[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Baba Nyonya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Peranakan Cina
Baba Nyonya
峇峇娘惹
بابا ڽوڽا
Gambar perkahwinan pasangan Peranakan Baba Nyonya – Chung Guat Hooi, anak perempuan Kapitan Chung Thye Phin and Khoo Soo Beow, anak lelaki Khoo Heng Pan di Pulau Pinang– diambil dari muzium Penang
Kawasan ramai penduduk
Malaysia dan Singapura
Bahasa
Bahasa Baba dan Bahasa Melayu , Bahasa Melayu Malaysia , Hokkien Pulau Pinang dan Bahasa Cina
Agama
Buddha Mahayana, Kristian, Konfusianisme, Taoisme, Islam
Kumpulan etnik berkaitan
Cina Malaysia , India Malaysia dan Cina Singapura
Baba Nyonya
Nama Bahasa Cina
Bahasa Cina峇峇娘惹
Melayu
MelayuBaba Nyonya
بابا ڽوڽا / Cina Selat / Cina Peranakan

Baba Nyonya (Tulisan Jawi:بابا يويا) adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina di dalam kumpulan etnik yang dinamakan Peranakan yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu, tertumpu di Negeri-negeri Selat, khususnya di negeri Melaka(asal), Pulau Pinang di Malaysia dan Republik Singapura. Terdapat juga Cina Peranakan ditemukan di negara Gajah Putih (Thailand) khususnya di Tanjung Salang (Phuket) dan Rundung (Ranong) bernama Baba Yaya dan di Indonesia (Tangerang ,Medan , Kepulauan Riau & Bangka Belitung) bernama Kiau Seng. Bagaimanapun, sebahagian mereka enggan mengakui bahawa mereka adalah orang Cina atau Melayu tetapi sebaliknya mendakwa bahawa mereka mengamalkan cara hidup Melayu dan Cina , mereka amat berbangga dengan kedudukan ini. Tambahan pula, mereka mengeji pendatang-pendatang Cina yang baru, [1] dan mempunyai kelab tersendiri yang tidak membenarkan pendatang-pendatang Cina masuk. Mereka memanggil diri mereka sebagai "Baba" atau "Peranakan" kerana kebudayaan mereka, yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu.

Salah satunya adat Pantun salah satu lagu terkenal daripada Baba Nyonya iaitu Rasa Sayang. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosio-budaya di persekitaran mereka di zaman silam, iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku di antara kaum-kaum Cina dan Melayu, adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai "Baba". Dari segi anutan, kebanyakannya masih mengekalkan agama tradisional Cina dan Buddha, namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Kristian dan Islam yang amat popular di kalangan remaja.

Kebanyakan anak-anak Baba dibesarkan mengikut cara hidup dan upacara-upacara agama orang Cina yang diubah oleh unsur-unsur kemelayuan serta unsur-unsur tempatan yang lain. Dalam seratus lima puluh tahun yang lalu, upacara ini telahpun diubah suai. Penghidupan moden yang terlalu cepat meninggalkan sedikit demi sedikit masa lapang untuk persembahan ke atas pengorbanan yang tidak berkesudahan itu. Upacara ini semakin berkurangan disebabkan juga oleh pengaruh Barat, tetapi masih terus diamalkan.[2]

Pada kurun ke-15, wilayah-wilayah kepulauan Melayu selalunya memberi penghormatan kepada pelbagai kerajaan seperti Negara Cina dan Siam. Hubungan diplomatik yang erat telah dibina sejak kurun ke-15, semasa pemerintahan Parameswara, apabila Laksamana Cheng Ho, seorang Cina Muslim melawat Melaka. Menurut penerangan traditional, pada 1459, Raja Cina telah menghantar puteri, Hang Li Po, kepada Sultan Melaka sebagai satu tanda penghargaan kepada penghormatannya. Pengikut-pengikut puteri tinggal di Bukit Cina pada mulanya dan akhirnya lahirnya Peranakan. Peranakan mengkekalkan kebanyakan budaya dan kepercayaan nenek moyang mereka, tetapi bahasa dan budaya Melayu telah diasimilasi. Mereka membina budaya pemakanan yang unik. Banyak sumber memberi tuntutan bahawa Peranakan adalah kahwin campur dengan orang Melayu tempatan; hal ini mungkin akan lari daripada factor pengikut-pengikut puteri Cina tinggal di Bukit Cina yang mengembara ke Melaka dengan Laksamana Yunnan berbangsa Cina Muslim. Namun, kekurangan peringatan yang fizikal secara keseluruahan telah menyebabkan ramai pakar sukar percaya terhadap asal-usul etnik Peranakan Cina.

