[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Menara Berkembar Petronas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Menara Berkembar PETRONAS
منارا برکمبر ڤيترونس
Map
Nama alternatifMenara PETRONAS, Menara KLCC
EtimologiPetronas Sunting nilai ini di Wikidata
Ketinggian yang direkodkan
sejarah bangunan tertinggi di dunia
(sejak 1998 hingga 2004) Sunting nilai ini di Wikidata
Didahului olehMenara Willis Sunting nilai ini di Wikidata
Diatasi olehTaipei 101 Sunting nilai ini di Wikidata
Maklumat umum
JenisMenara berkembarpencakar langittarikan pelancong Sunting nilai ini di Wikidata
Gaya seni binaSeni bina pascamoden Sunting nilai ini di Wikidata
LokasiJalan Ampang, Kuala Lumpur
AlamatMenara Berkembar Petronas, Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, 50088, Kuala Lumpur Sunting nilai ini di Wikidata
NegaraMalaysia Sunting nilai ini di Wikidata
Koordinat3°9′27.315″N 101°42′42.939″E Sunting ini di Wikidata
Pecah tanah1 Januari 1992; 32 tahun yang lalu (1992-01-01)
Pembinaan bermula1 Mac 1993; 31 tahun yang lalu (1993-03-01)
Disiapkan pada1 Mac 1996; 28 tahun yang lalu (1996-03-01)
Dirasmikan pada31 Ogos 1999 Sunting nilai ini di Wikidata
Diubah suai pada16 September 2011; 13 tahun yang lalu (2011-09-16)
PembiayaanAS$1.6 bilion[1][2]
PemilikKLCC Holdings Sdn Bhd
Maklumat ketinggian
Puncak451.9 m (1,483 ka)
Menara antena46 m (151 ka)
Bumbung405.9 m (1,332 ka)
Tingkat teratas375 m (1,230 ka) (aras 88)[3]
Balai cerap370 m (1,210 ka) (aras 86)
Butiran teknikal
Bilangan tingkat88 (5 di aras bawah tanah)[3]
Lif/mesin pengangkat38 (setiap menara)
Keluasan permukaan395,000 m² Sunting nilai ini di Wikidata
Reka bentuk dan seni bina
ArkitekCésar Pelli Sunting nilai ini di Wikidata
PemajuKLCC Property Holdings Sunting nilai ini di Wikidata
Jurutera penstrukturanThornton Tomasetti, Ranhill Bersekutu[3]
Kontraktor utamaHazama CorporationSamsung C&T CorporationKukdong Engineering & Construction (en) Terjemah Sunting nilai ini di Wikidata
Tapak web
https://www.petronastwintowers.com.my/ Sunting nilai ini di Wikidata
Rujukan
[3][4][5][6][7]
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Menara Berkembar PETRONAS (Tulisan Jawi: منارا بركمبر ڤيترونس) di Kuala Lumpur, Malaysia ialah sepasang menara berkembar yang pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia sebelum diatasi oleh Burj Khalifa dan Taipei 101. Sungguhpun begitu, kedua-dua menara ini masih merupakan menara berkembar tertinggi di dunia dan juga merupakan bangunan tertinggi pada abad ke-20. Kini, Menara Berkembar Petronas merupakan bangunan ke-11 tertinggi di dunia. Menara Berkembar Petronas memegang gelaran bangunan tertinggi dari tahun 1998 hingga 2004 dari segi ukuran dari aras pintu masuk utama hingga atas struktur, iaitu rujukan ketinggian asli yang digunakan oleh pertubuhan antarabangsa Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar sejak tahun 1969 (tiga kategori ketinggian tambahan diperkenalkan ketika menara ini hampir disiapkan pada tahun 1996).[8] Menara berkembar ini merupakan mercu tanda dan ikon Kuala Lumpur, bersama-sama Menara Kuala Lumpur yang terletak berdekatan. Menara Berkembar Petronas telah majlis pembukaan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Mahathir Mohamad sempena ulang tahun Petronas ke-25 dengan tajuk pesta perak dan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-42 pada 31 Ogos 1999.

Menara Berkembar Petronas, Bandaraya Kuala Lumpur, pada 10 Julai 2018.

