[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Vaksin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jonas Salk, pelopor vaksin polio, memegang dua botol kultur yang digunakan untuk menghasilkan vaksinnya yang begitu berjaya pada tahun 1955.

Vaksin ([vak.sin], Jawi: ۏکسين) ialah suatu persediaan biologi yang menyediakan pelalian aktif untuk penyakit tertentu. Vaksin biasanya mengandungi agen yang menyerupai mikroorganisma penyebab penyakit; ia sering diperolehi sama ada daripada mikrob yang dilemahkan ataupun dibunuh, racun-racunnya yang terhasil mahupun salah satu protein permukaannya. Agen tersebut merangsang sistem imun badan agar ia mengenali agen itu sebagai suatu ancaman, menghancurkan agen itu dan menyimpan catatan supaya sistem imun tersebut lebih mudah mengenali dan memusnahkan apa-apa jua mikroorganisma yang ditemuinya di lain masa. Vaksin boleh bersifat profilaktik (mencegah atau memperbaiki kesan-kesan jangkitan akan datang dengan apa-apa patogen asli atau "liar") mahupun terapi (vaksin melawan kanser sedang diselidiki, misalnya).

Proses pengendalian vaksin ke dalam badan dikenali sebagai vaksinasi (atau pemvaksinan) yang melalui suntikan ke dalam otot atau suntikan intraotot selalunya pada otot deltoid.. Keberkesanan vaksinasi telah lama dikaji secara menyeluruh serta diberikan pengesahannya; seperti pada vaksin influenza,[1] vaksin HPV[2] serta vaksin cacar air.[3] Kaedah ini dilihat merupakan suatu langkah pencegahan penyakit yang paling efektif.[4] Sebuah laporan hasil Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyatakan sebanyak dua puluh jenis jangkitan dapat dikawal serta dicegah dengan wujudnya vaksin-vaksin yang berlesen.[5]

Sejarah pembangunan

[sunting | sunting sumber]

Istilah vaksin dan vaksinasi berakar daripada nama saintifik untuk cacar lembu iaitu Variolae vaccinae. Konsep vaksinasi ini pertama kalinya diilhamkan oleh Edward Jenner, seorang doktor dari England melalui tajuk jurnalnya yang terbit tahun 1798 bertajuk Inquiry into the...Variolae vaccinae...known...[as]...the Cow Pox di mana Jenner menggambarkan kesan-kesan perlindungan daripada pendedahan kepada cacar lembu terhadap cacar biasa.

Pada tahun 1881, saintis Perancis Louis Pasteur mencadangkan agar istilah-istilah tersebut dikembangkan untuk inokulasi perlindungan baru yang dihasilkan ketika waktu itu sebagai memperingati Jenner.[6][7]

Keberkesanan

[sunting | sunting sumber]

Vaksin dikenali dalam sejarah sebagai suatu cara yang berkesan untuk melawan dan membasmi penyakit berjangkit, namun keberkesanannya ada juga batasnya.[8] Perlindungan kadangkalanya gagal kerana sistem imun badan tidak dapat bertindak balas dengan secukupnya mahupun secara langsung. Tindak balas yang kurang biasanya berlaku daripada faktor-faktor kesihatan yang wujud seperti diabetes, penggunaan steroid, HIV ataupun usia.[perlu rujukan] Vaksin boleh juga gagal berkesan disebabkan faktor genetik seperti tiadanya strain sel B yang boleh menghasilkan antibodi yang sesuai bertindak balas serta bergabung dengan antigen yang menghasilkan patogen.

Keberkesanan atau prestasi vaksin bergantung kepada beberapa faktor:

  • penyakit itu sendiri (ada vaksinasi yang lebih berkesan terhadap sesetengah penyakit orang lain)
  • strain vaksin (ada beberapa vaksin khusus, atau setidaknya yang paling efektif melawan, strain penyakit-penyakit yang tertentu)[9]
  • sama ada perjadualan vaksin telah dilaksanakan dengan baiknya.
  • Tindak balas pelik terhadap vaksinasi: ada sesetengah golognan yang malar terhadap tertentu, di mana mereka tidak akan menghasilkan antibodi meskipun vaksinasi dilakukan dengan betul.
  • berbagai faktor lain seperti etnik, usia mahupun kecenderungan genetik.

