[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Romeo dan Juliet

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lukisan minyak oleh Ford Madox Brown (1870) yang menggambarkan babak beranda yang terkenal dalam Romeo dan Juliet

Romeo dan Juliet adalah sebuah tragedi yang dikarang oleh William Shakespeare pada awal-awal kerjayanya, tentang sepasang kekasih muda dari dua buah kerabat yang saling berbalah, yang kematian mereka akhirnya meramahkan semula keluarga mereka. Drama ini adalah antara karya Shakespeare yang paling popular sewaktu hayatnya, dan juga yang paling banyak kali dipentaskan di samping Hamlet. Kini, watak Romeo dan Juliet dianggap sebagai kekasih muda watak utama.

Romeo dan Juliet tergolong dalam tradisi asmara tragis yang berakar-umbikan zaman purbakala. Plotnya adalah berdasarkan sebuah cerita Itali yang diterjemahkan dalam bentuk puisi, iaitu The Tragical History of Romeus and Juliet (Sejarah Tragis Romeus dan Juliet) oleh Arthur Brooke pada tahun 1562, kemudian diceritakan semula dalam bentuk prosa dalam Palace of Pleasure (Keseronokan Istana) oleh William Painter pada tahun 1567. Shakespeare banyak meminjam dari kedua-duanya, tetapi demi memperluas plotnya, beliau mencipta watak-watak pembantu, terutamanya Mercutio dan Paris. Drama yang dipercayai dikarang antara tahun 1591 ke 1595 mula-mula diterbitkan dalam versi kuarto pada tahun 1597. Teks ini kurang memuaskan mutunya, maka dibetulkannya oleh edisi-edisi selanjutnya agar lebih sejajar dengan karya asal Shakespeare.

Penggunaan struktur dramatik oleh Shakespeare, terutama sekali serana-serana seperti berulang-alik antara komedi dan tragedi untuk menaikkan ketegangan, serta penggunaan subplot untuk membungai ceritanya telah dipuji sebagai petanda awal kemahiran beliau selaku dramatis. Drama ini memberikan pelbagai bentuk puitis kepada pelbagai watak, malah sekali-sekali mengubah bentuk seiring dengan perkembangan watak. Contohnya, Romeo, makin lama makin biasa dengan soneta sepanjang cerita.

Romeo dan Juliet telah berbilang kali diadaptasikan untuk pementasan, filem, muzikal mahupun opera. Pada Pemulihan Inggeris, drama ini dihidupkan semula dan disemak dengan menyeluruh oleh William Davenant. Versi abad ke-18 David Garrick juga telah mengubah suai beberapa adegan, menggugurkan bahan-bahan yang dianggap tidak senonoh ketika itu, sementara adaptasi opera Georg Benda turut menggugurkan banyak aksi serta menokok tambah kesudahan yang bahagia. Pada abad-abad ke-19, persembahan Charlotte Cushman antara lainnya memulihkan karya asal serta menekankan lagi realisme. Versi John Gielgud 1935 teramat setia kepada karangan Shakespeare, malah menggunakan busana dan pementasan zaman Elizabeth untuk memperhalusi drama. Pada abad ke-20, drama ini telah diadaptasikan dalam bermacam-macam versi, seperti terbitan 1936 oleh George Cukor yang agak setia, versi 1968 oleh Franco Zeffirelli, Romeo + Juliet(1996) oleh Baz Luhrmann yang berilhamkan MTV, dan versi 2013 oleh Carlo Carlei.