[9]

Perbandingan dengan menara lain

[sunting | sunting sumber]
Deretan lakaran bangunan tertinggi di dunia sehingga tahun 2010. Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar (CTBUH), menetapkan Menara Berkembar Petronas sebagai bangunan tertinggi di dunia sejak 1998, namun tahun 2004, gelaran tersebut disandang oleh Taipei 101. Menara Willis tidak dikira sebagai bangunan yang lebih tinggi, kerana antena tidak termasuk dalam perhitungan ketinggian sesebuah bangunan tertinggi, sebaliknya puncak (spire) dikira.
Perbandingan bangunan tertinggi dunia yang mengambil kira ketinggian antena bangunan.
Mengikut CTBUH, puncaknya yang menyumbang kepada ketinggian keseluruhan menara ini, oleh itu mengatasi Menara Willis.
Pelan lantai pembinaan Menara 1 pada aras 43 diadaptasi dari simbol geometri asas Islam iaitu Rub el Hizb.[10]

Menara Berkembar Petronas menjadi bangunan tertinggi di dunia sehingga siapnya Taipei 101 pada tahun 2004, seperti yang diukur hingga ke atas komponen strukturnya (kemuncak, bukan antena).[11] Puncak (spire) dianggap sebagai bahagian penting dalam reka bina bangunan, dan jika diubah boleh banyak mengubah rupa dan reka bina bangunan, manakala antena boleh dipasang atau dicabut tanpa memberi kesan kepada rupa bangunan. Menara Berkembar Petronas masih merupakan bangunan berkembar tertinggi di dunia.[12]

Menara-menara Willis (dahulunya Spears) dan World Trade Center terbina dengan 110 tingkat yang boleh diduduki, iaitu lebih 22 tingkat berbanding Petronas Twin Towers yang ada 88 tingkat. Bumbung-bumbung dan tingkat tertinggi menara Willis dan World Trade Center agak melebihi ketinggian bumbung dan tingkat tertinggi Menara Berkembar Petronas. Antena tertinggi di Willis Tower adalah 75 meter (246 ka) lebih tinggi berbanding puncak-puncak Menara Berkembar Petronas. Walaupun demikian, mengikut peraturan dan garis panduan CTBUH,[8] antena-antena Menara Willis tidak diambil kira sebagai sebahagian ciri-ciri seni binanya.[13] Sebaliknya, puncak-puncak pada Menara Petronas dikira dalam ukuran ketinggian kerana bukan merupakan tiang antena. Oleh itu, Menara Berkembar Petronas mengatasi ketinggian rasmi Menara Willis dengan beza 10 meter (33 ka), padahal Menara Willis lebih banyak bilangan tingkat dan lebih besar kakian perseginya.

Pembinaan

[sunting | sunting sumber]

Menara Petronas yang direka oleh jurubina César Pelli dari Argentina ini, siap dibina pada tahun 1998 setelah menelan masa tujuh tahun sehingga menjadi bangunan tertinggi di dunia sewaktu disiapkan.[14] Menara ini dibina di atas tapak lumba kuda Kuala Lumpur.[15] Kedalaman batuan dasar menjadikan bangunan ini dibina pada tapak yang paling dalam di dunia.[16] Tapak sedalam 120 meter itu memerlukan sejumlah konkrit yang berlebihan untuk dibina dalam masa 12 bulan oleh Bachy Soletanche.[17]

Menara setinggi 88 tingkat ini banyak dibuat daripada konkrit bertetulang dengan muka bangunan buatan keluli dan kaca yang direka untuk menyerupai motif kesenian Islam untuk mencerminkan agama Islam di Malaysia.[18] Satu lagi pengaruh seni Islam dalam bangunan ini ialah keratan rentas kedua-dua menara yang berbentuk Rub el Hizb, ditambah dengan bahagian bundar untuk memenuhi keperluan ruang pejabat.[19] Menara 1 dibina oleh konsortium Jepun yang dipimpin oleh Hazama Corporation manakala Menara 2 dibina oleh dua kontraktor Korea Selatan, iaitu Samsung C&T dan Kukdong Engineering & Construction. Jejantasnya pula disiapkan oleh Kukdong.

