Muzium Pengangkutan Melaka
Maklumat am | |
---|---|
Ditubuhkan | 15 April 2010 |
Dibubarkan | 2015 |
Jenis | Muzium |
Maklumat pentadbiran | |
Pemilik | Perbadanan Muzium Melaka |
Maklumat geografi | |
Negara | Malaysia |
Lokasi | |
sunting |
Muzium Pengangkutan Melaka ialah sebuah muzium yang mengumpulkan koleksi kenderaan lama dari jenis pengangkutan darat seperti kereta, motosikal, basikal dan kereta lembu. Muzium ini terletak di bangunan Autocity dalam kawasan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka. Matlamat utama penubuhan muzium ini adalah untuk menyediakan maklumat mengenai sejarah dan perkembangan sistem pengangkutan di negeri Melaka sejak beratus tahun dahulu[1]. Muzium ini telah dibuka untuk orang ramai bermula 15 April 2010[1].
Pada tahun 2015, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) mengumumkan penutupan operasi Muzium Pengangkutan Melaka[2]. Pelbagai dakwaan telah dilontarkan mengenai punca penutupan muzium ini, di antaranya ialah lokasi muzium yang terletak di luar zon pelancongan Ayer Keroh menyebabkan kurangnya bilangan pengunjung yang datang melawat. Bangunan yang dijadikan tempat muzium pula telah dijual kepada syarikat persendirian pada tahun yang sama menyebabkan PERZIM terpaksa mengosongkan bangunan dan bahan pameran dipindahkan ke muzium di bawah seliaan PERZIM yang lain[2].
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Pada bulan Januari 2010, Ketua Menteri Melaka pada ketika itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah merasmikan tapak bangunan Autocity di dalam kawasan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebagai pusat berkaitan industri permotoran[3]. Pada masa yang sama, beliau turut memberi cadangan kepada pihak PERZIM agar sebuah muzium dibuka di tapak itu dan mempamerkan jentera pengangkutan yang memiliki nilai antik dan unik yang terdapat di negeri Melaka[3].
Pada 15 April 2010, Muzium Pengangkutan Melaka secara rasminya dibuka kepada orang ramai yang mempamerkan sebanyak 50 koleksi kenderaan antik. Penubuhan muzium ini menelan kos sebanyak RM198,900[2] dan melibatkan kerjasama di antara beberapa persatuan berkaitan kenderaan antik di Melaka[3].
Bahan pameran
[sunting | sunting sumber]Kesemua bahan pameran yang terdapat di Muzium Pengangkutan Melaka adalah milik individu atau persatuan. Terdapat 50 buah kenderaan yang dipamerkan, terdiri daripada kereta (14 buah), motosikal (13 buah), basikal (17 buah), beca (tiga buah), kereta lembu (dua buah) dan sebuah kereta kuda[1]. Sebuah jet pejuang lama telah ditambah[2] ke dalam koleksi muzium ini selepas beberapa lama ia dibuka secara rasmi.
Antara koleksi kenderaan yang terdapat di muzium ini ialah sebuah kereta Mercedes-Benz S-Class dengan nombot plat "MAR 1", singkatan kepada "Mohd Ali Rustam" yang merupakan pemilik kepada kenderaan ini[4]. Selain itu, terdapat juga sebuah kereta Bently yang dibuat pada tahun 1991 dijadikan sebagai kenderaan rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) pada ketika itu, Tun Mohd Khalil bin Yaakob[4].
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c "Muzium Pengangkutan Melaka Dibuka Kepada Orang Ramai". Bernama. 15 April 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Jun 2015. Dicapai pada 20 Oktober 2024.
- ^ a b c d Amran Ali (21 Mei 2015). "Penutupan Muzium Pengangkutan Melaka jadi iktibar". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Jun 2015. Dicapai pada 20 Oktober 2024.
- ^ a b c "Muzium Pengangkutan". MPHTJ. 29 Disember 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Februari 2015. Dicapai pada 20 Oktober 2024.
- ^ a b "Transportation Museum". AmazingMelaka. 4 Disember 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Julai 2012. Dicapai pada 20 Oktober 2024.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]