Kambing Boer
Kambing Boer merupakan satu baka kambing yang dicipta di Afrika Selatan pada awal 1900-an untuk penghasilan daging. Namanya berasal daripada bahasa Afrikaans iaitu boer yang bermaksud peladang atau petani.
Asal-usul dan ciri-ciri
[sunting | sunting sumber]Kambing Boer barangkali dibiakbakakan daripada kambing-kambing pribumi Afrika Selatan yang diternak oleh suku-suku bushman Namaqua dan Fooku dengan mungkin sedikit kacukan daripada pertalian darah baka India dan Eropah. Ia terpilih untuk penghasilan daging daripada susu. Hasil daripada pembiakbakaan terpilih dan peningkatan, kambing Boer mencatatkan kadar pertumbuhan yang cepat dengan kualiti karkas yang cemerlang, maka kambing Boer adalah antara baka kambing pedaging yang paling laris di dunia. Kambing Boer amat tinggi ketahanan kepada penyakit, malah senang menyesuaikan diri dengan keadaan separa gurun yang panas dan kontang.
Kambing Boer biasanya mempunyai badan putih dengan kepala coklat yang menonjol. Ada juga kambing Boer yang seluruh coklat atau seluruh putih. Seperti kambing Nubia, ia mempunyai telinga yang panjang dan labuh. Ia terkenal dengan sifat yang jinak, cepat membesar dan tinggi kadar kesuburannya. Kambing Boer betina dilaporkan mempunyai kemahiran keibuhan yang unggul berbanding baka-baka lain. Kambing Boer jantan dewasa berberat 110–135 kg (240-300 lb), dan yang betina dewasa pula 90–100 kg (200-220 lb).
Jantan
[sunting | sunting sumber]Seekor kambing jantan berkualiti tinggi mampu menghasilkan anak yang berkualiti tinggi biarpun mengawan kambing betina yang biasa-biasa. Kambing Boer sering bertambah berat pada kadar yang sama dengan bapanya, maka seekor kambing jantan daripada keturunan yang terbukti cepat membesar boleh menuntut harga yang tinggi sekali kerana anaknya juga besar kemungkinan akan cepat membesar. Pasaran utama untuk kambing sembelihan adalah anak berberat 22–36 kg (50-80 lb); anak kambing seharusnya mencapai saiz boleh pasar pada usia cerai susu. Anak kepada bapa yang terbukti cepat membesar boleh berberat 36 kg (80 lb) pada umur 90 hari, sementara anak kepada bapa yang bermutu rendah mungkin hanya mencapai berat 15 kg (35 lb) pada umur yang sama. Sesuai untuk dimasakatau dibakar sebagai kambing guling atau kambing golek.
Kambing jantan yang bermutu sederhana mula-mula akan kurang mahal harganya, namun ia boleh banyak menjejaskan keberuntungan perusahaan kambingnya.
Betina
[sunting | sunting sumber]Kambing betina yang digunakan untuk membiakkan kambing bermutu peragaan biasanya sangat besar kerana kambing peragaan dikehendaki besar tinggi badannya. Perusahaan daging komersial sering memberati kambing betina bersaiz sederhana kerana ia mampu melahirkan cukup anak dengan suapan pakan yang kurang. Umumnya, makin banyak anak yang dilahirkan, makin besarlah margin keuntungan bagi pemiliknya. Kambing Boer adalah poliestrus (iaitu boleh membiak sepanjang tahun), malah ia mencapai kematangan seksual pada umur lima bulan. Program pembiakbakaan kambing Boer biasanya bertujuan menghasilkan tiga kali beranak setiap dua tahun, iaitu kambing betina bunting selama lima bulan, menjaga anak selama tiga bulan, kemudian dibiakkan semula. Kelahiran anak kembar senang dicapai dalam kawanan yang terurus rapi. Biasanya ibu kambing kali pertama beranak satu, tetapi masih mampu melahirkan kembar. Selepas itu, ia mampu melahirkan anak kembar sekaligus.
Kacukan
[sunting | sunting sumber]Biarpun kambing jantan baka tulen diutamakan untuk tujuan pembiakbakaan, tetapi tidak kurang juga penggunaan kambing betina kacukan untuk menghasilkan anak, iaitu anak kacukan Boer 7/8 ke atas. Antara kacukan yang umum adalah Boer x Sepanyol, Boer x Angora, Boer x Kiko, Boer x Nubia, Boer x Sirohi, Boer x Osmanabadi, dan Boer x Jamnapari.
Kambing Boer kacukan umum sekali terdapat dalam kawanan pedaging komersial, apalagi dengan pengusaha-pengusaha yang baru menceburi perusahaan kambing Boer kerana betapa senang untuk diperoleh dan mampu miliknya. Lama-kelamaan, kambing kacukan boleh dibiakbakakan hingga mencapai status baka tulen Amerika. Piawaian baka tulen Amerika adalah kambing berdarah Boer 15/16 (F4) untuk betina dan 31/32 (F5) untuk jantan. Bapa kambing hendaklah melewati ibu kambing sebanyak satu generasi pembiakbakaan Boer untuk mencapai status ini kerana ia berpotensi untuk menyebarkan tabung genetiknya lebih luas daripada mana-mana seekor pun ibu kambing; iaitu takat darah Boer yang lebih tinggi mengurangkan kebarangkalian terdapatnya ciri-ciri baka lain dalam anaknya. Biarpun baka tulen tidak boleh sama sekali didaftarkan sebagai Fullblood (FB) atau jati, namun ramai penternak tetap mengutamakan baka tulen Amerika yang bagus dengan hasil cemerlang.
Ramai pengusaha masih mengutamakan kambing baka tulen atau jati tak kira betina mahupun jantan, malah pembiakbakaan kacuk yang disengajakan masih jarang-jarang dilakukan.
Perhatian: Notasi 'F' merupakan singkatan umum bagi menandakan peratusan keturunan tulen (Boer dalam hal ini) yang terhasil daripada kacukan bapa Boer tulen dengan ibu kambing baka lain:
- F1 : 1/2 keturunan Boer (Bapa baka tulen, ibu bapa lain)
- F2 : 3/4 keturunan Boer (Bapa baka tulen, ibu F1)
- F3 : 7/8 keturunan Boer (Bapa baka tulen, ibu F2)
- F4 : 15/16 keturunan Boer (Bapa baka tulen, ibu F3)
- F5 : 31/32 keturunan Boer (Bapa baka tulen, ibu F4)
Pertunjukan
[sunting | sunting sumber]Biarpun kambing Boer yang diternak khusus untuk pertunjukan mungkin kelihatan kurang persamaan dengan kambing peragut komersial, namun bezanya hanya di luaran. Ianya dibiakbakakan supaya lebih besar daripada kambing biasa, bahkan mencapai ciri-ciri tampak tertentu, tetapi ciri-ciri inilah yang merupakan gen-gen berharga untuk ditambahkan ke dalam kawanan komersil. Nilainya kepada penternak terletak pada peningkatan gen-gen unik yang boleh ditawarkan kepada mana-mana baka kambing pedaging. Kambing pertunjukan diternak untuk melambangkan ciri-ciri baka Boer yang paling dikehendaki, dan tujuan utamanya adalah memperkenalkan bakanya kepada umum. Kambing jantan mahupun betina yang diternak untuk pertunjukan boleh dan seringkali digunakan untuk penternakan biak baka komersial.[1] Selain itu, kambing Boer sesuai menjadi haiwan peliharaan.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Bowman, Gail, Raising Meat Goats for Profit 0967038103
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Kambing Boer |