[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Katedral dan Bazar/Katedral dan Bazar

Daripada Wikibuku

Linux subversif. Siapa yang terfikir, mahupun hanya lima tahun dahulu (1991), yang sebuah sistem operasi kelas dunia dapat bercantum seolah-olah secara magis daripada usaha godaman separa masa oleh beberapa ribu para pembangun perisian yang bertaburan di seluruh dunia, yang dihubungkan hanya oleh urat-urat rapuh Internet?

Sudah tentu bukan saya. Pada saat Linux menarik perhatian saya dalam awal tahun 1993, saya sudah terlibat dengan Unix dan pembangunan sumber terbuka selama 10 tahun. Saya seorang daripada para penyumbang pertama GNU dalam pertengahan tahun 1980-an. Saya telah mengeluarkan banyak perisian sumber terbuka dalam Net, membangun atau membangun bersama beberapa program (nethack, VC dan mod GUD Emacs, xlife, dan lain-lain) yang masih digunakan secara meluas pada hari ini. Saya ingatkan yang saya tahu bagaimana ia dilakukan. Linux menterbalikan sebahagian besar apa yang saya fikir saya tahu. Saya telah menganjurkan pegangan Unix yang mengutamakan perkakas-perkakas kecil, pemprototaipan pantas dan pengaturcaraan evolusi untuk tempoh bertahun-tahun. Akan tetapi saya juga percaya bahawa terdapat kekompleksan kritikal yang, apabila dilewati, memerlukan pendekatan a priori yang lebih terpusat. Saya mempercayai yang perisian yang paling penting (sistem operasi dan perkakas yang besar seperti penyunting pengaturan Emacs) perlu dibina seperti katedral, dibina dengan rapi oleh individu-individu pintar ataupun kumpulan-kumpulan ahli magis yang bekerja secara berasingan, dengan tiada perisian beta yang dikeluarkan sebelum betul-betul lengkap. Gaya pembangunan Linus Torvalds – keluarkan awal dan kerap, tugaskan kepada orang lain apa yang dapat ditugaskan, bersikap amat terbuka sehingga hampir-hampir ke tahap sembarangan – mengejutkan saya.

Tidak ada pembinaan katedral yang penuh hormat di sini – sebaliknya masyarakat Linux menyerupai bazar yang sibuk dan bising yang menawarkan agenda-agenda dan pendekatan-pendekatan berbeza (digambarkan dengan tepat oleh tapak-tapak arkib Linux yang akan menerima serahan daripada siapa sahaja) yang menghasilkan sebuah sistem yang teratur dan stabil yang nampaknya hanya boleh terhasil dengan keajaiban yang berturut-turut. Malah, hakikat yang gaya bazar ini dapat berfungsi, dan berfungsi dengan baik, datang sebagai satu kejutan. Semasa saya mempelajari selok-beloknya, saya berusaha keras bukan sahaja terhadap projek-projek individu, tetapi juga berusaha untuk memahami bagaimana alam Linux bukan sahaja tidak berpecah-belah dalam kekeliruan, tetapi nampaknya menjadi bertambah kukuh pada kecepatan yang hampir tidak dapat dibayangkan oleh pembina katedral.

Menjelang pertengahan tahun 1996 saya fikirkan yang saya sudah mula memahami. Kebetulan nasib memberi saya peluang terbaik untuk menguji teori saya, dalam bentuk sebuah projek sumber terbuka yang dapat saya kendalikan dengan cara sengaja dalam gaya bazar. Jadi saya pun lakukan – dan ia berjaya.

Ini cerita projek tersebut. Saya akan menggunakannya untuk mencadangkan beberapa aforisme tentang keberkesanan pembangunan sumber terbuka. Tidak semua perkara ini yang saya mula-mula pelajari dalam alam Linux, akan tetapi kita akan melihat bagaimana alam Linux menonjolkan aforisme-aforisme tersebut. Jika saya betul, aforisme-aforisme ini akan membantu anda memahami apa yang membuat masyarakat Linux punca perisian bagus – dan mungkin aforisme-aforisme ini akan dapat membantu anda menjadi lebih produktif.