Sejak beberapa kurun, Peranakan telah mewujudkan satu budaya yang unik dengan mengkekalkan banyak tradisi Cina, seperti meraikan perayaan Tahun Baru Cina, perayaan Tanglung, dengan mengikut budaya tempatan dan juga penjajah. Terdapat tanda-tanda Portugis, Belanda, British, Melayu, dan Indonesia pengaruh dalam budaya Baba dan Nyonya.

Pada pertengahan abad ke-20, kebanyakan Peranakan dididik oleh Inggeris, akibat daripda penjajahan British atas Malaya, dan kecenderungan gologan tersebut mudah menerima budaya baru. Disebabkan Peranakan mudah menerap budaya Inggeris dan berpendidik, kebanyakan jawatan perkhidmatan dipenuhi oleh mereka. Interaksi antara British dengan mereka menyebabkan mereka memeluk agama Kristian. Hal ini menyebabkan masyarakat Peranakan menjadi berpengaruh di Melaka dan Singapura serta mereka lebih dikenali sebagai King’s Chinese (Cina Raja) kerana mereka lebih taat kepada Mahkota British. Disebabkan interaksi daripda pelbagai budaya dan bahasa, kabanyakan Peranakan bertutur tiga bahasa, dan dapat bercakap dengan Cina, Melayu dan Inggris. Biasanya mereka bekerja sebagai pedagang, dan pertenggahan antara Cina, Melayu dan Barat; terutamanya, British.

Kebanyakan pendatang Cina yang terawal sekali berhijrah ke Tanah Melayu adalah daripada kelompok Hokkien. Oleh itu, kebanyakan orang Baba juga adalah Hokkien dan mereka yang berasal daripada keturunan Hokkien masih menganggap diri mereka sebagai orang Hokkien meskipun kebanyakannya tidak pandai bertutur dalam loghat Hokkien. Ada juga orang Baba yang berasal daripada keturunan Kantonis, Hakka, dan lain-lain.

Budaya Baba berasal dari Melaka tetapi apabila Pulau Pinang dan Singapura berkembang dan dimajukan, banyak juga di antara mereka yang berpindah ke kedua-dua negeri ini, terutamanya Singapura. Kaum Baba yang wujud pada hari ini bertutur dalam bahasa Baba iaitu sejenis dialek Melayu yang dapat difahami oleh kebanyakan orang Melayu. Cara masakan mereka kebanyakannya diresapi oleh cara masakan Melayu dan adalah menjadi satu kebiasaan bagi mereka makan dengan menggunakan tangan sebagaimana juga orang-orang Melayu. Generasi Nyonya (Baba perempuan) yang terdahulu masih memakai pakaian kebaya dan kain sarong sebagaimana yang dipakai oleh orang-orang Melayu.

Oleh itu, adalah menarik bahawa kehidupan orang Baba dan pandangan mereka masih bersifat kecinaan, walaupun mereka telah lama terpisah daripada komuniti mereka di China. Ini digambarkan melalui aspek-aspek kebudayaan yang lain seperti sistem kekeluargaan dan agama yang mereka masih kekal, kecuali tocang yang dianggap sebagai lambang pengabdian kepada kerajaan Manchu, serta tradisi mengikat kaki kaum wanita yang dianggap sebagai adat yang tidak bertamadun. Malahan masyarakat Baba masih mengamalkan sebahagian resam budaya Cina yang sudah tidak dihiraukan lagi oleh masyarakat Cina Malaysia yang lain, seperti adat istiadat perkahwinan Cina tradisional yang memperlihat kedua-dua pengantin memakai pakaian-pakaian yang indah dan berwarna warni warisan budaya Cina tradisional. Rumah Baba juga dibina berdasarkan pelan-pelan tradisional Cina berbanding dengan Melayu.

Pakaian Nyonya serupa dengan pakaian tradisi Melayu, iaitu terdiri daripada baju kebaya (baju panjang dan batik sarung) dan kerongsang.

