[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Pasukan operasi khas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Pasukan Operasi Khas)

Pasukan operasi khas merupakan sebuah pasukan penggempur ketenteraan profesional yang dilatih khas dalam misi pertempuran bukan konvensional, menyelamat tebusan, peninjauan, kepakaran anti pengganas, serang hendap, pertahanan luar negara dan sebagainya.

Sejarah pasukan khas ini bermula dengan penggunaan peperangan bukan konvensional melalui helah Trojan Horse atau Kuda Trojan oleh tentera negara Yunani suatu ketika dahulu keatas tentera Troy. Kemunculan pasukan khas termoden mula digunakan secara meluas oleh negara-negara Berikat dan juga Paksi semasa Perang Dunia Kedua. Tentera Nazi Jerman pimpinan Adolf Hitler dipercayai mempunyai pasukan khasnya yang dikenali sebagai Brandenburgers yang diletakkan dibawah seliaan unit perisikan khas infantri bagi menjalankan operasi sabotaj di Poland pada tahun 1939 yang menjadi permulaan kepada Perang Dunia Kedua dan menjadi faktor kejayaan konsep Blitzkreg. Tentera Bersekutu khasnya Britain dan Amerika Syarikat juga mempunyai pasukan khas mereka tersendiri seperti Special Air Service British dan Underwater Demolition Team Amerika. Penggunaan pasukan khas semasa peperangan tersebut telah mendatangkan kematangan konsep penggunaan pasukan itu di dalam minda penganalisis ketenteraan. Para penganalisis menilai penggunaan anggota-anggota khas yang terlatih ini dalam menjalankan pelaksanaan setiap operasi yang dianggap sukar dan mustahil untuk dilaksanakan oleh pasukan penggempur biasa.

Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, pasukan khas negara bersekutu mahupun kuasa paksi ini juga dikecilkan kerana terdapat bantahan dari para pemimipin tentera yang majoritinya dari ketenteraan konvensional. British SAS telah dibubarkan selain satu batalion simpanan iaitu 21st SAS. Kemunculan insurgensi komunisme serta faktor keganasan moden disekitar tahun 1950an hingga 60an telah mewujudkan semula pasukan elit yang mempunyai keupayaan menangani situasi berkenaan. Antaranya SAS telah menubuhkan Malayan Scout atau Peninjau Malaya bagi membantu Malaya menghancurkan kegiatan pengganas komunis semasa Darurat Pertama pada tahun 1950 serta menubuhkan Pasukan Polis Hutan atau Jungle Squad (kini Pasukan Gerakan Am) dan unit Senoi Praaq atau Orang Perang.

US Navy SEALs, salah satu pasukan khas Tentera Laut Amerika Syarikat yang paling banyak menjalankan operasi-operasi ketenteraan diluar negara seperti di Colombia, Vietnam, Iraq dan Afghanistan.

Peranan pasukan khas tidak memerlukan jumlah unit penggempur biasa baik dari jumlah kompeni mahupun batalion dan kelengkapan senjata yang banyak serta tidak memerlukan jangkamasa pertempuran yang amat panjang. Ini kerana pasukan ini menggempur kedudukan musuh mempunyai kekuatan anggota yang ramai dengan menggunakan jumlah keanggotaan yang minima (biasanya menggunakan jumlah seramai 4 hingga 15 anggota) tetapi berupaya menjatuhkan musuh dengan cepat dan dilengkapi dengan sistem persenjataan yang sesuai dalam operasi. Mereka bertindak memusnahkan kedudukan musuh secara mengejut dengan melalui penyusupan dengan senyap, menyerang dan membunuh musuh dengan kepantasan yang tinggi dan memerlukan semangat kerjasama pasukan yang kuat serta meletupkan kawasan sasaran musuh tanpa bantuan dari unit artileri mahupun serangan udara. Selain tugas pasukan ini dalam menggempur secara terus ke garisan musuh, pasukan elit ini juga dilatih untuk melakukan operasi di belakang garisan musuh (behind enemy lines) secara sulit dan taktikal. Serta turut terlibat dalam operasi menyelamat tebusan dari tangan pengganas atau penjenayah berbahaya dan juga terlibat dalam misi pengaman disamping unit-unit tentera dan polis. Selain itu, pasukan khas juga berperanan mengawal dan menjaga keselamatan ke atas orang-orang kenamaan atau VVIP yang boleh mendatangkan kemungkinan menjadi sasaran oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, misalnya anasir subversif dan sebagainya. Pasukan ini juga menjadi unit pemukul sulit yang bersama dengan pasukan konvensional semasa pertempuran, misalnya pasukan khas dari Amerika iaitu Delta Force (Tentera Darat Amerika Syarikat) dan Navy SEALs (Tentera Laut Amerika Syarikat) serta SAS British yang turut bersama dengan Kor Marin Amerika dan Britain dalam pertempuran di Iraq yang menyukarkan musuh mengenali identiti mereka sehingga mereka berjaya menakluki seluruh negara Teluk tersebut.

