[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Ashamah bin Abjar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Najasyi Ashamah bin Abjar (Arab: أصحمة بن أبجر النجاشي - memerintah dari 614 hingga 631) atau nama bahasa Ge'eznya Armah (አርማህ, Arab: أرمها) adalah raja sebuah kerajaan bernama Aksum (kini terangkum dalam negara Habsyah moden) di zaman Nabi Muhammad, malah beliau dipercayai merupakan penguasa yang terlibat (ataupun ayahandanya Gersem dalam menyambut rombongan orang Islam pertama yang datang dari Mekah meminta perlindungan daripada ancaman kaum Quraisy.[1]

Dalam sejarah Islam

[sunting | sunting sumber]
Gambaran Raja Najasyi menghadap rombongan Quraisy Mekah yang menuntut pelarian Muslim dalam naskhah lukisan Rasyiddin Hamadani tahun 1314

Beliau dicatatkan masuk Islam setelah mendengar dakwah dari Ja'afar ibn Abi Thalib menurut tradisi Islam. Jaafar dan Muslim Makkah lain menjadi pelarian dengan menyeberangi Laut Merah terus ke negeri Habsyah. Kumpulan ini melalui Tanduk Afrika kerana lautnya lebih sempit. Semasa di Makkah, mereka menderita diseksa oleh orang musyrikin. Najasyi tersebut berjanji tidak akan menyiksa rombongan dari Mekah itu meskipun diberi segunung emas. Beliau pun dibacakan wahyu yang diturunkan kepada baginda Rasulullah mengenai Maryam yang melahirkan Nabi Isa dalam keadaan tidak berbapa. Raja tersebut menjadi kagum kerana ia mirip apa yang dipercayai dalam anutan dahulunya lalu kagum kerana terbuktinya bahawa apa yang dikatakan oleh nabi tersebut benar-benar belaka.

Surat daripada Nabi Muhammad

[sunting | sunting sumber]

Nabi Muhammad dikatakan pernah ke Habsyah semasa membawa barang dagangan Khadijah binti Khuwailid. Muhammad juga dua kali pergi ke Syam (Syria), Yaman dan Bahrain kini. Walaupun Nabi Muhammad buta huruf tetapi pernah mengirim 6 keping surat dibantu Zaid bin Thabit mengajak raja-raja serantau ketika itu memeluk Islam.[2]

Rasulullah mengutus surat kepada Raja Najasyi berhubung keadaan Ja'afar ibn Abi Thalib. Surat itu dibawa oleh Amr bin Umayyah ad-Dhamri. Surat itu telah dibalas dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad. Beliau juga mengirim adiknya yang bernama Ariha bin Ash-Ham bin Abjar.[3]

Raja Najasyi juga menikahkan Nabi dengan Ramlah binti Abi Sufyan bin Harb. Ramlah pernah berhijrah ke Habsyah tetapi suaminya Ubaidillah bin Jahsy mati di sana. Ramlah digelar Ummu Habibah. Setelah teruk disiksa, Ubaidillah memeluk agama Nasrani, mabuk-mabuk dan akhirnya mati kerana minum arak. Beliau membayar mas kahwin (mahar) sebanyak 400 dinar emas bagi pihak Rasulullah, akad nikah turut diadakan di Habsyah. Najasyi menghantar Ramlah dan beberapa orang lain ke Mekah dengan dua buah perahu, beliau juga menghadiahkan Rasulullah tiga tongkat terbaik buatan sana serta sebentuk cincin emas.

Kemangkatan

[sunting | sunting sumber]

Najasyi meninggal pada bulan Rejab 9 H. Aisyah Abu Bakar melaporkan bahawa kubur Najasyi terlihat cahaya. Rasulullah mengadakan solat ghaib iaitu sembahyang jenazah dari jauh. Rasulullah tidak pernah solat jenazah ghaib sebelum ataupun sesudah meninggalnya raja Najasyi.[4]

Dalam tradisi Islam, beliau yang beragama Nasrani (Kristian) memeluk Islam kemudiannya. Sejarahwan Barat pula berpendapat bahawa beliau berpegang teguh kepada agama asalnya sepanjang hayatnya.

  1. ^ M. Elfasi, Ivan Hrbek (1988). Africa from the Seventh to the Eleventh Century. UNESCO. m/s. 560.
  2. ^ An-Najasyi, Ash-Hamah bin Abjar, Sang Raja Nan Arif Lagi Bijaksana (archive)
  3. ^ "Surat Rasulullah Saw. Kepada Najasyi, Raja Habasyah". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-05-25. Dicapai pada 2010-06-05.
  4. ^ https://sunnah.com/search/?q=negus