Agama Mesir Purba
Agama Mesir purba merupakan satu sistem kepercayaan politeistik dan upacara yang rumit, yang merupakan sebahagian penting dalam budaya Mesir purba. Ia tertumpu pada interaksi orang Mesir dengan pelbagai dewa yang dipercayai hadir dan mengawal dunia. Ada kira-kira 1500 dewa yang diketahui.[1] Upacara seperti doa dan persembahan diberikan kepada dewa-dewa untuk mendapatkan keredaan mereka. Amalan keagamaan formal tertumpu pada firaun, pemerintah Mesir, yang dipercayai memiliki kuasa ilahi kerana kedudukan mereka. Mereka bertindak sebagai perantara antara rakyat mereka dan para dewa, dan berkewajipan untuk menjaga dewa-dewa melalui upacara dan persembahan supaya mereka dapat mengekalkan Maat, iaitu keteraturan alam semesta, dan menolak Isfet, iaitu kekacauan. Kerajaan melabur sumber yang besar untuk segala upacara keagamaan dan pembinaan kuil.
Individu boleh berinteraksi dengan para dewa untuk tujuan mereka sendiri, memohon bantuan melalui doa atau menarik dewa untuk bertindak melalui sihir. Amalan ini berbeza daripada, tetapi berkait rapat dengan, uoacara dan institusi formal. Tradisi keagamaan rakyat biasa menjadi semakin utama sepanjang sejarah Mesir apabila status firaun merosot. Kepercayaan Mesir tentang kehidupan akhirat dan kepentingan amalan pengebumian terbukti dalam usaha susah payah yang mereka lakukan demi roh mereka untuk terus hidup selepas mati—dengan bekalan di dalam makam, barangan kubur dan persembahan untuk memelihara jasad dan roh si mati.
Agama ini berakar sejak zaman prasejarah Mesir dan bertahan selama 3500 tahun. Maklumat mengenai kepercayaan agama berubah dengan masa ketika kepentingan dewa-dewa tertentu meningkat dan berkurang dan hubungan rumit mereka bertukar. Pada beberapa ketika, dewa-dewa tertentu menjadi lebih utama daripada yang lain, termasuk tuhan matahari Ra, dewa pencipta Amun, dan dewi ibu Isis. Untuk satu tempoh yang singkat, dalam agama yang dicipta oleh firaun Akhenaten, satu dewa, Aten, menggantikan agama tradisional Mesir. Agama dan mitologi Mesir Purba meninggalkan banyak tulisan dan monumen, bersama-sama pengaruh penting terhadap budaya kuno dan moden.
- ^ Kaelin, Oskar (2016-11-22). "Gods in Ancient Egypt". Oxford Research Encyclopedia of Religion (dalam bahasa Inggeris). doi:10.1093/acrefore/9780199340378.013.244. ISBN 978-0-19-934037-8. Dicapai pada 2023-04-10.