Seluruh dunia memiliki pasukan khasnya yang tersendiri, tetapi memiliki taktik pertempuran khas yang berbeza-beza. Latihan pertempuran khas ini meliputi darat, laut dan udara. Pasukan khas juga turut melatih beberapa anggota biasa yang datang dari dalam mahupun luar negara untuk dilatih untuk menjadi pasukan yang sama dengan pasukan khas yang sedia ada. Namun, untuk menjadi sebuah pasukan khas bukannya satu perkara yang mudah. Setiap pegawai dan anggota yang ingin menjadi pasukan khas ini akan dipilih sama ada sesuai dari segi fizikal dan mentaliti calon-calon tersebut. Setiap latihannya amat mencabar dan melampaui kewibawaan seseorang insan biasa. Setiap latihan asas bagi pasukan elit berbeza dengan unit infantri biasa dan ia meliputi keseluruhan keadaan persekitaran muka bumi seperti latihan peperangan khas di dalam hutan, paya, bangunan, bandar, di dalam kenderaan misalnya kereta, kapal laut dan pesawat udara, laut dan udara khasnya latihan payung terjun serta penerjunan bebas di atitud tinggi atau dikenali HALO/HAHO (High Atitude Low Opening/ High Atitude High Opening).

Teknik pertempuran juga berlainan dengan pasukan infantri atau elit seperti Pasukan Lintas Udara. Antaranya ialah teknik pertempuran jarak dekat atau Close Quarter Battle (CQB) yang dijalankan khas didalam kawasan bandar atau kawasan yang tidak memerlukan sistem persenjataan berkuasa tinggi, misalnya refal. Latihan tersebut memerlukan kepantasan dan daya bidikan senjata yang amat tepat, misalnya jika dijalankan dalam operasi-operasi khas seperti menyelamat tebusan. Selain itu, cara melakukan serbuan juga harus dilakukan dengan strategi yang amat tepat bagi menjayakan teknik ini. Selain CQB, terdapat juga teknik pertempuran yang dikatakan setanding dengan teknik CQB ini yang dikenali sebagai Close Quarter Combat atau tempur berapat-rapat. Bagi teknik dikawasan perairan, latihan khas juga turut dijalankan dikawasan-kawasan perairan seperti paya, sungai, tasik, lombong dan laut seperti latihan menyelam gempur, memasang bahan letupan, serangan hendap dari bawah permukaan air dan sebagainya. Sementara latihan khas di udara pula, para pasukan ini dilatih dengan menggunakan latihan payung terjun, rappeling dan abseiling dan penerjunan ke dalam air sepertimana anggota Lintas Udara. Latihan payung terjun ini dijalankan khas dengan menggunakan pesawat udara dan para pelatih akan terjun keluar dari pesawat dan membuka payung terjun. Terdapat juga teknik latihan payung terjun yang paling mencabar yang dikenali sebagai penerjunan atitud tinggi iaitu HALO/HAHO. Ia merupakan satu latihan khas dimana peserta akan terjun dari pesawat pada ketinggian melepasi awan dan dilengkapi dengan peralatan khusus. Sementara rappeling dan abseiling pula ialah latihan mendarat dengan menggunakan tali yang dipasangkan khas pada helikopter bagi mendarat ke kawasan musuh dengan pantas. Dan latihan penerjunan ke dalam air atau hover jump adalah teknik dimana peserta akan terjun dari pesawat udara ke dalam air tanpa sebarang peralatan payung terjun dan abseiling.

