[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Kapal selam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kapal selam Kelas Kilo

Kapal selam ialah kenderaan yang bergerak di bawah air, selalunya untuk tujuan ketenteraan. Kebanyakan tentera laut mempunyai kapal selam. Kapal selam juga digunakan untuk kajian sains laut dan air tawar dan untuk bertugas di kedalaman yang tidak sesuai untuk penyelam manusia. U-boot ialah ringkasan bagi Unterseeboot (istilah bahasa Jerman bermaksud "bot bawah laut") iaitu nama Jerman untuk kapal selam Jerman (mula ditugaskan dalam Perang Dunia Pertama). Salah satu pesawat selam yang lain ialah loceng selam.

Perkataan "kapal selam" merupakan pinjam terjemah bahasa Belanda duikboot (duik bermaksud "menyelam" dan boot bermaksud "bot" atau "perahu") yang diketahui daripada perkenalan teknologi ini dalam Nusantara di Hindia Timur (kini Indonesia).[1][2]

Kapal selam saintifik dan perdagangan

[sunting | sunting sumber]

Kebiasaannya, kapal selam biasanya merujuk kepada kapal selam ketenteraan; pesawat untuk penyelidikan atau perdagangan dirujuk sebagai pesawat selam "submersible". Kapal selam bukan ketenteraan biasanya lebih kecil berbanding kapal selam tentera. Terdapat pesawat selam jenis tanpa enjin yang dipanggil bathysphere. Sebelum bathysphere, loceng selam berbentuk loceng dalam air dengan lantai terbuka. Udara dipam masuk oleh orang di atas kapal bagi membenarkan penyelam tinggal lebih lama di bawah air.

Kapal selam pelancong digunakan kebanyakannya di kawasan pelancongan biasa. Pada tahun 1996, terdapat lebih 50 kapal selam persendirian beroperasi di sekeliling dunia yang berkhidmat untuk membawa anggaran 2 juta penumpang setiap tahun. Kebanyakan kapal selam tersebut membawa antara 25 sehingga 50 penumpang pada satu masa dan melakukan 10 atau lebih penyelaman setiap hari. Kebanyakan kapal selam ini meminjam reka bentuk kapal selam penyelidikan dengan mempunyai tingkap besar untuk penumpang melihat dan meletakkan kebanyakan perkakasan di luar lunas untuk menjimatkan ruang dalaman. Bagaimanapun, tempat duduk kapal selam penumpang juga sempit. Kebanyakannya berkuasa bateri dan sangat perlahan.

Sebuah perkembangan yang agak baru, kapal selam kecil tanpa pemandu yang dikenali sebagai kenderaan beroperasi jarak jauh marin (marine remotely operated vehicles) digunakan secara meluas pada masa kini untuk bekerja di air dalam atau terlalu berbahaya untuk penyelam. Sebagai contoh, kenderaan beroperasi jarak jauh ( remotely operated vehicles ) (ROV) membaiki pelantar petroleum luar pantai dan melekatkan kabel kepada kapal karam untuk mengangkat mereka. Kenderaan kawalan jauh seumpamanya disambung dengan tether (kabel tebal yang membekalkan kuasa dan komunikasi) kepada pusat kawalan di atas kapal. Operator atas kapal melihat imej video yang dihantar balik oleh robot dan mengawal kipas dan lengan robot. Bangkai kapal Titanic dijelajah dengan menggunakan kenderaan sedemikian, termasuk pesawat dipandu.

Kapal selam tentera

[sunting | sunting sumber]

Kemungkinannya terdapat lebih banyak kapal selam tentera beroperasi berbanding kapal selam jenis lain, walaupun sukar untuk mendapatkan jumlah sebenar kerana tentera laut berahsia mengenai angkatan kapal selam mereka.

Kapal selam amat berguna kepada tentera kerana ia mampu menghampiri mangsa mereka tanpa dikesan, kemudian menyerang pada jarak dekat. Banyak perhatian diberikan dalam reka bentuk kapal selam untuk membolehkan mereka bergerak dalam air secara senyap untuk menghalang ia dikesan oleh kapal musuh dan kapal selam.

Kapal selam moden berbentuk cerut. Reka bentuk ini yang dikenali sebagai "badan titisan air", direka menurut badan ikan paus. Ia mengurangkan geseran antara air dan badan kapal selam dengan banyaknya, dan membenarkan kapal selam untuk bergerak lebih pantas berbanding kapal selam sebelumnya. Kapal selam USS Albacore merupakan kapal pertama mempunyai bentuk titisan air (teardrop). Dengan menggunakan kuasa yang dibekalkan oleh reaktor nuklear kapal selam moden mampu kekal di bawah air hampir sepenuh masa, dan timbul hanya apabila diperlukan.

Menara pada atas kapal selam mengandungi periskop dan layar eletronik (electronics mast), yang termasuk radio, radar, peperangan elektronik (electronic warfare), dan sistem lain. Di dalam kapal selam kelas berbentuk bot (lihat sejarah, di bawah), bilik kawalan, atau conn, terletak di dalam menara ini, yang dikenali sebagai menara conning. Bagaimanapun, semenjak itu bilik kawalan conn telah diletakkan dalam badan utama kapal, dan menara itu biasanya pada masa kini dikenali sebagai layar. Dalam fahaman lain, conning tower datang daripada kata kerja bahasa Inggeris to con, yang bererti untuk mengemudi, menunjukkan kehadiran sistem navigasi dalam menara kawalan. Conn tidak patut dikelirukan dengan bridge, yang merupakan pelantar kecil pada puncak layar yang digunakan untuk pemerhatian mata kasar ketika berlayar di permukaan laut.

