[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Elektroskop

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Elektroskop ialah sebuah tulang bengkok yang digunakan untuk mengesan kehadiran cas elektrik dan menyukat magnitud cas pada suatu-suatu bahan/jasad. Ia merupakan radas penyukat elektrik yang pertama dicipta. Elektroskop pertama dicipta pada sekitar kurun 1600 oleh seorang ahli fizik warga British yang bernama William Gilbert. Eletroskop ini dinamakan versorium dan adalah terdiri daripada jarum yang terletak pada suatu pangsi.

Elektroskop mengesan cas elektrik melalui pergerakan bahan uji yang dihasilkan oleh daya elektostatik Coulomb. Beza keupayaan atau voltan sesuatu objek adalah bersamaan dengan cas elektrik bahagi dengan kapasitansnya, oleh itu elektroskop sebenarnya merupakan sejenis voltmeter yang mengukur volt secara kasar. Elektroskop hanya boleh mengesan cas elektrik pada objek apabila cas elektrik telah berkumpul dengan banyaknya dan menghasilkan beza keupayaan elektrik pada tahap ratusan atau ribuan voltbar. Oleh sebab itu, elektroskop hanya digunakan untuk mengukur sumber bervoltan tinggi seperti elektrik statik dan mesin elektrostatik. Elektroskop pada amnya hanya memberikan anggaran kasar dan kualitatif mengenai magnitud cas-cas pada sesebuah objek, dan radas/alat yang mengukur cas elektrik dengan lebih tepat dan kuantitatif adalah dipanggil elektrometer.

Versorium ciptaan William Gilbert.

Elektroskop daun emas

[sunting | sunting sumber]

Elektroskop daun emas dicipta oleh seorang ahli fizik dan paderi warga British yang bernama Abraham Bennet pada tahun 1787.[1] Elektroskopnya terdiri daripada sebatang logam lurus yang biasanya diperbuat daripada loyang dan berhujungkan dua keping daun emas nipis. Pangkal cakera atau bebola pula disambungkan pada bahagian atas batang logam, dan ujian cas elektrik diletakkan pada pangkal ini.[2] Alat ini diselangkup oleh botol kaca untuk melindungi daun emas daripada tiupan angin, dan beralaskan tapak yang boleh mengalirkan elektrik. Sebagai langkah keselamatan, kebiasaannya akan terdapatnya piring logam atau pita logam membumi di sisi botol berdekatan daun emas kerana kalau cas berlebihan dikenakan pada daun emas nipis ini, daun akan menyentuh piring logam membumi lalu menyahcas sebelum cas berlebihan merosakkan daun tersebut. Akan tetapi, piring logam atau pita logam membumi ini juga boleh memerangkap cas-cas dalam udara dan berkumpul pada dinding kaca, dan ini meningkatkan kepekaan alat. Bagi alat berkepersisan tinggi, kandungan dalam botol kadang kala dijadikan hampagas, untuk mengelakkan cas-cas pada pangkal terbocor keluar melalui pengionan udara.

Apabila pangkal logam bersentuhan dengan objek bercas, daun-daun emas akan terpisah membentuk 'V'. Ini adalah kerana cas-cas pada objek mengalir daripada pangkal menerusi batang logam dan terus kepada daun emas. Oleh kerana kedua-dua keping daun emas menerima cas tanda sama (cas positif atau negatif), kepingan daun menolak satu sama lain dan terpisah. Jika pangkal dibumikan dengan menyentuhnya dengan jari, cas elektrik akan berpindah menerusi badan manusia ke bumi, lalu menyebabkan daun-daun emas berdekatan semula.

Elektroskop juga boleh dicaskan tanpa mengenakannya pada objek bercas, iaitu melalui aruhan elektrostatik. Jika objek bercas didekatkan dengan pangkal elektroskop, daun emas juga akan terpisah kerana medan elektrik menyebabkan cas-cas pada batang elektroskop untuk terasing. Cas-cas dengan kutub yang bertentangan dengan objek bercas akan tertarik ke pangkal, manakala cas-cas dengan kutub yang sama ditolak ke daun, menyebabkan daun terpisah. Jika pangkal elektroskop dibumikan dengan menyentuhnya sekejap menggunakan jari apabila objek bercas masih lagi berdekatan, cas-cas berkutub sama akan meninggalkan daun dan mengalir ke bumi, lalu meninggalkan elektroskop hanya dengan cas-cas yang berkutub bertentangan dengan objek bercas itu. Daun-daun tertutup kerana semua cas berkumpul pada hujung pangkal elektroskop. Apabila objek bercas dijauhkan, cas pada pangkal tersebar ke daun, menyebabkan daun terpisah kembali.

  1. ^ Derry, Thomas K. (1993). A Short History of Technology from Earliest Times to A.D.1900. Courier Dover. ISBN 0486274721. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan) p.609
  2. ^ [Anon.] (2001)



Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah dengan templat tunas yang lebih spesifik.