Kerajaan Patani
Kerajaan Patani atau Kesultanan Patani (Jawi: كسلطانن ڤطاني) ialah sebuah kesultanan Melayu di wilayah bersejarah Patani. Sebagai negeri pengganti Langkasuka, asalnya sebuah kerajaan Melayu kuno, Hindu-Buddha, berpusat di kota Mahligai Jeram (daerah Yarang). yang merangkumi sebahagian wilayah yang kini berada di selatan Thailand, termasuk : Pattani, Yala (Jala), Narathiwat (Menara) dan Songkhla (Singgora) dan utara Malaysia (Kelantan) dan (Terengganu).
Kesultanan Patani كراجاءن ڤتاني Kerajaan Patani | |||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
1516–1902 | |||||||||||
Bendera | |||||||||||
Status | 1516 - 1786 : Negeri berdaulat 1786 - 1902 : Negeri berdaulat dibawah naungan Siam | ||||||||||
Ibu negara | Patani | ||||||||||
Bahasa yang umum digunakan | Rasmi: Bahasa Melayu Klasik Percakapan: Bahasa Melayu Kelantan-Pattani | ||||||||||
Agama | Islam Sunni | ||||||||||
Kerajaan | Pemerintahan beraja | ||||||||||
Sultan | |||||||||||
Sultan Ismail Shah (pertama) | |||||||||||
Sultan Hajji Sir Abdul Kaddir Khammar Uddein Shah III (terakhir) | |||||||||||
Era Sejarah | Zaman pertengahan (mula kurun ke-15) | ||||||||||
• Didirikan | Januari 1516 | ||||||||||
• Dipecahkan wilayah oleh Siam | 1791 | ||||||||||
• Diilhak Siam | 1902 | ||||||||||
Mata wang | Dinar Emas Kelantan-Patani Duit Pitis Kelantan-Patani | ||||||||||
|
Dinasti pemerintah
suntingMengikut buku Hikayat Patani pemerintahan Kerajaan Patani diperintah oleh 3 dinasti iaitu
- Dinasti Sri Wangsa (Dinasti Ulu). Raja Perempuan Patani, Raja Ungu Binti Sultan Mansur Shah telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur Mahiuddin Shah mengukuhkan hubungan Patani dengan Pahang serta Johor amnya, dan beberapa kali serangan Siam berjaya dipatahkan dengan bantuan Johor. Setelah Raja Ungu mangkat, Raja Kuning iaitu puterinya hasil perkahwinan dengan Sultan Abdul Ghafur menaiki takhta Patani[1].
Bil | Nama Raja Dinasti Sri Wangsa[2] | Pemerintahan | Tempoh |
---|---|---|---|
1 | Sultan Ismail Shah | 1457M - 1530M | 30 tahun |
2 | Sultan Muzaffar Shah | 1530M - 1564M | 33 tahun |
3 | Sultan Mansur Shah | 1564M - 1572M | 9 tahun |
4 | Sultan Patik Siam | 1572M - 1573M | 1 tahun |
5 | Sultan Bahadur Shah | 1573M - 1584M | 11 tahun |
6 | Raja Hijau | 1584M - 1616M | 32 tahun |
7 | Raja Biru | 1616M- 1624M | 8 tahun |
8 | Raja Ungu | 1624M - 1635M | 11 tahun |
9 | Raja Kuning | 1635M - 1688M | 53 tahun |
Selepas Tahun1640M. Di Tanah Melayu telah berlaku peristiwa konflik dan huru-hara kompleks dalaman atau luaran oleh Peranan Pihak Negari Kuasa Baru seperti Negeri Singgora , Negeri Kedah , Negeri Phatthalung.[3] dan Konflik Politik dalaman seperti Pemberontakan dalam Istana Nilam Patani oleh Raja Kali yang ingin menggulingkan Raja Kuning, Tetapi akhirnya Kudeta itu gagal.[4] Ada juga beberapa maklumat lisan yang ceritakan bahawa pada tahun 1649-1652. Konflik dalam kerajaan Patani adalah disebabkan oleh pengaruh Raja Sakti dengan bantuan Ayutthaya Untuk merampas kuasa dari Raja Kuning dengan mengambil kesempatan pada masa Pemerintahan Patani dalam keadaan huru-hara akibat intervensi Aceh dan Ayutthaya.[5]
