Temenggung Daeng Ibrahim
Temenggung Tun Daeng Ibrahim تمڠݢوڠ تون داءيڠ إبراهيم | |
---|---|
Dato' Temenggung Seri Maharaja Johor | |
Pemerintah Johor | |
Pemerintahan | 10 Mac 1855 – 31 Januari 1862 |
Didahului oleh | Ketemenggungan Johor ditubuhkan |
Diikuti oleh | Temenggung Tun Abu Bakar |
Temenggung Johor | |
Pemerintahan | 19 Ogos 1841 – 31 Januari 1862 |
Didahului oleh | Tun Haji Abdullah (de facto) |
Diikuti oleh | Temenggung Tun Abu Bakar |
Keputeraan | Pulau Bulang, Kepulauan Riau | 8 September 1810
Kemangkatan | 31 Januari 1862 Teluk Belanga, Singapura | (umur 51)
Pasangan | 1. Inche Ngah 2. Engku Long Muda 3. Tengku Andak binti Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah 4. Inche Aisha binti Abdullah (Chik Moi) |
Anakanda | 1. Sultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah 2. Ungku Muhammad 3. Ungku Ibrahim 4. Ungku Abdul Rahman 5. Ungku Abdullah 6. Ungku Abdul Majid 7. Ungku Muhammad Khalid 8. Inche Engku Yam 9. Inche Engku Pah 10. Ungku Zahara 11. Ungku Hawa 12. Ungku Maimuna 13. Ungku Khadija |
Kerabat | Temenggung Johor |
Ayahanda | Temenggung Tun Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Abdul Hamid |
Bonda | Inche Yah |
Agama | Sunni Islam |
Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim ibni Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Rahman (8 Disember 1810 - 31 Januari 1862) ialah Temenggung Johor dari tahun 1841 hingga 1862. Selepas beliau dan Sultan Ali Iskandar Shah menandatangani Perjanjian Setia 1855, beliau memerintah Johor dari tahun 1855 hingga 1862.
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Tun Ibrahim dilahirkan di Pulau Bulang, Kepulauan Riau. Beliau merupakan putera kepada Temenggung Tun Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Abdul Hamid dan isteri pertamanya, Inche Yah, dan menerima pendidikan di Singapura. Beliau juga dikenali dengan panggilan Daeng Ronggek, Tengku Chik dan Daeng Kechil.
Sebelum pertabalan
[sunting | sunting sumber]Cadangan untuk mengiktiraf Tengku Ali sebagai Sultan Johor ditolak oleh Inggeris
[sunting | sunting sumber]Selepas kemangkatan Sultan Hussein Muhammad Shah pada tahun 1835, keluarga dan para pengikutnya telah mengangkat puteranya iaitu Tengku Ali sebagai pengganti baginda.[1][2] Memandangkan Tengku Ali masih kecil, keluarganya tidak meminta kepada Inggeris untuk mengiktiraf Tengku Ali sebagai Sultan Johor. Residen Kaunselor Inggeris di Melaka, Samuel Garling membuat cadangan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris supaya Tengku Ali diiktiraf sebagai Sultan Johor untuk menggantikan ayahandanya Sultan Hussein Muhammad Shah. Namun, Gabenor Negeri-Negeri Selat, Kenneth Murchison tidak bersetuju dengan cadangan Residen Garling kerana Gabenor Murchison menganggap bahawa cadangan tersebut hanya bertujuan untuk menjadikan keluarga Tengku Ali sebagai penerima gaji yang tidak mempunyai gelaran.[3] Menurut Gabenor Murchison, kedudukan Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor tidak pernah diakui oleh negeri-negeri Melayu lain dan baginda tidak pernah menikmati apa-apa hasil di Johor dan menjalankan kegiatan politik di sana. Walaupun Sultan Hussein Muhammad Shah diisytiharkan sebagai Sultan Johor oleh Inggeris tetapi pengisytiharan itu dibuat kerana terdapat muslihat tertentu dan sekarang Inggeris tidak mempunyai sebab untuk mengiktiraf putera Sultan Hussein Muhammad Shah iaitu Tengku Ali yang hanya mempunyai gelaran tetapi tidak mempunyai tugas.[4][5]
Inggeris mengiktiraf Tengku Ali sebagai pengganti ayahandanya untuk urusan pengagihan harta pusaka peninggalan Sultan Hussein Muhammad Shah
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1840, Tengku Ali berpindah dari Melaka ke Singapura untuk tinggal di Istana Kampong Gelam. Baginda banyak kali menghantar surat permintaan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor tetapi permintaannya ditolak.[6] Pada 16 Oktober 1840, Syarikat Hindia Timur Inggeris telah mengeluarkan satu surat siaran yang menyatakan bahawa Tengku Ali dianggap sebagai pengganti ayahandanya dan baginda berhak ke atas segala harta yang diberikan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris kepada ayahandanya di Kampong Gelam, Singapura.[7] Residen Kaunselor Inggeris di Singapura, Thomas Church mengumumkan bahawa surat siaran tersebut dikeluarkan khas untuk menentukan hak Tengku Ali ke atas harta pusaka ayahandanya supaya tidak berlaku perebutan atau rampasan harta pusaka.[8][9]