Disebabkan kekurangan keluli serta kos pengimportan keluli yang mahal, menara berkembar ini didirikan atas konkrit bertetulang teramat kukuh bereka bentuk radikal yang murah sekali.[20] Konkrit yang amat kukuh dikenali ramai kontraktor Asia dan dua kali lebih berkesan mengurangkan gegaran berbanding keluli; namun, oleh itu bangunan ini dua kali beratnya pada tapak berbanding bangunan keluli yang seumpamanya. Disokong oleh teras konkrit 23-kali-23 meter[21] dan segelang luar tiang super yang beruang legar, menara-menara ini menggunakan sistem struktur canggih yang menampung profilnya yang langsing serta menyediakan ruang pejabat tanpa tiang seluas 560,000 meter persegi (669,754 ela2).[22] Di bawah menara berkembar ini ialah pusat beli-belah Suria KLCC dan Dewan Filharmonik Petronas.

Pada 31 Ogos 1999, Menara Berkembar Petronas telah majlis pembukaan secara rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4, Mahathir Mohamad sempena ulang tahun Petronas ke-25 dengan tajuk pesta perak dan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-42 pada 31 Ogos 1999.

Menara 2 dan Menara Maxis

Menara Satu diduduki sepenuhnya oleh Petronas dan sebilangan anak syarikat dan syarikat sekutunya, manakala ruang pejabat di Menara Dua pula disewakan ke syarikat-syarikat lain[23] Antara syarikat-syarikat yang mendirikan pejabat dalam Menara Dua termasuk Al Jazeera[24], Carigali Hess[25], Bloomberg[26], GE[27], IBM, Khazanah Nasional[28], McKinsey & Company[29], Microsoft[30], Reuters[31]dan Shell[32].

Taman KLCC

[sunting | sunting sumber]

Di bawah bangunan ini, terdapat sebuah Taman KLCC seluas 17 ekar (69,000 m2) yang tersedia lorong berjoging dan bersiar-siar, kolam air pancut yang dihiasi pertunjukan cahaya, kolam randuk, dan taman permainan kanak-kanak. Suria KLCC ialah salah sebuah pusat beli-belah terbesar di Malaysia.[33]

Terdapat sebatang jejantas udara yang menyambungkan kedua-dua menara di tingkat 41 dan 42, iaitu jejantas dua tingkat tertinggi di dunia.[34] Jejantas ini tidak dipasang terus pada struktur utama, sebaliknya direka agar berlongsor ke dalam dan ke luar menara agar tidak patah akibat angin kencang atau penggerakan plat seismik. Ia juga bagi mengawal pengumpulan tekanan berlebihan dari berlaku di bahagian tengah jejantas, ini kerana jika jejantas dibina begitu rapat dan terlalu tekap dengan struktur menara, pemindahan tekanan akan berselerak di serata jejantas yang akhirnya mewujudkan fenomena "jejantas tertekan", ini boleh menyebabkan jejantas runtuh dengan mudah.[35] Jambatan ini terletak 170 meter (558 ka) dari aras jalan dan panjangnya 58.4 meter (192 ka), manakala beratnya pula iaitu 750 tonne (750,000 kg).[36]

Jejantas udara Petronas juga sebenarnya diperkukuhkan lagi dengan 2 kaki retort yang setiap satunya berkembar 2, panjang setiap satu kaki iaitu 51 m dari, ia dihubung pasakkan di suatu bola keluli besar bagi mengawal ayunan jejantas. Hujung kaki berbola ini terletak di aras 29 bagi setiap satu menara.

Petikan terkenal daripada arkitek Menara Berkembar Petronas:

"Menurut Laozi, realiti objek yang kosong adalah tidak sah dan bukannya pada dinding yang menentukannya. Ia berbicara tentunya dalam realiti spiritual. Ini juga adalah realiti buat Menara Petronas. Kuasa yang kosong ditingkatkan dan membuatkan ia lebih jelas dengan adanya jejantas pejalan kaki dimana ... dengan struktur penyokong yang dibina sebagai pintu ke angkasa ... pintu ke alam maya."[37]

César Pelli, arkitek (1995)

Lawatan jejantas

[sunting | sunting sumber]

Tingkat 41 dan 42 juga dikenali sebagai podium, kerana para pelawat yang hendak ke tingkat lebih tinggi perlu menukar lif di sini. Jejantas ini terbuka kepada semua pelawat, semua pelawat yang mahu melawat jejantas atas tujuan rekreasi perlu mendapatkan tiket dan pas lawatan. Asalnya tiket yang dikeluarkan adalah percuma, namun atas sebab menjaga kualiti dan piawai sistem penyelenggaraan jejantas dan pelantar pemandangan yang dilihat semakin memerlukan kos yang tinggi, pihak pengurusan Jejantas Menara Berkembar Petronas telah mengambil keputusan untuk mengenakan caj lawatan pada harga yang berpatutan.

