[go: up one dir, main page]

Kerbau (Jawi: کرباو) atau secara lebih tepatnya kerbau bela jinak Asia (Bubalus bubalis) merupakan sejenis haiwan bovid besar yang berasal dari Asia Selatan, Asia Tenggara, dan China. Kini spesies ini juga ditemui di Eropah, Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan dan beberapa buah negara AfrikaKerbau liar (Bubalus arnee) yang juga berasal dari Asia Tenggara dikira spesies berbeza, tetapi paling berkemungkinan mewakili leluhur kepada kerbau ternakan.

Kerbau
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Mammalia
Keluarga: Bovidae
Genus: Bubalus
Spesies:
B. bubalis
Nama binomial
Bubalus bubalis

Dikenalpastinya dua jenis kerbau ekstan berasaskan kriteria morfologi dan kelakuan, iaitu kerbau sungai dari Asia Selatan ke barat hingga rantau Balkan, Mesir, dan Itali, dan kerbau paya yang ditemui dari Assam di barat melalui Asia Tenggara hingga Lembah Yangtze, China di timur. Dibahaskan asal-usul setiap jenis kerbau, namun hasil kajian filogenetik menunjukkan bahawa jenis paya mungkin berasal dari China dan dibela jinak kira-kira 4,000 tahun dahulu, sedangkan jenis sungai mungkin berasal dari India dan dibela jinak kira-kira 5,000 tahun dahulu. Kerbau diperdagangkan dari Tamadun lembah Indus ke Mesopotamia, di Iraq moden, oleh suku Meluhha pada 2500 SM. Mohor katib upahan raja Akkad memaparkan upacara pengorbanan kerbau.

Wujud sekurang-kurangnya 130 juta ekor kerbau bela jinak, dan lebih ramai orang yang bergantung pada kerbau daripada mana-mana haiwan bela jinak yang lain. Kerbau sesuai khusus untuk membajak sawah, dan susunya lebih kaya dengan lemak dan protein daripada lembu susu. Terjadinya kawanan kerbau jalang di Australia Utara sejak abad ke-19, malah juga terdapat kawanan jalang lain di New Guinea, Tunisia, dan Amerika Selatan.

Ciri-ciri

sunting
 
Tengkorak kerbau.
 
Kerbau di Thailand
 
Kerbau paya balar di wilayah Chiang Mai, Thailand

Kerbau hitam kulitnya, tetapi ada yang kulitnya berwarna biru loh tua. Kerbau paya kelabu ketika lahir tetapi tumbuh menjadi kulit biru loh. Juga terdapat kerbau balar.

Kerbau sungai panjang muka, kecil lilitan, dan besar kakinya berbanding kerbau paya. Rabung belakangnya menjangkau jauh ke belakang dan menirus dengan lebih beransur-ansur. Tanduknya tumbuh menurun dan ke belakang, kemudian melengkung ke atas secara pilin.

Kerbau paya berbadan berat dan sasa; badannya pendek dan perutnya besar. Dahinya rata, matanya menonjol, mukanya pendek, dan muncungnya lebar. Lehernya agak panjang, sementara kelasa dan punggungnya cembung. Rabung belakangnya menjangkau ke belakang dan berakhir dengan mendadak hampir di hujung dada. Tanduknya tumbuh ke luar dan melengkung menjadi separuh bulatan, tetapi sentiasa kekal dalam lingkungan satah dahi.

Ekornya pendek, hanya sampai di keting. Tinggi kelasanya 129–133 cm (51–52 in) untuk jantan, dan 120–127 cm (47–50 in) untuk betina. Beratnya dalam julat 300–550 kg (660–1,210 lb), tetapi juga pernah dicatatkan berat melebihi 1,000 kg (2,200 lb).

Tedong bonga merupakan kerbau berwarna hitam putih yang digemari oleh kaum Toraja di Sulawesi.

