Sungai Muar
Sungai Muar سوڠاي موار | |
---|---|
Lokasi | |
Negara | Malaysia |
Negeri-negeri | Negeri Sembilan dan Johor |
Ciri-ciri fizikal | |
Sumber | Banjaran Titiwangsa |
• lokasi | Kampung Talang, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan |
Muara | Selat Melaka |
• lokasi | Bandar Maharani, Daerah Muar dan Tanjung Agas, Daerah Tangkak, Johor |
Panjang | 250 km |
Ciri-ciri lembangan | |
Jambatan | Jambatan Sultan Ismail, Jambatan Kedua Muar dan beberapa jambatan kecil ke hulu |
Sungai Muar merupakan sebatang sungai di Semenanjung Malaysia yang mengalir dari Talang, daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan hingga ke bandar Muar (juga dikenal sebagai Bandar Maharani), daerah Muar, Johor. Panjangnya adalah sekitar 250 km (155 bt), ia merupakan sungai ketiga terpanjang di Semenanjung Malaysia selepas Sungai Pahang dan Sungai Perak, lebih panjang sedikit berbanding Sungai Kelantan.
Di Negeri Sembilan amnya, Sungai Muar merupakan salah satu daripada dua batang sungai utama yang menyaliri negeri itu, di samping Sungai Linggi. Dan di Johor pula, sungai ini merupakan sungai kedua terpenting di negeri tersebut, selepas Sungai Johor.
Bandar-bandar utama sepanjang sungai ini termasuk Kuala Pilah, Bahau, Segamat, Pagoh, Tanjung Agas, dan Muar.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Sungai Muar membentukkan sebahagian daripada Jalan Penarikan, sebuah jalan perdagangan darat purba, yang ketika itu merupakan sebuah jalan pintas dari pantai barat ke pantai timur Semenanjung Tanah Melayu.
Arah aliran
[sunting | sunting sumber]Lembangan Sungai Muar merangkumi negeri-negeri Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Johor, meliputi daerah-daerah Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Bera, Jasin, Segamat, Tangkak dan Muar.
Sungai ini bermula di Banjaran Titiwangsa di Kampung Talang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, di mana sumbernya di empangan menjadi Tasik Talang susulan pembinaan Empangan Talang, ataupun dikenali sebagai Empangan Ulu Muar, sebagai tadahan air utama bagi kebanyakkan penduduk di negeri tersebut. Dari Kampung Talang, sungai itu mengalir ke arah selatan, melalui bandar-bandar seperti Kuala Pilah dan Bahau sehinggalah memasuki sempadan negeri Johor di Palong Timur, Segamat. Dari Palong Timur, sungai itu mengalir ke Buloh Kasap, di mana arah alirannya berubah ke arah barat, mengalir sepanjang sempadan daerah-daerah Muar dan Tangkak sebelum tiba di muaranya di Selat Melaka, berhampiran Bandar Maharani.
Jambatan
[sunting | sunting sumber]Terdapat dua buah jambatan yang menyeberangi sungai ini di bandar Muar. Jambatan lama, iaitu Jambatan Sultan Ismail, dibina pada tahun 1967 untuk menggantikan perkhidmatan feri. Jambatan Kedua Muar siap dibina pada tahun 2005. Terdapat juga banyak jambatan kecil di Pagoh dan sekitar Negeri Sembilan di bahagian hulu sungai tersebut.
Tempat menarik di sepanjang Sungai Muar
[sunting | sunting sumber]Bandar Maharani
[sunting | sunting sumber]Bandar Muar telah dibahagi dua oleh Sungai Muar di mana pusat bandar utama (Bandar Maharani) terletak di sebelah tebing selatan di dalam daerah Muar, dan Tanjung Agas di tebing utara di dalam daerah Tangkak. Satu tarikan Sungai Muar ialah Taman Tanjung Emas yang terletak di kualanya. Ia berlatar belakang esplanade menarik mengadap sungai yang tenang ini. Taman ini turut menempatkan padang golf 9
Terdapat dua masjid Sultan Ibrahim sepanjang Sungai Muar. Masjid Jamek Sultan Ibrahim lama, yang dibina pada tahun 1927, telah menjadi batu tanda bagi bandar ini sekian lama. Masjid Jamek Sultan Ibrahim terletak di Bandar Maharani, di tebing selatan Sungai Muar. Ia memiliki banyak pengaruh British disebabkan pembinaannya dilakukan semasa zaman koloni British. Ia memiliki menara empat tingkat di laman belakangnya. Masjid Sultan Ismail , yang terletak di tebing utara Sungai Muar di Tanjung Agas, merupakan ikon baru bandar Muar selain bagi sungai. Disiapkan pada tahun 2002, ia juga merupakan masjid terbesar di bandar tersebut. Rekabentuk masjid kedua ini menyerupai masjid asal. Kedua masjid menawarkan pemandangan mengkagumkan apabila dilihat dari muara Sungai Muar.
Pulau Penarik
[sunting | sunting sumber]Ia adalah sebuah pulau yang terhasil akibat kejadian tasik ladam dan ia terletak berhampiran pekan Sungai Mati, Tangkak.
Pagoh
[sunting | sunting sumber]Ia adalah sebuah pekan bersejarah di mana makam Sultan Alauddin Riayat Shah, Sultan Melaka ketujuh, terdapat di sini.
Bukit Kepong
[sunting | sunting sumber]Bukit Kepong merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di utara daerah Muar, yang terkenal sebagai tempat berlakunya peristiwa berdarah Bukit Kepong. Gerila yang menyaksikan pertempuran antara angkatan-angkatan Polis Persekutuan Tanah Melayu dengan angkatan-angkatan Tentera Pembebasan Kebangsaan (MNLA) daripada Parti Komunis Malaya telah menyebabkan sejumlah 66 orang terkorban. Balai Polis Bukit Kepong yang asal yang merupakan sebuah bangunan kayu telah dibakar oleh pihak komunis dalam kegamatan suasana gerila tersebut. Peristiwa ini diabadikan melalui filem aksi sejarah Bukit Kepong (1981) dan penulisan novel bagi pelajaran komponen sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar-pelajar tingkatan empat.
Galeri Darurat Bukit Kepong merupakan sebuah galeri dan muzium yang telah dibina di sebelah Balai Polis Bukit Kepong yang baharu dan makam pejuang-pejuang yang syahid dalam peristiwa tersebut, bagi memperingati salah satu sejarah hitam negara kita.
Bahau
[sunting | sunting sumber]Terletak di bahagian hulu Sungai Muar, bandar Bahau, Negeri Sembilan terletak di titik tengah laluan bersejarah Jalan Penarikan.