Pemerintahan
[sunting | sunting sumber]Pertabalan Tun Ibrahim sebagai Temenggung Johor
[sunting | sunting sumber]Selepas jatuhnya Singapura ke tangan Inggeris, Johor telah menjadi rebutan antara waris Sultan Hussein Muhammad Shah iaitu Tengku Ali dan waris Temenggung Tun Abdul Rahman iaitu Tun Ibrahim. Pada mulanya, Bendahara Tun Ali tidak mahu mengakui pelantikan Tun Ibrahim sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor kerana tindakan bapa Tun Ibrahim iaitu Temenggung Tun Abdul Rahman yang telah menyerahkan Singapura kepada Inggeris tidak dapat diterima oleh pembesar-pembesar Melayu.[10] Namun, pada 19 Ogos 1841, Bendahara Tun Ali telah merasmikan pertabalan Tun Ibrahim sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor di New Harbour, Singapura. Pengiktirafan yang diberikan oleh Bendahara Tun Ali kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim adalah bersyarat iaitu Temenggung Tun Daeng Ibrahim mesti bertuankan Sultan Johor yang sebenar iaitu yang bersemayam di Lingga.[11] Untuk memenuhi syarat yang diberikan oleh Bendahara Tun Ali, Temenggung Tun Daeng Ibrahim kemudian telah menghadap Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV ibni Sultan Muhammad Muazzam Shah II yang bersemayam di Lingga. Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV amat menyenangi kedatangan Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan meraikannya untuk menunjukkan pengiktirafan baginda kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[12]
Keinginan Tengku Ali untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor daripada Bendahara Tun Ali dan Inggeris
[sunting | sunting sumber]Pertabalan Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang dirasmikan oleh Bendahara Tun Ali telah mengundang rasa minat Tengku Ali untuk meminta Bendahara Tun Ali supaya baginda ditabalkan sebagai Sultan Johor. Pada 13 September 1841, Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Samuel George Bonham telah menulis surat kepada Bendahara Tun Ali untuk meminta beliau menabalkan Tengku Ali sebagai Sultan Johor.[13] Namun, Bendahara Tun Ali tidak melayan permintaan Tengku Ali kerana perkara tersebut melanggar batasan adat-istiadat raja-raja Melayu dan beliau tidak bersedia untuk mengkhianatinya.[14]
Penolakan daripada Bendahara Tun Ali merupakan tanda bahawa para pembesar Melayu tidak menyokong tuntutan Tengku Ali untuk diiktiraf sebagai Sultan Johor.[15] Bagi raja-raja dan masyarakat Melayu, Sultan Johor bersemayam di Lingga manakala Bendahara bersemayam di Pahang dan Temenggung bersemayam di Johor dan Singapura.[16] Bukan itu sahaja, Inggeris yang bertanggungjawab mengangkat ayahanda Tengku Ali iaitu Sultan Hussein Muhammad Shah sudah berpaling tadah dan tidak menyokong tuntutan Tengku Ali. Inggeris mengambil keputusan mudah untuk menolak tuntutan tersebut dengan memberikan alasan bahawa Bendahara Tun Ali dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim tidak akan melayan tuntutan tersebut. Hal ini demikian kerana Bendahara Tun Ali sendiri tidak pernah mengiktiraf ayahanda Tengku Ali iaitu Sultan Hussein Muhammad Shah sebagai Sultan Johor.[17]
Pengenalan Sistem Kangcu dan Surat Sungai
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1820-an, ramai orang Cina Singapura berpindah ke Johor untuk menjalankan aktiviti penanaman gambir dan lada hitam atas galakan Temenggung Tun Abdul Rahman dan anaknya Temenggung Tun Daeng Ibrahim.[18] Pada tahun 1840-an, Temenggung Tun Daeng Ibrahim telah menubuhkan satu birokrasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai Melayu untuk memantau urusan hal-ehwal melibatkan ketua-ketua orang Cina Singapura yang berpindah ke Johor atau dikenali sebagai Kangcu.[19] Kangcu ialah perkataan bahasa Cina yang bermaksud "Tuan Sungai". Temenggung Tun Daeng Ibrahim mula mengeluarkan permit rasmi yang dikenali sebagai "Surat Sungai" kepada Kangcu yang membenarkan mereka untuk mengusahakan ladang-ladang gambir dan lada hitam di sepanjang tebing sungai. Sebagai balasan, Kangcu dikehendaki membayar cukai hasil keuntungan yang diperoleh daripada ladang-ladang gambir dan lada hitam serta memperbaharui Surat Sungai selepas tempoh masa tertentu.[20] Kawasan perladangan dikenali sebagai "kangkar" iaitu perkataan bahasa Cina yang bermaksud "kaki sungai". Setiap kangkar diketuai oleh seorang Kangcu yang mentadbir dan memungut cukai untuk kerajaan Johor.
