[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Georgia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Versi boleh cetak tidak lagi disokong dan mungkin ada ralat persembahan. Sila kemas kini tanda buku pelayar anda dan sila guna fungsi cetak pelayar lalai pula.
Georgia juga adalah nama sebuah negeri di Amerika Syarikat, lihat Georgia, AS.
Georgia
საქართველო (Georgia)
Sakartvelo
Bendera Georgia
Jata Georgia
Bendera Jata
Cogan kata
ძალა ერთობაშია
Dzala Ertobashia
("Kekuatan dalam Penyatuan")
Lagu kebangsaan
თავისუფლება
Tavisupleba
("Kebebasan")
Kawasan di bawah kawalan Georgia dalam warna hijau tua; kawasan yang dituntut tetapi tidak dikawal Georgia dalam warna hijau muda
Kawasan di bawah kawalan Georgia dalam warna hijau tua; kawasan yang dituntut tetapi tidak dikawal Georgia dalam warna hijau muda
Ibu negara
dan bandar terbesar
Tbilisi
41°43′N 44°47′E / 41.717°N 44.783°E / 41.717; 44.783
Bahasa rasmiGeorgia (seluruh negara)
Abkhazia (Abkhazia AR)[1][2]
Kumpulan etnik
(2014[a])
86.8% orang Gurji
6.2% Azerbaijan
4.5% Armenia
0.7% Rusia
2.1% Lain-lain
Agama
(2014)
88.1% Kristian
—83.4% Ortodoks Georgia
—5.7% Kristian lain
10.7% Islam
1.2% Lain/Tiada[3]
KerajaanRepublik berparlimen kesatuan
• Presiden
Salome Zurabishvili (სალომე ზურაბიშვილი)
Shalva Papuashvili (შალვა პაპუაშვილი)
Irakli Kobachidze (ირაკლი კობახიძე)
Badan perundanganParlimen
Sejarah penubuhan
• Kolkhis dan Iberia
abad ke-13 c. SM – 580 M
786–1008
1008
1463–1810
12 September 1801

26 Mei 1918
25 Februari 1921
• Kemerdekaan dari Kesatuan Soviet
Pengisytiharan
Penyempurnaan


9 April 1991
25 Disember 1991
24 Ogos 1995
Keluasan
• Jumlah
69,700 km2 (26,900 bt2) (Ke-119)
Populasi
• Perkiraan 2020
3,716,858 [a][4]
4,012,104 [b] (Ke-131)
• Bancian Penduduk 2014
3,713,804 [a][5]
57.6/km2 (149.2/sq mi) (Ke-137)
KDNK (PPP)2019
• Jumlah
$46.05 billion[a][6] (Ke-112)
$12,409[a][6] (Ke-101)
KDNK (nominal)2019
•  Jumlah
$17.83 billion[6] (Ke-118)
$4,285[a][7] (Ke-107)
Gini (2018)positive decrease 36.4[8]
sederhana
HDI (2018) 0.786[9]
tinggi · Ke-70
Mata wangLari Georgia (₾)
(GEL)
Zon waktuUTC+4 (Waktu Georgia GET)
Arah memandukanan
Kod panggilan+995
Kod ISO 3166GE
DPT internet.ge .გე
Laman sesawang rasmi
Gov.ge
  1.   Data tidak termasuk wilayah Georgia yang diduduki.
  2.   Data termasuk wilayah Georgia yang diduduki.

Georgia (Bahasa Georgia: საქართველო Sakartvelo; dikenali dari tahun 1990 hingga 1995 sebagai Republik Georgia) adalah sebuah negara di sebelah timur Laut Hitam di selatan Kaukasus. Bekas republik bagi Kesatuan Soviet ini bersempadan dengan Rusia di sebelah utara dan Turki, Armenia serta Azerbaijan di selatan.

Georgia kaya dengan sejarah yang mendalam serta mengamalkan budaya menarik yang telah lama dipelihara. Ketika Zaman Pertengahan, Kerajaan Georgia telah muncul sebagai kerajaan terkuat dengan mencapai kemuncaknya antara abad ke-10 dan ke-13. Selepas menempuh zaman penguasaan Turki dan Parsi, Georgia telah ditakluk oleh Empayar Rusia pada abad ke-19. Kemudian, munculnya negara Georgia merdeka yang wujud dari tahun 1918 dan 1921 sebelum ia digabungkan ke dalam Kesatuan Soviet. Pada tahun 1936, Georgia menjadi sebuah republik kesatuan sehingga pembubaran Kesatuan Soviet. Ketika zaman Soviet, ekonomi Georgia mengalami pemodenan dan dipelbagaikan. Georgia mengisytiharkan kedaulatan negaranya pada 19 November 1989 dan kemerdekaannya secara rasmi pada 9 April 1991.