Semua tiket yang dijual, rata-rata mengamalkan kaedah penjualan tiket berkonsep 'siapa datang awal, dia akan dapat (first come first serve). Pada bulan Ramadan, pengeluaran tiket hanya dianggarkan terhad sekitar 600 keping sahaja. Manakala bagi bulan-bulan lain, pengeluaran tiket dianggarkan sekitar 1500 hingga 1700 orang sehari. Namun begitu, para pelawat dinasihatkan untuk berada di garisan beratur (queue-point) lebih awal yakni pada pukul 6.00 pagi. Ini kerana kaunter tiket hanya mula beroperasi pada 8.30 pagi pada setiap hari kecuali hari Isnin (ditutup untuk tujuan penyelenggaraan).[38] Waktu pelepasan pertama pula akan bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada jam 7.00 malam. Pelawat bebas memilih waktu lawatan pada hari tersebut bergantung kepada kekosongan tempat. Pada kebiasaannya, tiket yang diperuntukkan akan habis dijual oleh pihak pengurusan Jejantas Petronas pada pukul 9.30 pagi, hanya tiket yang dipulangkan atau tiket jualan terus untuk lawatan hari ketiga dari hari ia beroperasi akan terus dijual sehingga kaunter ditutup pada pukul 5.00 petang.

Para pelawat hanya dibenarkan berada di tingkat 41 kerana tingkat 42 hanya dibuka kepada kakitangan penghuni bangunan. Atas dasar kemampuan capaian muatan lif hanya boleh membawa 20 orang pelawat dalam satu masa ke jejantas. Lif adalah lif berkelajuan tinggi yang bergerak hanya 41 saat ke podium jejantas. Maka pelawat perlu menunggu di balai menunggu yang disediakan oleh pihak pengurusan. Balai menunggu mempunyai kemudahan paparan teater, video DVD pembinaan menara, panel maklumat, pusat penskrinan barangan, lokar simpanan barangan dan beberapa bahan pameran yang lain. Pelawat akan dibawa melawat jejantas selama 15-20 minit dengan kumpulan tag warna tertentu.[39][40]

Harga tiket jualan adalah seperti berikut:

  1. Pakej 1 (Jejantas udara sahaja) --- RM 3 (warganegara dan kanak-kanak), RM 10 (bukan warganegara dewasa).
  2. Pakej 2 (Jejantas udara dan pelantar pemandangan) --- RM 20 (warganegara dan kanak-kanak), RM 40 (bukan warganegara dewasa).

Pelantar pemandangan terletak di tingkat 86, Menara 2 Petronas. Perjalanan ke sana mengambil masa 86 saat dari balai berlepas. Pelawat yang memilih pakej 2 selalunya diberi peluang sehingga 45 minit bagi melengkapkan lawatan bagi jejantas udara dan pelantar pemandangan.

Fungsi keselamatan jejantas

[sunting | sunting sumber]

Jejantas ini juga berperanan sebagai peranti keselamatan, yang mana sekiranya terjadinya kebakaran atau kecemasan seumpamanya di satu menara, para penghuninya boleh mengosongkannya dengan menaiki jejantas ke menara yang satu lagi.[41] Kadar pengosongan yang tercetus oleh ancaman bom palsu pada 12 September 2001[42] (sehari selepas tragedi keruntuhan menara berkembar World Trade Center di Bandar Raya New York) menunjukkan bahawa jejantas tersebut tidak berguna sekira kedua-dua bangunan perlu dikosongkan serentak, kerana muatan tangga kecemasan adalah tidak cukup untuk menghadapi kejadian sebegini. Oleh itu, adalah dirancangkan agar lif boleh digunakan sekiranya kedua-dua menara perlu dikosongkan, lantas dijayakan oleh raptai kecemasan yang mengikut rancangan tersebut pada tahun 2005.