Penyatuan semula Empayar Kesultanan Johor
[sunting | sunting sumber]Setelah lebih 17 tahun menunggu sejak kemangkatan Sultan Hussein Muhammad Shah, pada bulan April 1852, Tengku Ali membuat keputusan untuk berangkat ke Lingga dengan tujuan untuk menyerahkan kembali Tanah Besar Johor kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV. Tengku Ali bertindak sedemikian kerana kecewa dengan sikap Inggeris yang masih tidak mahu mengiktiraf baginda sebagai Sultan Johor menggantikan bapanya Sultan Hussein Muhammad Shah walaupun baginda telah banyak kali menghantar surat kepada Inggeris.[21] Kekecewaan Tengku Ali semakin bertambah apabila baginda melihat hubungan para pegawai Inggeris dan para pedagang Eropah yang lebih rapat dengan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Tengku Ali melihat Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai saingannya yang kuat untuk mendapatkan kuasa sebagai pemerintah Johor.[22] Dengan penyerahan ini, semua tanah jajahan dalam Empayar Kesultanan Johor kecuali Pulau Singapura kembali bersatu. Penyerahan ini juga telah menyebabkan Inggeris dan Belanda berasa bimbang.[23] Apabila Pemangku Gabenor Negeri-Negeri Selat, Edmund Augustus Blundell di Singapura menerima maklumat tentang penyerahan tersebut daripada Gabenor Jeneral Belanda di Betawi, beliau telah memanggil Tengku Ali untuk pulang ke Singapura dengan ancaman untuk menahan elaunnya.[24][25] Tengku Ali pun pulang ke Singapura dan mengulangi tuntutannya kepada Inggeris iaitu pengiktirafan baginda sebagai Sultan Johor.[26] Selepas itu, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV kerap berangkat ke Singapura untuk bertemu dengan Tengku Ali. Kebetulan pada ketika itu, berlaku konflik antara Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV dan Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Ali bin Raja Jaafar. Inggeris mengesyaki bahawa Tengku Ali dan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV merancang untuk menubuhkan kembali Empayar Kesultanan Johor yang berpusat di Lingga.[27]
Pengisytiharan Pahang sebagai hak milik peribadi Bendahara
[sunting | sunting sumber]Selepas peristiwa Tengku Ali menyerahkan Tanah Besar Johor kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV, Bendahara Tun Mutahir telah mengisytiharkan Pahang sebagai satu kuasa autonomi pada tahun 1853.[28] Bendahara Tun Mutahir dan bapanya Bendahara Tun Ali merasakan mereka perlu mengingatkan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV bahawa status Tanah Johor tidak sama dengan status Tanah Pahang kerana Tanah Pahang merupakan tanah kurnia kepada keluarga Bendahara yang turun-temurun manakala Tanah Johor bukan tanah kurnia kepada keluarga Temenggung dan keluarga Temenggung hanya menjadi pentadbir sahaja.[29] Pengisytiharan tersebut merupakan "pengisytiharan semula" yang menunjukkan kedudukan Pahang yang telah dikurniakan kepada keluarga Bendahara sejak zaman Bendahara Tun Abdul Majid ibni Bendahara Tun Abbas ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.[30][31] Ini bermakna walaupun Bendahara di Pahang tunduk kepada Sultan di Lingga, Tanah Pahang tetap menjadi hak milik peribadi keluarga Bendahara dan kerajaan Bendahara yang memerintah Pahang sebagai Raja Bendahara Pahang adalah sah.[32][33]
Temenggung Tun Ibrahim menjadi pemerintah Johor melalui Perjanjian Setia 1855
[sunting | sunting sumber]Jasa-jasa Temenggung Tun Daeng Ibrahim sepanjang menjadi Temenggung Seri Maharaja Johor seperti mengusahakan ladang-ladang lada hitam, gambir[34] dan getah perca[35], mengutip cukai hasil di Johor[36] serta membantu Inggeris membanteras lanun di perairan Singapura dan Johor[37] telah menyebabkan beliau lebih berpengaruh daripada Tengku Ali yang terpaksa menanggung hutang yang banyak untuk menyara diri dan keluarganya serta berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Sultan Johor daripada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Pemangku Gabenor Blundell berusaha untuk menyelesaikan konflik antara Tengku Ali dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Walaupun pada mulanya Syarikat Hindia Timur Inggeris melarang Pemangku Gabenor Blundell untuk campur tangan dalam konflik tersebut, namun Syarikat Hindia Timur Inggeris kemudian membantu Pemangku Gabenor Blundell dengan memberikan beberapa cadangan untuk dipersetujui oleh Tengku Ali dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim. Akhirnya pada 10 Mac 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Tengku Ali menandatangani Perjanjian Setia 1855 di mana Tengku Ali menyerahkan sepenuhnya kerajaan Johor dan hak baginda ke atas Johor kecuali daerah Kesang kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan waris-warisnya untuk selama-lamanya. Sebagai balasan, Tengku Ali diangkat sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Ali Iskandar Shah tetapi baginda tidak boleh campur tangan dalam urusan pemerintahan Johor dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim membayar elaun bulanan kepada Sultan Ali Iskandar Shah. Berikut merupakan antara isi kandungan Perjanjian Setia 1855:
