[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

MUL.APIN

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

MUL.APIN (𒀯𒀳) merupakan nama kelaziman yang diberikan kepada sebuah ikhtisar Babylon yang membincangkan pelbagai aspek astronomi dan Astrologi Babylon.

Ia berlandaskan tradisi katalog-katalog bintang terdahulu, iaitu senarai-senarai Setiap Satu Tiga Bintang, bahkan mewakili versi yang diperkaya berasaskan pemerhatian yang lebih jitu, mungkin sekali dihimpunkan sekitar 1000 SM.[1]

Teks ini menyenaraikan nama-nama 66 bintang dan buruj serta beberapa petunjuk seperti tarikh bintang terbit, terbenam dan kemuncak yang membantu memetakan struktur asas peta bintang Babylon.

Teks ini dipelihara dalam salinan pada sepasang batu bersurat dari abad ke-7 SM, dinamai sempena incipit-nya yang bersamaan dengan buruj pertama dalam setahun, MULAPIN "Bajak", yang kini dikenal pasti sebagai campuran Triangulum dengan Gamma Andromedae.

Salinan terawal untuk catatan ini yang ditemui setakat ini dibuat pada tahun 686 SM; tetapi kebanyakan ilmuwan kini percaya baahwa catatan ini asalnya dihimpunkan sekitar tahun 1000 SM.[2] Salinan-salinan terkini MUL.APIN kini bertarikh sekitar 300 SM.

Ahli astrofizik, Bradley Schaefer berhujah bahawa pemerhatian-pemerhatian yang disuratkan dalam batu-batu bersurat itu dibuat di kawasan Assur sekitar 1370 SM.[3]

Catatan MUL.APIN mengisi dua buah batu bersurat dan mungkin sekali sebuah lagi batu bersurat pembantu, dan diaturkan seperti yang berikut:

Batu bersurat 1

[sunting | sunting sumber]

Batu bersurat pertama adalah sumber yang terpenting untuk sebarang kemungkinan peta najam Babylon dapat dihasilkan semula kerana isi kandungannya menentukan kedudukan buruj dengan satu sama lain dan juga dengan takwim.

Batu bersurat 1 terdiri daripada enam bab utama:

  • Semua bintang dan buruj utama disenaraikan dan disusunaturkan kepada tiga bahagian am mengikut garis lintang samawi yang memperuntukkan setiap bintang kepada tiga laluan:
    • laluan utara Enlil mengandungi 33 bintang/buruj
    • laluan khatulistiwa Anu mengandungi 23 bintang/buruj
    • laluan selatan Ea mengandungi 15 bintang/buruj
Kebanyakan bintang dan buruj ini turut dikaitkan dengan pelbagai dewa-dewi pujaan masyarakat purba Timur Dekat.[4]
  • Tarikh terbitan syuruk 34 bintang dan buruj dinyatakan mengikut tahun takwim 'idaman' 360 hari.
  • Senarai-senarai bintang dan buruj yang terbit dan terbenam pada suatu masa yang sama.
  • Bilangan hari antara suatu dengan suatu terbitan bintang dan buruj.
  • Bintang-bintang dan buruj-buruj yang terbit dan memuncak pada suatu masa yang sama.
  • Bintang-bintang di lintasan bulan, iaitu buruj-buruj utama yang dekat dengan ekliptik, termasuk semua perintis Babylon kepada buruj zodiak.

Biarpun masyarakat Babylon menggunakan takwim qamari-suria yang sekali-sekala menambahkan bulan ke-13 pada takwim, namun MUL.APIN, seperti kebanyakan persuratan astrologi Babylon, menggunakan tahun ‘idaman’ yang terdiri daripada 12 bulan, yang mana setiap satunya terdiri daripada 30 hari. Mengikut skema ini, ekuinoks ditetapkan pada hari ke-15 bulan pertama dan ketujuh, sementara solstis pada har ke-15 bulan keempat dan kesepuluh.

Batu bersurat 2

[sunting | sunting sumber]

Batu bersurat kedua lebih diambil berat oleh ahli sejarah sains kerana ia kaya dengan beraneka kaedah dan tatacara yang digunakan oleh ahli astrologi Babylon untuk meramal pergerakan matahari, bulan dan cakerawala, dan juga pelbagai kaedah yang digunakan untuk mengawal kalendar.

Isi kandungan batu bersurat kedua boleh diringkaskan dalam 10 rumusan seperti yang berikut:

  • Nama-nama matahari dan cakerawala, serta penegasn bahawa kesemuanya mengikut laluan yang sama dengan bulan.
  • Bintang-bintang mana yang terbit, dan mengandungi bulan purnama pada solstis dan ekuinoks untuk menilai ketaksamaan kitaran bulan dan suria.
  • Usul-usul untuk memerhatikan penampilan bintang-bintang tertentu serta arah angin ketika kemunculan sulungnya.
  • Anggaran kasar bilangan hari keterlihatan atau ketakterlihatan sesebuah cakerawala sepanjang kitarannya yang terperhati.
  • Empat bintang yang dikaitkan dengan empat angin terarah.
  • Tarikh-tarikh adanya matahari pada setiap satu daripada tiga laluan najam (yang dinyatakan dalam batu bersurat 1).
  • Dua jenis skema interkalasi: satu menggunakan tarikh terbit bintang tertentu sementara yang satu lagi menggunakan kedudukan bulan berbanding dengan bintang dan buruj.
  • Tempoh nisbi siang dan malam pada solstis dan ekuinoks, serta kepanjangan bayang dari paku bayang waktu demi waktu pada hari solstis dan ekuinoks.
  • Skema matematik asas yang menyatakan waktu bulan terbit dan terbenam pada setiap bulan.
  • Intisari petanda-petanda astrologi.

Terdapat sedikit bukti bahawa pada siri ilmu ini terlampirnya sebuah lagi batu berjumlah yang belum ditemui sepenuhnya setakat ini. Berdasarkan baris pembukaan sahaja, ia bermula dengan sebahagian penjelasan ilmiah untuk petanda-petanda samawi.[5]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ John H. Rogers, "Origins of the ancient contellations: I. The Mesopotamian traditions", Journal of the British Astronomical Association 108 (1998) 9–28
  2. ^ Mul.Apin edited by Hunger & Pingree, page 9. Earlier scholars such as Papke and Van der Waerden posited a date around 2300 BC, which has been criticised by Hunger & Pingree who opt for a date around 1000 BC.
  3. ^ "Astronomer traces Zodiac's time and place of birth". The Inquirer. 4 June 2007. Dicapai pada 2009-11-13.
  4. ^ "Mul-Apin by Gavin White". Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-25. Dicapai pada 2009-10-25.
  5. ^ Mul.Apin edited by Hunger & Pingree pages 8-9.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]