Kaum kerabat pemerintah Verona
  • Putera Escalus adalah penguasa Verona
  • Count Paris adalah kerabat Escalus yang berhasrat untuk mengahwini Juliet
  • Mercutio adalah seorang lagi kerabat Escalus, dan sahabat kepada Romeo
Keluarga Capulet
  • Tuan Capulet adalah ketua bapa kerabat Capulet.
  • Puan Capulet adalah isteri kepada Tuan Capulet, dan ketua ibu kerabat Capulet.
  • Juliet adalah anak perempuan kepada pasangan Capulet yang berumur 13 tahun, dan protagonis perempuan drama ini.
  • Tybalt adalah sepupu kepada Juliet, dan anak saudara kepada Puan Capulet.
  • Si Pengasuh adalah pembantu peribadi dan setiawati kepada Juliet.
  • Rosaline adalah anak saudara Tuan Capulet, dan kekasih Romeo di awal cerita.
  • Peter, Sampson dan Gregory adalah pembantu rumah tangga Capulet.

Keluarga Montague
  • Tuan Montague adalah ketua bapa Montague.
  • Puan Montague adalah isteri kepada Tuan Montague, dan ketua ibu kerabat Montague.
  • Romeo adalah anak lelaki kepada pasangan Montague, dan protagonis lelaki utama drama ini.
  • Benvolio adalah sepupu dan sahabat akrab kepada Romeo.
  • Abram dan Balthasar adalah pembantu rumah tangga Montague.
Lain-lain
  • Rahib Laurence adalah seorang biarawan Fransiskan, dan setiawan kepada Romeo.
  • Rahib John diutuskan untuk mengirim surat Rahib Laurence kepada Romeo.
  • Seorang Apotekari yang menjual racun kepada Romeo dengan berat hati.
  • Sekumpulan Korus membacakan prakata kepada dua babak pertama.

Drama yang berlatarkan Verona ini bermula dengan sebuah perkelahian di jalanan antara penyokong-penyokong kerabat Montague dan Capulet iaitu dia pihak musuh ketat. Datangnya Escalus, Putera Verona mencelah lalu mengisytiharkan bahawa gangguan selanjutnya terhadap ketenteraman akan dijatuhi hukuman mati. Kemudian, Count Paris berbincang dengan Tuan Capulet berkenaan perkahwinan dengan anak perempuannya, tetapi Tuan Capulet meminta Paris untuk menunggu dua tahun lagi, serta menjemputnya untuk menghadiri sebuah majlis yang dirancang oleh kerabat Capulet. Puan Capulet dan pengasuh Juliet cuba memujuk Juliet agar menerima lamaran Paris.

Sementara itu, Benvolio berbual dengan sepupunya, Romeo si anak Montague, tentang kemurungan Romeo kebelakangan ini. Benvolio menyedari bahawa hal itu berpunca daripada kegilaan terhadap seorang gadis bernama Rosaline, salah seorang anak saudara Capulet, yang tidak terbalas. Atas pujukan Benvolio dan Mercutio, Romeo menghadiri majlis di kediaman Capulet dengan harapan bertemu dengan Rosaline. Akan tetapi, Romeo sebaliknya bertemu lalu jatuh cinta dengan Juliet. Kehadiran Romeo disedari oleh sepupu Juliet, iaitu Tybalt yang bercadang untuk membunuh Romeo kerana menyusup masuk ke dalam majlis Capulet, tetapi sempat dihalang oleh bapa Juliet yang tidak mengingini ketumpahan darah di kediamannya. Setelah tamatnya majlis, dalam "babak beranda" yang terkenal, Romeo menyusup masuk ke dalam kebun bunga Capulet lalu terdengar Juliet di dekat tingkapnya bersumpah untuk mencintai Romeo sungguhpun betapa bencinya keluarganya terhadap keluarga Montague. Romeo tampil ke dalam perhatian Juliet, lalu mereka berdua berpakat untuk berkahwin. Dengan bantuan Rahib Laurence yang berharap dapat mendamaikan kedua-dua keluarga dengan mengahwinkan anak-anak mereka, mereka dikahwinkan secara senyap pada keesokan hari.

Kucupan terakhir berian Juliet kepada Romeo oleh Francesco Hayez. Lukisan minyak pada kanvas, 1823.