Georgia merupakan sebuah negara membangun yang terletak di kedudukan ke-70 dalam Indeks Pembangunan Manusia. Georgia merupakan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Majlis Eropah dan Pertubuhan untuk Demokrasi dan Pembangunan Ekonomi GUAM. Georgia mempunyai dua wilayah bebas iaitu Abkhazia dan Ossetia Selatan yang memperoleh pengiktirafan antarabangsa yang sangat terhad selepas Perang Rusia-Georgia 2008. Kebanyakan negara dunia menganggap wilayah-wilayah itu sebagai wilayah Georgia di bawah pendudukan Rusia.[10]

Etimologi

Asal usul nama Georgia tidak begitu jelas. Sumber-sumber awal pada Zaman Pertengahan menjelaskan nama Georgia berasal daripada populariti Santo Georgios, Santo Penaung Georgia. Catatan-catatan Eropah kemudiannya menjejaki perkataan Latin, Georgius, yang diambil daripada perkataan Yunani Kuno Γεώργιος (Geṓrgios, “petani”). Penyokong hujah ini berpegang kepada penulis-penulis klasik, Pliny dan Pomponius Mela, yang menyebut bahawa puak-puak yang menjalankan aktiviti bertani sebagai "Georgi".[11] Jadi, mereka menamakannya untuk membezakan puak-puak itu daripada kumpulan petani lain yang tidak tinggal secara tetap.

Sesetengah sarjana pada abad ke-20 berpendapat bahawa Georgia mungkin mempunyai asal perkataan yang sama seperti Rusia, грузи́н (gruzín). Asal perkataan itu ialah گرج‎ (Gorj), daripada Parsi Pertengahan, 𐭥𐭫𐭥𐭰𐭠𐭭‎ jamak (Wiruz-ān, “Iberia, Georgia”). Perbandingan ini dapat dilakukan pada bahasa Parthia 𐭅𐭉𐭓𐭔𐭍‎ jamak (Wiruž-ān), Parsi Pertengahan jamak (wrwcʾn), dan Armenia Lama վիր-ք (vir-kʿ).

Menurut pendapat yang lain, Georgia berhubung kait dengan perkataan Parsi, گرگ‎ (gorg, “serigala”). Georgia dikenali sebagai "bumi serigala" kerana kawasan pergunungan yang berhutan di sebelah utara dilihat sebagai tempat terlarang dan berbahaya bagi orang Parsi Kuno.

Orang Gurji menyebut negara mereka sebagai Sakartvelo (საქართველო, "tanah Kartvelia"), diambil daripada nama bahagian pusat Georgia, Kartli, direkodkan daripada abad ke-9 dalam teks Riwayat Georgia.

Karya Pertengahan Riwayat Georgia mengisahkan seorang eponim leluhur Kartvelia, Kartlos, cicit kepada Japheth. Namun, sarjana bersetuju perkataan ini diambil daripada Karts, iaitu salah satu daripada puak-puak proto-Georgia yang muncul sebagai kumpulan dominan pada masa dahulu.[12] Nama perkataan Sakartvelo (საქართველო) terdiri daripada dua bahagian. Berakar kepada kartvel-i (ქართველ-ი), yang memperincikan kepada penghuni kawasan pusat Georgia, Kartli atau Iberia seperti yang didapati dalam sumber-sumber Empayar Rom Timur.[13] Yunani Kuno (Strabo, Herodotus, Plutarch, Homer dan lain-lain) dan Rom (Titus Livius, Tacitus dan lain-lain) merujuk kawasan awal barat Georgia sebagai Kolkhis dan timur Georgia sebagai Iberia (Iberoi dalam sesetengah sumber Yunani).[14] Imbuhan Georgia, sa-X-o merupakan kontruksi geografi standard yang disesuaikan kepada "tempat di mana X tinggal", di mana X ialah etnonim.[15]

Sejarah

Raja Miridian III menjadikan Kristian sebagai agama rasmi kerajaan pada tahun 324.

