[go: up one dir, main page]

Pulau Pinang

negeri Malaysia di Semenanjung Melayu
(Dilencongkan daripada Penang)

Pulau Pinang (Jawi: ڤولاو ڤينڠ) merupakan sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia, di pinggir Selat Melaka. Ia mempunyai dua bahagian: sebuah pulau induk nama sama yang tertetaknya ibu negeri George Town dan Seberang Perai di Semenanjung Tanah Melayu. Kedua-dua bahagian ini dihubungkan secara fizikalnya oleh Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang. Negeri ini bersempadan dengan Kedah di bahagian utara dan timur dan Perak di bahagian selatan.

Pulau Pinang
ڤولاو ڤينڠ
Transkripsi lain
 • InggerisPenang
 • Cina槟城 (Ringkas)
檳城 (Tradisional)
Bīn chéng (Pinyin)
 • Hokkien庇能
Pī-néeng (Tâi-lô)
Pī-né͘ng (Pe̍͘h-ōa-jī)
 • Tamilபினாங்கு
Piṉāṅku (Transliterasi)
 • Thaiปีนัง
Pinang (RTGS)
Nama panggilan: Pulau mutiara
Cogan kata: Bersatu dan Setia
Lagu: Untuk Negeri Kita
   Pulau Pinang di    Malaysia
Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E / 5.40250; 100.36500Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E / 5.40250; 100.36500
NegaraMalaysia
Ibu negeriGeorge Town, Pulau Pinang
Bandar terbesarSeberang Perai
Pentadbiran
 • JenisSistem berparlimen
 • Yang di-Pertua NegeriAhmad Fuzi Abdul Razak
 • Ketua MenteriChow Kon Yeow
Keluasan
 • Jumlah1,048 km2 (405 batu persegi)
Aras tertinggi833 m (2,733 ft)
Penduduk
 (2020)[2]
 • Jumlah1,740,405
 • Kepadatan1,659/km2 (4,300/batu persegi)
Indeks Pembangunan Manusia
 • IPM (2018) 0.838 sangat tinggi [3]
Zon waktuUTC+08:00 (WPM)
Poskod
10xxx–11xxx (Pulau Pinang)
12xxx-14xxx (Seberang Perai)
Kod panggilan04
Huruf pertama plat kenderaanP
Laman sesawangwww.penang.gov.my

Dengan seramai 1.74 juta penduduk dan kepadatan penduduk sebanyak 1,659/km2 (4,300/sq mi) setakat tahun 2020, Pulau Pinang merupakan salah satu negeri di Malaysia yang paling berpenduduk padat dan dibandarkan. Seberang Perai merupakan bandar raya yang ketiga terbesar di Malaysia mengikut bilangan penduduk. Pulau Pinang merupakan sebuah negeri pelbagai budaya dengan penduduknya yang termasuk Orang Cina, Orang Melayu, Orang India, Orang Serani, Orang Siam dan ekspatriat.

Didirikan oleh Francis Light pada tahun 1786, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat, sebuah jajahan mahkota British yang juga terdiri daripada Melaka dan Singapura. Ketika Perang Dunia Kedua, Jepun menduduki Pulau Pinang, tetapi British menguasainya semula pada tahun 1945. Pulau Pinang kemudiannya bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia), yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Ekonomi Pulau Pinang beralih daripada perdagangan entrepôt kepada pembuatan elektronik dan sektor ketiga pada hujung abad ke-20. Hari ini, Pulau Pinang merupakan salah satu daripada penjana ekonomi yang paling membangun dalam negara, dengan KDNK per kapita kedua tertinggi dalam kalangan negeri-negeri Malaysia, dan Indeks Pembangunan Manusia ketiga tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Selangor. Pulau Pinang juga merupakan pengeksport utama Malaysia dengan eksport bernilai hampir RM451 billion pada tahun 2022, terutamanya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang juga lapangan terbang ketiga tersibuk dalam negara dari segi traffik penumpang.

Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 yang diterbitkan pada 26 Julai 2018 melaporkan bahawa Pulau Pinang mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM49,873 pada 2017.[4]

Negeri Pulau Pinang juga merupakan negeri majoriti penduduk Cina di Malaysia. Di sini juga menjadi Chinatown utama negara Malaysia.

Etimologi

Nama Pulau Pinang ini diambil daripada nama pokok pinang (areca catechu). Pulau Pinang juga dirujuk secara tidak rasminya sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient) dan "Pulau Mutiara".