Sementara itu, Tybalt yang masih marah bahawa Romeo telah mencuri masuk ke dalam majlis Capulet, mencabar Romeo untuk bertarung, tetapi Romeo menolak kerana menganggap Tybalt sebagai kerabatnya. Mercutio tersinggung oleh kebiadaban Tybalt serta "vile submission" (penyerahan keji)[1] oleh Romeo, lalu menerima cabaran atas pihak Romeo. Mercutio dilukai hingga mati apabila Romeo cuba mematahkan pertarungan. Dengan rasa serba salah dan dilanda kepiluan, Romeo mendepani lalu membunuh Tybalt.

Montague berhujah bahawa Romeo bertindak benar dengan menghukum mati Tybalt atas pembunuhan Mercutio. Putera Verona yang kini kehilangan seorang kerabat dalam perbalahan antara keluarga bangsawan, mengusir Romeo dari Verona dengan ancaman hukuman mati sekiranya dia kembali. Romeo dengan senyapnya bermalam di kamar Juliet, di mana mereka menyempurnakan perkahwinan mereka. Tuan Capulet tersalah faham kesedihan Juliet dengan akur untuk mengahwinkan anaknya dengan Count Paris, malah mengugut untuk berhenti mengaku anaknya setelah terdengar keengganan Juliet untuk menjadi "joyful bride"[2] (mempelai bahagia) kepada Paris. Juliet kemudiannya merayu supaya perkahwinan mereka ditangguhkan, tetapi permintaannya ditolak oleh ibunya.

Juliet menziarahi Rahib Laurence untuk meminta tolong, maka Rahib itu menawarkan kepadanya sejenis ubat yang akan membuatnya jatuh koma seakan mati selama "empat puluh dua jam."[3] Rahib Laurence berjanji untuk menghantar seorang utusan untuk memaklumkan Romeo akan rancangan itu supaya dia boleh bersatu semula dengan Juliet apabila dia bangun. Pada malam sebelum perkahwinan, dia mengambil ubat itu. Apabila ditemui seakan-akan tidak bernyawa, dia dilantarkan di dalam makam keluarga.

Malangnya, utusan itu tidak sempat menemui Romeo. Sebaliknya, Romeo terdengar khabar "kematian" Juliet daripada pembantu rumahnya, Balthasar. Dengan hati yang hancur luluh, Romeo membeli racun dari seorang apotekari lalu pergi ke makam Capulet. Beliau bertemu dengan Paris yang tiba untuk meratapi Juliet seorang diri. Paris menyangka bahawa Romeo itu perosak harta lalu bertarung dengannya; akhirnya Romeo membunuh Paris. Masih percaya bahawa Juliet sudah mati, Romeo meminum racunnya. Juliet kemudian bangun, menyedari kematian Romeo lalu menikam diri dengan pisau belati Romeo. Seluruh kerabat Capulet dan Montague serta Putera Verona bertemu di makan untuk menemui ketiga-tiga batang mayat. Rahib Laurence menceritakan kisah sepasang "star-cross'd lovers" (kekasih yang tidak direstui takdir). Maka kedua-dua keluarga berbaik-baik dalam meratapi pemergian anak-anak mereka, serta akur untuk menamatkan persengketaan mereka. Drama berakhir dengan ucapan elegi oleh Putera Verona terhadap pasangan kekasih itu: "For never was a story of more woe / Than this of Juliet and her Romeo." (Kerana tiada kisah yang lebih memilukan / Daripada kisah Juliet dengan Romeo-nya.)[4]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]


  1. ^ Romeo and Juliet, Bab 3, Adegan 1, Baris 73.
  2. ^ Romeo and Juliet, Act 3, Scene 5, Line 115.
  3. ^ Romeo and Juliet, Act 4, Scene 1, Line 105.
  4. ^ Romeo and Juliet, Act 5, Scene 3, Lines 308–309.