Adalah Yang Maha Mulia Sultan Ali Iskandar Shah ibni Sultan Hussein Muhammad Shah pada dirinya sendiri sampai keturunannya atau waris gantinya adalah di dalam surat ini ada menyerahkan dengan sepenuh-penuh kerajaan dan haknya kepada Dato' Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja ibni Dato' Temenggung Abdul Rahman Seri Maharaja sampai pada keturunannya atau waris gantinya selama-lamanya ialah semuanya tanah daerah takluk Johor itu melainkan tanah Kesang yang kemudiannya lagi disebutkan di dalam surat ini.[38]
Iskandar Puteri sebagai pusat pentadbiran Johor yang baru
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1855, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memilih tempat yang bertentangan dengan Singapura iaitu Tanjung Puteri, Johor sebagai pusat pentadbiran beliau yang baru. Temenggung Tun Daeng Ibrahim menamakan tempat tersebut sebagai Iskandar Puteri. Nama Iskandar Puteri ini merupakan hasil gabungan nama penuh Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Tun Ibrahim Iskandar dan nama Tanjung Puteri iaitu tempat Temenggung Tun Daeng Ibrahim mendarat untuk mencari kawasan pentadbiran.[39]
Reaksi Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV dan Bendahara Tun Ali terhadap Perjanjian Setia 1855
[sunting | sunting sumber]Perjanjian Setia 1855 mendapat kecaman hebat daripada raja-raja Melayu kerana perjanjian tersebut jelas bertentangan dengan adat Melayu di mana hanya Sultan yang berdaulat sahaja boleh memberikan tanah dalam bentuk kurnia. Memandangkan bapa Sultan Ali Iskandar Shah iaitu Sultan Hussein Muhammad Shah sendiri tidak diiktiraf sebagai Sultan Johor, maka Sultan Ali Iskandar Shah juga bukan Sultan Johor yang sah menurut adat Melayu. Selepas Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim menandatangani Perjanjian Setia 1855, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV menulis surat kepada Bendahara Tun Ali untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang perkembangan yang berlaku di Singapura. Hal ini demikian kerana Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV menganggap bahawa Tengku Ali telah menyerahkan kembali Tanah Besar Johor kepada baginda pada tahun 1852 tetapi Tengku Ali kini telah menyerahkan Tanah Besar Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim untuk mendapatkan gelaran 'Sultan'. Bendahara Tun Ali membalas bahawa beliau tidak reda dengan perjanjian tersebut yang melanggar adat Melayu dan tanah jajahan dalam Empayar Kesultanan Johor merupakan hak Sultan Johor yang tidak boleh diwarisi oleh orang lain kecuali melalui cara kurnia. Jelas di sini bahawa tindakan Sultan Ali Iskandar Shah yang menyerahkan Tanah Besar Johor kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim adalah tidak sah menurut adat Melayu.[40]
Pemakzulan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV oleh Belanda
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1857, Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV telah dimakzulkan (diturunkan daripada takhta) oleh Belanda. Peristiwa ini bermula apabila Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV kerap berangkat ke Singapura dan bergaul dengan para pedagang Eropah di sana selepas Tengku Ali berjumpa dengan baginda pada tahun 1852 untuk urusan penyerahan negeri Johor kepada baginda sebagai Sultan Johor yang sebenar. Ini menyebabkan baginda mula tidak mahu bermuafakat dengan para pembesarnya lalu mengganggu kelicinan urusan pemerintahan negeri.[41] Para pembesar Bugis di Riau berasa bimbang dengan tindakan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang kerap berangkat ke Singapura. Yang Dipertuan Muda pada ketika itu, Yang Dipertuan Muda Raja Ali ibni Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar yang mempunyai hubungan baik dengan Belanda melihat tindakan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV boleh menimbulkan masalah dengan Belanda dan Inggeris. Yang Dipertuan Muda Raja Ali tidak bersetuju dengan penyatuan semula Empayar Kesultanan Johor kerana Johor bukan lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Riau-Lingga menurut para pembesar Bugis. Oleh sebab itu, Yang Dipertuan Muda Raja Ali mendesak Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV agar memperbaharui Sumpah Setia Melayu-Bugis untuk menghalang cita-cita Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang ingin menyatukan semula Empayar Kesultanan Johor dan mengubah sikap baginda yang tidak mahu mendengar nasihat daripada para penasihat baginda.[42]
Selepas Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV memperbaharui Sumpah Setia Melayu-Bugis, dikatakan bahawa baginda kembali menjalankan tanggungjawab baginda sebagai pemerintah dengan bermuafakat bersama para pembesar negeri. Namun, perubahan sikap baginda tidak bertahan lama kerana pada bulan Jun 1857, sekali lagi berlaku persengketaan antara baginda dengan para pembesar Bugis. Persengketaan ini berpunca daripada isu pelantikan Yang Dipertuan Muda yang baru selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Raja Ali di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau.[43] Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV ingin melantik menantu baginda, Raja Muhammad Yusuf ibni Yang Dipertuan Muda Raja Ali sebagai Yang Dipertuan Muda yang baru tetapi para pembesar Bugis mahu Raja Haji Abdullah ibni Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda yang baru. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Raja Muhammad Yusuf tidak mahu melangkaui ayahanda saudaranya Raja Haji Abdullah untuk menjadi Yang Dipertuan Muda yang baru sedangkan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV tetap berkeras ingin melantiknya.