Di sepanjang aliran sejarahnya, Pulau Pinang dikenali dengan nama-nama berbeza oleh para pelaut dari pelbagai kawasan. Orang tempatan menamakannya Pulo Ka Satu kerana ia merupakan pulau terbesar di sepanjang jalan kelautan antara Lingga dan Kedah.[5] Orang Siam yang pernah dipertuankan Kedah memanggilnya Ko Mak (Bahasa Thai: เกาะหมาก).[6]

Peneroka kelautan juga mengambil perhatian terhadap pokok pinang yang berlebih-lebih di pulau ini. Pada abad ke-15, Laksamana Cheng Ho dari China Ming merujuk kepada pulau ini sebagai Bīngláng Yǔ (Cina tradisional: 檳榔嶼Cina ringkas: 槟榔屿Pe̍h-ōe-jī: Pin-nn̂g-sū; secara harfiahnya "Pulau Pinang") dalam carta pandu arah beliau.[7] Dalam buku yang bertajuk Declaraçam de Malaca ("Description of Malacca" atau "Penerangan Melaka"), ahli kartografi Portugis Manuel Godinho de Erédia menamakannya Pulo Pinaom.[8]

Sejarah

Sejarah awal

Hubungan sejarah
  Syarikat Hindia Timur Inggeris 1786–1858

  Raj British 1858–1867
  Negeri-Negeri Selat 1826–1941; 1945–1946
  Empayar Jepun 1941–1945
  Malayan Union 1946–1948
  Persekutuan Tanah Melayu 1948–1963

  Malaysia 1963–kini

Ahli arkeologi menemui rangka manusia seperti "Penang Woman" (Perempuan Pulau Pinang) berserta dengan cengkerang kepah dan kerang, tembikar dan alat batu di Seberang Perai.[9] Artifak-artifak tersebut menunjukkan bahawa di sekitar 5,000 dan 6,000 tahun lalu, Pulau Pinang pernah dihuni oleh Orang Melanesia pada Zaman Neolitik.[10][11][12]

Inskripsi Bahasa Pali pada megalit Cherok Tok Kun menandakan bahawa tamadun Hindu-Buddha Lembah Bujang, yang berpusat di Kedah hari ini, pernah berkuasa di sesetengah bahagian Seberang Perai menjelang abad ke-6.[13] Keseluruhan bahagian Pulau Pinang kemudiannya menjadi sebahagian daripada negeri Kedah, yang dipertuankan Negara Siam menjelang hujung abad ke-18.[14]

Penubuhan dan pemerintahan British

 
Pemerolehan dan pengembangan Pulau Pinang (berwarna kuning) oleh British berlaku di antara tahun 1786 dan tahun 1874, apabila perubahan terakhir bagi sempadan Pulau Pinang telah diperbuat.[15][16][17][18]
 
Pelabuhan Pulau Pinang di George Town s. tahun 1910. Fungsi perlabuhan akhirnya ditempatkan semula ke Seberang Perai pada tahun 1974.[19]

Sejarah moden Pulau Pinang bermula pada tahun 1786 apabila Francis Light, seorang wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), memperoleh Pulau Pinang daripada Sultan Kedah Sultan Abdullah Mukarram Shah sebagai tukaran bantuan ketenteraan. Light dihantar ke Semenanjung Tanah Melayu oleh SHTI untuk membina hubungan perdagangan di kawasan tersebut. Di sana, beliau melihat potensi strategik Pulau Pinang sebagai "stor yang mudah untuk perdagangan" yang dapat membolehkan British untuk menyekat cita-cita wilayah Belanda dan Perancis di Asia Tenggara.[20]

Antara pedagang berbangsa Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal The Edward Bonaventure milik pedagang tersebut adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Berdasarkan catatan pelayaran kapten tersebut, beliau menemui Pulau Pinang selepas singgah beberapa bulan di Pulau Rimau yang terletak di selatan Pulau Pinang pada bulan Jun 1593. Dalam perjalanan meninggalkan Pulau Rimau itulah beliau menemui Pulau Pinang yang kelihatan tidak berpenghuni.

Satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak tahun 1705 berdasarkan penemuan kawasan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan juga turut dibuka oleh orang Melayu di Batu Uban, Sungai Kluang dan beberapa kawasan lain. Di Seberang Perai pula, sewaktu diambil alih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1800, masih dipenuhi hutan dengan penduduknya dianggarkan berjumlah antara 2 hingga 3 ribu orang.[21]

Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, dipajak kepada Syarikat Hindia-Timur British (SHTI) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau itu sebagai Pulau Prince of Wales sempena nama Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaga yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakan "Georgetown", iaitu nama Raja George III dari Britain.

 
Kapten Francis Light: mendapatkan Pulau Pinang dengan memberikan janji palsu, bantuan tentera kepada Sultan Kedah.

Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia-Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangan dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut.

Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia-Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerahkan hak kepada syarikat itu dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah tetapi telah dinaikkan sebanyak Ringgit Malaysia, 10 juta pada tahun 2018.

Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Negeri Selat di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.

Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, zon perdagangan bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.

Pada tahun 2004, ketidakpuasan terhadap kemerosotan ekonomi Pulau Pinang telah mengakibatkan kempen media untuk mengembalikannya kepada zaman kegemilangannya.

Geografi

Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negeri Kedah di sebelah utara dan timur, negeri Perak di sebelah selatan dan perairan Selat Melaka di sebelah barat. Pulau Pinang terdiri daripada bahagian pulau dan juga tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Perai. Keluasan kawasan pulau adalah 285 kilometer persegi yang terpisah sepenuhnya daripada Seberang Perai. Kedua-dua bahagian dihubungkan dengan perkhidmatan feri dan Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13.5 kilometer.

Iklim

Suhu (siang) 27°C-30°C
Suhu (malam) 22°C-24°C
Curahan hujan 2670 mm
Kelembapan 70%-90%
Data iklim untuk Pulau Pinang
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) 31.6
(88.9)
32.2
(90.0)
32.2
(90.0)
31.9
(89.4)
31.6
(88.9)
31.4
(88.5)
31.0
(87.8)
30.9
(87.6)
30.4
(86.7)
30.4
(86.7)
30.4
(86.7)
30.7
(87.3)
31.2
(88.2)
Purata minimum suhu harian, °C (°F) 23.2
(73.8)
23.5
(74.3)
23.7
(74.7)
24.1
(75.4)
24.2
(75.6)
23.8
(74.8)
23.4
(74.1)
23.4
(74.1)
23.2
(73.8)
23.3
(73.9)
23.3
(73.9)
23.4
(74.1)
23.5
(74.3)
Purata curahan hujan, mm (inci) 68.7
(2.70)
71.7
(2.82)
146.4
(5.76)
220.5
(8.68)
203.4
(8.01)
178.0
(7.01)
192.1
(7.56)
242.4
(9.54)
356.1
(14.02)
383.0
(15.08)
231.8
(9.13)
113.5
(4.47)
2,407.6
(94.78)
Purata bilangan hari hujan (≥ 1.0 mm) 5 6 9 14 14 11 12 14 18 19 15 9 146
Purata bulanan jangka masa sinaran matahari 248.0 234.5 235.6 225.0 204.6 201.0 204.6 189.1 162.0 170.5 183.0 207.7 2,465.6
Sumber 1: National Environment Agency
Sumber 2: Hong Kong Observatory[22]

Pecahan kawasan pentadbiran

Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada 5 daerah dan 81 mukim.

Daerah di Pulau Pinang
 
Daerah Keluasan (km2)[23] Populasi (2020)[24] Mukim
Barat Daya 174.87 237,735 22
Seberang Perai Selatan 242.27 422,985 16
Seberang Perai Tengah 237.8 339,132 21
Seberang Perai Utara 267.74 183,996 16
Timur Laut 126.4 556,557 6

Bandar Utama

Negeri Pulau Pinang terbahagi antara dua kerajaan tempatan. Majlis Bandaraya Pulau Pinang mentadbir ibu kota Pulau Pinang iaitu George Town dan keseluruhan Pulau Pinang, manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai mentadbir Seberang Perai di Semenanjung Malaysia.

