[go: up one dir, main page]

Kuda padi (Jawi: ‏ڤادي‎‎ ‏كودا‎‎) merupakan satu spesies kuda yang bersaiz kecil[1] atau "padi"[2] (Equus ferus caballus). Bergantung pada konteksnya, kuda padi boleh merupakan kuda yang berada di bawah ketinggian bonggol yang tertentu, ataupun kuda kecil dengan bentuk badan dan pembawaan yang tertentu. Kuda padi terdiri daripada banyak baka. Berbanding dengan kuda-kuda lain, kuda padi selalu mempunyai bulu surai, ekor dan badan yang lebih lebat, serta kaki yang lebih kecil, laras badan yang lebih lebar, tulang yang lebih berat, leher yang lebih tebal, dan kepala yang lebih pendek dengan dahi yang lebih luas.

Seekor kuda padi Highland yang memperlihatkan ciri-ciri kuda padi iaitu tulang tegap, surai dan ekor lebat, kepala kecil, dan keseluruhan saiz tubuh yang kecil.

Nenek moyang bagi kebanyakan kuda padi masa kini tumbuh dengan begitu kecil kerana hidup di pinggiran habitat yang boleh didiami kuda. Kuda-kuda yang lebih kecil ini dibela jinak lalu diternak untuk pelbagai kegunaan di seluruh hemisfera utara Bumi. Kuda padi selama ini digunakan untuk menarik kereta serta mengangkut barang, sebagai tunggangan kanak-kanak, tunggangan riadah, dan akhirnya untuk kegunaan sukan dan pertunjukan. Sewaktu Revolusi Perindustrian, terutamanya di Great Britain, kuda padi digunakan secara meluas untuk mengangkut arang dari lombong.

Umumnya, kuda padi dianggap pintar dan mesra, tetapi kadang-kadang juga disifatkan sebagai degil atau licik. Kuda padi yang terlatih rapi sesuai ditunggang oleh kanak-kanak yang belajar menunggang. Kuda padi yang lebih besar boleh ditunggang oleh orang dewasa, kerana kuda padi itu agak kuat walau begitu kecil. Dalam takrifan rasmi masa kini, kuda padi merupakan kuda yang berukuran kurang daripada 14.2 tangan (58 inci, 147 cm) tingginya setakat bonggol, tetapi ada yang mengenakan had tinggi yang ketat dari 14 tangan (56 inci, 142 cm) ke dekat 14.3 tangan (59 inci, 150 cm). Malah sesetengah baka menggolongkan kuda itu sebagai kuda biasa atau kuda padi berasaskan pedigri dan fenotipnya tanpa mengira berapa tingginya.

Rujukan

sunting
  1. ^ "kuda padi". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017. Dicapai pada 12 Januari 2014.
  2. ^ "padi". Kamus Dewan (ed. ke-4). Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. 2017.