[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Bio-Nik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bio-Nik
GenreAksi
adiwira
cereka sains
PengarahAzhari Zain (musim 1)
Aidil Fitri Yunus (musim 2)
Dibintangi oleh
Kamal Adli
Hafizuddin Fadzil
Intan Ladyana
Lagu pembukaanTukang Gempak oleh Adam
Lagu penutupRobot oleh Adam
Negara asalMalaysia
BahasaBahasa Melayu
Bilangan musim2
Bilangan episod26 (Senarai episod)
Penerbitan
Penerbit eksekutifNorman Abdul Halim
PenerbitNorman Abdul Halim
Yusry Abdul Halim
Edry Abdul Halim
Tempoh siaran1 jam per episod
Syarikat penerbitan
KRU Studios
Penyiaran
Saluran asalTV3 (Slot Aksi)
Siaran asal18 Mei 2009 – 9 November 2009
Pautan luar
Laman sesawang

Bio-Nik merupakan drama bersiri adiwira terbitan KRU Studios yang disiarkan di slot Aksi (Isnin, 9 malam) di TV3, mengisahkan seorang remaja bernama Nik (lakonan Kamal Adli) yang cedera parah dalam kemalangan jalan raya, lalu dibangkitkan semula dengan berlengkapkan pelbagai ciri-ciri robotik yang canggih lagi serba boleh dalam badannya.

Bio-Nik ialah siri TV pertama terbitan syarikat KRU Studios yang menumpu kepada cereka sains diterapkan dengan unsur CGI.

Nik mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan jalanraya yang menyebabkan kecederaan yang serius pada keseluruhan bahagian badannya. Bapanya, Professor Hafiz - seorang saintis yang mengetuai projek biogenetik serta organ gantian - terpaksa mengambil keputusan menjadikan Nik sebagai bahan ujikajinya demi menyelamatkan anaknya.

Namun, projek yang digelar A.D.A.M. (Advanced Developmental Android Mechanism "Mekanisme Android Tahap Pembangunan Maju") ini membuatkan Profesor Hafiz berada dalam dilema kerana terpaksa memikirkan sama ada langkah ini adalah yang terbaik demi masa depan anaknya tanpa melanggar hukum alam. Setelah sembuh sepenuhnya, Nik terpaksa berhadapan dengan cabaran kuasa luar biasa yang ada dalam dirinya, apatah lagi diwajibkan merahsiakan segala kebolehan ini dari khalayak dunia.

Setelah berjayanya pemulihan Nik, Prof Hafiz dikejutkan dengan tindakan rakan sekerjanya Dr Syamil untuk mengkhianati negara dengan bercadang untuk menjual program A.D.A.M. kepada tentera luar. Pemecatan Dr Syamil hanya permulaan kepada rancangan jahatnya, apabila dia menyertai sebuah pertubuhan gelap yang diketuai oleh pengganas asing bernama Agron Trotsky, dan juga dianggotai oleh seorang lagi bekas rakan sekerja Prof Hafiz, iaitu Prof Mazni yang juga merupakan seorang penyelia di kolej Nik dan berkeupayaan mengubah rupa badannya.

Pada hari pertamanya di kolej, Nik bertemu dengan ramai orang yang menjadi kawan dan musuh dalam perjuangan kewiraan. Rakan sekampus Kamal dan Adi, serta seorang wartawan penyiasat bernama Burn, menjadi kawan karib Nik yang berikrar agar menyimpan rahsia Nik di samping membantu Nik menjalankan misi melawan jenayah dan kejahatan yang semakin terjadi-jadi, apatah lagi yang Dr Syamil dan Prof Mazni yang berkhidmat untuk ketua pengganas berbangsa asing yang bernama Agron Trotsky.