Kerbau paya ada 48 kromosom; kerbau sungai pula 50 kromosom. Kedua-dua jenis tidak mudah saling membiak kacuk, tetapi boleh jadi anak subur. Tidak pernah diperhatikan jadinya kerbau-lembu, tetapi embrio bagi kacukan sedemikian mencapai kematangan di ujikaji makmal, itupun pada kadar yang rendah daripada bukan kacukan.

Rumen kerbau ketara bezanya daripada haiwan-haiwan ruminan yang lain kerana terdapat lebih banyak bakteria, terutamanya yang selulolitik, kurangnya protozoa, dan lebihnya zoospora kulat. Selain itu, terdapat ammonia nitrogen (NH4-N) rumen dan pH yang lebih tinggi berbanding lembu.

Ekologi dan kelakuan

sunting
 
Kerbau gemar berendam dalam air.
 
Kerbau berkubang dalam lumpur.

Kerbau sungai menggemari air dalam. Kerbau paya pula lebih suka berendam dalam kubang lumpur yang digali sendiri dengan tanduknya. Ketika berkubang, ia memakai selaput lumpur yang tebal. Kedua-dua jenis cukup sesuai untuk hidup di iklim panas dan lembap dengan suhu dari 0 °C (32 °F) pada musim sejuk hingga 30 °C (86 °F) ke atas pada musim panas. Di iklim-iklim yang panas mesti ada air kerana kerbau memerlukan kubang, sungai atau air percik untuk membantu mengawal suhu badan. Sesetengah baka tersesuai untuk pinggir pantai air masin dan rupa bumi berpasir masin.

Pemakanan

sunting

Kerbau hidup dengan pelbagai tumbuhan air ketika banjir dengan meragut sambil menyelam, lalu mendongak ke luar air sambil menggondol secukup tumbuhan yang boleh dimakan. Kerbau makan mensiang, keladi bunting, Arundo donax, (sejenis Cyperaceae) dan Juncaceae. Sesetengah tumbuhan ini amat bernilai bagi orang tempatan. Yang lain seperti keladi bunting menyusahkan di sesetengah lembah tropika dan kerbau boleh digunakan untuk mengemaskan jalan air.

Foder hijau meluas digunakan untuk pengeluaran susu intensif serta penggemukan. Banyak tanaman foder yang disimpan sebagai rumput kering, dicencang atau dilenyek. Foder termasuk alfalfa, daun, batang atau reja-reja pisang, ubi kayu, petai belalang dengan kenaf, jagung, oat, pandan, kacang tanah, betari, kacang soya, tebu, dan sebagainya. Pupla limau dan sisa nenas dapat selamat disuapkan kepada kerbau. Di Mesir, buah kurma jemur penuh disuapkan kepada kerbau susu sebanyak 25% daripada campuran suapan piawai.

Pembiakan

sunting
 
Anak kerbau di India

Kerbau paya pada umumnya mula dapat membiak lebih lewat daripada kerbau sungai. Jantan muda di Mesir, India, dan Pakistan mula-mula dikawankan dalam umur 3.0–3.5 tahun, tetapi di Itali ia boleh digunakan seawal umur dua tahun. Kelakuan mengawan yang berhasil boleh berterusan sehingga kerbau itu menecah umur 12 tahun. Seekor kerbau sungai jantan yang bagus dapat membuntingkan 100 ekor betina dalam setahun. Terdapat pengaruh bermusim yang kuat terhadap pengawanan. Tekanan haba mengurangkan libido.

Biarpun kerbau poliestrus, namun keefisienan pembiakannya amatlah berbagai-bagai sepanjang tahun. Kerbau betina menunjukkan perubahan musim yang ketara dalam estrus, kadar penyuburan dan kelahiran anak. Umur betina pada estrus pertama berbeza-beza antara baka dalam 13–33 bulan, tetapi mengawan pada estrus pertama selalunya tidak subur dan selalunya tertangguh hingga usia tiga tahun. Gestasi dalam 281–334 hari. Kerbau paya mengandungi anak seminggu dua lebih lama daripada kerbau sungai. Tidak jarang ditemui kerbau yang bekerja baik sehingga umur 30 tahun, malah tercatatnya juga kerbau yang 40 tahun bekerja.