Selain teknik-teknik tersebut, latihan seperti menyelamat tebusan juga amat mustahak sekali dalam pasukan elit bagi memastikan tebusan yang ditawan oleh pihak musuh diselamatkan tanpa sebarang kehilangan nyawa pada tebusan. Asas latihan ini bermula selepas insiden tebusan ke atas 11 warga Israel yang ditawan oleh Militan Palestin yang dikenali Black September di Munich, Jerman pada tahun 1973. Kesilapan pihak polis Jerman melakukan serangan terlebih dahulu telah mengundang padah apabila kesemua tebusan Israel itu terbunuh dalam pertempuran sungguhpun berjaya menumpaskan pihak militan tersebut. Fasa latihan ini memerlukan cara yang paling baik dan berkesan misalnya mengenalpasti kedudukan lokasi tebusan ditawan berdasarkan mock-up bangunan dan pesawat yang dijadikan sarang musuh menawan tebusan sebelum fasa serangan dibuat.

Peralatan khusus

[sunting | sunting sumber]

Sebagai pasukan yang paling profesional, pasukan khas mempunyai pelbagai peralatan khusus bagi memastikan setiap operasi khas dijalankan dengan sempurna. Perbelanjaan yang amat tinggi juga diperlukan kerana pasukan ini memerlukan peralatan yang jauh lebih moden daripada peralatan biasa. Peralatan khusus ini meliputi aspek persenjataan dan peralatan khas yang lain. Bagi persenjataan, dibawah terdapat sistem persenjataan ringan yang digunakan oleh pasukan ini.

Pistol

Pistol separa automatik dan revolver merupakan sistem persenjataan ringan yang amat penting bagi menjalankan operasi-operasi khas pasukan khas dan ia merupakan senjata yang kedua selepas senjata utama pengguna telah kehabisan peluru. Revolver amat jarang digunakan memandangkan penembakannya amat terhad kepada enam butir peluru sahaja jika dibandingkan dengan pistol. Antara pistol yang paling banyak digunakan bagi pasukan khas dan elit misalnya di Britain dan Amerika Syarikat ialah sistem Browning High-Power buatan Belgium yang menggunakan tiga jenis kaliber peluru iaitu 9 mm, .40 S&W dan .45 ACP. Sistem ini paling popular kerana pengguna mampu menggunakan teknik double tap shooting (teknik dua tembakan ke sasaran yang sama) dengan cepat dan pantas sungguhpun terdapat sistem tendangan yang amat keras. Majoriti yang menggunakannya adalah SAS Britain dan Australia. Dengan pengenalan produk terbaru daripada Beretta, Glock, Heckler & Koch serta Sig Sauer, penggunaan pistol Browning mula berkurangan serta terdapat khabar mengatakan peralatan ganti bagi sistem ini juga tidak dapat dipasarkan lagi oleh firma tersebut. Namun, penggunaannya masih lagi diteruskan. Pistol Colt M1911 berkaliber .45 ACP buatan Colt Firearms dari Amerika Syarikat mula digunakan pada tahun 1912 oleh Amerika dan dan tahun 1940an oleh Britain serta negara-negara yang berada dibawah jajahan Barat, termasuk Malaysia juga menggunakan sistem ini. Selain Colt dan Browning, pistol Glock dan Heckler & Koch (HK) adalah antara sistem pistol yang kini digunakan secara meluas oleh pasukan-pasukan elit negara luar memandangkan kualiti dan mutu serta kelasakan dan ketepatan menembak dengan pantas. Firma HK telah memasarkan produk pistolnya seperti HK P9S, Universal Selfloading Pistol (USP), Mark 23 .45 ACP (atau HK SOCOM) dan lain-lain bagi kegunaan khas unit-unit tersebut.