[44] Menurut Tuhfat Al-Nafis, terdapat empat sebab kenapa para pembesar Bugis lebih suka memilih Raja Haji Abdullah sebagai Yang Dipertuan Muda iaitu Raja Haji Abdullah sudah biasa dengan urusan Kesultanan Riau-Lingga, beliau mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai adat-istiadat dan hukum syariat, para pembesar Bugis bersepakat bahawa beliau paling layak untuk memegang jawatan Yang Dipertuan Muda dan tiada siapa yang ingin memegang jawatan tersebut selagi beliau masih hidup, dan Residen Riau mengingatkan para pembesar Bugis mengenai Perjanjian 29 Oktober 1830 antara Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dengan Belanda di mana pelantikan Yang Dipertuan Muda perlu memperoleh persetujuan daripada Belanda.[45]
Disebabkan tiada persetujuan antara Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV dengan para pembesar Bugis mengenai isu pelantikan Yang Dipertuan Muda yang baru, Kesultanan Riau-Lingga tidak mempunyai Yang Dipertuan Muda selama beberapa bulan. Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang kecewa dengan isu tersebut telah membuat keputusan untuk berangkat ke Singapura untuk menghilangkan kekusutan baginda.[46] Namun, sebelum baginda berangkat, Residen Riau telah mengingatkan baginda untuk membuat keputusan mengenai isu tersebut kerana urusan pemerintahan negeri telah terjejas akibat ketiadaan Yang Dipertuan Muda tetapi baginda tetap berdegil dengan keputusan baginda untuk berangkat ke Singapura dalam keadaan yang meruncing itu. Pada bulan September 1857, semasa Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV masih berada di Singapura, Residen Riau telah memanggil Raja Haji Abdullah dan memaklumkan bahawa Belanda telah menurunkan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga. Keputusan Belanda tersebut mengejutkan para pembesar Bugis lalu mereka segera meminta Belanda untuk mengambil tanggungjawab atas tindakan memakzulkan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV disebabkan persengketaan yang berlaku dalam isu pelantikan Yang Dipertuan Muda kerana mereka bimbang bahawa raja-raja Melayu dan para pembesar Melayu yang lain akan menuduh mereka menderhaka kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV kerana tidak mahu mengikuti kemahuan baginda.[47]
Residen Riau bersetuju dengan permintaan para pembesar Bugis lalu melantik Raja Haji Abdullah sebagai Yang Dipertuan Muda yang baru dan meminta Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah untuk mencari pengganti Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV.[48] Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah kemudian berjumpa dengan Tengku Sulaiman ibni Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang merupakan ayahanda saudara kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV untuk meminta baginda menjadi Sultan Riau-Lingga yang baru. Selepas Tengku Sulaiman bersetuju dengan permintaan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah dan mendapat persetujuan daripada Belanda, maka Tengku Sulaiman diangkat menjadi Sultan Riau-Lingga yang baru bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II. Selepas mendengar berita tentang pelantikan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II sebagai Sultan Riau-Lingga daripada Pesuruhjaya Belanda di Singapura, Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV berangkat pulang ke Lingga untuk mendapatkan kebenaran tentang berita tersebut. Selepas mendapat pengesahan bahawa berita tersebut adalah benar di Lingga, dengan kecewanya Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV membuat keputusan untuk berangkat semula ke Singapura.[49]
Belanda menguasai Kesultanan Riau-Lingga melalui Perjanjian 1 Disember 1857
[sunting | sunting sumber]Selepas pelantikan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II sebagai Sultan Riau-Lingga, pada 1 Disember 1857, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Kesultanan Riau-Lingga yang diwakili oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II dan Yang Dipertuan Muda Raja Haji Abdullah dan pihak Belanda yang diwakili oleh Residen Riau, Frederick Nicholas Johannes dan Penolong Residen Riau, Herman Thedore Frederick Karel William Van Der Wal. Perjanjian tersebut menyatakan bahawa Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda, bakal Sultan Riau-Lingga perlu membuat perjanjian sumpah setia secara bertulis kepada Raja Belanda dan Gabenor Jeneral Belanda di Betawi sebelum ditabalkan secara rasmi dan baginda perlu mendapat persetujuan daripada Belanda dalam urusan pelantikan Tengku Besar iaitu bakal pengganti Sultan Riau-Lingga, pelantikan mana-mana Sultan Riau-Lingga perlu mendapat persetujuan daripada Belanda, kedudukan Yang Dipertuan Muda diperkukuhkan lagi dengan status sebagai Mangkubumi yang menjadi Raja Muda dan hanya keturunan raja-raja Bugis dengan keutamaan diberikan kepada waris Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar yang akan memegang jawatan Raja Muda, dan Sultan Riau-Lingga berjanji untuk menyerahkan hal-ehwal pemerintahan negeri kepada Raja Muda dan tidak boleh bermuafakat dengan pihak lain mengenai urusan pemerintahan negeri serta melarang pihak lain untuk mencampuri hal-ehwal pemerintahan negeri atau berunding dengan baginda di luar pengetahuan Yang Dipertuan Muda.[50] Dengan termeterainya perjanjian tersebut, maka kedaulatan Kesultanan Riau-Lingga telah diserahkan secara sukarela kepada Belanda dan Belanda dapat memiliki sebahagian daripada bekas Empayar Kesultanan Johor secara rasmi. Ini menandakan bahawa Kesultanan Riau-Lingga telah dijajah oleh Belanda secara rasmi.[51]