Jejantas udara Menara Berkembar Petronas ini juga sentiasa dilengkapi alat pemadam api moden yang terkini, terdapat juga sistem pengesanan haba, asap dan suhu dengan penggera keselamatan dan alat percikan air. Terdapat juga panel penyedut wasap di sisi jambatan bagi menyedut asap kebakaran jika kebakaran berlaku didalam kompleks jejantas.

Sistem lif

[sunting | sunting sumber]

Syaf utama lif buatan Otis terletak di pusat setiap menara. Semua lif utama merupakan lif dua tingkat yang terdiri daripada dek bawah yang mengangkut penumpang ke tingkat bernombor ganjil dan dek atas untuk ke tingkat bernombor genap. Untuk mencapai tingkat bernombor genap dari tingkat bawah, penumpang perlu menaiki tangga bergerak ke dek atas lif.[43]

Dari tingkat bawah, terdapat tiga kelompok lif. Kelompok enam lif "jarak pendek" mengangkut penumpang ke antara tingkat 2/3 dan tingkat 16/17. Kelompok enam lif "jarak sederhana" pula mengangkut penumpang ke antara tingkat 18/19 dan tingkat 37/38. Terdapat juga lima lif segera yang membawa penumpang terus ke tingkat 41/42. Untuk ke tingkat-tingkat melebihi 41/42, penumpang perlu menaiki lif segera, kemudian bertukar lif ke tingkat-tingkat tinggi itu. Lif-lif penyambung ini melebihi paras tertinggi lif-lif yang mencapai tingkat 2 hingga 38. Corak perkhidmatan lif berulang dengan tingkat-tingkat atas, iaitu satu set ke tingkat antara 43/44 dan 57/58 dan satu lagi set ke tingkat antara 59/60 dan 73/74.[43]

Selain lif-lif utama ini, terdapat juga sebilangan lif "penyambung" yang mengangkut penumpang di antara kelompok tingkat lif utama. Berbeza dengan lif utama tersebut, lif tambahan ini bukan jenis dua tingkat. Dua buah lif disediakan untuk mengangkut penumpang dari tingkat 37/38 ke tingkat 41/42 (tingkat 39 dan 40 tidak boleh dimasuki). Oleh itu, tidak perlulah seseorang di separuh bawah bangunan untuk turun ke tingkat bawah untuk sampai ke separuh atas bangunan.

Lif-lif ini dilengkapi beberapa ciri-ciri keselamatan, seperti kebolehan mengeluarkan orang dari lif yang tersekat di antara tingkat dengan memandu salah sebuah lif bersebelahan secara manual ke sisinya, kemudian membuka panel pada dinding untuk membuka laluan kepada penumpang dalam lif yang tersekat agar melintas ke gerabak lif yang lain.[44] Ketika mengosongkan bangunan, hanya lif segera boleh digunakan, kerana hanya dilengkapi pintu keluar di tingkat G/1 dan tingkat 41/42; oleh itu sekiranya terjadinya kebakaran di separuh bawah bangunan, syaf yang terlindung ini tidak akan terjejas. Lif bomba turut disediakan untuk tujuan kecemasan.[44]

Sistem penghawa dingin terpusat

[sunting | sunting sumber]

Di kawasan timur perkarangan Menara Berkembar Petronas, di sebelah utara Masjid Asy-Syakirin[45], terletaknya bangunan utiliti KLCC District Cooling yang bertujuan membekalkan air sejuk kepada semua bangunan di perkarangan KLCC. Unit air dingin pacuan turbin janaan gas ini mampu membekalkan udara nyaman sebanyak 42,000 RT[45], bukan sahaja kepada Menara Berkembar Petronas dan Suria KLCC, bahkan juga Menara Maxis, Menara Exxon Mobil, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Mandarin Oriental Kuala Lumpur dan Masjid Asy-Syakirin.