Penghuni negara Georgia pada hari ini dapat dijejaki pada 1.8 juta tahun dahulu. Tapak ekskavasi di Dmanisi yang terletak di tenggara Georgia mempunyai bukti-bukti tersebut. Tambahan lagi, penemuan prasejarah seperti Acheulia, Mousteria dan Paleolitik Akhir dapat ditemui di pelbagai gua dan kawasan pengudaraan terbuka yang ada di Georgia.

Kerja-kerja pertanian yang dilakukan sejak Zaman Neolitik dikenali sebagai budaya Shulaveri-Shomu telah wujud antara masa 5000 and 6000 tahun Sebelum Masihi. Masyarakat pada masa itu menggunakan obsidian sebagai peralatan, untuk membela binatang seperti lembu dan babi serta meningkatkan pengeluaran tanaman termasuklah anggur.

Kerajaan awal

Orang Gurji merujuk bangsa mereka sebagai Kartvelebi; asal usul keturunan mereka boleh dijejaki kepada cucu-cicit Noah, Kartlos. Sejarah Georgia dapat dilihat jauh kepada kemunculan kerajaan-kerajaan kuno Kolkhis di barat (pusat legenda Bulu Kencana dan tapak koloni Yunani) dan Kartli (juga dikenali sebagai Iveria atau Iberia) di bahagian timur dan selatan, termasuklah beberapa kawasan di negara Turki dan Armenia pada hari ini. Pada abad ke-4, Georgia merupakan salah satu negara terawal yang menganut agama Kristian. Penganutan agama Kristian dilakukan oleh pemerintah Georgia pada masa itu, Raja Mirian III dan Ratu Nana yang dibaptiskan oleh Santa Nino pada awal abad ke-4.

Dalam mitologi Yunani, lokasi Kolkhis terletak di Bulu Kencana. Menurut karya epik Argonautica yang diriwayatkan oleh Apollonius Rhodius, Jason dan Argonaut telah mencuri Bulu Kencana daripada Raja Aeëtes hasil bantuan anak perempuan raja sendiri, Medea. Orang kampung di kawasan gunung terpencil di Svaneti (sebahagian daripada Kolkhis) telah mengamalkan tradisi menggunakan kulit kambing untuk memerangkap zarah emas halus yang terdapat di dalam sungai yang mengalir daripada Pergunungan Caucasus. Kulit itu seterusnya dikeringkan lalu digebuk untuk mengeluarkan isi-isi kandungannya. Perkara ini masih menjadi topik perdebatan sama ada benar atau tidak benar mengenai legenda “kekayaan” Kolkhis yang hanya merujuk kepada emas.

Pada abad ke-4 hingga ke-6 M, Georgia telah berjuang menentang penakluk Parsi dan Bizantin demi mengekalkan kemerdekaannya. Egrisi berusaha menentang Byzantine manakala Kartli (orang Iberia) menentang penceroboh Parsi. Pada penghujung abad ke-5, Raja Vakhtang I Gorgasali yang dianggap sebagai bapa bangsa Georgia, telah memulakan pemberontakan anti-Parsi dan memindahkan ibu kota kerajaan di Mtskheta ke pusat pemerintahan Georgia pada hari ini, Tbilisi. Walau bagaimanapun, perjuangan beliau menuntut kemerdekaan dan penyatuan negeri-negeri Georgia tidak meninggalkan kesan yang berpanjangan. Raja Kartli (Iberia) itu telah gugur dalam satu pertempuran pada awal abad ke-6. Selepas kematiannya, Parsi mula bertindak dengan tegas. Pada kali ini, golongan bangsawan Parsi diberi keistimewaan untuk mengundi gabenor yang disebut sebagai erismtavari oleh orang Gurji. Pada lewat abad ke-7, pergelutan Byzantine dan Parsi ke atas penguasaan Timur Tengah telah memberi peluang kepada penaklukan Arab Muslim ke atas kawasan itu. Orang Arab kemudiannya mendirikan emiriah di Tbilisi.