- Dinasti Kelantan Pertama[6] (Dinasti D'Jembal). Di penghujung hayatnya, setelah berapa lama Raja Kuning berada di atas takhta kerajaan, baginda jatuh gering lalu mangkat. Kemudian jenazahnya dikebumikan dan digelarkan "Marhum Besar" kerana Raja Kuning bersuamikan dengan Yang dipertuan besar negeri Johor (Sultan Abdul-Jalil Shah III). Semua menteri pun berhimpun untuk berbicara oleh kerana tiada pewaris takhta yang berketurunan dari Sri Wangsa, adapun Raja Kuning ialah raja terakhir dinasti Sri Wangsa, keturunan yang memerintah Patani ratusan tahun sejak zaman kerajaan Langkasuka di Jeram, hingga zaman kerajaan sultan di Patani.[7]
Bil | Nama Raja Dinasti Kelantan | Pemerintahan | Tempoh |
---|---|---|---|
1 | Raja Bakal | 1688M - 1690M | 2 tahun |
2 | Raja Mas Kelantan | 1690M - 1704M | 14 tahun |
3 | Raja Mas Cayam | 1704M - 1707M | 3 tahun (Pertama) |
4 | Raja Dewi | 1707M - 1716M | 9 tahun |
5 | Raja Bendang Badan | 1716M - 1720M | 4 tahun |
6 | Raja Laksamana Dajang | 1720M - 1721M | 1 tahun |
7 | Raja Mas Cayam | 1721M- 1728M | 7 tahun (Kedua) |
8 | Raja Alung Yunus | 1728M - 1729M | 1 tahun |
9 | Sultan Muhammad II | 1776M - 1786M | 10 tahun |
- Raja-raja Patung yang dilantik oleh Siam.
- Tengku Lamidin Raja Bendang Badang (1786-1791M)
- Raja Jaafar Datu Pengkalan (1792-1808M)
- Nai Kwan Sai Raja Chenak (1808-1815M)
- Nai Phyai (1815-1816M)
- Tuan Sulung (1816-1832M)
- Nik Yusof (Raja Tokki) (1832-1842M)
- Dinasti Kelantan kedua (Dinasti Tuan Besar) yang diasaskan pada tahun 1838 dengan pelantikan Raja Kampung Laut Tuan Besar Tengku Long Muhammad bin Raja Muda Kelantan Long Ismail, dikenali juga sebagai Sultan Phraya Long Muhammad[8] oleh Siam sebagai Raja Patani.
- Sultan Muhammad (Tuan Besar) (1842-1856M)
- Sultan Puteh (1856-1881M)
- Sultan Timun (1881-1890M)
- Sultan Sulaiman (1890-1899M)
- Sultan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin (1899-1902M)
Kegemilangan Patani
suntingZaman kegemilangan Kesultanan Patani ialah dari tahun 1584 hingga 1649 iaitu semasa Patani dibawah pemerintahan raja perempuan/sultanah yang dikenali sebagai Raja-raja Pelangi sempena warna-warna pelangi:
- Raja Hijau (1584-1616)
- Raja Biru (1616-1624)
- Raja Ungu (1624-1635)
- Raja Kuning (1635-1649)
Zaman keemasan Patani bermula semasa pemerintahan 4 orang raja perempuan ini, pemerintahan yang mempunyai kekuatan ekonomi dan ketenteraan kerajaan ini terbukti hebat apabila berjaya menumpaskan empat pencerobohan utama yang dilakukan Siam. Bagaimanapun, ia semakin merosot menjelang akhir abad ke-17 sehingga pada 1786, Patani ditawan Siam meresap dalam pentadbiran kerajaan sehingga dihapuskan pada 1902.
Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (林 道乾 Lim To Khiam) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan.[9] Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal.Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.
Pada tahun 1631, Patani pernah menghantar bala tentera ke Ligor (Nakhon Si Thammarat) untuk membebaskan wilayah itu dari cengkaman Siam, dua buah kapal Siam berjaya dirampas dengan 2 orang Belanda. Kemudian angkatan Siam bejaya merampas kembali Ligor dari tangan Patani, tetapi 2 orang Belanda masih hilang, menyebabkan Belanda memihak kepada Siam dalam peperangan menentang Patani. Diantara serangan Siam yang terbesar ke atas Patani berlaku pada Mei 1634, dimana 60,000 bala tentera Siam melanggar Patani, tetapi angkatan Siam ini mengalami kekalahan akibat serangan kuat dari gabungan bala tentera Patani dan Portugis.
