Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau singkatannya (PTPTN) telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. Sebelum itu pada tahun 1995 di Perhimpunan Agong UMNO Malaysia, Pemuda UMNO yang diwakili oleh Mohd Sharkar Shamsudin telah mengusulkan untuk ditubuhkan Tabung Pendidikan Negara kemudiannya diperbadankan . Fungsi utama penubuhan perbadanan ini adalah untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pelajaran pengajian tinggi kepada para siswa dan siswi yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Bertitik tolak dari pinjaman kewangan yang diberikan, PTPTN juga bertanggungjawab untuk memungut kembali bayaran balik dari para peminjam yang telah melakukan pinjaman mereka dengan perbadanan tersebut.
Kerangka | |
---|---|
Jenis/bentuk sah | Pertubuhan |
Tapak web | Laman sesawang rasmi PTPTN |
Sejarah | |
Ditubuhkan | 1997 |
Lokasi | |
Ibu pejabat | Lot G2, Tingkat Bawah, Wisma Chase Perdana, |
Lokasi | |
sunting · sunting di Wikidata |
Selain itu, PTPTN juga turut menyediakan skim simpanan pendidikan yang dikenali sebagai "Skim Simpanan Pendidikan Nasional" (SSPN) yang merupakan suatu bentuk produk tambahan, yang membolehkan pendeposit menyimpan wang bagi tujuan khairat pendidikan untuk anak-anak pada masa hadapan. Dalam pada itu juga PTPTN turut melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis di Malaysia.
PTPTN mula beroperasi pada 1 November 1997 di Bangunan Wisma Chase Perdana, Off Jalan Semantan, Damansara Heights, Kuala Lumpur.
Kontroversi
suntingIsu pemberhentian pinjaman perbelanjaan
suntingPada November 2011, media di Malaysia telah melaporkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah PTPTN telah membuat cadangan supaya pinjaman perbelanjaan atau sara wang sara diri yang diberikan kepada pelajar yang memohon pinjaman pendidikan dari perbadanan ini diberhentikan pada tahun 2013. Tujuannya untuk mengurangkan bebanan perbadanan itu. Cadangan itu telah mendapat perhatian dan isu sensasi bagi rakyat di negara Malaysia, lantaran dari salah faham tersebut, pihak PTPTN telah mejelaskan bahawa ia merupakan suatu cadangan yang masih belum dimuktamadkan dan ianya masih melalui proses rundingan yang panjang.
Lantaran dari cadangan pemberhentian pinjaman perbelanjaan itu, suatu makanisme baru telah dirancang oleh pihak PTPTN bagi membantu pengagihan sumbangan kewangan kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Antara mekanisma gantian yang dicadangkan adalah (PTPTN) merancang penubuhan dana baharu hasil sumbangan sektor korporat dan individu untuk disalurkan kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang kurang berkemampuan.
Penubuhan dana itu adalah sebahagian daripada cadangan PTPTN untuk mengehadkan pembiayaan mereka kepada hanya menampung yuran pengajian dan bukan lagi turut melibatkan kos sara hidup pelajar mulai 2013.
Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, cadangan penubuhan dana itu bersama pelan pembiayaan terhad sedang diperhalusi dan bakal dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan seterusnya dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.
Ismail Mohammed Said berkata:
"Untuk menggalakkan sumbangan swasta, PTPTN akan mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi pelepasan cukai kepada sektor korporat atau individu yang membantu,"
Tanpa mendedahkan saiz dana itu, Ismail berkata, sektor korporat boleh menyalurkan sumbangan melalui tiga kaedah iaitu menyalurkan secara terus kepada pelajar, institusi pengajian tinggi awam dan swasta atau melalui PTPTN yang akan mengagihkannya kepada pelajar yang layak.
Walau bagaimanapun, jika cadangan itu tidak diterima oleh kerajaan, PTPTN hanya meneruskan sahaja dasar pinjaman yang sedia ada.
Dalam menghadapi spekulasi cadangan ini, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkeyakinan bahawa cadangan tersebut mampu menyulitkan kehidupan pelajar miskin, walau bagaimanapun pihaknya akan meneliti cadangan PTPTN itu kelak dengan mengambil kira keperluan pelajar daripada semua golongan.
Sehingga November 2011, seramai 1.87 juta pelajar telah mendapat pinjaman PTPTN membabitkan peruntukan sebanyak RM41.60 bilion.
