[go: up one dir, main page]

Pergi ke kandungan

Denim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Semakan 4238523 pada 17:53, 28 November 2017 oleh HsfBot (bincang | sumb.) (Bot: perubahan kosmetik)
Kain denim yang dicelupkan dengan pewarna indigo

Denim ialah sejenis kain kapas yang kukuh dan berira hadapan[1] di mana benang kain lalu di bawah dua atau lebih benang ira. Tenunan twil ini menghasilkan bunga serong yang membezakannya daripada kain kapas jenis duck.

Etimologi dan asal-usul

Nama "denim" berasal bahasa Perancis serge de Nîmes yang bererti "kain serge dari Nîmes".[2]

Gentian denim daripada jeans lama dilihat melalui mikroskop

Denim dahulunya diwarnakan dengan pewarna indigo untuk menghasikan jeans biru meskipun "jean" sebelum ini dikaitkan dengan kain kapas yang berwarna terang dan berbeza. Perkataan "jean" itu sendiri berasal daripada istilah bahasa Perancis untuk Genoa, Itali (Gênes), tempat seluar denim pertama kalinya dihasilkan.

Kain denim telah digunakan di Amerika Syarikat sejak pertengahan abad ke-19.[3] Ia mula popular pada 1873 apabila seorang tukang jahit dari Nevada bernama Jacob W. Davis menghasilkan seluar denim pertama yang dikuatkan dengan rivet.[4] Pada ketika itu, pakaian buruh Barat seperti pemerhati dan pelombong tidak tahan lama. Davis mendapat ilham membuat jeans bertetulang ini apabila seorang pelanggan wanita memesan sepasang seluar yang kuat dan tahan lama untuk suaminya yang bekerja memotong kayu. Ketika Davis hampir selesai dengan menjahit jeans birunya, dia melihat beberapa rivet tembaga terbiar di atas meja dan menggunakan rivet tersebut untuk mengikat poket-poket seluarnya itu. Tidak lama kemudian, seluar denim mula dikenali dengan merebaknya dan Davis mendapat permintaan banyak - sebanyak 200 pasang seluar ini yang terjual kepada pekerja-pekerja berat yang memerlukannya. Davis bersusah payah memenuhi permintaan yang banyak untuk kedai kecilnya lalu dia menulis surat cadangan kepada syarikat pemborong barang-barang kering Levi Strauss & Co. yang merupakan pembekal kain denim untuk kedainya. Davis mencadangkan reka bentuk seluar denim berivet tersebut dipatenkan di bawah namanya sebagai pereka sebagai pertukaran untuk hak-hak pembuatan tertentu. Levi Strauss & Co. begitu tertarik dengan kemungkinan meraih keuntungan dalam pembuatan pakaian ini sehingga mereka kemudiannya mengupah Davis menguruskan pengeluaran besar-besaran denim di San Francisco.

Pencelupan

Kain denim asalnya dicelup dengan sejenis pewarna yang dihasilkan daripada pokok tarum atau Indigofera tinctoria, tetapi proses pewarnaan kain hari ini sebaliknya menggunakan pewarna indigo yang sintetik. Tidak kiralah apa jenis pewarna yang digunakan, benang kain tersebut mengalami proses pencelupan dan oksidasi berulang-kali — celupan yang lebih banyak menghasilkan warna nila yang lebih kuat.

Kegunaan

Pakaian

  • But serta kasut sukan dan kasual (terutamanya jenama Keds, Converse dan Chuck Taylor All-Stars)
  • Pelbagai jenis seluar (panjang, pendek, capri dan sebagainya)
  • Topi
  • Jaket
  • Kemeja
  • Skirt
  • Sut

Pasaran dunia

Pada tahun 2007, pasaran denim dunia dikira sebanyak USD 51.6 bilion, dengan permintaan berkembang sebanyak 5% dan bekalan meningkat 8% setiap tahun.[5] Lebih daripada 50% denim dihasilkan di Asia, kebanyakannya di China, India, Turki, Pakistan, Bangladesh.

Jadual berikut menunjukkan tempat-tempat kain denim dihasilkan di serata dunia:[5]

Kawasan Bilangan kilang
China 297
India 23
Asia (tidak termasuk India dan China) 81
Amerika Utara 9
Eropah 41
Amerika Latin 46
Afrika 15
Australia 1
Jumlah 513

Rujukan

  1. ^ Mogahzy, Y. E. (2009). Engineering Textiles: Integrating the Design and Manufacture of Textile Products (ed. First). Woodhead Publishing. m/s. 362. ISBN 978-1-84569-048-9.
  2. ^ Bellis, Mary. "Levi Strauss - The History of Blue Jeans". About.com. Dicapai pada 25 Ogos 2015. "Levi Strauss had the canvas made into waist overalls. Miners liked the pants, but complained that they tended to chafe. Levi Strauss substituted a twilled cotton cloth from France called "serge de Nimes." The fabric later became known as denim and the pants were nicknamed blue jeans." In French of Nimes or De Nimes shortened to Denim
  3. ^ Hegarty, Stephanie (28 Februari 2012). "How jeans conquered the world". BBC News. Dicapai pada 25 Ogos 2015.
  4. ^ Salazar, James B. (1 Jun 2010). "Fashioning the historical body: the political economy of denim". Social Semiotics. 20 (3): 293–308. doi:10.1080/10350331003722851. ISSN 1035-0330.
  5. ^ a b Agarwal, Sandeep (13 Oktober 2009). "World Denim Market – A Report on Capacities, Market Size, Forecasts etc". Denimsandjeans.com. Dicapai pada 25 Ogos 2015.