Zaman kegemilangan

Penentangan terhadap pemerintahan Arab telah dipelopori oleh dinasti Bagrationi yang berpusat di Tao-Klarjeti, gabungan kerajaan-kerajaan kecil yang merentangi sempadan moden Georgia-Turki. Kartli seterusnya diserap ke dalam kerajaan itu. Pada tahun 1008, Kerajaan Tao-Klarjeti diwarisi oleh Raja Bagrat III dari Abkhazia (barat laut Georgia) lalu memperlihatkan Georgia telah disatukan di bawah satu pemerintahan. Pencerobohan Turki Seljuk pada abad ke-11 telah mengubah keadaan itu. Namun, Seljuk telah diusir secara beransur-ansur oleh Raja Bagriationi muda, Davit Aghmashenebeli (1089–1125) yang menumpaskan mereka di Didgori pada 1122 sekali gus beliau dapat menawan semula Tbilisi dan menjadikannya ia sebagai ibu kota kerajaan.

Davit telah menjadikan Georgia sebagai sebuah kuasa utama di rantau Caucasus serta menjadi pusat kebudayaan dan pendidikan Kristian. Georgia mencapai zaman kemuncaknya ketika di bawah pemerintahan cucu-cicitnya, Ratu Tamar (1184–1213), di mana kerajaannya telah menguasai kawasan moden Azerbaijan dan Armenia serta bahagian-bahagian di Turki dan selatan Rusia. Tamar masih disanjung oleh orang Gurji sehingga ke hari ini yang memanggilnya tanpa ironi, Raja Tamar!

Kemusnahan dan pembahagian

Zaman kegemilangan Georgia berakhir sewaktu ketibaan Mongol pada 1220-an. Raja Giorgi yang Pintar (1314–46) berjaya menamatkan goncangan serangan Mongol. Namun, bencana lain pula yang menimpa iaitu wabak Maut Hitam. Kemudian, ia diikuti oleh kemunculan penakluk dari Asia Tengah, Tamerlane yang telah menyerang Georgia sebanyak lapan kali antara tahun 1386 dan 1403.

Georgia yang dilanda kemusnahan telah berpecah kepada empat kerajaan utama: Kartli dan Kakheti di sebelah timur, Imereti di sebelah barat laut dan Samtskhe di sebelah barat daya. Pada awal abad ke-16, Turki Uthmaniyah dan Parsi Safawiyah bersaing untuk menguasai Transcaucasia. Kedua-dua empayar ini berperang selama dua abad lamanya dan memperlihatkan kesan di mana kerajaan-kerajaan Georgia di sebelah barat jatuh ke tangan Uthmaniyah manakala di sebelah timur pula berada di dalam genggaman Parsi. Kempen Shah Abbas di timur Georgia pada awal abad ke-17 dilihat sangat menggerunkan dan sungguh kejam. Pada tahun 1744, penakluk Parsi yang baharu iaitu Nader Shah telah mencalonkan putera Bagratid sebagai Raja Kartli dan Kakheti. Salah seorang daripada mereka, Erekle II memerintah kedua-dua kerajaan itu yang berfungsi sebagai kerajaan separa bebas sejak tahun 1762.

Pemerintahan Rusia

Tamerlane mengarahkan serangan ke atas Georgia.

Tentera Rusia telah meredahi Caucasus buat pertama kali pada tahun 1770 untuk membantu pembebasan Imereti daripada pemerintahan Turki Uthmaniyah. Dalam Perjanjian Georgievsk pada 1783 yang dimeterai antara Rusia dan Kerajaan Kartli-Kakheti, Erekle II bersetuju untuk menerima kekuasaan Rusia Kristian sebagai jaminan perlindungan bagi menentang musuh-musuh Islam. Namun, Rusia tidak meluahkan komitmennya untuk mempertahankan Georgia semasa pencerobohan Turki dan Parsi masing-masing pada 1785 dan 1795 di mana kota Tbilisi telah dimusnahkan sementara penduduknya dibunuh. Rusia berikutnya menakluk kesemua kerajaan kecil Georgia satu demi satu pada abad ke-19. Rusia bertindak menggantikan pemerintahan kerajaan dengan pemerintah tempatan atau penguasa Turki serta menempatkan gabenor tenteranya di sana.