Kasut manek ialah alas kaki buatan tangan yang memerlukan kemahiran dan kesabaran tinggi untuk menghasilkannya dari jalinan manik kaca bersegi-segi halus yang dijahit pada kain terpal. Pada mulanya, manik-manik yang diperlukan untuk menghiasi kasut manek berasal dari Eropah, tetapi lama-kelamaan banyak diperoleh dari Jepun.

Rekaan kasut manek tradisional sering memperlihatkan motif bunga Eropah dan warnanya dipengaruhi oleh tembikar Peranakan dan sarung batik. Mulai 1930-an, kasut manek menjalani perubahan dengan diberi rekaan moden dan ditambah tumit.

Suku Peranakan di Indonesia ada baju kebaya tersendiri, terutamanya 'kebaya encim', serta mengemmbangkan corak batik tersebdiri yang bermotifkan Cina.

Baba dan Nyonya mengamalkan agama-agama tradisional Cina, menyambut Tahun Baru Cina dan Perayaan Tanglung, sambil mengamalkan adat resam Melayu dan penjajah barat. Pengaruh Portugis, Belanda, British, Melayu dan Indonesia meninggalkan kesan dalam budaya Peranakan.[3]

Ayam buah keluak.

Kesan dari pengaruh Melayu, lahirnya masakan "Nyonya" yang menggunakan rempah masakan Melayu. Contohnya ayam kapitan, sejenis kari ayam kering; inci kabin, iaitu ayam goreng cara Nyonya; dan pindang bandeng, kuah ikan yang dihidangkan ketika meraikan tahun baru Cina di Singapura.

Perkahwinan

[sunting | sunting sumber]

Saudagar Cina di Melaka zaman silam gemar menmperisterikan atau mempergundikkan wanita Melayu dari Semenanjung Tanah Melayu atau Sumatera.[4] Hasilnya, suku Baba dan Nyonya memperlihatkan campuran budaya Cina dan Melayu yang bersinergi.[5][6]

Catatan dari abad ke-19 dan awal abad ke-20 menyatakan bahawa lelaki Baba lazimnya mengahwini wanita dalam masyarakat Peranakan setempat. Ada kalanya, keluarga Peranakan membawa masuk pengantin dari China atau menghantar anak perempuan ke China untuk mencari suami.

Orang Peranakan biasanya berkahwin dengan pasangan setempat yang sama darjatnya. Lelaki kaya paling menggemari chin choay atau perkahwinan matrilokal iaitu si suami menyertai keluarga isteri.[7]

Lamaran memerlukan buah tangan pinangan, iaitu bakul berkilau dua tingkat, yang dibawa oleh pengantara yang mewakili pelamar kepada ibu bapa pengantin idaman. Kebanyakan suku Peranakan tidak beragama Islam, sebaliknya memelihara adat penyembahan nenek moyang dari kaum Cina, tetapi ada yang memeluk agama Kristian.

Majlis perkahwinan Peranakan yang banyak mengetengahkan tradisi Cina merupakan antara perkahwinan tradisi yang paling berwarna-warni di Malaysia dan Singapura. Majlis diserikan dengan lagu berima spontan dondang sayang yang dinyanyi dalam bahasa Melayu dan ditari oleh para hadirin di jamuan. Pendondang bergilir-gilir menyambungkan lagu bertema asmara sambil menari berpusing-pusing dengan perlahannya. Dondang sayang memerlukan kemahiran berjenaka dan bertikam balas, siapa yang bijak berdondang maka dialah yang meraih gelak ketawa dan tepukan tangan ramai-ramai. Pelat loghat dan cara berbahasa Baba dan Nyonya serta kepandaian menyerikan lagi persembahan.

Dulang teh tembikar berenamel warna-warni yang dihiasi "burung cenderawasih" gaya Peranakan.
Muzium Warisan Baba Nyonya di Melaka, Malaysia.

Bahan-bahan bersejarah dari kebudayaan Baba dan Nyonya dipamerkan di pusat-pusat kebudayaan seperti Jonker Street (Melaka), Pulau Pinang dan Muzium Peranakan (Singapura). Di tempat-tempat sedemikian, anda boleh mencari muzium yang mempamerkan perabot, makanan, dan pakaian tradisi Baba and Nyonya. Juga terdapat kedai-kedai makan "Nyonya" di Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Jakarta, Semarang, Surabaya, dan juga di Barat. Pertunjukan seni Peranakan mingguan juga diadakan di pasar malam Jonker Street.