Pada tahun 2011 pula dijangka seramai 2.5 juta lagi pelajar akan memohon pinjaman PTPTN dan sehingga 31 September 2011, sebanyak RM2.74 bilion pinjaman telah dibayar balik oleh peminjam berbanding pembayaran balik yang sepatutnya iaitu RM6.2 bilion.[1]
Isu pembekuan pembiayaan pendidikan kepada pelajar UNISEL
suntingKementerian Pengajian Tinggi Malaysia, menerusi agensinya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), telah menyekat dan membekukan pembiayaan pendidikan (berupa dana kewangan) kepada pelajar Universiti Selangor (UNISEL). Pengakuan pembekuan ini turut diakui kebenarannya oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said yang dihubungi Sinar Harian Online pada 7 Jun 2012.[2]
Ini merupakan turutan dari saranan KETUA pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru kepada golongan peminjam supaya tidak membuat bayaran kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam satu ceramah di kawasan parlimennya, menurut laporan akhbar Sin Chew Daily.[3], [4]
Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli meminta Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi kenyataan sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar UNISEL adalah merupakan arahan dari beliau. Menurut Rafizi, Laman Twitter Datuk Seri Khaled Nordin telah mengggambarkan pendirian menteri tersebut. Khaled Nordin memberitahu dalam laman Twitternya: "UNISEL boleh hapuskan yuran, dengan sendirinya memenuhi matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yang dilaungkan Anuar (Naib Canselor UNISEL) dan Pakatan". dalam pada itu Rafizi juga turut menyoal samada rasional pembekuan ini adalah sebahagian dari mainan politik dendam Umno-Barisan Nasional (BN). Jika benar, Rafizi meminta Khaled untuk meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.[5]
Dalam perkembangan sama, penuntut-penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), juga turut berdepan masalah pembekuan yang sama.[6]
Menurut Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tindakan menyekat kemudahan pinjaman ke pelajar Universiti Selangor (UNISEL) ekoran pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang mahu ia dimansuhkan dan ia hanya bersifat sementara. Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembekuan diadakan untuk menyemak samaada Kerajaan Negeri Selangor dan Pakatan Rakyat masih memerlukan pinjaman pendidikan buat pelajar UNISEL atau tidak.[7]
Berikutan timbulnya isu ini, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) membantah dan mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tersebut kerana perbuatan menyekat menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Malaysia dan bercanggah dengan moto “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.[8] Ketidaksetujuan dalam isu pembekuan PTPTN juga turut disuarakan oleh Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Ketua Pemuda Umno menegaskan, para penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor. Menurut Khairy, "Walaupun terbukti Kerajaan Selangor gagal untuk memberikan pendidikan percuma kepada negeri yang ditadbir oleh mereka, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana keutamaan harus diberi kepada pelajar. Mereka ini (Pelajar) datang daripada pelbagai kelompok, bukan semua berkemampuan untuk membayar yuran pengajian. Oleh itu PTPTN harus mengambil kira perkara tersebut sebelum membuat sebarang keputusan mengenai pembekuan itu."[9]
Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Khaled Nordin yang membeku dan menarik balik ketetapan sebagai suatu kerenah seakan-akan seperti "wang atuknya" yang boleh digunakan ikut suka.[10]
Sebagai reaksi dari tindakan pembekuan tersebut, suatu pendekatan drastik jangka pendek telah diumumkan oleh Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju untuk membantu pelajar-pelajar baru UNISEL yang dalam kesukaran meneruskan pengajian. Aset hartanah UNISEL seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang-hutang TALAM akan diapungkan untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil dari usaha ini.[11]
Sebahagian wang ini akan digunakan untuk membantu pelajar-pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan BN membekukan PTPTN.
Khalid juga menegaskan bantuan kewangan ini hanyalah berbentuk sementara sehingga penyelesaian konkrit dicapai. UNISEL akan memperincikan bantuan yang akan diberikan kepada pelajar -pelajar teraniayai ini dalam tempoh terdekat.[12]
Walau bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, PTPTN telah mendapat arahan berupa surat dari Pejabat Menteri Pengajian Tinggi Malaysia untuk meneruskan pemberian pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar UNISEL dan KUIS, ini sekaligus membatalkan pendirian sebelum ini Kerajaan Malaysia untuk membekukan pemberian pinjaman pendidikan kepada pelajar-pelajar UNISEL dan KUIS.[13][14]
Rujukan
sunting- ^ Kosmo-Dana baharu untuk pelajar miskin
- ^ Sinar Harian Online - PTPTN: Pelajar Kuis juga dibekukan
- ^ ANWAR KATA TIDAK PERLU BAYAR HUTANG PTPTN.
- ^ Isu pinjaman siswa Unisel: Menteri salahkan Anwar.
- ^ "FMT News - Khaled Nordin arah PTPTN sekat pinjaman Unisel?". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-06-10. Dicapai pada 2012-06-08.
- ^ Sinar Harian Online - PTPTN: Pelajar Kuis juga dibekukan
- ^ Sinar Harian Online - PTPTN-Unisel: KPT hanya semak bukan batal, kata TPM
- ^ Sinar Harian Online - PTPTN-Unisel: Gamis gesa batal segera sekatan
- ^ Sinar Harian Online - Khairy: PTPTN tak wajar sekat pelajar Unisel
- ^ "HarakahDaily.net/en - [[Tan Sri Muhyiddin Yassin]] and Khaled treating PTPTN funds like their grandfather's - Lim". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-06-09. Dicapai pada 2012-06-10.
- ^ "MalaysiaToday Online News - S'gor comes to rescue of Unisel students". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-06-11. Dicapai pada 2012-06-10.
- ^ "MediaSelangorku - UNISEL akan cairkan aset untuk bantu pelajar". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-06-09. Dicapai pada 2012-06-08.
- ^ MalaysiaKini - PTPTN tarik balik pembekuan pinjaman siswa Unisel, KUIS
- ^ UtusanOnline - PTPTN tarik balik pembekuan pinjaman