Antara tahun 1801 dan 1918, Georgia merupakan sebahagian daripada Empayar Rusia. Masyarakat Rusia dan Gurji banyak berkongsi persamaan yang melibatkan dua fokus utama: agama utama bagi kedua-dua negara ialah Kristian Ortodoks dan kedua-dua negara ini juga mempunyai pemilikan tanah oleh bangsawan ke atas sejumlah penduduk. Pada mulanya, pihak berkuasa Rusia berhasrat untuk menggabungkan Georgia ke dalam saki-baki empayar. Namun, pemerintahan Rusia kemudiannya terbukti terlalu mendominasi dan memencilkan adat resam dan pemikiran orang Georgia. Perkara ini menjurus kepada konspirasi yang didalangi oleh golongan elit Georgia pada 1832 serta revolusi yang dilancarkan oleh penduduk kampung dan golongan elit pada tahun 1841.

Keadaan telah berubah hala semasa Mikhail Semyonovich Vorontsov menjadi Wizurai Caucasus pada 1844. Strategi pemerintahan Vorontsov berjaya menarik golongan elit Georgia untuk berubah menjadi masyarakat Eropah yang progresif. Harapan untuk membawa kepada kehidupan yang baik agak samar-samar oleh kerana ekonomi sara diri masih diamalkan di negeri yang mundur. Ramai orang Gurji hidup dalam kemiskinan serta bergelut dengan masalah kebuluran. Sebahagian daripada mereka menetap di bandar-bandar di mana terdapat sedikit kemunculan perindustrian dan perniagaan yang dikendalikan oleh orang Armenia, yang telah menetap di Georgia sejak kedatangan nenek moyang mereka pada Zaman Pertengahan.

Pembebasan

Pengisytiharan Kemerdekaan Georgia, Mei 1918.

Pada saat kebangkitan Revolusi Rusia, Georgia telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 26 Mei 1918. Parti Demokrat Sosial Georgia telah memenangi pilihan raya parlimen dan pemimpin parti, Noe Zhordania menjadi perdana menteri.

Kemerdekaan Georgia tidak bertahan lama. Pada tahun 1918, Perang Georgia-Armenia tercetus di beberapa bahagian Georgia yang kebanyakannya dihuni oleh orang Armenia. Kemudian pada hujung tahun itu, jeneral Giorgi Mazniashvili telah memimpin satu serangan ke atas Tentera Putih dalam usaha untuk menuntut kawasan perairan Laut Hitam. Georgia juga tunduk kepada perlindungan British dari tahun 1918 hingga 1920.

Pemerintahan Soviet

Joseph Stalin.

Walau bagaimanapun, Georgia telah diserang oleh Tentera Merah pada Februari 1921. Tentera Georgia telah ditewaskan manakala kerajaan Demokrat Sosial tumbang dan melarikan diri. Tentera Merah telah memasuki kota Tbilisi pada 25 Februari 1921 dan menetapkan pemerintahan komunis secara langsung dari Moscow. Namun, pemerintahan Rusia tidak dijalankan sehingga tahun 1923 apabila revolusi di Rusia ditamatkan. Georgia seterusnya diserap ke dalam Republik Sosialis Persekutuan Soviet Transcaucasia bersama-sama dengan Armenia dan Azerbaijian.

Pada era 1930-an, seperti di tempat-tempat lain di USSR, Georgia juga melalui Pembersihan Besar-Besaran yang dilancarkan oleh Joseph Stalin. Stalin ialah anak kepada tukang kasut yang berasal dari sebuah pekan di Georgia, Gori sebelum dirinya berjaya mengambil alih pemerintahan negara terbesar di dunia.

Semasa Perang Dunia Kedua, hampir seramai 700 ribu orang etnik Gurji berjuang untuk Tentera Merah Soviet menentang Jerman Nazi.

Selepas kematian Stalin pada tahun 1953, Georgia mula menikmati kualiti hidup yang baik. Dekad 1960-an dan 1970-an memperlihatkan tempoh yang aman dan taraf hidup yang tinggi. Bahkan, gerakan untuk memulihkan kerajaan Georgia mula mendapat populariti pada 1960-an. Seterusnya pada pertengahan 1980-an, Mikhail Gorbachev memulakan dasarnya untuk pembaharuan sebelum berlakunya perpecahan USSR dalam jangka masa hanya tujuh tahun.

Kemerdekaan

Gambar mangsa-mangsa pembunuhan Tragedi 9 April.