Di kolej juga, Nik menjalin hubungan asmara dengan Aina, tetapi terpaksa merebutnya dengan Johan, tetapi sukar terelak daripada melakukan apa-apa yang boleh menyinggung perasaan Aina gara-gara tugasnya sebagai wira. Johan bukan sahaja cepat busuk hati sesekali Nik lebih mendekati Aina berbandingnya, apatah lagi dia semakin berminat terhadap rahsia yang disimpan Nik, sehingga sanggup menyertai kumpulan jahat yang disertai oleh Prof Mazni dan Dr Syamil. Selain Johan, dua lagi penuntut kampus iaitu Jimmy (anak Prof Mazni) dan Fauzir turut serta membantu mereka dengan disuntikkan serum yang memberi kuasa luar biasa meskipun didatangkan akibat buruk kepada jiwa mereka.

Tanpa disangka, mereka dibantu oleh seorang lagi android wanita bernama Lisa yang tengah bergelut untuk mengeluarkan jiwanya dari kancah kejahatan ke arah kemanusiaan. Pertarungan kemuncak antara Nik dengan kejahatan berkesudahan dengan pengorbanan Lisa untuk mematahkan rancangan jahat penciptanya sendiri, di samping kawan-kawan Nik terpaksa dipadamkan ingatan agar rahsia Nik tidak tersebar ke seluruh dunia.

Dua tahun selepas akhir musim pertama, Nik semakin giat sebagai seorang antiwira bertopeng yang berjuang menentang jenayah walaupun cenderung naik berang dan berkasar walaupun berdepan dengan penjenayah kecil. Pihak akhbar menggelarnya "Hero Misteri" dan sentiasa menjejaki segala betul salahnya untuk siaran akhbar. Lebih-lebih lagi, Nik sekali lagi berjauhan dengan Aina yang berpihak dengan Johan yang sudah menjauhi kejahatan. Sebagai langkah mengawal kemarahannya, Prof Hafiz memasang sejenis cip renjatan dalam badan Nik. Di samping itu, dengan bantuan Kamal sebagai pembantu yang dibenarkan mengetahui semula rahsia Nik, Prof Hafiz membangunkan sejenis sut perisai untuk membantu misi kewiraan Nik.

Nyata sekali, cabaran getir dari musuh lama menanti Nik, kali ini dengan Dr Haris sebagai teraju baru di makmal Dr Syamil yang pergi ke pangkuan Trotsky. Dan orang yang dianggap oleh mereka sebagai terpenting dalam misi mereka ialah Johan, yang perlu mereka bertungkus-lumus untuk mengumpannya kembali ke jalan kegelapan. Lisa dibaik pulih dengan wajah baru untuk tujuan durjana lagi, tetapi kali ini dia berjaya melepaskan diri daripada cengkaman kejahatan untuk memulakan kehidupan sebagai manusia biasa. Oleh yang demikian, terpaksalah Dr Haris dan konco-konconya membina sebuah lagi robot iaitu Suri untuk mengejar Lisa di samping membantu menjayakan misi jahat mereka, dengan menyamar sebagai wanita biasa yang berkawan dengan Kamal. Lebih gempar lagi, Adi meregangkan persahabatannya dengan Nik lalu bersekongkol dengan Johan dan kumpulan jahat Trotsky. Kali ini, Johan dikurniakan kuasa telepati sementara Jimmy dijadikan siborg tanpa perasaan kemanusiaan.

Tanpa disangka Nik sekeluarga, Burn berjaya menyimpan maklumat rahsia Nik dalam emel sebelum dipadamkan ingatan pada akhir musim lalu. Sekali lagi, Nik sekeluarga terpaksa memberi kepercayaan kepada Burn untuk menyimpan rahsia dari mata dunia. Sebagai balasan, Burn turut sama membantu Nik, keluarga dan kawan-kawannya untuk membanteras kejahatan Trotsky.