Senapang patah
Senapang patah taktikal Remington M870 MCS.

Senapang ceka atau pum gun senjata gempur jarak dekat dan memerlukan daya penembakan yang baik. Selain menggunakan peluru jenis penabur biasa dan penabur kuasa tinggi (Buckshot), senjata ini juga menggunakan peluru penabor tanpa bahaya (nonlethal weapon) jenis Bean Bag yang menggunakan bebola plastik atau getah bagi mencederakan pihak musuh tanpa sebarang kesan sampingan serta peluru jenis Slug bagi memecahkan tombol pintu setiap bangunan atau kapal bagi memudahkan serbuan dijalankan. Selain menggunakan sistem pump action, terdapat juga versi separa automatik turut digunakan. Antara jenis senapang cekah yang paling terkenal digunakan ialah Benelli dan Franchi SPAS dari Itali serta Remington dari Amerika Syarikat.

Submesingan
HK MP5A4, submesingan utama pasukan elit.

Submesingan atau mesingan kecil adalah sistem persenjataan utama yang paling banyak digunakan selain senapang cekah kerana ia paling sesuai digunakan dalam pertempuran jarak dekat yang memerlukan ketepatan menembak jarak dekat yang paling baik. Submesingan MP5 buatan Heckler & Koch adalah sistem mesingan yang paling banyak digunakan secara meluas di seluruh dunia (kecuali Russia) kerana sistem yang asalnya diubahsuai dari raifal G3 ini mempunyai rekod penggunaan yang amat baik dan kini terdapat sistem taktikal bagi MP5 bagi operasi khas seperti MP5-K yang dipendekkan dan MP5SD yang menggunakan sistem tanpa bunyi. Versi MP5-N atau MP5-Navy adalah versi khusus yang digunakan oleh Navy SEAL Amerika yang disadur dengan bahan khas bagi mengelakkan sebarang kerosakkan dan kekaratan semasa operasi diperairan.

Selain MP5, terdapat jenis submesingan yang menggunakan sistem peluru yang mampu menembusi pakaian kalis peluru seperti FN P90 buatan Fabriq Nationale dari Belgium dan MP7 dari HK.

Raifal Tempur atau Karbin

Sistem senjata jarak jauh seperti raifal tempur atau karbin merupakan aset persenjataan ringan yang turut disenaraikan dalam inventori senjata utama pasukan khas sekiranya terdapat sesetengah pihak atasan berpendapat penggunaan submesingan atau pump-gun dirasakan kurang sesuai digunakan didalam kawasan pertempuran dalam jarak yang amat terhad misalnya dikawasan hutan dan perkampungan atau menjadi unit penyerang sulit bersama infantri konvensional semasa peperangan. Selain itu, ia juga turut digunakan dalam teknik CQB bersama anggota khas yang menggunakan senjata jarak dekat. Versi-versi raifal tempur yang digunakan oleh pasukan elit adalah seperti raifal AK-47, AK-101 (berkaliber 5.56 mm), Colt M16, HK 33, HK G3, HK G36 Standard, Steyr AUG dan lain-lain. Manakala versi karbin adalah CAR-15, Colt M16 Model 653, Bushmaster M4, Colt M4, HK 416 Commando, HK G36C/K/KE serta HK XM8 Commando.

Senjata Tembak Tepat
Raifal penembak tepat Accuracy International PM.

Senjata penembak tepat atau lebih mudah lagi sniper adalah sistem persenjataan yang digunakan untuk menembak musuh dari jarak jauh yang tidak mampu diserang balas oleh musuh. Senjata tersebut biasanya dilengkapi dengan pejera teleskop yang membolehkan penembak mampu mengenalpasti berapakah jarak yang diperlukan bagi membunuh dari jarak yang amat jauh tanpa disedari oleh musuh serta menjadi penyerang sokongan semasa anggota khas melakukan serbuan dihadapan dan juga tongkat kaki dua atau bipod bagi menyokong senjata tersebut. Selain menggunakan amunisi versi standard (misalnya 5.56mm atau 7.62 mm), terdapat juga versi senjata penembak tepat yang menggunakan amunisi berkaliber tinggi seperti 12.7 mm atau .50 BMG.