Demontrasi anti-Soviet secara aman yang dijalankan di Tbilisi pada 9 April 1989 bertukar tragedi. Gerakan kemerdekaan Georgia yang semakin meruap itu menyaksikan seramai 20 orang Gurji dibunuh oleh tentera Soviet di luar bangunan kerajaan. Kerajaan semasa Georgia yang anti-komunis pada masa itu sambil dipimpin oleh seorang intelek nasionalis, Zviad Gamsakhurdia telah mengisytiharkan kemerdekaan Georgia daripada USSR pada ulang tahun kedua tragedi itu iaitu pada 9 April 1991. Keadaan negara secara mendadaknya bertukar riuh. Rusuhan di jalanan tercetus di Tbilisi pada Disember 1991 apabila anggota pemberontak separa tentera bertempur di pusat bandar untuk menggulingkan Gamsakhurdia. Beliau kemudiannya melarikan diri ke Chechnya manakala kekosongan kuasa negara digantikan oleh majlis ketenteraan yang telah memperoleh kehormatan antarabangsa. Eduard Shevardnadze bersetuju untuk menerajui kepimpinan negara.

Kehadiran Shevardnadze dijangka akan membawa reputasi Georgia dengan lebih baik tetapi konflik dalaman di tanah airnya bertambah teruk. Gencatan senjata pada Jun 1992 telah meredakan konflik yang menimpa kawasan Ossetia Selatan sejak ia mengisytiharkan penyatuan dengan Ossetia Utara (di Rusia) pada 1989. Namun, pada Ogos 1992, konflik yang lebih serius tercetus di Abkhazia.

Pada September 1993, Georgia menghadapi kekalahan teruk di Abkhazia manakala Gamsakhurdia cuba untuk merampas kuasa daripada Shevardnadze. Perang saudara berdarah yang singkat di barat Georgia akhirnya ditamatkan melalui rundingan pantas Shevardnadze bersama sokongan daripada tentera Rusia yang telah pun ditempatkan di Georgia. Kesan utama yang kedua berikutan kekalahan Georgia di Abkhazia ialah penguatkuasaan perpindahan kira-kira 250,000 orang Georgia daripada tempat tinggal mereka di sana – satu bebanan kemanusiaan dan ekonomi yang terdesak bagi negara yang mana ekonominya di ambang kehancuran.

Revolusi Mawar

Penunjuk perasaan Revolusi Mawar di Tbilisi.

Sedekad selepas kegagalan di Abkhazia, Georgia berkisar dari tempoh yang aman dan selamat kepada kegiatan jenayah yang berleluasa, penculikan, kemusnahan infrastruktur, ancaman kongsi gelap serta korupsi yang bermaharajalela. Shevardnadze sekurang-kurangnya berusaha menangani ancaman itu. Namun pada awal abad ke-21, dengan kes korupsi yang menjadi-jadi serta pertumbuhan ekonomi yang perlahan, rakyat Georgia sudah melepaskan keyakinan terhadap beliau.

Pengendalian proses pilihan raya yang teruk pada November 2003 telah mengalihkan tumpuan terhadap gerakan tunjuk perasaan besar-besaran sebelum ia berubah menjadi satu rampasan kuasa yang aman. Rampasan kuasa itu dikenali sebagai Revolusi Mawar sempena bunga yang dibawa oleh para penunjuk perasaan. Sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan, penunjuk perasaan di luar parlimen di Tbilisi bersumpah untuk kekal berada di situ sehingga Shevardnadze meletak jawatan. Dengan dipimpin oleh bekas protégé Shevardnadze iaitu Mikheil Saakashvili, yang juga seorang peguam berpendidikan di Amerika serta menerajui parti pembangkang (Gerakan Kebangsaan Georgia), kerumunan penunjuk perasaan yang tidak bersenjata akhirnya memasuki parlimen pada 22 November. Shevardnadze dengan malunya menggunakan pintu belakang untuk keluar dari situ hasil bantuan pegawai peribadinya. Beliau akhirnya mengumumkan peletakan jawatannya pada pagi keesokan harinya.

