[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Lekir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Lekir
Bunga lekir, Amorphophallus prainii.
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Plantae
Klad: Trakeofit
Klad: Monokot
Order: Alismatales
Keluarga: Araceae
Genus: Amorphophallus
Spesies:
A. prainii
Nama binomial
Amorphophallus prainii
Sinonim[1]
  • Amorphophallus bintangensis Ipor, Tawan & Meekiong
  • Amorphophallus loerzingii Alderw.
  • Amorphophallus panomensis Gagnep.

Lekir, likir atau begong, dengan nama saintifik Amorphophallus prainii,[2][3][4] ialah spesies tumbuhan renek dalam keluarga talas-talasan (Araceae) yang tempatan dari Thailand, Laos, Semenanjung Malaysia dan Sumatera, dan banyak ditemukan di kawasan batu kapur hutan malar hijau.[1] Tumbuhan ini sering dikelirukan dengan sarek (Amorphophallus paeoniifolius) lantaran bentuknya yang hampir sama.[5]

Penerangan

[sunting | sunting sumber]
Tangkai daun hijau gelap

Lekir tumbuh di hutan malar hijau melalui umbi bundar. Daun lekir selalunya tunggal dan kadang-kadang berpasangan, dengan tangkai daun, yang sering disebut 'batang',[6] licin dan jarang-jarang kasar pada pangkal. Corak latarnya berubah-ubah dari perang keputihan, kehijauan atau kemerahan, berbelak hijau kehitaman kecil, hingga bertompok putih kuning membujur. Lai daunnya bercabang seluas 10–250 cm dengan tangkai bersayap berdekatan pangkal. Anak daun tetombak bujurnya pula dempak tirus memanjang.[1]

Perbungaannya tunggal dan berjentu pendek. Daun sisiknya tetombak lebar, 7–37 cm panjang, selalunya lebih panjang daripada ukuran keseluruhan perbungaan, dan bertompok hijau kehitaman atau dadu pucat. Bentuk jentunya menyamai tangkai daun namun lebih pendek dan pucat. Seludangnya leloceng, bujur telur lebar dan membulat setelah kembang. Tongkolnya pula, untuk spesimen kecil, lebih pendek berbanding seludang, iaitu 9–55 cm panjang dengan kawasan bunganya tetorak atau kerucut. Buahnya pula panjang tirus, 1.7–1.9 cm panjang, dan masak merah atau jingga.[1]

Tumbuhan ini beracun dan tidak sesuai untuk dimakan. Suku Semang di Semenanjung mencampurkan jusnya dengan getah ipuh (Antiaris sp.) untuk membuat racun damak. Namun, tumbuhan masih turut sesuai dijadikan tanaman hiasan.[6]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  • Arisaema, genus tumbuhan yang turut disebut "likir".
  • Gadung, spesies tumbuhan berumbi lain yang beracun.
  1. ^ a b c d e "Amorphophallus prainii Hook.f." World Checklist of Selected Plant Families. Taman Botani Diraja, Kew. Dicapai pada 2022-07-16.
  2. ^ Wilkinson, Richard James (1932). "lĕkir". A Malay-English dictionary (romanised). 2. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 36 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  3. ^ "likir". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka. 2017.
  4. ^ Wilkinson, Richard James (1932). "bĕgong". A Malay-English dictionary (romanised). 1. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 100 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
  5. ^ Lokman Ismail (22 September 2019). PERBEZAAN POKOK LEKIR DAN SAREK. Bicara Mentari. Dicapai pada 2022-07-02.
  6. ^ a b "Amorphophallus prainii". Flora Fauna Web. Lembaga Taman Negara Singapura. 2019. Dicapai pada 2022-07-16.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]