[go: up one dir, main page]

Nasi (Jawi: ‏ناسي‎‎) ialah beras yang telah dimasak atau "ditanak"[1] secara direbus mahupun dikukus;[2] penanakan ini bertujuan membangkitkan aroma nasi dan membuatkannya lebih lunak dapat dimakan tetapi masih terjaga konsistensinya.

Semangkuk nasi.

Cara menanak nasi

sunting

Beras yang hendak dimasak perlu dibilas sebanyak 3 kali untuk membuang kanji berlebihan daripada setiap butir beras agar nasi yang dimasak menjadi gebu, tidak lembik dan tidak mudah basi.[3] Air yang dimasukkan untuk memasak beras mesti disukat agar mencapai isipadu sama dengan jumlah beras kemudiannya ditambah sedikit lagi lebih pada paras satu ruas jari agar mudah disejat.[3][4] Penanakan nasi dengan air berlebihan dalam proses perebusannya akan menghasilkan bubur. Di Asia dan Amerika Latin, nasi biasanya dimasak menggunakan pemasak nasi.

Warna nasi yang telah masak atau ditanak bergantung kepada jenis beras yang digunakan. Pada umumnya, warna nasi ialah putih jika beras yang digunakan berwarna putih. Beras merah atau beras hitam akan menghasilkan warna nasi yang serupa dengan warna berasnya. Kandungan amilosa yang rendah pada pati beras akan menghasilkan nasi yang cenderung kepada lut sinar dan melekat. Pulut yang patinya hanya mengandungi sedikit amilosa dan hampir semuanya berupa amilopektin, memiliki sifat seperti itu. Beras Jepun (japonica) untuk sushi mengandungi kadar amilosa sekitar 12-15% sehingga nasinya lebih melekat daripada nasi yang dimakan di Asia Tropika yang kadar amilosanya sekitar 20%. Pada umumnya, beras dengan kadar amilosa lebih daripada 24% akan menghasilkan nasi yang tidak lekat, keras, dan mudah terpisah-pisah.

Nasi dimakan oleh sebahagian besar penduduk Asia sebagai sumber karbohidrat utama dalam menu seharian. Nasi sebagai makanan ruji biasanya dihidangkan bersama lauk sebagai pelengkap rasa dan juga melengkapi keperluan gizi seseorang. Nasi dapat diolah lagi bersama bahan makanan lain menjadi masakan baru, seperti nasi goreng, nasi lemak atau nasi kerabu.

Nasi sebagai sumber khasiat

sunting

Nasi membekalkan khasiat karbohidrat yang kompleks untuk memberi tenaga kepada aktiviti fizikal tubuh badan. Ia rendah lemak dan garam serta tidak mempunyai kolestrol. Ia juga bebas daripada sebarang pengawet atau perisa tambahan, bebas daripada gluten dan mempunyai indeks glisemik yang rendah.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ "tanak". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  2. ^ "nasi". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.
  3. ^ a b Nur (16 Januari 2020). "Cara Masak Nasi Putih, Beras Basmathi & Beras Perang Yang Gebu & Lembut". Rasa. Dicapai pada 17 Mac 2022.
  4. ^ Dan Souza (17 November 2018). The Best Way to Cook Rice is All About the Right Ratio | What's Eating Dan?. America's Test Kitchen. Dicapai pada 17 Mac 2022.