Saakashvili memenangi pilihan raya presiden pada Januari 2004 dengan kemenangan besar. Beliau meletakkan hala tuju kepimpinannya dengan melantik ahli kabinet yang terdiri daripada golongan pemuda, bercita-cita tinggi dan menteri berpandangan jauh serta mengumumkan kempen untuk menentang penyebaran korupsi. Beliau telah berjaya meraih kejayaan awal dalam masa beberapa bulan mengambil alih kuasa. Hal ini dapat dilihat apabila beliau menangani ancaman orang kuat menyokong pemisahan Adjara dari Georgia, Aslan Abashidze. Dengan melihat Georgia seolah-olah akan terjerumus ke dalam siri perang saudara yang seterusnya, Abashidze berundur dan mencari perlindungan di Rusia. Peristiwa ini bersama dengan tuduhan penglibatan Georgia dalam Perang Chechen Kedua dan bantuan terbuka Rusia kepada dua kawasan Georgia yang menuntut pemisahan membawa kepada hubungan yang tegang antara Georgia dan Rusia. Rusia telah menarik segala kelengkapan dan persenjataan di kubu mereka di Batumi manakala di Akhalkalaki pula ditarik pada Disember 2007.

Hal terkini

Sementara itu, Georgia menikmati tempoh empat tahun yang seimbang berikutan Revolusi Mawar 2003 yang menyaksikan kebangkitan golongan pro-Barat. Namun, krisis politik baru tercetus pada lewat tahun 2007 apabila kumpulan pembangkang berasingan melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran di Tbilisi untuk menentang masalah kemiskinan, kenaikan harga, korupsi dan autoritorianisme dalam kerajaan Saakashvili. Bersama dakwaan akan berlakunya rampasan kuasa, Presiden Saakashvili telah berhadapan dengan rusuhan melalui bantuan polis yang melepaskan tembakan air dan gas pemedih mata untuk meleraikan protes. Beliau juga mengisytiharkan darurat negara dan menutup siaran Imedi TV yang sebahagian daripada pemilikan siaran itu dimiliki oleh musuh politiknya, Badri Patarkatsishvili.

Paksaan kerajaan untuk meleraikan protes semakin membimbangkan rakyat Georgia dan rakan sejawatan Saakashvili di Barat tetapi presiden itu tetap dengan pendiriannya dan mengadakan pilihan raya presiden pada Januari 2008. Saakashvili berjaya memenangi pemilihan presiden dengan meraih 53% undian mengatasi pembangkang yang tidak sempat melakukan persiapan. Pemerhati antarabangsa menilai kembali proses pengundian itu dan mendapati ianya demokratik walaupun terdapat sedikit penyelewengan. Pihak pembangkang melancarkan protes besar-besaran di Tbilisi atas rasa tidak puas hati terhadap penipuan pilihan raya yang masih berterusan malahan selepas Saakashvili mengangkat sumpah untuk penggal baharu.

Lokasi republik pemisah di Georgia, Abkhazia dan Ossetia Selatan.

Pemilihan presiden pada tahun 2008 dilihat sedikit sebanyak mempengaruhi peristiwa-peristiwa rusuhan berlanjutan. Contoh baik yang ditunjukkan oleh pembangkang telah membawa kepada protes berterusan dan ketidakstabilan politik. Dilihat juga bahawa rakyat Georgia menganggap tindakan orang ramai berbanding pilihan raya sebagai cara untuk mengubah kerajaan.

Selain masalah domestik, Georgia berdepan tekanan besar dalam mengadakan hubungan yang rumit dengan Rusia. Pendirian Georgia yang pro-Barat bersama hasrat untuk menyertai NATO telah memberi tamparan yang hebat kepada Rusia. Rusia secara umumnya dipercayai menyokong rejim pemisah di Abkhazia dan Ossetia Selatan. Pada tahun 2006, Kremlin telah menyekat import wain Georgia dan air mineral, menggantung penerbangan, penghantaran dan perpindahan wang antara dua negara serta menutup perentasan sempadan yang terakhir.

Sementara itu, Georgia cuba untuk menyelesaikan masalah isu Ossetia Selatan dengan menyokong pelaksanaan enklaf di sana yang mana membolehkan Ossetia Selatan memperoleh status persekutuan di dalam Georgia. Hal ini bagi menghalang penyatuan wilayah itu bersama Rusia. Di Abkhazia pula, Georgia telah melaksanakan kerajaan wilayah yang sah di sana yang berkuasa mengawal kawasan utara Lembah Kodori. Georgia juga menawarkan hak autonomi yang banyak kepada Abkhazia dengan syarat kira-kira 250,000 pelarian Georgia yang diusir ketika perang 1992-93 dibenarkan untuk pulang. Namun, Abkhazia menyatakan bahawa mereka tidak akan berunding sehingga Georgia berundur dari Lembah Kodori.