Antara kesan daripada perjanjian tersebut ialah peranan Bendahara dalam Kesultanan Riau-Lingga telah dihapuskan dan Kesultanan Riau-Lingga sudah tiada pertalian atau perhubungan dengan Kesultanan Johor Lama. Untuk membuktikan kenyataan ini, struktur pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga telah disusun semula sehingga tidak lagi mencerminkan tradisi pemerintahan Kesultanan Johor Lama warisan Kesultanan Melaka. Struktur pemerintahan Kesultanan Riau-Lingga yang baru terdiri daripada Sultan, Yang Dipertuan Muda, empat orang wazir iaitu Penggawa, Panglima Perang, Panglima Dalam dan Syahbandar, dan ketua bagi empat orang wazir tersebut juga seorang wazir yang bergelar Dato' Tua, kemudian diikuti oleh empat orang pegawai iaitu Imam, Khatib, Bilal dan Noja, dan ketua bagi empat orang pegawai tersebut ialah Qadi. Ini berbeza dengan struktur pemerintahan warisan Kesultanan Melaka di mana struktur tersebut terdiri daripada Sultan, Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari, Syahbandar dan Qadi manakala hierarki pembesar ialah Orang Kaya Berempat diikuti oleh Orang Kaya Berlapan dan Orang Kaya Enam Belas.[52]
Cubaan Sultan Ali Iskandar Shah untuk merampas Johor daripada Temenggung Tun Ibrahim
[sunting | sunting sumber]Walaupun Perjanjian Setia 1855 telah termeterai, konflik antara Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim masih tidak selesai. Pada tahun 1858, Sultan Ali Iskandar Shah telah bertemu dengan Gabenor Blundell di Singapura untuk mengadu tentang layanan buruk yang diberikan oleh Temenggung Tun Ibrahim kepada pengikut-pengikutnya yang datang mencari getah perca dan kayu balak di Johor. Apabila Gabenor Blundell meminta penjelasan daripada Temenggung Tun Daeng Ibrahim mengenai aduan yang dibuat oleh Sultan Ali Iskandar Shah, Temenggung Tun Daeng Ibrahim menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan bahawa apabila pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah datang ke Johor, mereka perlu mematuhi undang-undang dengan membayar cukai dan mereka juga perlu memohon surat kebenaran jika mereka mahu mengutip hasil-hasil hutan di Johor.[53] Kemuncak konflik antara Sultan Ali Iskandar Shah dan Temenggung Tun Daeng Ibrahim berlaku apabila pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah mencabar bahawa Perjanjian Setia 1855 tidak sah dan mereka bertemu dengan Gabenor Blundell untuk meminta supaya perjanjian tersebut dibatalkan atas alasan Sultan Ali Iskandar Shah tidak berunding dengan pembesar-pembesar Melayu terlebih dahulu sebelum baginda menandatangani perjanjian tersebut. Namun, Gabenor Blundell telah menolak permintaan mereka.[54]
Pada tahun 1860, pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah telah berkumpul di Muar untuk membuat persiapan peperangan dengan tujuan untuk menyerang Johor dan mengembalikan Johor kepada Sultan Ali Iskandar Shah. Apabila Temenggung Tun Daeng Ibrahim mendengar berita tersebut, beliau meminta bantuan Gabenor Blundell supaya masuk campur. Gabenor Blundell memberi amaran kepada Sultan Ali Iskandar Shah agar tidak mengganggu keamanan di Semenanjung Tanah Melayu selagi baginda bersemayam di Singapura di bawah kekuasaan kerajaan Inggeris namun Sultan Ali Iskandar Shah tidak mengendahkan amaran tersebut.[55] Menurut berita yang diterbitkan oleh surat khabar The Straits Times pada tahun 1861, lebih daripada 30,000 orang telah bersedia untuk melancarkan serangan ke atas Johor dan mereka hanya menunggu Sultan Ali Iskandar Shah untuk mengetuai serangan tersebut.[56] Pada 14 Februari 1861, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memberitahu Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir William Orfeur Cavenagh bahawa adinda kepada Bendahara Tun Mutahir iaitu Wan Ahmad ibni Bendahara Tun Ali, pengikut Sultan Ali Iskandar Shah yang bergelar Suliwatang, dan ketua-ketua dari Rembau dan Sungai Ujong telah berkumpul di Muar atas perintah Sultan Ali Iskandar Shah untuk menyerang Johor.[57] Pada 21 Februari 1861, Gabenor Cavenagh mengarahkan Residen Kaunselor Melaka untuk melarang orang-orang Melayu di Melaka daripada meninggalkan Melaka untuk pergi ke Muar. Kapal perang Inggeris yang bernama Hooghly telah dihantar ke Tanjung Gading, Muar untuk meninjau kekuatan pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah. Gabenor Cavenagh juga mengarahkan Residen Kaunselor Singapura untuk memberi amaran kepada Sultan Ali Iskandar Shah bahawa Perjanjian Setia 1855 telah disahkan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris dan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut tidak boleh diketepikan oleh mana-mana pihak yang menandatangani perjanjian tersebut. Gabenor Cavenagh mengarahkan Residen Kaunselor Singapura untuk melarang Sultan Ali Iskandar Shah pergi ke Muar dan menyekat bekalan senjata dari Singapura.[58] Akhirnya, Sultan Ali Iskandar Shah dan pengikut-pengikutnya terpaksa menghentikan rancangan mereka untuk menyerang Johor.
