[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

FOSS Pengenalan Am/Pengenalan

Daripada Wikibuku

Apa itu Perisian Bebas/Sumber Terbuka (FOSS)?

[sunting]

David Wheeler:

Secara ringkas, program-program OSS/FS ialah program yang lesennya memberikan para penggunanya kebebasan untuk melaksanakan program untuk apa jua tujuan, untuk meneliti dan mengubah program, dan untuk mengedarkan salinan program asal ataupun yang diubah suai (tanpa perlu membayar royalti kepada para pembangun terdahulu).[1]

Perisian Bebas dan Sumber Terbuka (FOSS) sudah menjadi fenomena antarabangsa, bergerak daripada kekaburan relatif kepada buzzword terkini dalam tempoh yang singkat. Namun demikian, masih terdapat kekurangan kefahaman tentang apa yang sebenarnya ramuan FOSS dan ramifikasi konsep baharu ini. Bagi menerangkan fenomena ini dengan lebih baik, kami akan meneliti falsafah dan kaedah-kaedah pembangunan yang menjadi landasan FOSS.

Falsafah FOSS

[sunting]

Terdpat dua falsafah utama dalam alam FOSS: Falsafah Free Software Foundation ("Yayasan Perisian Bebas", FSF) dan Open Source Initiative ("Inisiatif Sumber Terbuka" OSI). Kami mula dengan falsafah FSF, oleh sebab ia lebih terdahulu (lihat bahagian yang menyusul, "Sejarah Ringkas FOSS") dan kedudukannya sebagai pelopor pergerakan.

Mengikut FOSS, perisian bebas berkaitan dengan perlindungan empat kebebasan pengguna:

  • Kebebasan untuk melaksanakan sebuah program, untuk apa jua tujuan;
  • Kebebasan untuk mengkaji bagaimana sesebuah program bekerja and untuk mengubahnya kepada keperluan sesorang itu. Akses kepada kod sumber menjadi prasyarat;
  • Kebebasan untuk mengedar semula salinan-salinan agar anda dapat membantu tetangga; dan
  • Kebebasan untuk menambah baik program dan mengeluarkan penambahbaikan anda kepada masyarakat am, agar seluruh masyarakat mendapat faedah. Akses kepada kod sumber menjadi prasyarat. [2]

Terletak pada teras FSF ialah kebebasan untuk bekerja sama. Oleh sebab perisian tak bebas mengehadkan kebebasan untuk bekerja sama, FSF menganggap perisian tak bebas sebagai tidak beretika. FSF juga menentang paten-paten perisian dan hambatan-hambatan tambahan yang ditambah pada undang-undang hak milik yang sedia ada. Semua ini mengehad keempat-empat kebebasan pengguna yang dihuraikan di atas. Untuk mendapatkan penerangan yang lebih terperinci mengapa perisian harus bebas, sila rujuk penerangan FSF, "Why Software Should Be Free", di http://www.gnu.org/philosophy/shouldbefree.html

Falsafah OSI berlainan sedikit:

Idea asas di belakang sumber terbuka amat mudah: Apabila para pengatur cara dapat membaca, mengedar semula, dan mengubah suai kod sumber sesebuah perisian, perisian itu akan berubah ansur. Orang lain memperbaikinya, mengubah suainya, membetulkan pepijat. Dan ini boleh berlaku pada kecepatan yang, jika seseorang itu sudah biasa dengan kadar pembangunan konvensional perisian yang perlahan, kelihatan menakjubkan. [3]

OSI tertumpu pada nilai-nilai teknikal berkaitan dengan pembuatan perisian yang berkuasa dan boleh harap, dan lebih mesra perniagaan daripada FSF. Ia kurang menumpukan isu-isu moral Perisian Bebas dan lebih menumpukan kelebihan-kelebihan praktikal kaedah pembangunan tertabur FOSS.

Mahupun falsafah-falsafah fundamental kedua-dua pergerakan ini berbeza, kedua-dua FSF dan OSI berkongsi ruang yang sama dan bekerja sama dalam perkara praktikal seperti pembangunan perisian, usaha menentang perisian proprietari, paten-paten perisian, dan sebagainya. Seperti kata w:Richard Stallman, Pergerakan Perisian Bebas dan Pergerakan Sumber Terbuka adalah seperti dua parti politik dalam komuniti yang sama.

Kaedah Pembangunan FOSS

[sunting]

Model pembangunan FOSS unik dan menjadi kenyataan hanya dengan kemunculan Internet dan pengembangan komunikasi yang dicetusnya. Analogi katedral dan bazar digunakan untuk membezakan model pembangunan FOSS dengan kaedah-kaedah pembangunan perisian tradisional. [4]

Pembangunan perisian secara tradisional disamakan dengan cara pembinaan katedral-katedral pada zaman kuno. Kumpulan-kumpulan kecil yang terdiri daripada tukang-tukang terampil merancang reka bentuk dengan rapi secara terasing dan kesemuanya dibina sekaligus. Apa bila siap dibina, katedral-katedral lengkap dan tidak banyak pengubahsuaian perlu dilakukan kemudian. Secara tradisi, perisian juga dibina dengan cara yang sama. Kumpulan-kumpulan yang terdiri daripada para pengatur cara bekerja secara terasing, dengan perancangan dan pengurusan rapi, sehingga tugas mereka selesai dan program dikeluarkan kepada dunia am. Apabila dikeluarkan sahaja, program dianggap sudah lengkap dan hanya sedikit kerja dilakukan terhadapnya kemudian.

Sebaliknya, pembangunan FOSS lebih mirip sebuah bazar, yang membangun secara organik. Pedagang-pedagang awal datang, menubuhkan struktur masing-masing, dan memulakan perdagangan. Pedagang terkemudian pula datang, dan menubuhkan struktur-struktur mereka, dan bazar pun mengembang dengan cara yang dilihat sebagai kelam-kabut. Para pedagang hanya mengambil kisah tentang pembinaan struktur fungsian agar mereka dapat memulakan perdagangan. Tambahan-tambahan kemudian ditokok tambah mengikut keadaan. Sama juga, pembangunan FOSS bermula secara tanpa banyak struktur. Para pembangun perisian mengeluarkan kod awal yang berfungsi minimum kepada orang ramai dan kemudiannya mengubah suai program-program mereka berasaskan maklum balas. Para pengatur cara lain pula datang dan mengubah suai ataupun menokok tambah kod sedia ada. Dengan peredaran masa, sebuah sistem operasi dan sebuah suit aplikasi terbina dan sentiasa berkembang.

Rujukan

[sunting]
  1. Wheeler, David, “Why OSS/FS? Look at the Numbers!” [home page online]; diambil daripada http://www.dwheeler.com/oss_fs_why.html ; Internet; dicapai pada 7 November 2003.
  2. “The Free Software Definition”[home page online]; disediakan di http://www.fsf.org/philosophy/free-sw.html Internet; capaian pada 9 November 2003.
  3. Open Source Initiative [home page online]; disediakan di http://www.opensource.org; Internet; capaian 8 November 2003.
  4. Raymond, Eric S., The Cathedral and the Bazaar [laman dalam talian]; disediakan di http://catb.org/~esr/writings/cathedral-bazaar/cathedral-bazaar/ ; Internet; capaian 7 November 2003.