Jika seorang individu yang telah disuntik dengan vaksin menzahirkan penyakit yang bertindak melawan vaksin (breakthrough infection), penyakit ini barangkali kurang menular berbanding pada mangsa-mangsa yang tidak menjalani pemvaksinan.[10]

Vaksin-vaksin telah menyumbangkan kepada pembasmian cacar, salah satu penyakit yang paling berjangkit dan boleh membawa maut kepada manusia. Jangkitan penyakit-penyakit lain seperti rubella, polio, demam campak, gondok, cacar air dan tipus tidak lagi berlaku sekerap seratus tahun yang lalu. Wabak penyakit kini lebih sukar untuk berlaku mahupun tersebar dengan adanya banyak orang yang menjalani vaksinasi. Kesan ini adalah dipanggil imuniti kelompok. Polio, yang dihantar hanya antara manusia, menjadi sasaran sebuah kempen pembasmian meluas yang telah megehadkan perebakan penyakit tersebut kepada kawasan-kawasan tertentu di tiga negara iaitu Afghanistan, Nigeria, dan Pakistan).[11] Bagaimanapun, kesukaran mencapai semua kanak-kanak serta salah faham dengan masyarakat telah menyebabkan tempoh pembasmian penyakit tersebut dilewatkan beberapa kali.

Kebarangkalian kesan sampingan

[sunting | sunting sumber]

Vaksinasi yang diberikan sewaktu usia kanak-kanak biasanya selamat[12] dan kesan buruk yang ada selalunya wujud pada tahap yang sederhana;[13] hal sedemikian kerana tubuh badan bertindak balas menghadapi agen yang disangka menjangkit dan membahayakan badan.[14]

Kadar kesan sampingan yang wujud bergantung kepada jenis vaksin itu sendiri. Kesan yang biasa dan lazim termasuk demam, kesakitan di ruang sekitar serta otot tempat suntikan, mual, sakit kepala dan muntah.[14] Sesetengah individu juga boleh mempunyai alahan terhadap bahan-bahan yang ada dalam vaksin.[15]

Kesan sampingan yang ketara amat jarang sekali berlaku.

Jenis-jenis vaksin

[sunting | sunting sumber]

Vaksin terdiri daripada organisma yang mati ataupun dinyahaktifkan atau bahan-bahan hasilan yang diekstrakkan daripada mereka.

Terdapat beberapa jenis vaksin yang digunakan.[16] Vaksin-vaksin ini mewakili strategi berbeza yang digunakan sebagai percubaan mengurangkan risiko penyakit sambil mengekalkan kebolehan badan untuk mendorong tindak balas imun yang bermanfaat.

Vaksin yang tidak teraktif

[sunting | sunting sumber]

Sesetengah vaksin mengandungi mikroorganisme yang tidak teraktif akibat tindakan kimia, haba, radiasi mahupun antibiotik; contohnya vaksin influenza, vaksin kolera atau taun, vaksin Hepatitis A serta vaksin penyakit anjing gila.

Vaksin yang teratenuat

[sunting | sunting sumber]

Sesetengah vaksin mempunyai mikroorganisma yang hidup tapi teratenuat yakni mikroorganisma seperti virus yang telah dihasilkan dalam persekitaran yang membantutkan daya penularan mereka, ataupun yang menggunakan organisme yang sekeluarga tetapi kurang berbahaya untuk menghasilkan tindak balas imun yang lebih meluas. Kebanyakan vaksin yang teratenuat ini bersifat viral, walau bagaimanapun ada juga vaksin yang bersifat bakterial. Antara contoh-contoh vaksin yang berjenis sebegini adalah yang diperolehi dariapada demam kuning, demam campak, rubella, serta tifus.

