[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Politik Amerika Syarikat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Politik di Amerika Syarikat berjalan dalam sistem republik persekutuan berperlembagaan. Dalam erti kata lain, negara tersebut mempunyai satu dokumen utama yang menjadi panduan dan pembahagian kuasa kepada beberapa bahagian. Kuasa politik di Amerika Syarikat terbahagi kepada tiga badan utama: badan perundangan, badan eksekutif, dan badan kehakiman. Badan perundangan melibatkan Kongres Amerika Syarikat. Kongres ini mempunyai dua bahagian iaitu Dewan Perwakilan dan Senat. Badan eksekutif diketuai oleh Presiden Amerika Syarikat yang bertindak sebagai ketua negara dan ketua kerajaan. Badan kehakiman pula terdiri daripada Mahkamah Agung Amerika Syarikat dan mahkamah persekutuan lain yang bertanggungjawab melaksanakan kuasa kehakiman.

Setiap kerajaan negeri di Amerika Syarikat mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang sendiri dalam bidang kuasanya, selagi perkara itu tidak diberikan kepada Kerajaan Persekutuan atau dilarang oleh Perlembagaan Amerika Syarikat. Setiap negeri mempunyai perlembagaan sendiri yang lebih kurang sama dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi terdapat perbezaan perinciannya. Sama seperti sistem persekutuan, kerajaan negeri mempunyai tiga badan: badan eksekutif yang diketuai oleh gabenor, badan perundangan, dan badan kehakiman. Di peringkat tempatan, struktur kerajaan merangkumi kaunti (county) atau daerah (atau yang setaraf dengannya), dengan pembahagian selanjutnya kepada kawasan perbandaran, perbandaran, daerah sekolah, dan daerah khas.

Di Amerika Syarikat, pegawai-pegawai dipilih di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan, tetapi terdapat satu pengecualian utama untuk Presiden. Presiden dipilih secara tidak langsung melalui Badan Pemilih. Politik Amerika terutamanya dikuasai oleh dua parti: Parti Demokrat dan Parti Republikan, yang telah menjadi parti utama sejak Perang Saudara Amerika, walaupun terdapat parti lain juga. Sejak pertengahan abad ke-20, Parti Demokrat secara umumnya menyokong dasar berhaluan kiri, manakala Parti Republikan lebih cenderung kepada dasar berhaluan kanan. Kedua-dua parti ini tidak mempunyai pertubuhan pusat rasmi di peringkat nasional untuk mengawal keahlian, pegawai, atau dasar politik. Oleh itu, wujud puak dalaman dan perbezaan pendapat dalam parti. Kebanyakan pegawai awam dipilih daripada kawasan pilihan raya tunggal dan menang dengan jumlah undi tertinggi, walaupun tidak semestinya majoriti. Hak untuk mengundi terbuka kepada semua warganegara yang berumur 18 tahun ke atas. Namun begitu, terdapat pengecualian: di beberapa negeri, penjenayah yang sedang menjalani hukuman atau yang telah disabitkan kesalahan mungkin tidak dibenarkan mengundi.

Pemerintah persekutuan

[sunting | sunting sumber]

Pemerintah Amerika Syarikat ialah di dalam bentuk pemerintah persekutuan. Perlembagaan Amerika Syarikat menghadkan kuasa pemerintah persekutuan kepada pertahanan, polisi luar negara, pencetakan mata wang, mengawal perdagangan, perhubungan antara negeri-negeri serta melindungi hak asasi manusia. Pemerintah persekutuan terdiri dari Kongres (cabang legislatif), Presiden (cabang eksekutif), dan Mahkamah Agung (cabang kehakiman). Ketiga-tiga cabang ini saling memeriksa dan mengimbang antara satu sama lain.

Cabang legislatif

[sunting | sunting sumber]

Kongres Amerika Syarikat adalah dwidewan dan terdiri dari Dewan Perwakilan Rakyat dan Senat.