Demografi

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
1970776,124—    
1980900,772+16.1%
19911,064,166+18.1%
20001,231,209+15.7%
20101,526,324+24.0%
20201,740,405+14.0%
Sumber:[2]

Mengikut bancian penduduk Malaysia 2020, jumlah penduduk di Pulau Pinang ialah seramai 1,740,405 orang majoritinya di daerah Timur Laut iaitu 32 peratus dari jumlah penduduk. 91.9 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warganegara manakala selebihnya merupakan bukan warganegara.[2]

Etnik

Kumpulan etnik warganegara (2020)[2]
Etnik Peratusan
Bumiputera
  
44.7%
Cina
  
44.9%
India
  
9.7%
Lain-lain
  
0.6%

Negeri Pulau Pinang mempunyai penduduk berbagai etnik terdiri daripada Melayu, Cina, India, bumiputera selain Melayu dan lain-lain. Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang majoriti penduduknya beretnik Cina. Namun, peratusan penduduk beretnik Cina di Pulau Pinang semakin berkurang.[2]

Kumpulan etnik warganegara
Etnik %
Bumiputera 44.7
Cina 44.9
India 9.7
Lain-lain 0.6

Pulau Pinang juga mempunyai komuniti Yahudi dan Armenia, tetapi selepas Perang Dunia Kedua dan penubuhan negara Israel, komuniti Yahudi dan Armenia Pulau Pinang hampir lenyap. Terdapat juga komuniti peniaga Arab, Jerman, Inggeris, dan Belanda di Pulau Pinang, selain itu Pulau Pinang mempunyai golongan ekspatriat yang besar, kebanyakannya berasal dari United Kingdom, Australia, negara-negara Eropah, dan Jepun.

Agama

Agama di Pulau Pinang - Banci 2020[2]
Agama Peratusan
Islam
  
45.5%
Buddha
  
37.6%
Hindu
  
8.4%
Kristian
  
4.3%
Lain-lain
  
2.4%
Tiada agama atau N/A
  
1.7%

Pada tahun 2020, majoriti penduduk Pulau Pinang beragama Islam iaitu 45.5 peratus dari jumlah penduduk diikuti agama Buddha yang dianuti 37.6 peratus penduduk. Antara agama lain yang dianuti penduduk Pulau Pinang termasuklah agama Hindu dengan 8.4 peratus dan agama Kristian dengan 4.3 peratus. Sebanyak 1.7 peratus penduduk Pulau Pinang tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya.[2]

Kerajaan negeri

Negeri Pulau Pinang mempunyai Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) sendiri, akan tetapi kuasanya terhad apabila dibandingkan dengan pihak berkuasa kerajaan pusat.

Sebagaimana dengan negeri-negeri Malaysia yang lain, Majlis Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada ahli-ahli yang dilantik daripada parti politik yang menjadi kerajaan. Ketua Majlis Mesyuarat Kerajaan ialah Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Pada Mei 2005, terdapat permintaan daripada ahli-ahli UMNO, parti politik yang terbesar dalam kerajaan campuran, untuk menggilirkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang di antara parti-parti komponen Barisan Nasional, akan tetapi cadangan itu ditolak oleh Perdana Menteri.

Terdapat satu majlis bandaraya dan satu majlis perbandaran di Pulau Pinang, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Ahli majlis tempatan dilantik oleh kerajaan negeri sejak Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dibatalkan dalam tahun 1960-an.

 
Bangunan Komtar

Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada lima pembahagian pentadbiran:



Kebudayaan dan ekonomi

Pulau Pinang, yang juga digelarkan sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient), merupakan sebuah syurga bagi pencinta-pencinta makanan yang datang dari seluruh Malaysia dan Singapura untuk menikmati gaya masakan yang istimewa. Makanan Pulau Pinang yang membayangkan pergaulan di antara kaum Cina, Melayu dan India, juga dipengaruhi kuat oleh makanan Thailand. Pulau Pinang adalah termashyur dalam makanan penjaja yang dijual dan dimakan di tepi jalan, terutamanya makanan mi dan makanan laut.

 
Gambar ini menunjukkan seorang pembawa beca bersama pelancong menaiki beca

Batu Ferringhi, yang terletaknya di pantai utara Pulau Pinang, mempunyai banyak hotel yang moden dan merupakan pantai peranginan yang amat popular. Ramai pelancong juga melawati Georgetown, sebuah bandar yang bersejarah dan yang mengandungi rumah-rumah pelbagai kaum, termasuk orang Cina Selat, Melayu dan India, yang dibina pada abad kesembilan belas. Bangunan-bangunan kolonial British boleh juga didapati diantara kuil-kuil Cina dan India, dan masjid orang Melayu Islam. Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Rumah Besar Cheong Fatt Tze di bandar, dan Kuil Ular di Bayan Lepas merupakan destinasi pelancong yang masyhur. Salah satu daripada mercu tanda yang utama ialah bangunan KOMTAR, bangunan yang tertinggi di Pulau Pinang.