Pengukuhan kuasa Temenggung Tun Ibrahim sebagai pemerintah Johor melalui Perjanjian Pahang-Johor 1861
[sunting | sunting sumber]Kedudukan Temenggung Tun Daeng Ibrahim di Johor tergugat akibat tindakan pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah yang mencabar keabsahan Perjanjian Setia 1855 walaupun Sultan Ali Iskandar Shah sendiri yang menandatanganinya. Perjanjian Setia 1855 telah menyebabkan orang Melayu berpecah di mana pengikut-pengikut Sultan Ali Iskandar Shah mencabar keabsahan Perjanjian Setia 1855 manakala pengikut-pengikut Temenggung Tun Daeng Ibrahim menerima Perjanjian Setia 1855 sebagai perjanjian yang sah. Walaupun Sultan Ali Iskandar Shah bukan Sultan Johor yang sah kerana ayahandanya Sultan Hussein Muhammad Shah tidak mendapat pengiktirafan sebagai Sultan Johor, raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu yang lain di Semenanjung Tanah Melayu memandang serong kedudukan terkini Temenggung Tun Daeng Ibrahim kerana mereka hanya mengiktiraf kedudukan asal Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Temenggung Johor yang sah ditabalkan oleh Bendahara Tun Ali dengan restu Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV pada tahun 1841 dan mereka tidak mengiktiraf kedudukan terkini beliau sebagai pemerintah Johor yang disahkan oleh Inggeris pada tahun 1855. Untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pemerintah Johor yang sah dari segi adat-istiadat Melayu, Temenggung Tun Daeng Ibrahim memujuk Bendahara Tun Mutahir supaya mengiktiraf kedudukan terkininya berdasarkan Perjanjian Setia 1855. Hal ini demikian kerana Bendahara ialah penaung kepada adat raja-raja Melayu.[59] Akhirnya, pada bulan Disember 1861, Temenggung Tun Daeng Ibrahim mewakili kerajaan Johor dan Bendahara Tun Mutahir mewakili kerajaan Pahang telah membuat satu perjanjian setia di mana Bendahara Tun Mutahir telah mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah Johor yang sah dan keturunan Temenggung Tun Daeng Ibrahim memerintah Johor untuk selama-lamanya. Dalam perjanjian yang sama, Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Bendahara Tun Mutahir bersepakat untuk membantu antara satu sama lain jika negeri mereka diserang musuh dan jika timbul sebarang masalah antara mereka, mereka akan menyerahkan masalah mereka kepada Inggeris sebagai orang tengah untuk menyelesaikan masalah mereka.[60] Berikut merupakan antara isi kandungan Perjanjian Pahang-Johor 1861:
Adalah perjanjian Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang dengan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor tiada boleh sekali-kali yang lain menjadi Raja melainkan keturunan Raja Bendahara Tun Tahir Seri Maharaja Pahang menjadi Raja di dalam Pahang dan keturunan Raja Temenggung Tun Ibrahim Seri Maharaja Johor menjadi Raja di dalam Johor selama-lamanya.[61][62]
Usaha Bendahara Tun Mutahir untuk menyelamatkan adat Melayu
[sunting | sunting sumber]Sebab sebenar Bendahara Tun Mutahir melakukan tindakan sedemikian adalah untuk menyelamatkan adat Pahang dan Johor semampu yang boleh walaupun pada hakikatnya adat raja-raja Melayu sudah menjadi bercelaru pada ketika itu. Ketika Kesultanan Johor masih wujud, Temenggung diamanahkan untuk mentadbir Tanah Besar Johor dan Pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya manakala Bendahara diamanahkan untuk mentadbir Tanah Pahang. Namun, dengan keadaan di mana Kesultanan Johor sudah tiada, pembesar-pembesar Melayu yang tinggal hanyalah Bendahara di Pahang dan Temenggung di Johor dan wilayah mereka tidak lagi mempunyai penaung. Maka, timbul persoalan iaitu siapa yang berhak menjadi penaung mereka. Yang Dipertuan Muda yang memerintah Riau memilih untuk bertuankan Belanda dan beliau tidak mahu ada kaitan dengan Johor dan Pahang.[63] Persoalan ini susah untuk diselesaikan kerana Bendahara Tun Mutahir perlu mengambil kira faktor-faktor seperti bangsawan Melayu sudah berpecah-belah dan campur tangan Inggeris yang tidak mahu Kesultanan Johor dihidupkan semula dan Sultan Johor yang baru ditabalkan. Oleh sebab itu, Bendahara Tun Mutahir merasakan bahawa tindakannya yang mengiktiraf Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah Johor adalah yang terbaik. Walaupun begitu, pengiktirafan tersebut tidak menjadikan Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai Sultan Johor.[64]
Bendahara Tun Mutahir tidak dapat mengiktiraf Sultan Ali Iskandar Shah sebagai Sultan Johor kerana bukan sahaja Sultan Ali Iskandar Shah dan ayahandanya Sultan Hussein Muhammad Shah bukan Sultan Johor yang sah, malahan Sultan Ali Iskandar Shah juga menyerahkan Johor secara sukarela sebanyak dua kali iaitu kepada Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV pada tahun 1853 dan kemudian kepada Temenggung Tun Daeng Ibrahim pada tahun 1855.[65] Selain itu, tindakan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang membantu Wan Ahmad dalam usaha untuk merampas kuasa daripada Bendahara Tun Mutahir telah menyebabkan Pahang berada dalam keadaan huru-hara.[66] Bendahara Tun Mutahir juga tidak dapat memenuhi permintaan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV yang ingin ditabalkan sebagai Sultan Pahang selepas baginda disingkirkan daripada takhta Sultan Riau-Lingga kerana Tanah Pahang bukan milik baginda tetapi telah dikurniakan kepada keluarga Bendahara sejak zaman Bendahara Tun Abdul Majid.[67] Memandangkan tuntutan Sultan Mahmud Muzaffar Shah IV hanya melibatkan Pahang dan baginda tidak pernah meminta untuk ditabalkan sebagai Sultan Johor, maka Bendahara Tun Mutahir tidak melayan tuntutan baginda.[68]
Mangkat
[sunting | sunting sumber]Temenggung Tun Daeng Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 di Teluk Belanga, Singapura. Putera sulung Temenggung Tun Daeng Ibrahim iaitu Tun Abu Bakar menggantikan bapanya sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor yang bergelar Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abu Bakar.