Sejarah taksonomi

sunting
 
Kerbau

Carl Linnaeus mula-mula memerikan genus Bos dan kerbau di bawah binomial Bos bubalis pada 1758; diketahui spesiesnya wujud di Asia lalu dibela jinak di Itali. Ellerman dan Morrison-Scott melayan kerbau liar dan jinak sebagai "konspesifik", sedangkan yang lain menganggapnya dua spesies berbeza. Layanan tatanama bagi kerbau liar dan jinak adalah tidak konsisten dan berbagai-bagai bukan sahaja sesama pengarang bahkan juga sesama karya-karya yang sama pengarang.

Pada Mac 2003, Suruhanjaya Tatanama Zoologi Antarabangsa mencapai ketekalan bagi menamakan kerbau liar dan jinak dengan memutuskan bahawa nama saintifik Bubalus arnee sah untuk kerbau liar. B. bubalis pula kekal sah bagi kerbau jinak dan termasuk juga kerbau jalang.

Pembelajinakan dan pembiakbakaan

sunting
 
Kerbau Murrah di Pusat Kerbau Filipina

Kerbau mula dibela jinak di kawasan India kira-kira 5000 tahun dahulu, dan seterusnya di China kira-kira 4000 tahun dahulu. Dikenalpastinya dua jenis kerbau ekstan berasaskan kriteria morfologi dan kelakuan, iaitu kerbau sungai dari Asia Selatan ke barat hingga rantau Balkan, Mesir, dan Itali, dan kerbau paya yang ditemui dari Assam di barat melalui Asia Tenggara hingga Lembah Yangtze, China di timur. Kerbau sungai moden adalah hasil daripada proses pembelajinakan rumit yang melibatkan berbilang zuriat maternal dan aliran gen maternal yang besar daripada populasi liar selepas peristiwa pembelajinakan terdahulu. Dikenalinya 22 baka kerbau sungai, termasuk kerbau Murrah, NiliRavi, Surti, Jafarabadi, Anatolia, Mediterranean, dan Mesir. China ada banyak jenis sumber genetik kerbau, terdiri daripada 16 baka kerbau paya tempatan di pelbagai rantau.

Hasil analisis DNA mitokondria menunjukkan bahawa kedua-dua jenis telah dibela jinak secara berasingan. Penjujukan gen-gen cytochrome b bagi spesies Bubalus membayangkan bahawa kerbau jinak berasal darti sekurang-kurangnya dua populasi, malah jenis sungai dan paya telah dibezakan pada tahap spesies penuh. Jarak genetik antara dua jenis ini begitu besar hingga diusulkan tempoh pencapahan kira-kira 1.7 juta tahun. Jenis paya didapati paling rapat dengan tamaraw.

Taburan populasi

sunting
 
Kerbau baka Carabao di Filipina.

Jumlah kerbau sedunia adalah kira-kira 172 juta ekor.

Di Asia

sunting
 
Kereta kerbau di Filipina, 1899

Lebih 95.8% daripada populasi kerbau sedunia terdapat Asia, termasuklah jenis sungai dan paya. Populasi kerbau di India berbilang lebih 97.9 juta ekor pada 2003, iaitu 56.5% daripada jumlah dunia. Kerbau India rata-ratanya jenis sungai dengan 10 baka yang cukup tertakrif iaitu Badhawari, Murrah, Nili-Ravi, Jafarabadi, Marathwada, Mehsana, Nagpuri, Pandharpuri, Toda, dan Surti. Kerbau paya hanya terdapat di segelintir kawasan timur laut India dan tidak terbahagi kepada baka.

