula apabila Khalifah Al-Mansor Al-Muwahhidi menyedari kesilapan yang dilakukannya. Namun, segala kurniaan dan penghormatan yang diberikan kepadanya tidak sempat dikecapi kerana beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1198.
Sumbangan
[sunting | sunting sumber]Kematiannya merupakan kehilangan yang cukup besar kepada kerajaan dan umat Islam di Sepanyol. Beliau tidak meninggalkan sebarang harta benda melainkan ilmu dan tulisan dalam pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, ilmu kalam, falak, fiqh, muzik, kaji bintang, tatabahasa, dan nahu.
Falsafah dan ilmu logik
[sunting | sunting sumber]Ibnu Rushd terkenal untuk terjemahan hasil kerja Aristotle yang dilupai barat. Melalui terjemahan dari bahasa latin oleh Ibnu Rushd pada awal abad ke-12, pengetahuan yang ditinggalkan oleh Aristotel mula diketahui ramai di barat.
Hujah Ibnu Rushd dalam The Decisive Treatise mewajarkan pembebasan sains dan falsafah dari aliran rasmi mazhab Ash'ari. Ini menyebabkan sebahagian sarjana menganggap Ibnu Rushd sebagai bapa kepada fahaman sekularisme di Eropah barat.
Ibnu Rushd menterjemah dan memberi komen hasil kerja Aristotle selama hampir tiga dekad. Beliau banyak mempengaruhi falsafah dunia Islam. Dalam hasil kerjanya Fasl al-Maqal (The Decisive Treatise), beliau menekankan pentingkan berfikir secara analitikal untuk menterjemah Quran dan ini bertentangan dengan pandangan konservatif ulama' Islam di mana penekanan pentafsiran Quran diletakkan kepada sumber seperti hadith.
Pembicaraan falsafah Ibnu Rushd banyak tertumpu pada persoalan yang berkaitan dengan metafizik, terutamanya ketuhanan. Beliau telah mengemukakan idea yang bernas lagi jelas, dan melakukan pembaharuan semasa membuat huraiannya mengenai perkara tersebut.
Hasil pemikiran yang dimuatkan dalam tulisannya, terutamanya dalam bidang falsafah, telah mempengaruhi ahli falsafah Barat. Dua orang ahli falsafah Eropah, iaitu Voltaire dan Rousseau dikatakan bukan sekadar terpengaruh oleh falsafah Ibnu Rusyd, tetapi memperolehi ilham daripada pembacaan karyanya.
Pemikiran Voltaire dan Rousseau telah mencetuskan era Renaissance di Perancis sehingga merobah wajah Eropah keseluruhannya sebagaimana yang ada pada hari ini. Masyarakat Barat sebenarnya terhutang budi kepada Ibnu Rusyd kerana pemikirannya, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, telah mencetuskan revolusi di benua Eropah.
Averroes menulis komen di kebanyakan daripada karya-karya Aristotle menerusi terjemahan-terjemahan Arab. Dia menulis tiga jenis komen. Komentar pendek pada umumnya sebuah ringkasan; komentar (talkhis ) tengah ialah satu parafrasa; komentar (tafsir ) panjang termasuk keseluruhan teks dengan satu analisis yang terperinci setiap baris.
Tidak mempunyai akses kepada Politics tulisan Aristotle, beliau menggunakan karya Plato bertajuk Republik. Berikutan model kebapaan Plato, autoritarian ideal telah muncul. Kerajaan bebas, diketuai oleh satu raja ahli falsafah, mewujudkan sebuah masyarakat yang diarah sepatutnya. Ini memerlukan penggunaan paksaan secara meluas walaupun pujukan diutamakan dan adalah mungkin jika generasi muda dibesarkan dengan cara yang betul. Retorik, bukan logik, ialah jalan sesuai kepada kebenaran untuk masyarakat umum. Retorik membantu agama dicapai pada peringkat masyarakat biasa.