Peralatan Khusus

[sunting | sunting sumber]

Peralatan khusus juga amat perlu bagi memudahkan operasi bagi pasukan khas dijalankan dengan lancar. Tanpa peralatan khusus, amat sukar bagi operasi khas ini dijayakan dengan begitu sempurna. Topi balistik adalah peralatan pertahanan yang digunakan bagi mengelakkan sebarang hentaman peluru ke atas kepala anggota serta mengelakkan daripada terkena palang atau objek lain di dalam bangunan atau kapal. British SAS pada mulanya menggunakan topeng penutup kepala atau hood tetapi dirasakan kurang sesuai bagi pengoperasian menentang musuh. Terdapat juga versi topi balistik yang digunakan oleh Kor Marin Amerika turut dipakai oleh pasukan elit sungguhpun ia amat membebankan pergerakan anggota.

Fail:PGKtempur.jpg
Pasukan Gerakan Khas Polis Diraja Malaysia lengkap dengan pakaian kalis peluru versi ke-IV.

Pakaian kalis peluru atau bulletproof vest adalah salah satu peralatan khas yang paling mustahak sekali digunakan oleh pasukan khas kerana tanpa pakaian ini, amat sukar bagi anggota yang terlibat dalam operasi khas ini menjayakan objektifnya. Ini kerana, sebagai pasukan yang terlatih, pakaian kalis peluru ini perlu bagi mengelakkan sebarang terjahan peluru musuh menembusi ke atas mana-mana bahagian organ utama tubuh badan manusia yang mana boleh mendatangkan kecederaan kritikal mahupun kematian. Pasukan khas sememangnya digalakkan memakai pakaian kalis peluru semasa melakukan operasi atau tugas khas yang mana kemungkinan boleh terdedah kepada bahaya pihak musuh yang menggunakan senjata api atau bahan letupan. Pakaian kalis peluru dikelaskan mengikut level yang ditetapkan. Bagi operasi yang mana pihak musuh menggunakan senjata yang berkaliber melebihi 30 mm, versi ke-IV (4) seberat 10.8 gram digunakan bagi mengelakkan sebarang terjahan peluru atau letupan sekuat 868 m/s. Terdapat juga versi yang dikenali sebagai covert vest yang mana pakaian ini dipakai di bahagian dalam baju dan amat sesuai tanpa pakaian seragam atau pakaian khusus pasukan elit. Versi ini digunakan oleh unit-unit khas yang terlibat dalam operasi mengiringi orang-orang kenamaan dan juga misi pengintipan atau undercover.

Sistem komunikasi turut disediakan dengan alatan komunikasi atau walkie-talkie yang dipasangkan pada bahagian kanan belakang pakaian kalis peluru serta dilengkapi dengan fon telinga yang dipasangkan di telinga. Bagi yang mempunyai dana yang amat besar, terdapat sebuah syarikat telekomunikasi yang mencipta alat komunikasi khas yang dipasangkan didalam tekak, khas bagi anggota yang menjalankan operasi tanpa pakaian khas.

Amunisi khas disediakan untuk penugasan khas pasukan khast. Bagi memastikan tanpa sebarang masalah dalam operasi khas, kualiti amunisi juga amat penting kerana amunisi yang kurang bermutu boleh mendatangkan masalah kepada halangan didalam senjata serta menjadikan senjata juga rosak yang boleh membataskan operasi yang dijalankan. Untuk pistol dan submesingan, amunisi versi Hollowpoint dari 9 mm, .380, .40 S&W hingga .45 ACP digunakan bagi mengelakkan sebarang tembusan lebihan (over penetration) yang dilepaskan ke sasaran. Sistem sokongan pada senjata juga turut disediakan.