Pada 2003, populasi kedua terbesar hidup di China dengan 22.76 juta ekor, kesemuanya jenis paya yang terbahagi kepada baka-baka tanah pamah dan baka-baka tanah tinggi. Setakat 2003, terdapat 3.2 juta ekor kerbau paya di Filipina, hampir 3 juta ekor di Vietnam, dan kira-kira 773 ribu ekor di Bangladesh. Sekitar 750,000 ekor dianggarkan di Sri Lanka pada 1997. 

Kerbau merupakan haiwan susu utama di Pakistan, dengan 23.47 juta ekor setakat 2010. 76% daripadanya dibela di Punjab. Yang lain pula tertumpu di wilayah Sindh. Baka-baka yang digunakan ialah NiliRavi, Kundi, dan Azi Kheli. 

Di Thailand, jumlah kerbau merosot dari lebih 3 juta ekor pada 1996 kepada kurang 1.24 juta ekor pada 2011. Sedikit lebih 75% daripadanya dibela di kawasan timur laut negara berkenaan.

Kerbau juga terdapat di rantau selatan Iraq di Tanah Rawang Mesopotamia. Penyaliran tanah rawang tersebut oleh Saddam Hussein merupakan cubaan untuk menghukum rantau selatan atas pemberontakan 1991. Selepas Saddam digulingkan pada 2003, tanah-tanah ini dibanjiri semula dan laporan 2007 mengenai Maysan dan Dhi Qar menunjukkan pertambahan jumlah kerbau pada 40,008 ekor di kedua-dua wilayah.

Di Eropah dan Mediterranean

sunting

Barangkali kerbau diperkenalkan ke Eropah dari India atau negara Timur lain. Di Itali, dikhabarkan bahawa Raja Longobard Agilulf menerima kerbau sekitar tahun 600. Ini mungkin hantaran daripada Khan (penghulu) Avar, sebuah suku nomad Turkik yang tinggal berdekatan Sungai Danube ketika itu. Sir H. Johnston tahu akan sekawan kerbau yang dihadiahkan oleh seorang Raja Naples kepada Bey Tunis pada pertengahan abad ke-19 yang menjadikan kerbau jalang di Tunis utara.

Kerbau Eropah semuanya jenis sungai dan dianggap sama baka di bawah nama kerbau Mediterranean. Di Itali, daripada baka ini jadilah cabang baka Itali Mediterranean melalui pembiakbakaan terpilih yang mempunyai perbezaan genetik daripada kerbau Mediterranean yang lain. Kerbau Mediterranean juga terdapat di Romania, Bulgaria, Greece, Albania, Kosovo, dan Republik Macedonia, serta beberapa ratus di United Kingdom, JermanBelanda, Switzerland, dan Hungary. Kurangnya pertukaran kerbau membiak antara negara, maka setiap populasi mempunyai ciri-ciri fenotip dan prestasi tersendiri. Di Bulgaria, kerbaunya dikacukkan dengan baka Murrah India, sementara di Romania, ada yang dikacukkan dengan Murrah Bulgaria. Populasi kerbau di Turki datang dari baka Anatolia.

Di Australia

sunting
 
A feral water buffalo in Australia

Antara 1824 dan 1849, kerbau dibawa masuk ke Northern Territory dari Timor, Kisar, dan lain-lain pulau di kepulauan Indonesia. Pada 1886, beberapa jenis kerbau susu dibawa dari India ke Darwin. Kerbau menjadi haiwan peragut utama di kawasan dataran tepi pantai dan lembangan sungai di antara Darwin dan Arnhem Land sejak 1880-an. Pada awal 1960-an, dianggarkan dalam 150,000 hingga 200,000 ekor kerbau tinggal di dataran dan kawasan sekitar.

Kerbau ini sudah jadi jalang dan banyak mendatangkan mudarat kepada alam sekitar. Oleh itu, ia diburu dari 1885 hingga 1980. Bermulanya kempen bruselosis dan tuberkulosis (BTEC) menyebabkan program penakaian besar-besaran untuk mengurangkan bilangan kerbau. BTEC selesai apabila Northern Territory diisytiharkan bebas penyakit pada 1997. Bilangan kerbau turun mendadak ekoran kempen, tetapi sejak itu naik kembali kepada kira-kira 150,000 ekor di seluruh Australia utara pada 2008.