Kegiatan perdagangan di negeri Pulau Pinang telah merosot dengan hebat bukan sahaja disebabkan oleh kehilangan taraf pelabuhan bebas, tetapi juga kerana kemajuan yang aktif di Pelabuhan Klang berdekatan ibu negara Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, masih terdapatnya sebuah terminal kontena di Butterworth yang meneruskan perkhidmatannya disebelah utara.

Pada hari kini, negeri Pulau Pinang merupakan ekonomi yang ketiga terbesar di antara negeri-negeri Malaysia, iaitu selepas Selangor dan Johor. Sektor pengeluaran merupakan sektor terutama dalam ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 45.9% kepada keluaran negeri kasar pada tahun 2000. Perkembangan industrialisasi di bahagian selatan pulau amat pesat, dengan banyak kilang elektronik teknologi tinggi (seperti Intel, AMD, Motorola, Agilent, Hitachi, Osram, Bosch dan Seagate) yang terletaknya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Baru.

Sektor-sektor utama yang lain dalam ekonomi Pulau Pinang termasuk sektor pelancongan, kewangan dan lain-lain perkhidmatan.

Pengangkutan

Pulau Pinang dikaitkan dengan tanah besar Semenanjung Malaysia melalui Jambatan Pulau Pinang yang disiapkan pada tahun 1985. Dengan panjangnya sebanyak 13.5 kilometer, jambatan ini merupakan salah satu daripada jambatan yang terpanjang di wilayah Asia. Perkhidmatan feri masih disediakan di antara:

  • Georgetown dan Butterworth (yang mana stesen keretapi yang terdekat ditempatkan) di tanah besar; dan
  • Georgetown dan Pulau Langkawi, sebuah pulau peranginan di utara.
 
Gambar Jambatan Pulau Pinang

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditempatkan di selatan George Town dan memberi kemudahan penerbangan antarabangsa ke London, Hong Kong, Singapura, Medan, Taipei, Bangkok, Seoul, Riau, Xiamen, dan Guangzhou.

Beca masih lagi boleh didapati dibeberapa tempat di Georgetown. Walau bagaimanapun, dengan ketibaan pengangkutan moden, beca semakin menjadi daya tarikan utama kepada pelancong. Malangnya, pengangkutan moden telah membawa masalah kesesakan trafik kepada George Town, disebabkan kebanyakan jalan di pusat bandaraya terlalu sempit kerana ketiadaan perancangan yang baik.

Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMM)

Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMM) adalah sebuah inisiatif perumahan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri tersebut. Program ini bertujuan mengatasi masalah kekurangan perumahan mampu milik dan membantu rakyat Pulau Pinang memiliki kediaman sendiri. [25]

Matlamat dan Objektif

Inisiatif RMM bertujuan untuk menyediakan lebih banyak pilihan rumah kepada penduduk Pulau Pinang yang menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi. Program ini juga bertujuan untuk mengurangkan ketidakseimbangan dalam akses perumahan bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, dengan menawarkan unit kediaman yang selesa dan berkualiti.

Kategori Rumah

Rumah Mampu Milik Pulau Pinang menawarkan beberapa kategori kediaman untuk memenuhi keperluan pemohon yang berbeza, bergantung kepada saiz keluarga dan lokasi pilihan. Setiap kategori direka bentuk untuk memberi keselesaan kepada penghuni, dengan kemudahan asas yang disediakan seperti tempat letak kereta, kawasan permainan, dan kawasan rekreasi untuk menyokong gaya hidup komuniti.

Syarat Kelayakan

Program RMM terbuka kepada:

  • Warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas.
  • Penduduk atau pekerja di Pulau Pinang.
  • Individu yang tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Proses Permohonan

Permohonan bagi Rumah Mampu Milik Pulau Pinang boleh dilakukan melalui portal rasmi perumahan negeri. Setelah pendaftaran, pemohon akan dimaklumkan tentang projek-projek baru yang tersedia untuk permohonan. Proses ini termasuk pengesahan kelayakan, pemilihan unit kediaman, dan penyediaan dokumen sokongan bagi permohonan pinjaman.

Lokasi Projek

Projek Rumah Mampu Milik Pulau Pinang dilaksanakan di beberapa kawasan strategik di negeri ini, termasuk di kawasan yang berdekatan dengan kemudahan asas seperti sekolah, hospital, dan sistem pengangkutan awam. Lokasi-lokasi ini dipilih untuk memastikan keselesaan dan akses mudah kepada kemudahan bagi penghuni.