Antaranya ialah sistem lampu suluh taktikal jenis Surefire yang dikembarkan dengan pistol, submesingan hingga kepada raifal tempur bagi memudahkan penembak menggunakan senjata didalam kawasan gelap. Pejera taktikal juga disediakan sebagai alat sokongan bagi memudahkan penembak menembak tanpa perlu menggunakan pejera senjata yang sedia ada. Terdapat dua versi pejera taktikal seperti pejera titik merah (red dot) dan pejera inframerah (thermal sight) dimana versi inframerah boleh digunakan bagi menembak musuh berdasarkan haba yang dikeluarkan dari tubuh badan.

Pakaian khusus disediakan dengan beberapa kategori. Antaranya adalah versi kalis api, anti radiasi atau bahan kimia berbahaya serta versi anti penghakis dan lain-lain. Syarikat Nomex adalah antara syarikat yang banyak mengeluarkan versi jenis ini.

Topeng gas juga diperlukan sekiranya ada sebarang ancaman bahan kimia yang digunakan oleh pihak musuh yang boleh mendatangkan kemudaratan ke atas nyawa anggota yang telah dikerahkan untuk beroperasi. Atas sebab peningkatan terhadap penggunaan senjata biokimia atau lebih tepat lagi senjata pemusnah dunia (WMD) oleh mana-mana organisasi paksi jahat atau extremis yang mana boleh mendatangkan ke atas sistem saraf khasnya pernafasan, topeng gas juga turut digunakan. Selain itu, ia juga turut digunakan untuk melindungi pernafasan yang terdedah kepada udara atau asap yang kotor.

Pasukan khas juga turut mempunyai bahan letupan khas seperti bom plastik jenis C-4 yang digunakan untuk memecahkan dinding dan pintu serta memecahkan kaca kalis peluru. Selain itu juga, bahan letupan ini turut digunakan untuk meletupkan kenderaan khas yang membawa dokumen dan peralatan penting bagi mengelakkan ia jatuh ke tangan musuh. Manakala perisai balistik taktikal pula adalah perisai khas yang digunakan bagi menangkis terjahan peluru musuh semasa fasa serbuan hadapan dijalankan. Penggunanya menggunakan perisai tersebut dengan menggunakan tangan kiri dan pistol digunakan pada tangan kanan, kemudiannya digerakkan ke hadapan yang diikuti dengan anggota dibelakang ke kawasan musuh.

Bom tangan atau grenad yang merupakan senjata yang digunakan oleh pihak infantri kini digunakan oleh mana-mana pasukan khas dalam penugasan khas mereka. Senjata ini mempunyai beberapa jenis yang terdiri daripada High Explosive Grenade, Stun Grenade/Flashbang dan Bom Asap. High Explosive Grenade atau HE adalah senjata bom tangan khas yang mempunyai kuasa letupan yang paling tinggi, digunakan untuk membunuh musuh yang amat ramai. Sistem bahan letupan ini merupakan peningkatan daripada bom tangan biasa yang digunakan oleh unit infantri tentera dan separa tentera. Bom tangan biasa mempunyai kuasa jarak membunuh sejauh 3 meter sahaja, sementara HE berjarak lebih 7 atau 10 meter. Manakala Stun Grenade atau Flashbang adalah versi gegaran atau cahaya kuat digunakan untuk membuatkan musuh terkena pancaran cahaya berwarna putih seperti kilat mengganggu penglihatan dan bunyi yang amat kuat seperti gemaan guruh boleh pendengaran musuh menjadikan terganggu seketika. Kedua-dua versi ini adalah buatan firma persenjataan dari British SAS disekitar tahun 1970an, ia diperbuat daripada bahan magnesium untuk menghasilkan pancaran cahaya seperti kilat serta bahan khas bagi menghasilkan tenaga bunyi yang amat kuat. Bom asap digunakan untuk mengaburi penglihatan musuh dan ia terdiri daripada dua jenis iaitu dari jenis berwarna dan juga dari jenis pemedih mata. Bom asap dari jenis pemedih mata digunakan untuk memedihkan mata musuh yang berada di dalam bangunan mahupun kenderaan. Kesemua jenis bom tangan atau grened ini bukan sahaja terdiri daripada versi yang dibaling terus dengan menggunakan tangan malahan turut disediakan dalam versi kartus pelancar grened seperti M79 dan M203, jika difikirkan perlu.