Hubungan politik

[sunting | sunting sumber]

Pada zaman pendudukan kuasa Barat, kaum Baba Nyonya lebih berada berbanding pendatang China yang baru. Kekayaan dan jalinan erat keluarga membolehkan suku Peranakan membentuk sebuah golongan atasan berbangsa Cina yang amat setia kepada kuasa British atau Belanda,[8] sehingga sukar menerima kemerdekaan Malaysia dan Indonesia.[9]

Menjelang pertengahan abad ke-20, kebanyakan suku Peranakan menerima pendidikan Inggeris atau Belanda, kesan penjajahan kepulauan Melayu oleh kuasa-kuasa Barat. Suku Peranakan sanggup memeluk kebudayaan dan pendidikan Inggeris sebagai cara memajukan diri mereka dari segi ekonomi. Oleh itu, jawatan-jawatan pentadbiran dan perkhidmatan awam selalu diisi oleh orang Cina Peranakan terkemuka. Ramai orang Baba dan Nyonya memeluk agama Kristian kerana menganggap agama itu lebih berprestij dan amat rapat dengan kebudayaan sekutu mereka yang berbangsa British dan Belanda. [10] Justeru, masyarakat Peranakan menjadi amat berpengaruh di Melaka dan Singapura, sehingga diberi gelaran King's Chinese kerana kesetiaan mereka kepada pihak British. Hasil dari perhubungan mereka dengan pelbagai budaya dan bahasa, kebanyakan orang Peranakan fasih berbahasa Cina, Melayu dan Inggeris. Antara kerjaya-kerjaya yang banyak diceburi mereka termasuk saudagar, pedagang, dan orang tengah yang menguruskan perhubungan antara China, Tanah Melayu dan kuasa-kuasa Barat yang amat dihargai oleh British dan Belanda.

Separuh awal abad ke-20 menyaksikan perubahan penting dalam sejarah yang mana sebilangan kaum Peranakan makin cenderung untuk menyokong kemerdekaan Malaysia dan Indonesia. Di Indonesia, tiga komuniti Cina bergabung dan bergiat dalam politik.

Orang Cina Peranakan juga menyertai peloporan akhbar Indonesia. Mereka menerbitkan impian politik mereka di samping sumbangan dari penulis tempatan yang lain dalam syarikat penerbitan mereka. Pada bulan November 1928, akhbar mingguan berbahasa Cina iaitu Sin Po ([新報] Error: {{Lang}}: teg bahasa tidak diiktiraf: zh-t (bantuan)) menjadi akhbar pertama yang menerbitkan lirik lagu kebangsaan Indonesia Raya. Kadang-kala, sesiapa yang terlibat dalam kegiatan sedemikian menghadapi ancaman dipenjara atau dihukum mati kerana pihak berkuasa penjajah Belanda mengharamkan penerbitan dan kegiatan nasionalis.

Kaum Cina di Indonesia berkobar-kobar memberikan sokongan kepada gerakan kemerdekaan ketika pendudukan Jepun pada awal 1940-an, apabila semua persatuan Cina diharamkan oleh pihak Jepun. Antara mereka yang terlibat termasuk Siauw Giok Tjhan dan Liem Koen Hian, dan Yap Tjwan Bing, seorang ahli Panitia Persiapan Kemerdekaan Indonesia, yang menjadi warga Amerika Syarikat pada 1960-an.

Tokoh-tokoh Baba

[sunting | sunting sumber]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Victor Purcell. Orang-orang Cina di Tanah Melayu, m.s. 66, 1997. Penterjemah: Nik Hasnaa Nik Mahmood, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia. ISBN 983-52-0095-5.
  2. ^ Malaysia The People of Malaysia.
  3. ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
  4. ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
  5. ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages
  6. ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
  7. ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages
  8. ^ Joo Ee Khoo; The Straits Chinese: a cultural history, Pepin Press,: 1996 ISBN 9054960086: 288 pages
  9. ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages
  10. ^ Keat Gin Ooi, Southeast Asia: a historical encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor ABC-CLIO: 2004: ISBN 1576077705: 1791 pages

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]