Pada tahun 2008, tercetus konflik ketenteraan antara Georgia dengan Rusia bersama sokongan daripada republik pemisah, Ossetia Selatan dan Abkhazia. Tentera Georgia memulakan serangan berskala besar ke atas ibu kota Ossetia Selatan, Tskhinvali pada 7 Ogos 2008. Tentera Georgia kemudiannya ditewaskan dan dipaksa untuk berkumpula semula di Gori. Mereka seterusnya dipaksa berundur ke Tbilisi. Sebaik selepas pengunduran, tentera Rusia memasuki Tbilisi dan menduduki banyak kawasan perkampungan tanpa menghadapi tentangan. Presiden Dmitry Medvedev mengumumkan hasratnya untuk menghentikan operasi ketenteraan Rusia di Georgia pada 12 Ogos. Tentera Rusia akhirnya berundur dari Gori dan Poti tetapi mereka kekal berada di Ossetia Selatan dan Abkhazia yang diiktiraf sebagai negara yang bebas. Sebaliknya, Georgia menganggap ia sebagai wilayahnya yang diduduki oleh Rusia.

Politik

Pembahagian pentadbiran

Georgia dibahagi kepada 53 daerah, 11 kota dan 2 republik autonomi:

Geografi

Antara kota besar di Georgia ialah:

Simbol-simbol lama

Bendera lama Georgia
Lambang lama Georgia

Bendera lama Georgia digunakan sejak 1991 hingga 25 Januari 2004. Dia juga pernah digunakan dari 1918 hingga 1921.

Lambang lama digunakan dari 1918 hingga 1921 dan sejak 1991 hingga 2004.

Bahasa

Georgia Sirilik (93%)

Penggunaan Bahasa Rusia

7%.

Catatan

  1. ^ "Article 8", Constitution of Georgia. In Abkhazian AR, also Abkhazian.
  2. ^ "Constitution of Georgia" (PDF). Parliament of Georgia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 10 December 2017.
  3. ^ "საქართველოს მოსახლეობის საყოველთაო აღწერის საბოლოო შედეგები" (PDF). National Statistics Office of Georgia. 28 April 2016. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2017-10-10. Dicapai pada 29 April 2016.
  4. ^ "Demographic Portal". Dicapai pada 2020-02-09.
  5. ^ "2014 General Population Census Main Results General Information — National Statistics Office of Georgia" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 8 August 2016. Dicapai pada 2 May 2016.
  6. ^ a b c "World Economic Outlook Database, October 2019". IMF.org. International Monetary Fund. Dicapai pada 14 January 2020.
  7. ^ "World Economic Outlook Database October 2019".
  8. ^ "GINI index (World Bank estimate) - Georgia". data.worldbank.org. World Bank. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 July 2018. Dicapai pada 22 March 2020.
  9. ^ "Human Development Report 2019" (dalam bahasa Inggeris). United Nations Development Programme. 10 December 2019. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2020-04-30. Dicapai pada 10 December 2019.
  10. ^ "The Law of Georgia on Occupied Territories (431-IIs)" (PDF). State Ministry for Reintegration. 23 October 2008. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 24 June 2014. Dicapai pada 1 February 2015.
  11. ^ (Pliny, IV.26, VI.14; Mela, De Sita Orb. i.2, &50;)
  12. ^ Mikaberidze, Alexander (2015). Historical Dictionary of Georgia (ed. 2). Rowman & Littlefield. m/s. 3. ISBN 978-1442241466.
  13. ^ Constantine Porphyrogenitus (1967). Gyula Moravcsik (penyunting). De Administrando Imperio. translated by R.J.H Jenkins. Dumbarton Oaks Center for Byzantine Studies.
  14. ^ David Braund (1994). A History of Colchis and Transcaucasian Iberia, 550 BC-AD 562. Oxford University Press. m/s. 17–18. ISBN 978-0198144731.
  15. ^ Rapp, Stephen H. (2003), Studies in Medieval Georgian Historiography: Early Texts And Eurasian Contexts, pp. 419–423. Peeters Publishers, ISBN 90-429-1318-5

Pautan luar

Peta Georgia
Peta Georgia

Templat:Fakta Pertahanan Atlantik Utara