Di Amerika Selatan

sunting
 
Kerbau Murrah di ladang Brazil

Kerbau diperkenalkan ke lembangan Sungai Amazon pada 1895. Kini kerbau digunakan secara meluas di situ untuk pengeluaran daging dan susu. Pada 2005, jumlah kerbau di Amazon Brazil kira-kira 1.6 juta ekor, 460,000 daripadanya terletak di dataran banjir hilir Amazon. Antara bakanya ialah Mediterranean dari Itali, Murrah dan Jafarabadi dari India, dan Carabao dari Filipina.

Pada 1970-an, kerbau diimport kecil-kecilan ke Costa Rica, Ecuador, Cayenne, Panama, Surinam, Guyana, dan Venezuela.

Di Amerika Utara

sunting

Pada 1974, empat ekor kerbau diimport dari Guam ke Amerika Syarikat untuk dikaji di Universiti Florida. Pada Februari 1978, tibanya kawanan ternak komersial pertama. Hingga 2002, hanya sebuah penternak kerbau komersial terdapat di AS. Daging kerbau diimport dari Australia. Hingga 2011, kerbau dibela di Gainesville, Florida, daripada anak kerbau yang diperoleh daripada lebihan zoo, digunakan khas untuk pengeluaran daging yang sering dijual sebagai hamburger. Penternak AS lain menggunakan kerbau untuk pengeluaran keju mozzarella bermutu tinggi.

Penternakan

sunting
 
Kerbau membajak sawah di Jawa, Indonesia
 
Kerbau digunakan untuk membajak di Si Phan Don, Laos.
 
Tahi kerbau dikeringkan di dinding rumah di Daerah Yuanyang, Yunnan, China

Kerbau diternak mengikut tujuan pembelaannya. Kebanyakannya dibela oleh orang yang mengusahakan ladang kecil-kecilan. Maka kerbau hidup rapat sekali dengan tuannya dan sering dijadikan aset modal paling utama. Di India, kaum perempuan menjaga kerbau susu sementara lelaki menjaga kerbau kerja. Di seluruh Asia, kerbau sering dijaga oleh kanak-kanak yang selalu memimpin atau menunggang kerbau ke tempat kubang.

Kerbau sesuai untuk kerja di lumpur dalam sawah kerana telapuknya besar serta sendi paha yang fleksibel. Kerbau bergelar "traktor hidup rantau timur". Boleh jadi kerbau membajak lebih dalam daripada lembu mahupun kuda. Kerbaulah kaedah pembajakan sawah kecil yang paling cekap dan murah. Di kebanyakan negara pengeluar beras, kerbau digunakan untuk membanting dan mengangkut gelendong takal sewaktu musim menuai.

Kerbau menjana tenaga untuk kilang biji minyak, pemerah tebu, dan alat-alat mengangkat air. Kerbau sering dijadikan haiwan pengangkut, apatah lagi di India dan Pakistan untuk mengangkut berat-berat. Ketika menyerang Eropah, Turki zaman dahulu menggunakan kerbau untuk mengangkut kayu pelantak yang berat-berat. Tahinya dijadikan baja, bahkan bahan api apabila dijemur.

Kerbau menyumbangkan 72 juta tan susu dan 3 juta ton daging setahun kepada makanan dunia, dan kebanyakan daripada itu di tempat-tempat yang sering mengalami ketakseimbangan zat. Di India, kerbau sungai dibela khas untuk pengeluaran susu daripada pengangkutan, sementara kerbau paya dibela khas untuk pengangkutan daripada susu.

