[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Kimia: Asas/Pengenalan kepada kimia

Daripada Wikibuku
 Bab 1: Pengenalan kepada Kimia

Apa itu kimia?

[sunting]

Lihat di sekeliling anda. Apa yang boleh anda lihat? Jika anda berada di dalam rumah, pasti anda dapat melihat skrin komputer, papan kekunci, dinding, almari, meja, buku-buku, alat permainan, dan sebagainya. Anda mungkin mempunyai segelas air bersama anda, ataupun semangkuk snek. Namun, apa yang kita jarang fikirkan adalah apa yang membentuk semua benda di sekeliling kita. Jika rumah diperbuat daripada batu-bata, batu-bata diperbuat daripada tanah, dan tanah diperbuat daripada pasir, pasir diperbuat daripada apa? Apa sebenarnya yang ada dalam udara? Lihat lampu yang terdekat dengan anda; bagaimana ia boleh terus menyala? sedangkan api yang biasa akan terus terpadam apabila bahan bakarnya habis? Mengapa air boleh mendidih dan membeku? Malah, bagaimana anggota-anggota badan kita sendiri boleh terbentuk?

Kimia mencari jawapan kepada soalan-soalan ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kimia adalah "ilmu sains asas yang berkaitan dengan struktur, kelakuan, komposisi dan sifat tindak balas yang berlaku antara atom, ion, unsur, atau sebatian serta hukum-hukum yang menerangkan fenomena kimia". Dengan erti kata yang mudah, ia mengkaji tentang sifat-sifat dan tindak balas jirim dan menjelaskan kejadian-kejadian semula jadi daripada sudut pandangan kimia. Istilah-istilah daripada takrifan kamus di atas mungkin mengelirukan bagi yang baru dengan kimia, tetapi anda akan fahaminya nanti.

Apa kepentingan kimia?

[sunting]

Daripada segi sains, kimia berkait rapat dengan hampir semua cabang sains yang lain, dan disebabkan inilah ia mendapat gelaran "sains pertengahan" atau "central science". Namun, bidang sains lain yang paling rapat dengan kimia ialah fizik. Tidak seperti kimia, fizik lebih menyentuh berkenaan tenaga dan jirim sama ada dalam skala besar ataupun dalam skala kecil.

Ilmu kimia telah digunakan sejak manusia pertama kali menemui cara menghasilkan api. Alkimia, satu bidang separa kimia yang dipelopori oleh orang Yunani, Rom, Islam dan Eropah, melibatkan pencarian "Philosopher's Stone" yang dikatakan boleh menukarkan logam biasa menjadi emas dan perak, dan penghasilan ubat-ubat yang dikatakan boleh menghidupkan seseorang itu selamanya. Kini, kimia moden mempunyai pelbagai kegunaan dalam kehidupan kita, daripada memasak dan membasuh pakaian, ke ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa dan automobil, sehinggalah ke penghasilan keluli dan konkrit untuk pembinaan bangunan, dan juga penyejukan gas-gas untuk menghasilkan bahan bakar roket. Kimia memainkan peranan yang amat besar kepada kehidupan kita. Andainya ilmu kimia tidak pernah diceburi, anda mungkin tidak akan membaca ayat ini pada hari ini.

Bidang apa yang menggunakan ilmu kimia?

[sunting]

Seperti yang diterangkan di atas, kimia adalah sains pertengahan. Ia sentiasa mempunyai sangkut paut dengan bidang sains yang lain. Biologi menggunakan kimia dalam memahami struktur protin, DNA dan proses-proses hidup seperti pernafasan dan penghadaman. Untuk mengetahui usia batuan, geologi menggunakan separuh hayat unsur yang disebut dalam kimia. Fizik dan kimia boleh diibaratkan seperti isi dengan kuku; kedua-duanya merangkumi aspek yang hampir sama. Bidang perubatan sudah pastinya memerlukan kimia untuk menghasilkan ubat dengan bahan-bahan kimia yang betul. Pembina bangunan dan arkitek perlu memastikan setiap batang keluli yang digunakan mempunyai campuran logam yang boleh menahan tekanan yang tinggi. Ahli bomba menggunakan pemadam api karbon dioksida untuk memadamkan api. Pada hari-hari istimewa (seperti 4 Julai di Amerika Syarikat), ahli piroteknik menggunakan kemahiran kimia untuk menghasilkan bunga api pelbagai warna.

Pendek kata, kimia terlalu banyak digunakan dalam bidang-bidang selain kimia.