Peristiwa terpenting

[sunting | sunting sumber]

Ribuan orang mengosongkan bangunan setelah menerima panggilan ugutan bom pada 12 September 2001, sehari selepas serangan 11 September membinasakan menara berkembar World Trade Center di Bandar Raya New York. Skuad pembuangan bom dikerah ke mari tetapi tidak menjumpai apa-apa bom dalam kedua-dua menara Petronas walaupun memindahkan keluar semua orang. Para pembeli dan pengunjung dibenarkan masuk semula tiga jam kemudian pada tengah hari. Tiada seorang pun tercedera dalam langkah pengosongan tersebut.[46]

Pada waktu larut malam 4 November 2005, terjadi kebakaran di kompleks pawagam di pusat beli-belah Suria KLCC di bawah Menara Berkembar Petronas. Tidak dilaporkan mana-mana kecederaan. Ketika itu, kedua-dua menara hampir kosong (kecuali Suria KLCC yang diisi pengunjung pawagam dan pelanggan restoran).[47]

Pada waktu pagi 1 September 2009, pemanjat bangunan pakar dari Perancis, Alain "Spiderman" Robert, berjaya memanjat hingga ke puncak Menara Dua dengan menggunakan tangan dan kaki kosong sendirinya tanpa apa-apa kelengkapan keselamatan dalam masa tidak lebih dua jam, setelah dua percubaan sebelumnya terhalang oleh tangkapan polis di tengah-tengah.[48] Pada 20 Mac 1997, pihak polis menangkap beliau di tingkat 60, iaitu 28 tingkat lagi ke puncak. Percubaan keduanya pada 20 Mac 2007, genap 10 tahun kemudian, sekali lagi terhalang di tingkat yang sama (tetapi di menara yang satu lagi).[49]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ "Petronas Twin Towers". Encyclopedia of Things (dalam bahasa Inggeris). Glasssteelandstone. 13 Januari 2010. Dicapai pada 13 Januari 2010.
  2. ^ "25 World-Famous Skyscrapers". CNN Travel (dalam bahasa Inggeris). 6 Ogos 2013.
  3. ^ a b c d e "Petronas Towers 1". The Skyscraper Center (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 24 Mei 2012.
  4. ^ "Emporis building complex ID 100172". Emporis. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 March 2016.
  5. ^ Menara Berkembar Petronas di Glass Steel and Stone
  6. ^ "Menara Berkembar Petronas". SkyscraperPage.
  7. ^ Menara Berkembar Petronas di Structurae
  8. ^ a b Council on Tall Buildings and Urban Habitat Diarkibkan 2007-10-11 di Wayback Machine preamble to High Rise Database: other measurements of height"
  9. ^ https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Menara_Kembar_Petronas,_Bandaraya_Kuala_Lumpur.jpg
  10. ^ "Galal Abada, "2004 On Site Review Report: Petronas Office Towers, Kuala Lumpur, Malaysia"" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-10-01. Dicapai pada 2011-09-04.
  11. ^ Lee, C. Y.; Binder, Georges (2008). Taipei 101. Images Publishing. m/s. 7.
  12. ^ Palmer, Alison Lee (2008). Historical Dictionary of Architecture. Scarecrow Press. m/s. 209.
  13. ^ The Willis Tower. thesearstower.com.
  14. ^ Sebestyén, Gyula (1998). Construction: craft to industry. Taylor & Francis. m/s. 205.
  15. ^ Žaknić, Ivan; Smith, Matthew; Rice, Doleres B. (1998). 100 of the world's tallest buildings‎. Images Publishing. m/s. 208.
  16. ^ Baker Jr, Clyde N.; Drumwright, Elliott; Joseph, Leonard; Azam, Tarique (November 1996). "The Taller the Deeper." Civil Engineering–ASCE. 66 (11): 3A-6A.
  17. ^ Petronas Towers Base Diarkibkan 2013-11-14 di Wayback Machine. thepetronastowers.com.
  18. ^ Wee, C. J. Wan-Ling (2002). Local cultures and the "new Asia": the state, culture, and capitalism in Southeast Asia. Institute of Southeast Asian Studies. m/s. 193.
  19. ^ Moskal, Greg (2004). Modern Buildings: Identifying Bilateral and Rotational Symmetry. Rosen Classroom. m/s. 28.