 
Hasil keluaran susu kerbau

Susu kerbau mengandungi ciri-ciri fizikokimia yang berbeza daripada spesies ruminan lain, seperti kandungan asid lemak dan protein yang lebih tinggi. Susu kerbau paya dan sungai ada bezanya dari segi fizikal dan kimia. Susu kerbau lebih tinggi kandungan jumlah pepejal, protein mentah, lemak, kalsium, dan fosforus, serta kandungan laktosa yang lebih tinggi sedikit daripada susu lembu. Tahap jumlah pepejal yang tinggi menjadikan susu kerbau sesuai untuk diproses kepada hasil tenusu tambah nilai seperti keju. Kandungan asid linoleik berkonjugat (CLA) dalam susu antara 4.4 mg/g lemak pada bulan September hingga 7.6 mg/g lemak pada bulan Jun. Perubahan musim dan genetik mungkin mempengaruhi variasi tahap CLA dan perubahan dalam komposisi kasar susu kerbau.

Susu kerbau diolah menjadi pelbagai jenis hasil tenusu:

  • Krim digodak lebih cepat pada kandungan lemak tinggi, lebih cepat cair daripada krim lembu.
  • Mentega dari krim kerbau kelihatan lebih stabil daripada krim lembu.
  • Minyak sapi dari susu kerbau lebih besar butirnya daripada minyak sapi lembu.
  • Hasil susu pekatan haba di Asia Selatan termasuk: paneer, khoa, rabri, kheer and basundi.
  • Hasil susu tapai termasuk dahi, yogurt, dan chakka.
  • Whey digunakan untuk membuat ricotta dan mascarpone di Itali, alkarisy di Syria dan Egypt.
  • Keju lembut termasuk mozzarella di Itali, karish, mish, dan domiati di Mesir, madhfor di Iraq, alghab di Syria, kesong puti di Filipina, dan vladeasa di Romania.
  • Keju setengah keras beyaz peynir dibuat di Turki.
  • Keju keras termasuk braila di Romania, rahss di Mesir, white brine di Bulgaria, dan akkawi di Syria.
  • Susu kerbau dibubuh air menjadi pengganti susu biasa yang lebih murah.
10 pengeluar susu kerbau teratas — 11 Jun 2008
Negara Pengeluaran (tonnes) Nota
India 56,960,000 Data tidak rasmi dan separa rasmi
Pakistan 21,500,000 Perangkaan rasmi
China 2,900,000 Anggaran FAO
Mesir 2,300,000 Anggaran FAO
Nepal 930,000 Anggaran FAO
Iran 241,500 Anggaran FAO
Myanmar 205,000 Anggaran FAO
Itali 200,000 Anggaran FAO
Turki 35,100 Anggaran FAO
Vietnam 31,000 Anggaran FAO
Dunia 85 396 902

Daging dan kulit

sunting

Daging kerbau sering dijual sebagai daging lembu di sesetengah negara, bahkan juga merupakan satu sumber rezeki eksport utama bagi India. Di kebanyakan rantau Asia, daging kerbau kurang digemari kerana keras, namun adanya resipi (contohnya, rendang) di mana proses masak perlahan dan rempah-ratus bukan sahaja menyedapkan daging, bahkan juga mengawetnya.[perlu rujukan]

Kulitnya cukup tahan lasak, sering digunakan untuk membuat kasut.[perlu rujukan]

Tulang dan tanduk

sunting
 
Penari bihu meniup tanduk kerbau.

Tulang dan tanduk kerbau sering dijadikan barang kemas, terutamanya subang. Tanduknya digunakan untuk embusur alat muzik, seperti ney dan kaval.

Kesan kepada alam sekitar

sunting

Para saintis pemuliharaan hidupan liar telah mula mencadangkan supaya kerbau jalang digunakan untuk membendung pertumbuhan tumbuhan yang tidak terkawal di dalam dan sekitar tanah lembap. Kerbau yang ditempatkan di persekitaran sedemikian menawarkan perkhidmatan murah dengan kerap meragut tumbuhan lebihan dan justeru membersihkan air tersumbat bagi unggas air, burung tanah lembap, dan lain-lain hidupan liar. Ada kalanya kerbau meragut digunakan di Great Britain untuk tujuan pemuliharaan, seperti di Chippenham Fen National Nature Reserve. Kerbau lebih senang menyesuaikan diri dengan keadaan lembap dan dedaun yang rendah zat berbanding lembu.