Untuk menguatkan lagi kerajaan Patani, Kerajaan Patani telah bersekutu dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga apabila Raja Ungu yang memakai gelaran Paduka Sultanah Syah Alam telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur dan hasil perkahwinan ini, lahirlah seorang puteri bernama Raja Kuning yang menaiki takhta Patani setelah kemangkatan bondanya pada tahun 1635. Empayar Johor-Pahang telah beberapa kali menghantar bantuan ketenteraan untuk mematahkan serangan-serangan Siam, hasilnya Patani kekal sebagai kerajaan berdaulat hingga ke akhir abad ke 18.
PERISTIWA
suntingAbad ke-17
sunting- Pada tahun 1634. - Sebagai tahun terakhir pemerintahan Raja Ungu (tahun 1624-1635). beratus-ratus kapal perang membawa sejumlah lebih 30,000 tentera laut dan 30,000 tentera darat dari Ayutthaya sedang berarak untuk menyerang Patani. tetapi terpaksa berpatah balik apabila berhadapan dengan armada dari Johor, Pahang, dan Portugis-melaka.[10]
- Pada penghujung tahun 1634. - Di tengah-tengah suasana tegang perang yang bakal berlaku antara Patani dengan Ayutthaya. Raja Kedah pada masa itu masuk campur tangan dalam konflik ini untuk membantu kedua-dua pihak dalam rundingan yang membawa kepada keamanan. oleh itu, Raja Prasatthong mengubah fikirannya dan menghantar utusan untuk berunding dengan Patani pada tahun 1635.[11]
- Pada tahun 1636. - Ayutthaya mungkin telah menggunakan hubungannya dengan Patani untuk meluaskan pengaruhnya ke Johor. Hubungan kekeluargaan antara Johor dan Patani terus kukuh sehingga tahun 1645, apabila terdapat reaksi terhadap pengaruh Johor di Patani.[12]
- Pada bulan Mac tahun 1636. - Patani telah menghantar kedutaan ke Ayutthaya untuk merundingkan perjanjian awal dengan Raja Siam. Menyebabkan seorang pembesar Patani, terpaksa membawa Bunga Emas ke Ayutthaya pada bulan Ogos tahun 1636, untuk membuat upacara sebagai tanda persahabatan antara Patani dan Ayutthaya. Patani terus menjalin hubungan baik dengan Ayutthaya selama beberapa tahun lagi.[11]
- Pada bulan Disember tahun 1637. - Seorang utusan dari Siam berada di Bintang, datang melawat Sultan Abdul-Jalil III dan Laksamana.[12]
- Pada bulan November tahun 1639. - Kerajaan Aceh telah menguasai Johor, menyebabkan Sultan Abdul-Jalil III Johor melarikan diri ke Patani.
- Pada bulan Disember tahun 1639. - Dato' besar dari Patani datang ke Batavia untuk memberitahu gabenor jeneral Belanda Van Diemen bahawa Yang-di-Pertuan Johor telah berkahwin dengan Ratu Patani.
- Pada tahun 1640. - Sultan Abdul-Jalil III Johor kembali ke ibu kota baru bernama Batu Sawar di sungai Johor, selepas Laksamana memastikan perlindungan Belanda terhadap Aceh dengan membantu mereka mengambil Melaka daripada Portugis.
- Pada tahun 1641. - Raja Kuning, Ratu kerajaan Patani telah melawat istana Raja Prasatthong di Ayutthaya, untuk memperbaharui hubungan baik.
- Pada tahun 1646. - Kedah dan Singgora bangkit menentang Siam. Patani dan negeri-negeri satelit yang pernah berada di bawah Ayutthaya menyertai perikatan penentangan pada tahun berikutnya. Raja Prasatthong mengumpulkan 15,000 tentera dan 60 kapal perang, menghantar tentera ke selatan untuk menumpaskan pemberontakan. Pasukan kedua, berjumlah 7,000 askar telah diambil dari Ligor (Nakhon Si Thammarat), untuk bergabung dengan pasukan utama, tetapi gagal berbuat demikian. Tetapi Ekspedisi tentera gagal untuk menindas negeri-negeri semenanjung Tanah Melayu, dan Raja Ayutthaya mula mengatur tentera kali yang kedua pada tahun 1647-1648.