  20. ^ Wells, Matthew (2005). Skyscrapers: structure and design. Laurence King Publishing. m/s. 170.
  21. ^ "Information Malaysia." (2005). Berita Publ. Sdn. Bhd.
  22. ^ Taranath, Bungale S. (2004). Wind and earthquake resistant buildings: structural analysis and design. CRC Press. m/s. 748.
  23. ^ Chandran, Sheela (25 Ogos 2005). "Documentary on the Petronas Twin Towers". The Star.
  24. ^ Aljazeera.net/Al Jazeera International (Malaysia Office), JobStreet.com. Dicapai pada 14 November 2010
  25. ^ Global Offices - KUALA LUMPUR, MALAYSIA (CTOC OFFICE) Diarkibkan 2013-11-13 di Wayback Machine, Hess. Dicapai pada 16 November 2010.
  26. ^ Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd Diarkibkan 2013-11-13 di Wayback Machine, 88db.com. Dicapai pada 14 November 2010.
  27. ^ Contact Us - Energy, GE Malaysia. Dicapai pada 16 November 2010.
  28. ^ Hubungi Kami Diarkibkan 2013-11-13 di Wayback Machine, Khazanah Nasional. Dicapai pada 16 November 2010.
  29. ^ "Locations - McKinsey Worldwide". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-08-24. Dicapai pada 2010-11-15.
  30. ^ Microsoft Malaysia - Contact, Microsoft. Dicapai pada 15 November 2010.
  31. ^ Home > NEWS SERVICE > Reuters (Malaysia) Sdn Bhd[pautan mati kekal], eguide (Malaysia). Dicapai pada 15 November 2010.
  32. ^ Offices and Installations Diarkibkan 2012-10-05 di Wayback Machine, Shell Malaysia. Dicapai pada 15 November 2010.
  33. ^ de Ledesma, Charles; Lewis, Mark; Savage, Pauline (2003). Rough guide to Malaysia, Singapore & Brunei‎. Rough Guides. m/s. 132.
  34. ^ Frankham, Steve (2008). Malaysia and Singapore. Footprint Travel Guides. m/s. 68.
  35. ^ Moskal, Greg (2004). Modern Buildings: Identifying Bilateral and Rotational Symmetry. Rosen Classroom. m/s. 26.
  36. ^ Chang, Fu-Kuo (2005). Structural health monitoring, 2005: advancements and challenges for implementation. DEStech Publications, Inc. m/s. 270.
  37. ^ Dupré, Julie (2001). Skyscrapers. Black Dog & Leventhal Publishers. p. 114.
  38. ^ The Petronas Towers Skybridge[pautan mati kekal]. thepetronastowers.com.my
  39. ^ Rowthorn, Chris; Cohen, Muhammad; Williams, China (2008). Lonely Planet Borneo. Lonely Planet. m/s. 71.
  40. ^ "How to Visit the Petronas Twin Towers". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-11-14. Dicapai pada 2011-08-27.
  41. ^ Wood, A.; Chow, W. K.; McGrail D. (2005). "The Skybridge as an Evacuation Option for Tall Buildings for Highrise Cities in the Far East." Journal of Applied Fire Science. 13 (2): 113–124.
  42. ^ "World's Tallest Towers in Malaysia Evacuated After Threats". People's Daily. 12 September 2001.
  43. ^ a b Petronas Towers Lift System[pautan mati kekal]. petronastowers.com.
  44. ^ a b Wong, Ronald. Using Lift as an Alternative Means of Egress for Evacuation Diarkibkan 2009-04-08 di Wayback Machine. The Institution of Fire Engineers (Hong Kong Branch).
  45. ^ a b KLCC District Cooling Plant (Kuala Lumpur), Wikimapia. Dicapai pada 16 November 2010.
  46. ^ Yoong, Sean (12 September 2001). "World's tallest towers, IBM building in Malaysia evacuated after threats". Associated Press. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-07-19. Dicapai pada 2010-01-15.
  47. ^ "Fire Forces Evacuation at Malaysia Towers". CBS News. 4 November 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-10-13. Dicapai pada 2010-01-15.
  48. ^ "'Spiderman' scales Malaysia tower". BBC News Online. 1 September 2009.
  49. ^ "'Spiderman' has another go at Twin Towers]". The Star. 21 Mac 2007. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-06-22. Dicapai pada 2021-08-31.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]