Kapal selam moden menggunakan sistem pemanduan inert (Inertial guidance system) untuk pemanduan semasa menyelam, bagaimanapun, ralat hanyut (drift error) meningkat menurut masa dan tidak dapat dielakkan. Untuk menangani masalah ini, sistem kedudukan sejagat (global positioning system) kadang-kala digunakan untuk mendapatkan kedudukan yang tepat. Periskop hanya digunakan sekali-sekala, kerana jarak penglihatan di bawah laut sangatlah terbatas.

Kapal selam ketenteraan biasanya mempunyai anak kapal melebihi seratus orang. Kerja mereka merupakan yang paling sukar dalam tentera laut, kerana mereka mesti bekerja secara terasing untuk tempoh masa yang panjang, tanpa hubungan dengan keluarga mereka, kerana kapal selam kebiasaannya mengekalkan senyap radio (radio silence) untuk mengelakkan dikesan. Mengendalikan kapal selam adalah berbahaya, walaupun pada waktu aman; banyak kapal selam telah tenggelam akibat kemalangan (lihat sejarah, di bawah).

Kapal selam telahpun lama digunakan, tetapi dengan pertukaran teknologi, peranannya telah berubah secara mendadak. Ciri-ciri utama kekal sukar dikesan, terselindung oleh lautan seluas berbatu-batu. Walaupun dengan sistem pengesanan moden, kapal selam masih mampu bergerak hampir tidak kelihatan.

Jenis kapal selam ketenteraan

[sunting | sunting sumber]
Kapal selam Type 209

Kapal selam ketenteraan biasanya terbahagi kepada dua jenis: kapal selam pengangkut peluru berpandu balistik dan kapal selam penyerang. (Selain kapal selam jenis ini terdapat banyak jenis kapal selam katek (bahasa Inggeris: midget submarine) yang jauh lebih kecil, digunakan untuk sabotaj, mengintip dan pengangkutan rahsia. Malah angkatan kapal selam Korea Utara, dianggarkan yang keempat terbesar di dunia pada tahun 1990-an, kebanyakannya terdiri daripada kapal selam kecil. Juga selain daripada dua jenis di atas, ialah kapal selam Jerman, milch cow Perang Dunia Kedua: kapal bekalan boleh menyelam.)

Kapal selam peluru berpandu balistik (atau boomers, dalam bahasa Inggeris Amerika) membawa peluru berpandu senjata nuklear bertujuan untuk menyerang sasaran strategik seperti bandar atau silo peluru berpandu yang terletak di mana-mana kawasan di dunia. Kesemuanya berkuasa nuklear untuk mengekalkan ciri-ciri paling senyap dan paling tahan menyelam. Ia memainkan peranan penting dalam mutual deterrence semasa perang dingin: kerana kedua-dua Amerika Syarikat dan Soviet mempunyai keupayaan (atau tidak dapat menjamin) kemusnahan sepenuhnya negara yang diserang sekiranya salah satu menyerang, menjadikan kedua-dua negara terhalang. Negera China juga mempunyai sebuah kapal selam balistik (kelas Xia).

Kapal selam Kelas George Washington "boomers" dinamakan sempena "rakyat Amerika terkenal" dan kemudiannya kapal selam Kelas Ohio dinamakan sempena nama negeri, dengan pengecualian sebahagian "rakyat Amerika yang terkemuka" ialah orang asing dan SSBN-730 dinamakan sempena nama Senator.

Kapal selam yang direka untuk menyerang kapal dagang atau kapal perang lain dikenali sebagai kapal selam "penyerang" atau "pembunuh pemburu" (hunter-killer ). Kapal selam penyerang biasanya membawa torpedo untuk menyerang kapal tentera laut, dan kadangkala peluru berpandu krus untuk menyerang sasaran darat atau kapal. Kapal selam penyerang menggunakan pelbagai sistem tujahan. Kebanyakannya menggunakan gabungan diesel dan eletrik yang serupa dengan apa yang dimajukan pada awal abad ke-20, banyak yang menggunakan kuasa nuklear, dan semakin banyak yang menggunakan bentuk tujahan bebas udara lain seperti sel bahan api atau enjin Stirling. Kesemua kapal selam penyerang Amerika Syarikat menggunakan kuasa nuklear. Kesemua kapal selam Amerika Syarikat (yang mempunyai nama sebenar dan bukannya nama alphanumerik) dinamakan sempena "makhluk laut dalam" sehingga kelas Los Angeles, yang dinamakan menurut nama bandar di A.S – dengan pengecualian beberapa buah yang dinamakan menurut ahli politik, dan kelas baru kelas Seawolf, yang menerima nama tradisional untuk yang pertama, nama negeri untuk kedua, dan nama presiden untuk yang ketiga.

Sejarah kapal selam

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Robson, Stuart (2004). Welcome to Indonesian: A Beginner's Survey of the Language. Tuttle Publishing. m/s. 65. ISBN 978-1-4629-0488-4.
  2. ^ Gustaaf Kusno (1 Disember 2010). "Kenapa Diberi Nama 'Kapal Induk'?". Kompasiana. Dicapai pada 27 Jun 2020. Karena negara kita [Indonesia] cukup lama dijajah oleh Belanda banyak sekali istilah-istilah dalam bahasa kita yang mengekor serupa dengan ekspresi dalam bahasa Belanda. [...] Kata ’kapal selam’ ini juga diambil dari bahasa Belanda duikboot (duik = selam, boot = kapal), sedangkan dalam bahasa Inggris dinamakan submarine...

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]