Sistem tangga gempur atau Assault Ladder merupakan salah satu tangga khas yang digunakan bagi memudahkan anggota memanjat masuk ke dalam bangunan tanpa perlu menggunakan tali abseiling yang biasa diturunkan dari atas bangunan atau helikopter. Tangga khas ini diperbuat daripada plat aloi yang nipis tetapi ringan dan kukuh serta boleh dilipat ini sesuai bagi anggota memanjat masuk ke dalam bangunan bagi tugas-tugas serbuan dalam bangunan yang mempunyai ketinggian terhad daripada 3 hingga 5 tingkat sahaja. Peralatan mematikan letupan atau EOD Tools juga disediakan khas bagi mematikan bahan letupan yang dipasang oleh pihak musuh, tanpa perlu meminta bantuan pakar bahan letupan yang bertauliah untuk mematikannya.

Pengangkutan Khusus

[sunting | sunting sumber]

Selain daripada persenjataan dan peralatan khusus, pasukan khas juga turut mempunyai kenderaan pengangkutan khas bagi memudahkan pasukan ini mampu menghampiri kawasan sasaran dengan pantas. Untuk tugas operasi didarat, kenderaan tempur baik dari jenis motosikal mahupun kenderaan perisai adalah aset yang amat dititikberatkan oleh mana-mana pasukan elit dunia. Antara contoh yang paling menonjol sekali dalam penggunaan kenderaan tempur khusus ialah Special Weapon And Tactics atau SWAT dibawah pasukan-pasukan polis Amerika Syarikat yang menggunakan kenderaan perisai yang digunakan untuk mengekang jenayah bersenjata yang bermaharajalela dibandar itu. Selain kenderaan perisai, motosikal juga digunakan sekiranya penggunaan kenderaan perisai tidak sesuai dan memerlukan kepantasan untuk sampai ke lokasi musuh dengan cepat dan terdiri daripada seorang penunggang dan seorang pembonceng serta dilengkapi dengan sepucuk pistol atau submesingan. Bagi penugasan dilaut, bot tempur yang direka khas juga digunakan untuk menghampiri kapal atau pelantar minyak serta menjalankan operasi pendaratan secara amfibia. Misalnya bot tempur dari jenis RHIB (Rigid Hulled Inflatabled Boat) merupakan versi yang pernah digunakan oleh US Navy SEALs dan Special Boat Service (British). Pesawat udara juga amat penting khasnya untuk penerjunan ahli payung terjun pasukan mahupun pendaratan abseiling atau rappeling.

Doktrin Pasukan Khas Terkini

[sunting | sunting sumber]

Pasukan elit bukan sahaja terdiri daripada formasi angkatan tentera sahaja, malahan turut ada pada formasi penguatkuasa undang-undang seperti polis, kastam mahupun pengawal pantai. Pasukan elit akan terus digunakan dengan secara meluas bukan sahaja dalam pelbagai insiden konflik, malahan juga kepada ketenteraan yang melibatkan mana-mana negara. Doktrin terbaru pasukan khas dengan secara evolusi ini amat perlu kerana tanpa pembaharuan mahupun peningkatan, sesuatu organisasi pasukan elit tersebut akan menghadapi sebarang insiden tempur dari segi doktrin yang sudah ketinggalan dibelakang, tidak fleksibel, masalah dari segi kawalan dan perintah dari pihak atasan, masalah operasi bersama dan sebagainya. Ini kerana dengan adanya doktrin peperangan yang menggunakan teknologi digital dan biokimia juga telah menjadikan para penganalisis berpendapat untuk meningkatkan daya tempur pasukan khas setaraf dengan pertahanan negara di abad ke-21 ini.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]