Tuah (filem)
Tuah | |
---|---|
Pengarah | Anwardi Jamil |
Lakon layar | Anwardi Jamil |
Cerita oleh | Anwardi Jamil |
Dihasilkan oleh | Rosnani Jamil |
Dibintangi | |
Disunting oleh | Anwardi Jamil |
Diedarkan oleh | R J Filem Sdn Bhd |
Tarikh tayangan | 1989/1990 |
Masa tayangan | 116 minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Tuah merupakan sebuah filem melayu yang diterbitkan pada tahun 1989/1990 dan dilakonkan oleh Jamal Abdillah sebagai Hang Tuah. Filem ini yang berasaskan kepada Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu. Filem ini menggabungkan suasana dari zaman dahulu kala dan zaman moden. Filem ini juga merupakan sebuah filem berwarna warni.
Pengarah
Filem Tuah diarahkan oleh Anwardi Jamil Sulong dan diterbitkan oleh syarikat milik seniwati Rosnani Jamil yang juga ibunya.
Sinopsis
Seorang lelaki berbaju Kesultanan Melayu purba telah menyelamatkan Datuk Shaari (Mustapha Maarof) dan anaknya Shahira (Erma Fatima) daripada penjenayah. Oleh kerana lelaki itu cedera di bahunya, Datuk Shaari membawanya pulang ke rumah. Apabila lelaki itu sedar, dia memperkenalkan dirinya sebagai Hang Tuah (Jamal Abdillah), pahlawan Melayu di abad ke-15. Semua orang berpendapat yang dia telah hilang ingatan, namun Shahira mula percaya dengan cerita Tuah selepas seorang doktor melakukan beberapa ujian pemeriksaan kesihatan sama ada mental dan fizikal. Hasil dari ujian cap jari, dia mendapati tiada data yang sama di dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara. Seorang lagi doktor melakukan ujian mental melalui teknik hipnosis dan mendapati pengakuan dari Tuah adalah jujur dan telus. Dalam pada itu, seorang pesilat terkemuka yang dikenali sebagai Tok Guru (Zami Ismail) mencabar Tuah bertarung. Dalam perlawanan tersebut, Tuah berjaya menewaskan musuhnya dengan mudah.
Semasa bersiar-siar ke Melaka, dia ternampak potret Sultan Anuar Alauddin Shah (Faizal Hussein). Tuah menyatakan bahawa wajah di potret itu mirip Jebat. Shahira menjelaskan sejarah bagaimana Hang Jebat boleh menjadi Sultan Melaka. Menurut cerita dari hikayat Hang Jebat, Jebat mengamuk dan membunuh Sultan Mahmud Shah setelah mengetahui Tuah dihukum bunuh dan menggelarkan dirinya sebagai Sultan. Jebat hanya dapat memerintah Keaultanan Melaka beberapa bulan sahaja sebelum dia mati dibunuh oleh para pembesar istana. Jebat mati akibat diracun.
Selepas mendengar penjelasan itu, Tuah ternampak akan sebilah keris Taming Sari di dalam sebuah peti kaca. Dengan bantuan keris Taming Sari tersebut, Tuah berjaya kembali semula ke zamannya dan bertemu dengan Hang Lekiu (Rusdi Ramli). Tuah menjelaskan bagaimana dia dapat kembali semula ke zaman ini walaupun Hang Jebat pada ketika itu sudah pun menawan Istana Melaka. Tujuannya adalah untuk menyekat tindakan Jebat terhadap Sultan Mahmud Shah. Manakala Sultan Mahmud Shah dan para pembesar yang lain telah melarikan diri akibat dari amukkan Hang Jebat. Hang Tuah bertandang ke Istana Melaka untuk bertemu dengan Hang Jebat dan ingin membunuhnya akibat dari penderhakaan yang dilakukan selama ini. Akhirnya, Hang Jebat mati di tangan Hang Tuah selepas keris Taming Sari berjaya ditikam di tubuhnya. Walaupun Hang Jebat terkorban, isterinya Dang Baru (Rima Rashidi), telah meninggalkan seorang waris di dalam kandungannya yang kemudiannya dikenali sebagai Laksamana Hang Nadim.
Suatu hari, Datuk Shaari dan Shahira telah dikepung oleh perompak bersenjata namun telah diselamatkan oleh seorang lelaki yang wajahnya mirip seperti Tuah. Rupa-rupanya yang menyelamatkan mereka sebentar tadi adalah ASP Sazali (Jamal Abdillah). Manakala Tuah tidak kembali semula ke zaman moden dan ghaib buat selama-lamanya.
Pelakon
- Jamal Abdillah sebagai Hang Tuah / ASP Sazali
- Erma Fatima sebagai Shahira
- Mustapha Maarof sebagai Datuk Shaari
- Faizal Hussein sebagai Sultan Anuar Alauddin / Hang Jebat
- Norlida Ahmad sebagai Tun Teja
- Zami Ismail sebagai Tok Guru
- Rima Rashidi sebagai Dang Baru
- Helmi Hussaini sebagai Helmi, pembantu Datuk Shaari
- Ku Izham Ku Ahmad sebagai Datuk Bendahara
- Ebby Yus sebagai Hang Kasturi
- Rusdi Ramli sebagai Hang Lekiu
- Nasir Ali sebagai Penjahat Zaman Moden
- Norazman Ahmad sebagai Penjahat Zaman Moden
Runut
- Berkorban Apa Saja nyanyian oleh Jamal Abdillah (penyanyi asal P. Ramlee)
Anugerah dan pencalonan
- Festival Filem Asia Pasifik ke-34, 1989 (Jakarta)
Anugerah Khas Juri - Filem yang berjaya menggarap tokoh wira dan legenda sejarah dalam bentuk filem yang bersesuaian dalam kehendak semasa
- Montreal Film Festival, 1990 (Penyertaan)
Lihat juga
- Hang Tuah (filem 1956)
- Hang Jebat (filem 1961)
- Puteri Gunong Ledang (filem 1961)
- XX Ray II
- Puteri Gunung Ledang (filem 2004)