Vaksin toksoid

[sunting | sunting sumber]

Vaksin toksoid ialah vaksin yang mengandungi toksoid atau toksin yang sudah dinyahaktifkan. Antara contoh vaksin jenis ini ialah toksoid tetanus dan difteria.[17]

Vaksin subunit

[sunting | sunting sumber]

Vaksin subunit mengandungi antigen tulen daripada menggunakan seluruh mikroorganisma (sama ada berupa toksoid, fragmen subseluler, atau molekul permukaan) yang diangkut oleh pembawa yang berbeda. Tindak balas imun terhadap vaksin subunit berbeda berdasarkan antigen yang digunakan. Antigen protein biasanya menimbulkan tindak balas imun adaptif bergantung kepada sel T utamanya sedangkan antigen polisakarida menghasilkan tindak balas yang bebas daripada keberadaan sel jenis.[18] Contoh vaksin subunit: acellular pertussis (aP), Haemophilus influenza type b (Hib), pneumococcal (PCV-7, PCV-10, PCV-13), dan hepatitis B (HepB).[17]

Vaksin konjugat

[sunting | sunting sumber]

Vaksin konjugat dapat didefinisikan sebagai subkelas vaksin subunit kerana adanya penggunaan pembawa protein untuk membawa antigen berasaskan polisakarida.

Vaksin mRNA

[sunting | sunting sumber]

vaksin mRNA ialah vaksin mengandungi Messenger RNA , atau jujukan RNA sesuatu virus, yg akan menghasilkan 'spike protein ' melalui sel badan manusia .

Penghasilan

[sunting | sunting sumber]

Penghasilan vaksin mempunyai beberapa peringkat. Antigen sendiri dihasilkan terlebih dahulu. Virus-virus dibesarkan sama ada di sel utama seperti telur ayam (untuk influenza misalnya) ataupun di baris sel yang berterusan seperti sel-sel manusia berkultur (contohnya vaksin untuk hepatitis A).[19] Bakteria mengalami proses tumbesaran di dalam bioreaktor (contohnya, Haemophilus influenzae jenis b). Protein berkombinasi yang berasal dari virus atau bakteria boleh dihasilkan melaui proses sama dengan ragi, bakteria, atau kultur-kultur sel sebagai bahan mentah.

Selepas antigen dihasilkan, ia diasingkan dari sel-sel penghasil. Virus mungkin perlu dinyahaktifkan tanpa perlunya pembersihan tambahan. Kombinasi protein perlu banyak operasi yang melibatkan ultraturasan dan ruangan kromatografi. Di tahap akhir penghasilan, vaksin dirumuskan dengan penambahan pembantu (adjuvant), penstabil, serta pengawet mengikut keperluan. Pembantu ataupun adjuvant meningkatkan tindak balas imun antigen, penstabil memanjangkan jangka hayat penyimpanan sementara pengawet bertindak membantu penyimpanan vaksin-vaksin dalam botol multidos.[20]

Vaksin berkombinasi lebih rumit untuk dibangunkan dan dihasilkan atas kemungkinan antigen-antigen tidak serasi ataupun mudah bertindak balas dengan bahan-bahan kimia tambahan di dalam vaksin.

Dalam perubatan veterinar

[sunting | sunting sumber]

Vaksinasi haiwan digunakan sebagai langkah pencegahan haiwan daripada dijangkiti penyakit serta pencegahan penyebaran penyakit kepada manusia.[21] Haiwan-haiwan ternakan mahupun peliharan diberikan vaksin secara rutin.

Populasi haiwan yang liar juga boleh diberikan vaksin dalam kes-kes tertentu. Proses ini dicapai melalui pemberian makanan yang bercampur dengan vaksin di kawasan yang disyaki tersebarnya penyakit. Satu contoh yang baik merupakan percubaan mengawal perebakan penyakit anjing gila di kalangan populasi rakun.

Terdapat kes-kes pengunaan vaksin veterinar di kalangan manusia yang didokumentasikan sama ada ia dilakukan dengan sengaja mahupun sebaliknya. Sestengah kes-kes tersebut menyebabkan kesakitan yang berlarutan, terutama sekali dengan penyakit Bruselosis.[22] Kes-kes sebegini bagaimanapun agak jarang, dan kajian yang dilakukan mengenai keselamatan serta kesan-kesan daripada kaedah ini amatlah sedikit.