Akan tetapi jika tidak terkawal, kerbau sendiri boleh menyebabkan kemusnahan alam seperti memijak-mijak tumbuhan, mengganggu sarang burung dan reptilia serta menyebarkan rumpai eksotik.

Penyelidikan

sunting
 
Kerbau super di balai menyusu dan membiak

Pada 2007, diumumkannya pembangunan kerbau klon pertama Asia Tenggara di Filipina. Pusat Kerbau Filipina di bawah Jabatan Pertanian melaksanakan pengklonan melalui pemindahan nuklear sel somatik sebagai alat untuk penambahbaikan genetik dalam kerbau untuk melahirkan "anak kerbau super" dengan melipat ganda plasma germa yang sedia ada tetapi tanpa mengubah suai atau meminda bahan-bahan genetik.

Pada Januari 2008, Pusat Kerbau Filipina (Philippine Carabao Center) di Nueva Ecija, menurut saintis-saintis Filipina, telah memulakan kajian untuk membiak baka sejenis kerbau super yang mampu mengeluarkan 4 hingga 18 liter susu sehari dengan menggunakan teknologi berasaskan gen. Di samping itu, kerbau sungai in vitro pertama dilahirkan di situ pada 2004 daripada embrio vitrifikasi hasilan in vitro, dinamakan "Glory" sempena Presiden Gloria Macapagal-Arroyo. Pusat Kerbau Filipina iaitu projek paling berjaya Joseph Estrada sebagai senator pembangkang, dicipta menerusi Akta Republik 3707, Akta Kerbau 1992.

Saintis-saintis India daripada Institut Penyelidikan Tenusu Negara, Karnal pula membangunkan kerbau klon 2010. Anak kerbau itu diberi nama Samrupa, tetapi tidak hidup lebih dari seminggu akibat gangguan genetik. Beberapa bulan kemudian, seekor anak kerbau kedua berjaya dilahirkan, diberi nama Garima. Institut Penyelidikan Pusat tentang Kerbau, iaitu institut penyelidikan kerbau terulung di India, turut menjadi institut kedua di dunia yang berjaya mengklonkan kerbau pada 2016.

Dalam budaya

sunting
 
Kerbau seramik dari 2300 SM ditemui di Lopburi, Thailand
 
Dewa maut Hindu Yama menunggang kerbau
 
Kerbau (Suigyū) oleh Katsushika Hokusai, sekitar 1875
 
Tanduk kerbau dikorbankan di Sumba Barat, Indonesia, sekitar 1936 (koleksi Tropenmuseum)
  • Sesetengah suku etnik seperti Batak dan Toraja di Indonesia dan Derung di China, mengadakan upacara mengorbankan kerbau.
  • Mengikut legenda, ahli falsafah Cina Laozi keluar dari negara China dengan menunggang kerbau melalui Genting Han Gu.
  • Dewa maut Hindu, Yama, menunggang kerbau jantan. Dewi-dewi Hindu Varahi dan Vihot Mata juga berwahanakan kerbau.
  • Dalam satu kisah mitos Hindu, seekor syaitan separa kerbau separa manusia, Mahishasura, ditewaskan oleh dewi Durga.
  • Dewi perubahan Yoruba, Orisha Oya mengambil wajah kerbau.
  • Kerbau dianggap lambang negara Filipina.
  • Di Vietnam, kerbau ialah harta paling berharga bagi petani miskin, bahkan dilayan seperti ahli keluarga sendiri. Adanya pepatah berbunyi: "Chồng cày, vợ cấy, con trâu đi bừa" (Suami membajak, isteri menyemai, kerbau mengais). Hà Nội dahulu bernama Kim Ngưu atau "kerbau emas". Kerbau mengambil tempat lembu dalam zodiak Cina versi Vietnam.

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting