[go: up one dir, main page]

Geladak atau dek (bahasa Inggeris: deck) secara umumnya merujuk kepada bahagian lantai yang terletak di atas badan kapal.[1] Bagi bot dan kapal, geladak utama ialah struktur melintang yang melitupi badan kapal, yang memperkukuhkan badan kapal dan bertindak sebagai ruang kerja utama. Kapal-kapal biasanya memiliki lebih dari satu tingkat geladak, ada yang terletak di dalam badan kapal (geladak bawah), dan ada yang terletak di atas geladak utama di dalam superstruktur yang membentuk tingkat-tingkat seperti di bangunan biasa.

Geladak Falls of Clyde adalah diperbuat daripada besi sementara bahagian tengahnya dilapisi kayu, satu reka bentuk tipikal geladak kapal kurun ke-19.

Struktur

sunting

Tujuan geladak adalah sebagai satu struktur pelindung dari cuaca dan untuk menampung anak kapal dan segala peralatan. Geladak juga bertindak sebagai tudung yang disokong oleh galang kepada badan kapal. Ia menghalang kuasa tekanan, mampatan dan getaran. Beluti geladak lazimnya sama dengan sisi atasnya, atau mungkin lebih berat jika geladak itu digunakan untuk membawa muatan berat (contohnya geladak kapal kontena).

Bagi kapal yang memiliki lebih dari satu tingkat, geladak juga merujuk kepada setiap tingkat-tingkat tersebut. Permukaan lantai tingkat ini dipanggil "tapak" (sole), sementara istilah "lantai" (floor) merujuk kepada bahagian struktur yang mengikat bingkai atau rusuk kapal bersama pada lunas kapal. Dalam kapal moden, nombor tingkat geladak biasanya bermula dari geladak utama yang dinomborkan #1, ke atas dan ke bawah. Jadi geladak pertama di bawah geladak utama akan bernombor #2, dan geladak pertama di atas geladak utama akan bernombor #A2 atau #S2 ("atas" atau superstruktur). Bagaimanapun, penamaan geladak bergantung kepada pemilik kapal itu sendiri. Ada kapal persiaran yang menamakan geladak khususnya dengan nama-nama yang romantik seperti "geladak Lido" (lido deck) atau "bot cinta" (love boat).

Nama-nama geladak

sunting

Bagi kapal yang memiliki lebih dari satu geladak, terdapat pelbagai jenis penamaan samada dengan nombor atau abjad. Namun, terdapat juga pelbagai nama bersejarah dan jenis geladak seperti berikut:

  • Geladak himpitan (berth deck) : (tentera laut) Geladak yang berada di bawah geladak meriam, di mana buaian-buaian anak kapal ditempatkan (kapal perang lama).
  • Geladak bot (boat deck): Kawasan penyimpanan bot keselamatan dan bot nakhoda.
  • Geladak dandang (boiler deck): (kapal stim sungai) Geladak di mana dandang diletakkan.
  • Geladak sedatar (flush deck): Geladak yang sedatar dari haluan ke buritan kapal.
  • Geladak meriam (gun deck): (tentera laut) Geladak yang terletak di bawah geladak spar, di mana meriam-meriam diletakkan. Jika terdapat dua geladak meriam, bahagian atas dipanggil geladak utama, bahagian bawah dipanggil geladak meriam bawah; jika terdapat 3 geladak, di tengah-tengahnya akan dipanggil geladak meriam tengah.
  • Geladak separuh (half-deck): Sebahagian geladak yang terletak di bawah geladak spar yang berada di antara tiang utama dan kabin
  • Geladak helo (helo deck): Lazimnya terletak berhampiran buritan dan digunakan untuk pendaratan helikopter.
  • Geladak taufan (hurricane deck): (kapal stim sungai, dan sebagainya), geladak atas, biasanya satu geladak ringan yang dibina di atas bingkai badan kapal. (mendapat namanya dari angin yang sentiasa bertiup di geladak).[2]
  • Geladak lido (Lido deck): Kawasan terbuka biasanya di bahagian buritan kapal penumpang yang menempatkan kolam renang utama dan kawasan berjemur.
  • Geladak bawah (lower deck): (a) Geladak yang terletak di dalam ruang palka, asalnya cuma untuk kapal yang mempunyai dua geladak.[3] Sama makna dengan geladak himpitan.
  • Geladak utama (main deck): Geladak tertinggi pada badan kapal (juga dikenali sebagai geladak atas). Sebarang struktur yang berada di atas geladak utama adalah superstruktur.
  • Paras 01 (01 level) adalah istilah tentera laut yang merujuk kepada geladak di atas geladak utama. Geladak yang lebih tinggi akan dipanggil 02 level, 03 level dan seterusnya. Walaupun secara rasminya dipanggil "geladak", ia lebih dikenali sebagai paras atau tingkat, kerana bentuk struktur geladaknya yang tidak lengkap yang menjulur dari haluan ke buritan dan ke kelintangan badan kapal.
  • Geladak pinggang atau geladak tengah (middle or waist deck) Geladak atas di kelintangan kapal, kawasan anak kapal bekerja.
  • Geladak kolong (orlop deck): Geladak atau sebahagian dari geladak di mana kabel diletakkan, biasanya terletak di bawah garisan air. Ia merupakan geladak terbawah dalam kapal.[4]
  • Geladak kekota (poop deck): Geladak yang membentuk atap kepada kekota atau kabin kekota, dibina di geladak atas dan terbentang dari belakang tiang baksi (satu tiang layar).
  • Geladak persiaran (promenade deck): Geladak atas di kapal penumpang, tempat penumpang berjalan.
  • Geladak belakang (quarter-deck): (a) Bahagian geladak atas menghala ke buritan dari tiang utama, biasanya dikhususkan untuk pegawai kapal, tetamu dan penumpang. (b) (Tentera laut) Kawasan berhampiran laluan naik ke kapal yang digunakan oleh pegawai dan tetamu diplomatik. Juga merujuk kepada mana-mana pintu masuk untuk anak kapal.
  • Geladak sisi (side-deck): Geladak atas di sisi mana-mana struktur, juga dikenali sebagai luang lega.
  • Geladak spar (spar deck): (a) Sama dengan geladak atas. (b) Geladak ringan yang disambung dengan geladak atas.
  • Geladak antara (tween deck): ruang penyimpanan antara palka dan geladak utama.
  • Geladak cuaca (weather deck): (a) Sebarang geladak yang terdedah kepada kawasan luar. (b) Geladak-geladak sisi yang menghadap angin.[5]
  • Dok pendaratan (well deck): (Tentera laut) Geladak berbentuk hangar yang terletak di garisan air pada buritan beberapa jenis kapal serangan amfibia. Geladak ini boleh dibuka untuk membolehkan bot atau kapal pendaratan amfibia masuk ke dalam badan kapal.

Pembinaan

sunting

Geladak besi

sunting

Kapal-kapal besi umumnya menggunakan geladak yang diperbuat daripada plat keluli, yang dikimpal antara satu sama lain dari kedua arah. Proses ini memakan masa yang lebih lama daripada pembinaan geladak kayu. Tetapi kimpalan akan menghasilkan geladak yang kalis air yang kuat dan mudah dibaiki. Struktur geladak dikimpal sehingga ke badan kapal, menggabungkan keduanya menjadi satu struktur tunggal.

Geladak kayu

sunting

Geladak kayu tradisional diperbuat daripada papan kayu yang disusun berdampingan pada rasuk kapal. Bagi memastikannya kalis air, celah antara papan akan dipakal dengan damar atau gala-gala, dan dilapisi dengan tar. Geladak kayu banyak digunakan untuk kapal kayu tradisional dan perahu layar.

Geladak gentian kaca

sunting

Bahan moden yang banyak digunakan pada geladak kapal-kapal kecil adalah gentian kaca atau yang mudah untuk dibuat dan ringan. Gentian kaca juga digunakan untuk melapis geladak kayu agar lebih kedap air serta tahan lebih lama.

Rujukan

sunting
  1. ^ Edwards, Fred (illustrated by Sollers, Jim); Sailing as a Second Language: An illustrated dictionary; International Marine Publishing Company; © 1988 Highmark Publishing Ltd.; ISBN 0-87742-965-0
  2. ^ [http://www.lakehistory.info/hrdeck.html Hurricane Deck
  3. ^ Oxford English Dictionary. Lower n.4. Mar. 2009 Online edition. Retrieved 2009-04-06.
  4. ^ Oxford English Dictionary. Orlop n.. Mar. 2009 Online edition. Retrieved 2009-04-06.
  5. ^ Webster, Noah Ed.; Webster's Unabridged Dictionary – 1913; Project Gutenberg(eText numbers 660–670)

Pautan luar

sunting

The history of the deck in old North European ships and languages