Impak kepada Masyarakat

Program RMM telah memberi manfaat kepada ramai penduduk Pulau Pinang yang ingin memiliki rumah pertama mereka. Melalui penyediaan perumahan mampu milik yang berkualiti, inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan penghuni tetapi juga menyumbang kepada kestabilan sosial dan pembangunan komuniti yang mampan di Pulau Pinang.


Penduduk terkenal

Lihat juga


Rujukan

  1. ^ "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 27. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011. Dicapai pada 24 Januari 2011.
  2. ^ a b c d e f g "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 40. Dicapai pada 2022-03-30.
  3. ^ "| Human Development Reports". hdr.undp.org.
  4. ^ https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=d21BMHFxZFBIcFlCNExIYUQ1cE92Zz09
  5. ^ "Pulo Ka Satu : Warisan Sejarah Awal Persuratan Melayu Pulau Pinang" (PDF). Perpustakaan Negara Malaysia.
  6. ^ Larry, Sternstein. "The London Company's Envoys Plot Siam" (PDF). Siam Society: 37.
  7. ^ Ooi, Kee Beng (September 2012). "Penang before Francis Light (As the English Saw It in 1905)". Penang Monthly. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 December 2019. Dicapai pada 2 March 2018.
  8. ^ Haji Endut, Esmawee (November 1993). "Traditional Malaysian Built Forms: A Study on the Origins, Main Building Types, Development of Building Formd, Design Principles and the Application of Traditional Concepts in Modern Buildings" (PDF). Universiti Sheffield.
  9. ^ Liew, Jia Xian (12 Aug 2022). "5,000-Year-Old 'Penang Woman' Now Has a Face". The Star. Dicapai pada 11 Mar 2024.
  10. ^ "Prehistoric Human Skeleton Found at Penang Neolithic Site". TODAY. 19 April 2017. Dicapai pada 2017-04-29.
  11. ^ "Penang to Seek UNESCO Heritage Status for Guar Kepah Neolithic Site". The Star. 26 April 2017.
  12. ^ Freedman Leonard, Rousham Emily (1996). Perspectives in Human Biology: Humans in the Australasian Region. World Scientific. ISBN 978-981-4497-86-2.
  13. ^ Habibu, Sira (9 December 2013). "Lembah Bujang Covers a Larger Area". The Star.
  14. ^ Bisalputra, Pimpraphai; Sng, Jeffery (2020). "The Hokkien Rayas of Songkhla". Siam Society. 108 (1).
  15. ^ Hill, Ronald David (23 November 1839). "Plan of Prince of Wales Island and Province Wellesley". National Archives of Singapore. Ms copy by Poon Puay Kee. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
  16. ^ Moniot, Jules Michael (1860). "Map of Prince of Wales Island, or Pulo Penang and Province Wellesley including a Careful Survey of the South Channel". National Archives of Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
  17. ^ Stanford, Edward (1870). "Map of Prince of Wales Island and Province Wellesley, Straits Settlements". National Archives of Singapore. Revised by Major J.F.A.McNair. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
  18. ^ Allen, J. De V.; Stockwell, A. J.; Wright, L. R. (1981). "Documents Archive - Pangkor Engagement of 1874". Empire in Asia. Annotated by Aloysius Ng. National University of Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 November 2016. Dicapai pada 30 January 2023.
  19. ^ Jou, Michael Hsiao & Aveline-Dubach 2014, halaman 188
  20. ^ Lewis Su 2016, halaman 34
  21. ^ "Sejarah - Kerajaan Negeri Pulau Pinang". Dicapai pada 2022-03-31.
  22. ^ "Climatological Information for Penang, Malaysia". Hong Kong Observatory. Dicapai pada 2010-10-30.
  23. ^ "Kependudukan Pulau Pinang" (PDF). Jabatan Perangkaan Malaysia Pulau Pinang. 2020. m/s. 1. Dicapai pada 2022-03-31.
  24. ^ "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 54. Dicapai pada 2022-03-30.
  25. ^ "Syarat dan Cara Memohon Rumah Mampu Milik Pulau Pinang (RMM)". FindHouse. Dicapai pada 12 November 2024.
  • The Penang Tourism Action Council. "The 'Light' Years and Beyond" (2005).

Pautan luar