  1. ^ Fiore AE, Bridges CB, Cox NJ (2009). "Seasonal influenza vaccines". Curr. Top. Microbiol. Immunol. Current Topics in Microbiology and Immunology. 333: 43–82. doi:10.1007/978-3-540-92165-3_3. ISBN 978-3-540-92164-6. PMID 19768400.
  2. ^ Chang Y, Brewer NT, Rinas AC, Schmitt K, Smith JS (July 2009). "Evaluating the impact of human papillomavirus vaccines". Vaccine. 27 (32): 4355–62. doi:10.1016/j.vaccine.2009.03.008. PMID 19515467.
  3. ^ Liesegang TJ (August 2009). "Varicella zoster virus vaccines: effective, but concerns linger". Can. J. Ophthalmol. 44 (4): 379–84. doi:10.3129/i09-126. PMID 19606157.
  4. ^ United States Centers for Disease Control and Prevention (2011). A CDC framework for preventing infectious diseases. Accessed 11 September 2012. "Vaccines are our most effective and cost-saving tools for disease prevention, preventing untold suffering and saving tens of thousands of lives and billions of dollars in healthcare costs each year."
  5. ^ World Health Organization, Global Vaccine Action Plan 2011-2020.
  6. ^ Pasteur, Louis (1881). "Address on the Germ Theory". Lancet. 118 (3024): 271–2. doi:10.1016/s0140-6736(02)35739-8.
  7. ^ Baxby, Derrick (1999). "Edward Jenner's Inquiry; a bicentenary analysis". Vaccine. 17 (4): 301–7. doi:10.1016/s0264-410x(98)00207-2. PMID 9987167.
  8. ^ Grammatikos, Alexandros P.; Mantadakis, Elpis; Falagas, Matthew E. (June 2009). "Meta-analyses on Pediatric Infections and Vaccines". Infectious Disease Clinics of North America. 23 (2): 431–57. doi:10.1016/j.idc.2009.01.008. PMID 19393917.
  9. ^ Schlegel (August 1999). "Comparative efficacy of three mumps vaccines during disease outbreak in eastern Switzerland: cohort study". BMJ. 319 (7206): 352. doi:10.1136/bmj.319.7206.352. PMC 32261. PMID 10435956. Dicapai pada 2014-01-09. Unknown parameter |displayauthors= ignored (bantuan)
  10. ^ Préziosi, M.; Halloran, M.E. (2003). "Effects of Pertussis Vaccination on Disease: Vaccine Efficacy in Reducing Clinical Severity". Clinical Infectious Diseases. Oxford Journals. 37 (6): 772–779. doi:10.1086/377270.
  11. ^ "WHO South-East Asia Region certified polio-free". WHO. 27 March 2014. Dicapai pada November 3, 2014.
  12. ^ Maglione, M. A.; Das, L.; Raaen, L.; Smith, A.; Chari, R.; Newberry, S.; Shanman, R.; Perry, T.; Goetz, M. B.; Gidengil, C. (1 July 2014). "Safety of Vaccines Used for Routine Immunization of US Children: A Systematic Review". Pediatrics. 134: 325–37. doi:10.1542/peds.2014-1079. PMID 25086160.
  13. ^ "Possible Side-effects from Vaccines". Centers for Disease Control and Prevention. Dicapai pada 24 February 2014.
  14. ^ a b Media, Kompas Cyber (2017-09-02). "Mengenal Berbagai Efek Samping Imunisasi: Bahaya Atau Tidak? - Kompas.com". KOMPAS.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-08-07.
  15. ^ http://www.cdc.gov/flu/about/qa/flushot.htm
  16. ^ "Vaccine Types". National Institute of Allergy and Infectious Diseases. 2012-04-03. Dicapai pada 2015-01-27.
  17. ^ a b "MODUL 1 – Tipe Vaksin - DASAR KEAMANAN VAKSIN WHO". in.vaccine-safety-training.org. Dicapai pada 2019-01-17.
  18. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama live
  19. ^ "Three ways to make a vaccine" (infographic). Dicapai pada 2015-08-05
  20. ^ Muzumdar JM, Cline RR (2009). "Vaccine supply, demand, and policy: a primer". J Am Pharm Assoc. 49 (4): e87–99. doi:10.1331/JAPhA.2009.09007. PMID 19589753.
  21. ^ Patel, JR; Heldens, JG (March 2009). "Immunoprophylaxis against important virus disease of horses, farm animals and birds". Vaccine. 27 (12): 1797–1810. doi:10.1016/j.vaccine.2008.12.063. PMID 19402200.
  22. ^ Berkelman, Ruth L. (1 August 2003). "Human Illness Associated with Use of Veterinary Vaccines". Clinical Infectious Diseases. 37 (3): 407–14. doi:10.1086/375595. PMID 12884166.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]