Dewan Rakyatnya terdiri dari 435 anggota Kongres yang dipanggil "congressmen" atau "congresswomen", yang dipilih oleh rakyat dari kawasan pilihan raya atau "congressional district" masing-masing. Mereka akan memegang jawatan ini selama satu penggal (dua tahun). Bilangan kawasan bagi setiap negeri bergantung kepada saiz penduduk di negeri tersebut, dan setiap negeri-negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu wakil rakyat. Menurut banci Amerika Syarikat 2000, setiap kawasan pilihan raya mempunyai purata penduduk seramai 640,000 orang.

Senat pula terdiri dari 100 orang ahli bergelar Senator dipilih oleh semua rakyat setiap negeri tetapi berbanding dengan wakil rakyat, tempoh satu penggal mereka adalah lebih lama iaitu enam tahun. Bilangan Senator adalah sama bagi semua negeri iaitu dua Senator bagi setiap negeri.

Ahli-ahli Perwakilan Rakyat dan Senator dipilih melalui sistem pilihan raya majoriti mudah.

Kebanyakan rang undang-undang (bills) boleh diperkenalkan sama ada di "Dewan Perwakilan" atau "Senat". Sekiranya kedua-dua Dewan meluluskan rang undang-undang tersebut, Presiden akan di minta untuk menandatangani dan meluluskannya sebagai Akta. Seorang Presiden boleh membatalkan rang undang-undang, tetapi Kongres masih boleh menjadikannya sebagai undang-undang jika mendapat dua-pertiga undi dari kedua-dua dewan. Semua rang undang-undang untuk meminjam wang atau mengenakan cukai, akan bermula di Dewan Perwakilan Rakyat.

Cabang eksekutif

[sunting | sunting sumber]
White House atau Rumah Putih, kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat di Washington D.C.

Dipuncak cabang eksekutif ialah Presiden Amerika Syarikat. Presiden merupakan Panglima Tertinggi angkatan tentera; semua staf militari berada di bawah bidangkuasanya, dan hanya beliau boleh melancarkan serangan senjata nuklear. Presiden berkuasa untuk meluluskan undang-undang, dan memberi pengampunan dan perintah eksekutif. Beliau juga mempunyai tugas-tugas lain di bawah perlembagaan, antara lain memberi ucapan "State of the Union" kepada Kongres pada setiap tahun. Di bawahnya pula ialah Naib Presiden yang berperanan sebagai penasihat pertamanya dan penyokong atau "backup" Presiden, dan merupakan ketua atau Presiden Senat, dengan kuasa untuk menentukan undian apabila ia terikat (tiebreaking vote). Kedua-dua jawatan tersebut dipilih oleh rakyat setiap empat tahun. Pemilihan Presiden Amerika adalah agak rumit kerana ia membabitkan pemilihan rakyat melalui sistem "Electoral College" atau perwakilan bagi setiap negeri di Amerika Syarikat. Oleh itu, seorang calon Presiden mesti mendapat sokongan lebih 50% dari perwakilan negeri di Amerika Syarikat. Sejak kemenangan George W. Bush yang kontroversial pada pilihan raya 2000, keberkesanan sistem pilihan raya Amerika telah banyak dipertikaikan.

Selain itu, terdapat pula ahli-ahli Kabinet, dan pelbagai jabatan yang diterajui termasuklah Jabatan Pertahanan, Jabatan Kehakiman, dan Jabatan Dalam Negeri. Jabatan-jabatan tersebut dan ketua-ketuanya memegang kebanyakan kuasa politik dan juga melaksanakan undang-undang negara.

Dari segi parti politik, terdapat dua parti politik yang paling utama iaitu Parti Demokrat dan Parti Republikan.

Cabang kehakiman

[sunting | sunting sumber]

Mahkamah tertinggi negara adalah Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang dipimpin sembilan orang hakim yang dilantik untuk suatu tempoh sepanjang hayat. Antara lain, mereka berkuasa untuk mengisytiharkan undang-undang di mana-mana peringkat pemerintah sebagai tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan. Sesiapa yang melanggar perlembagaan persekutuan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Malah, Presiden pun tidak terkecuali dan boleh dijatuhkan sekiranya dia tidak mengikuti perlembagaan. Kuasa ini yang dipanggil "power of impeachment" telah menjatuhkan beberapa presiden termasuk Presiden Nixon. Di bawah Mahkamah Agung ialah Mahkamah Rayuan, dan di bawahnya pula ialah mahkamah daerah, yang merupakan mahkamah perbicaraan am untuk undang-undang persekutuan.

Cabang kehakiman diperingkat pemerintah pusat akan hanya dirujuk, apabila pengadu tiada ruang lagi di mahkamah negeri atau sekiranya ia melibatkan urusan persekutuan atau perlembagaan negara. Suatu kes hanya boleh dirayu dari mahkamah negeri ke mahkamah persekutuan, sekiranya ia menyentuh isu persekutuan. Mahkamah Agung Negeri atau "State supreme court" merupakan autoriti terakhir untuk menafsir undang-undang serta perlembagaan negeri masing-masing.

Pemerintah negeri

[sunting | sunting sumber]

Di Amerika Syarikat, pemerintah negeri merupakan pengaruh terbesar dalam hidupan harian masyarakatnya. Setiap negeri mempunyai perlembagaannya yang tersendiri dan undang-undang yang berlainan. Kadang-kala terdapat perbezaan yang amat ketara dari segi undang-undang dan prosedur dari satu negeri ke negeri yang lain, terutamanya perkara-perkara yang melibatkan hartanah, jenayah, kesihatan dan pendidikan. Oleh itu bidangkuasa polis sesebuah negeri hanya terbatas dinegerinya sahaja. Pegawai pemerintahan tertinggi di sebuah negeri ialah Gabenor. Setiap negeri mempunyai satu badan perundangan yang dipilih yang terdiri dari sama ada satu atau dua dewan, dimana setiap ahlinya mewakili daerah-daerah dinegeri masing-masing. Badan perundangan yang paling menarik ialah di New Hampshire, yang merupakan badan perundangan ketiga terbesar di dunia pertuturan Inggeris, dan ia mempunyai seorang wakil bagi setiap 3,000 orang. Setiap negeri mempunyai instutusi kehakimannya yang tersendiri, dengan mahkamah yang paling rendah biasanya mahkamah daerah atau "county courts", dan yang paling tinggi ialah mahkamah agung negeri atau "state supreme court", walaupun di setengah negeri namanya mungkin berbeza. Dalam beberapa negeri, hakim mahkamah agung dan mahkamah rendah adalah dipilih oleh rakyat masing-masing; manakala di sesetangah negeri yang lain, mereka dilantik sama seperti mahkamah dalam sistem persekutuan.

Pemerintah tempatan

[sunting | sunting sumber]

Institusi-institusi yang bertanggungjawab ke atas pemerintah tempatan seperti daerah, bandar raya ataupun bandar serta membuat undang-undang untuk kawasan tersebut. Undang-undang tersebut yang dikenali sebagai undang-undang kecil biasanya membabitkan kesalahan trafik, penjualan arak, dan penjagaan binatang. Lazimnya, pegawai rasmi yang tertinggi di bandar atau bandar raya dipanggil "Datuk bandar". Di beberapa negeri seperti New England, kaunti atau daerah mempunyai sedikit kuasa atau tiada kuasa langsung. Manakala di negeri lain, pemerintah daerah atau "county governments" mempunyai lebih banyak kuasa, misalnya kuasa mengutip cukai, menyelanggarakan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang, dan menguruskan pendidikan melalui "school boards" atau lembaga sekolah.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]