Keluarga
[sunting | sunting sumber]Isteri
[sunting | sunting sumber]Temenggung Tun Daeng Ibrahim mempunyai empat orang isteri:-
- Inche Ngah
- Engku Long Muda
- Tengku Andak (anak perempuan ketiga kepada Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah, Sultan dan Yang di-Pertuan Besar bagi Riau-Lingga)
- Inche Aisha binti Abdullah (Chik Moi)
Anak Lelaki
[sunting | sunting sumber]Temenggung Tun Daeng Ibrahim mempunyai tujuh orang anak lelaki:-
- Sultan Sir Abu Bakar Al-Khalil Ibrahim Shah ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim, Sultan Johor Moden pertama
- Ungku Muhammad ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Ungku Ibrahim ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Ungku Abdul Rahman ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Ungku Abdullah ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim, Ungku Seri Paduka Pemangku Raja Johor
- Ungku Abdul Majid ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim, Ungku Seri Paduka Pemangku Raja Johor (bapa kepada Menteri Besar Johor ke-6 Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Majid, datuk kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid dan moyang kepada Gabenor Bank Negara Malaysia ke-7 Ungku Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz)
- Ungku Muhammad Khalid ibni Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
Anak Perempuan
[sunting | sunting sumber]Temenggung Tun Daeng Ibrahim mempunyai enam orang anak perempuan:-
- Inche Engku Yam binti Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Inche Engku Pah binti Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Ungku Zahara binti Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Ungku Hawa binti Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Ungku Maimuna binti Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
- Ungku Khadija binti Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim
Penghargaan
[sunting | sunting sumber]Bagi mengenang jasa Temenggung Tun Daeng Ibrahim sebagai pemerintah Johor, pihak berkuasa di Malaysia dan Singapura telah mengabadikan namanya pada beberapa bangunan.
Malaysia
[sunting | sunting sumber]- Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Hospital Kulai, sebuah hospital kerajaan yang terletak di Daerah Kulai, Johor.
- Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI), sebuah institusi pengajian tinggi di Larkin, Johor yang melatih bakal-bakal guru yang akan bekerja di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Singapura
[sunting | sunting sumber]- Masjid Temenggong Daeng Ibrahim, sebuah masjid yang terletak di Teluk Belanga, Singapura yang menempatkan Makam Diraja Johor termasuk makam Temenggung Tun Daeng Ibrahim dan Temenggung Tun Abdul Rahman. Walaupun terletak di Singapura, masjid dan makam ini berada di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ).
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Laman web Christopher Buyers
- Annabelle R. Gambe (2000). Overseas Chinese Entrepreneurship and Capitalist Development in Southeast Asia.
- Buyong Adil (2020). Sejarah Johor: Edisi Semakan.
- Keat Gin Ooi (2004). Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor.
- Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863.
- Virginia Matheson Hooker (2003). A Short History of Malaysia.
- Zuraidah Mohamed (22 November 2017). Iskandar Puteri bandar raya ke-14. Berita Harian.
Nota kaki
[sunting | sunting sumber]- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 229
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 245
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 230
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 230
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 232
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 232-233
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 233
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 245
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 245-246
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 246
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 246
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 247
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 249
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 248
- ^ Annabelle R. Gambe (2000), Overseas Chinese Entrepreneurship and Capitalist Development in Southeast Asia, halaman 82-83
- ^ Virginia Matheson Hooker (2003), A Short History of Malaysia, halaman 108
- ^ Keat Gin Ooi (2004), Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor, halaman 710
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 252
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 240
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 240
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 253-254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 189
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 192
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 254
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 231 dan 234
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 234
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 236
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 235
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 258
- ^ Zuraidah Mohamed (22 November 2017), Iskandar Puteri bandar raya ke-14, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/353911/iskandar-puteri-bandar-raya-ke-14
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 260
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 260-261
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 261
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 261
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 261-262
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 262
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 262-263
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 263
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 263-264
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 264
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 264-266
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 266
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 268
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 262
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 262
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 263
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 264
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 264
- ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 265
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 335
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 337-338
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 337
- ^ Ahmad Fawzi Basri (1988), Johor 1855-1917: Pentadbiran dan Perkembangannya, halaman 33-34
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 335
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 340
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 340
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 340-341
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 295
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 341
Penyandang Terdahulu | Temenggung Johor 1841 – 1862 |
Penyandang Kemudian |
Tun Haji Abdullah (de facto) | Temenggung Tun Abu Bakar |