Sebagai langkah terakhir mengumpan Nik dengan matlamat memanfaatkan teknologi dalam badannya sebagai senjata utama mereka, kumpulan Dr Haris mengarahkan penculikan keluarga Nik serta Aina ke markas mereka sebagai amaran kepada Nik agar menyertai pihak jahat seandainya ingin orang yang disayanginya selamat. Tanpa melengahkan masa untuk mempertimbangkannya, Nik dengan bantuan Lisa memilih untuk bertempur habis-habisan untuk meleraikan kemuncak persengketaan. Sungguhpun berjaya mengatasi kelengkapan Dr Haris yang mengurung Prof. Hafiz sekeluarga dan Aina, pertarungan ini berakhir dengan malang sekali apabila Johan mengambil kesempatan untuk menamatkan riwayat ahli keluarga dan kawan Nik iaitu menggunakan kuasa telepatinya untuk memerangkap mereka malah menyebabkan van mereka tercampak ke dalam laut kemudiannya meletup dan akhirnya ibubapa Nik serta kawan baiknya Burn telah terbunuh dalam kejadian itu.

Penerbitan

[sunting | sunting sumber]

Proses pemilihan pelakon Bio-Nik pernah dijalankan di studio TV3 secara tertutup. Penyanyi Muhammad Aizam Mat Saman (Adam AF2) pernah dipertimbangkan untuk memegang watak Nik, bagaimanapun difahamkan beliau ditolak kerana khuatir beliau tidak boleh menyampaikan watak tersebut.[1] Akhirnya, Kamal Adli yang masih baru dalam bidang lakonan terpilih untuk membawa watak Nik.

Ini merupakan kali pertama Kamal memegang watak utama dalam mana-mana bahan seni lakon, setelah melibatkan diri dalam siri TV Impian dan Renjis 2 sebagai pelakon sampingan.[2] Berkongsi pengalaman berlakon sebagai Nik, Kamal menyatakan "saya kena jadi robot, jadi cara duduk pun berbeza. Tidak boleh membongkokkan badan. Stunt juga saya buat sendiri. Watak Nik perlukan emosi. Itu menyebabkan sedikit tekanan tapi saya suka".[3]

Penggambaran dijalankan di sekitar Kuala Lumpur untuk dua musim berturut-turut selama empat bulan dari akhir tahun 2008 hingga awal tahun 2009.[4][5][6] Siri ini dilancarkan di sebuah sidang media pada 11 Mei 2009 di Restoran Centro, Sooka, KL Sentral.[7]

Menurut penerbit eksekutif Norman Abdul Halim, kisah Bio-Nik diilhamkan dari cerita rakyat Badang yang pernah dinovelkan oleh KRU Publications.[8] Norman juga mengakui drama adiwira ini tidak dapat lari daripada persamaan dengan siri-siri seumpamanya seperti The Six Million Dollar Man, Bionic Woman dan Robocop, bagaimanapun, persoalan yang ingin dikupas untuk adiwira kali ini pertembungan antara kecanggihan teknologi dengan hukum agama.[4]

  1. ^ "Adam: Saya Tak Kisah Kena "Reject"". gua.com.my. 6 Oktober 2009. Unknown parameter |= ignored (bantuan)
  2. ^ "Kamal Adli: "Kami Kawan Rapat"". 10 Mei 2009. Dicapai pada 7 Oktober 2009. Unknown parameter |publihser= ignored (|publisher= suggested) (bantuan)
  3. ^ Sofiatul Shima (21 Jun 2009). "Kamal lelaki tidak normal". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-08-03. Dicapai pada 7 Oktober 2009.
  4. ^ a b "Superhero Dalam BIO-NIK". KRU Studios. 11 Mei 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-06-03. Dicapai pada 7 Oktober 2009.
  5. ^ Tengku Suzana Raja Hamat (15 Januari 2009). "Permulaan sempurna Kamal". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-15. Dicapai pada 7 Oktober 2009.
  6. ^ "Gambar Kamal Adli Pelakon Drama Bio-Nik di TV3 2009". Sensasi Selebriti. 30 November 2008. Dicapai pada 7 Oktober 2009.
  7. ^ "Pelancaran Drama BIO-NIK Lakonan Kamal Adli". Sensasi Selebriti. 11 Mei 2009. Dicapai pada 7 Oktober 2009.
  8. ^ "Randommania: Pelancaran dan Sidang Media Bio-Nik". gua.com.my. Unknown parameter |acceesdate= ignored (bantuan)

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]