Abad ke-18
sunting- Pada tahun 1760. - Kebangkitan kuasa Burma di bawah dinasti Konbaung, Burma menakluk Siam pada 1767 dan Laos pada 1765
- Pada tahun 1768. - Siam dibawah pimpinan general Taksin berjaya menghalau penjajah Burma.
- Pada tahun 1769. - Untuk mengukuhkan kuasanya di selatan Siam menakluk Ligor/Negara Sri Darmaraja(Nakhon Si Thammarat). Armada angkatan laut dibina di Nakhon Si Thammarat, Trang dan Krabi untuk menakluk wilayah selatan di semenanjung Tanah Melayu.
- Pada tahun 1782. - Raja Buddha Yodfa Chulaloke atau Rama I menaiki takhta Siam menggantikan Raja Taksin yang digulingkan, dinasti Rattanakosin yang berpusat di Bangkok diasaskan.
- Pada tahun 1785. - Di bawah pemerintahan Raja Rama I, Siam menyerang dan berjaya menakluki Patani. Kelantan dan Terengganu menjadi wilayah yang tunduk kepada Siam (tributary states) dan menghantar bunga emas ke Siam.
- Pada tahun 1789-1791. - Pemberontakan di Patani. Patani dipecahkan kepada tujuh wilayah: Patani, Saiburi (Teluban), Nongchik, Yaring, Yala, Reman dan Rangae untuk melemahkan orang melayu.
Abad ke-19
sunting- Pada tahun 1821 - Kedah ditawan Siam, Siam juga mengancam menyerang Perak dan Selangor, Sultan Kedah yang kalah dilarang tinggal di Perak dan Selangor kerana Siam mengangap negeri-negeri ini dibawah kekuasaannya. Sultan Kedah terpaksa tinggal di Melaka dan melancarkan serangan gerila dari sana. Perak mula menghantar bunga emas dan 20 ekor gajah dari lembah Kinta kepada Siam.
- Pada tahun 1832. - Reman (dekat sempadan Thailand-Perak, juga merangkumi Grik dan Pengkalan Hulu), mengisytiharkan menjadi republik. Wilayah lain, kecuali Yaring, ikut memberontak, tetapi dipatahkan.
- Pada tahun 1835. - berlaku pergolakan merebut takhta Kelantan, Raja Kampung Laut yang dikenali sebagai Tuan Besar Bin Raja Muda Ismail yang kalah kepada Sultan Muhammad II dalam perebutan takhta Kelantan telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor bergelar raja (Phraya Patani) di negeri kecil Patani yang telah dipecahkan. Salah seorang anak Raja Bendahara Long Jenal yang kalah dalam perebutan takhta itu juga dilantik oleh Siam sebagai raja di Yaring salah satu negeri kecil di Patani.
- Pada tahun 1838. - Pemerintah Nongchik, Yala, Reman dan Rangae bekerjasama dengan pemberontak Kedah dan menyerang Songkhla tetapi berjaya dipatahkan oleh Siam
- Pada tahun 1839. - Kedah dipecahkan kepada empat kawasan: Kedah, Kubangpasu, Perlis dan Satun (Setul). Pemecahan Patani dan Kedah melemahkan kedua-dua negeri itu.
Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Patani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Patani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar Thesaphiban. Phraya Patani ke-V iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah Ibni Sultan Sulaiman Syarafuddin Syah memberontak tetapi berjaya dikalahkan dan dibuang negeri ke Kelantan.
Dengan itu, sistem pemerintahan Kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Patani telah diakui oleh British sebagai sebahagian daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang-orang Melayu Patani.
Semenjak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol British di wilayah Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang ‘misgoverned’. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali berlaku di Patani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti-Siam menjadi lebih hebat lagi apabila kerajaan Pibul Songgram (1939-44) cuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom.
Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tengku Mahmood Mahyideen Bin Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera bekas Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Mejar dalam pasukan Force 136, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.
Cadangan Tengku Mahmud itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti.
Harapan itu semakin cerah apabila kuasa-kuasa berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri (self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan.
Atas semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani.
Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya, kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.
Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis di China. Justeru, Kerajaan British mahu memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama kerajaan Siam bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu-Siam.
Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi pentadbiran dan sosio-ekonomi di Patani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Patani mula dianggap kurang penting malahan kiranya dibangkitkan akan menjejaskan hubungan dengan Siam.
Selepas Persidangan Songkhla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuangan Patani. GEMPAR juga telah diharamkan. Tengku Mahmood Mahyideen telah ditekan manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.
Kebangkitan Pertubuhan Pemisahan Patani
suntingPertubuhan pemisah Melayu sejak selepas Perang Dunia Kedua[13]:
- Gabungan Melayu Patani Raya (GAMPAR) dibentuk oleh rakyat Patani yang tinggal di Malaya. Presidennya ialah Tengku Mahmud Mahyuddin Ibni Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera Sultan Patani terakhir. Matlamat: Menggabungkan Patani Raya dengan Semenanjung Tanah Melayu.
- Pergerakan Rakyat Patani (PPM) di Patani, pimpinan Haji Sulong bersama Haji Abdul Majid Embong juga seorang ulama yang sangat aktif dalam gerakan perjuangan rakyat. Matlamat: Mendapatkan taraf pemerintahan sendiri (autonomi) bagi Patani, yang terdiri daripada empat wilayah Melayu di selatan. Kedua-dua badan itu lenyap selepas kematian pemimpin masing-masing dalam tahun 1953 dan 1954.
- Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP) dibentuk pada 1959 oleh Tengku Abdul Jalal -- gabungan kerabat diraja dan pemimpin agama. Sesetengah anggota BNPP menyuarakan hasrat mengembalikan kesultanan Patani. Pemikiran agama mereka dianggap kuno.
- Barisan Revolusi Nasional (BRN) dibentuk pada 1963. Ia dibentuk oleh Ustaz Abdul Karim Hassan, yang menyanjung Presiden Soekarno dari Indonesia. BRN bergerak dari segi politik dan menyusupi 'pondok' iaitu madrasah bentuk lama. Pemikirannya berasaskan sosialisme Islam.
- Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO) dibentuk pada 1968. Kobira Kotanila ataupun terkanal sebagai Bapa Kabir Abdulrahman dan beliau adalah sebagai pengasas Pertubuhan Persatuan Pembibasan Patani dan Secretary General.Selain daripada gerakan politik, PULO juga melakukan gerakan gerila.Pada awal 1970-an ramai pelajar Patani di seberang laut, terutamanya Timur Tengah, menjadi anggota PULO.PULO telah di akui rasmi oleh beberapa buah negara di timur tengah sebagai satu pertubuhan yang mewakili rakyat Patani.
Rujukan
sunting- ^ http://www.royalark.net/Malaysia/pahang2.htm
- ^ Hikayat Patani The Story Of Patani 1, pp.11 (dalam bahasa English).CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ Vol. 10, No. 3, International Trade and Politics in Southeast Asia 1500-1800 (Dec., 1969), pp. 429-452 JSTOR
- ^ Hikayat Patani the Story of Patani By A. Teeuw, D. K. Wyatt ,p.125 Internet Archive [1]
- ^ The Hikayat Patani: The Kingdom of Patani i n the Malay and Thai Political World vol. 84, no. 2 (301), 2011, p.52 JSTOR
- ^ Hikayat Patani the Story of Patani By A. Teeuw, D. K. Wyatt ,p.21 Internet Archive [2]
- ^ Hikayat Patani the Story of Patani By A. Teeuw, D. K. Wyatt ,p.127 Internet Archive [3]
- ^ http://www.royalark.net/Malaysia/kelant4.htm
- ^ Buku: Sejarah Kerajaan Melayu Patani oleh Ibrahim Shukri
- ^ A History Of Siam : W A R Wood 1924 (English) - Internet Archive, p.179
- ^ a b Montesano, Michael John; Jory, Patrick (2008). Thai South and Malay North: Ethnic Interactions on a Plural Peninsula (dalam bahasa Inggeris). NUS Press. pp,75. ISBN 978-9971-69-411-1.
- ^ a b Bassett, D. K. (1969). "Changes in the Pattern of Malay Politics, 1629 - c. 1655". Journal of Southeast Asian History. 10 (3). pp,431-432. ISSN 0217-7811.
- ^ http://www.angelfire.com/jazz/pulo99_2000/sejarah.html