Seperti Plato, Averroes menerima prinsip persamaan wanita. Mereka harus dididik dan dibenarkan berkhidmat di tentera; dalam kalangan mereka mungkin akan wujud ahli falsafah atau pemerintah masa depan. Dia juga menerima langkah-langkah tidak liberal Plato seperti penapisan kesusasteraan.
Perubatan
[sunting | sunting sumber]Karya besar lain yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rushd adalah "Kulliyah fit-Thibb" yang mengandungi 16 jilid, mengenai perubatan secara umum. Buku "Kulliyah fit-Thibb" telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada tahun 1255 oleh Bonacosa, orang Yahudi dari Padua. Buku itu kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul General Rules of Medicine.
Hospital Les Quinze-Vingt yang juga merupakan hopital pertama di Paris didirikan oleh Raja Louis IX berdasarkan model hospital Sultan Nuruddin di Damsyik yang kaedah perubatannya merupakan hasil daripada idea dan pemikiran Ibnu Rushd.
Kehebatannya dalam bidang perubatan tidak berlegar di sekitar perubatan umum, tetapi juga merangkum pembedahan dan fungsi organ di dalam tubuh manusia. Ibnu Rushd memberi penekanan tentang kepentingan menjaga kesihatan. Beberapa pandangan yang dikemukakan dalam bidang perubatan juga didapati mendahului zamannya. Beliau pernah menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang sekali sahaja.
Kemasyarakatan
[sunting | sunting sumber]Ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh Ibnu Rushd turut menjangkau bidang yang berkaitan dengan kemasyarakatan apabila beliau cuba membuat pembahagian masyarakat itu kepada dua golongan iaitu golongan elit yang terdiri daripada ahli falsafah dan masyarakat awam.
Pembahagian strata sosial ini merupakan asas pengenalan pembahagian masyarakat berdasarkan kelas seperti yang dilakukan oleh ahli falsafah terkemudian, seperti Karl Max dan mereka yang sealiran dengannya.
Sarjana serba boleh
[sunting | sunting sumber]Karya-karya lain Ibnu RushdMabadil termasuk Pengantar Ilmu Falsafah, Tafsir Urjuza yang membicarakan perubatan dan tauhid, Taslul, buku mengenai ilmu kalam, Kasyful Adillah, yang mengungkap persoalan falsafah dan agama, Tahafatul Tahafut, ulasannya terhadap buku Imam Al-Ghazali yang berjudul Tahafatul Falaisafah, dan Muwafaqatil Hikmah Wal Syari'a yang menyentuh persamaan antara falsafah dengan agama.
Beliau juga telah menulis sebuah buku muzik yang diberi judul "De Anima Aristoteles" (Commentary on the Aristotle's De Animo). Hasil karyanya ini membuktikan betapa Ibnu Rushd begitu terpengaru dan tertarik oleh ilmu logik yang dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani, Aristotle.
Apabila melihat keterampilan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang ini, maka tidak syak lagi beliau merupakan tokoh ilmuwan Islam yang tiada tolok bandingannya. Malahan dalam banyak perkara, pemikiran Ibnu Rusyd jauh lebih besar dan berpengaruh jika dibandingkan dengan ahli falsafah yang pernah hidup sebelum zamannya ataupun selepas kematiannya.
- Rencana dengan pengenalan BNC
- AC dengan 32 elemen
- Kelahiran 1126
- Kematian 1198
- Orang Al-Andalus abad ke-12
- Ahli astronomi abad ke-12
- Ahli astronomi Arab zaman pertengahan
- Ahli astronomi Moor zaman pertengahan
- Ahli astronomi dunia Islam zaman pertengahan
- Ahli falsafah abad ke-12
- Ahli falsafah Islam
- Ahli falsafah Arab zaman pertengahan
- Ahli fizik abad ke-12
- Ahli fizik Arab zaman pertengahan
- Ahli fizik Moor zaman pertengahan
- Ahli fizik dunia Islam zaman pertengahan
- Ahli metafizik
- Sarjana fiqah Maliki dari Al-Andalus
- Sarjana Islam Muslim abad ke-12
- Sarjana Islam Sunni